ATTENTION !!!

Tuesday, June 9, 2009

Buaian Kayu Penghias Laman

(Post: Bahasa Melayu)
"Tiada lagi istilah buaian kayu hanya untuk kediaman yang mempunyai laman luas. Buaian kayu ini menjadi pelengkap hiasan yang boleh disesuai untuk apa juga keluasan laman yang anda miliki."

Buaian kayu merupakan salah satu binaan tempat keluarga beristirahat di waktu senggang, petang dan hujung minggu bukan saja unik tetapi menarik untuk menjadi penghias laman.

Malah, sesetengah pencinta seni hias laman menjadikannya sebagai objek untuk titik tumpu laman tidak kira sama ada ruang berkenaan terhad atau luas.

Ada juga yang berani meletakkan buaian untuk menghias balkoni sempit di apartmen atau kondominium.

Eksekutif Jualan Kosmo Tropical Concept, Danny Lee, berkata keghairahan peminat seni kayu kepada buaian kayu ini semakin meningkat terutama dengan peningkatan minat mereka terhadap konsep laman Nusantara, Tropika dan Bali kontemporari.

Katanya, sebelum ini pemilik kediaman seperti banglo dan teres minat saja yang berminat membeli buaian kayu tetapi kini mereka yang tinggal di apartmen dan banglo yang sukakan konsep Nusantara, Tropika atau Bali membelinya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan sebelum membeli buaian kayu pasang siap, pemilik kediaman perlu memastikan saiznya sesuai dengan keluasan laman.

Katanya, buaian kayu yang dihasilkan syarikat berkenaan adalah daripada kayu resak dan berlian yang mempunyai warna menarik dan cita rasa moden.

"Kami hanya mengambil tempahan dan jarang sekali menjual produk terpakai. Namun untuk beberapa bulan ini, untuk menghabiskan stok beberapa buaian kami jual dengan separuh harga," katanya.

Ada beberapa jenis buaian kayu yang dijual, namun yang mendapat sambutan ramai buaian bangku dan buaian dengan wakaf yang berfungsi dua dalam satu, sebagai buaian dan pondok istirahat.

Buaian dengan wakaf lebih sesuai untuk laman yang luas terutama rumah seperti banglo dan rumah berkembar dua tingkat atau semi D, manakala buaian bangku untuk ruang terhad atau balkoni sempit di apartmen dan kondominium.

Bagi menaikkan seri dan keunikan, letakkan kusyen atau hiasan kain sebagai pelapik untuk buaian. Bagi mereka yang sukakan cita rasa tropika, kusyen akan menyerlahkan lagi konsep berkenaan.

Bagi konsep laman Inggeris, buaian perlu dicatkan dengan warna putih kerana ciri laman berkenaan yang menampilkan perabot berwarna putih atau warna putih lapuk (rustic).

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::