ATTENTION !!!

Showing posts with label perahu tambang. Show all posts
Showing posts with label perahu tambang. Show all posts

Wednesday, May 19, 2010

Perahu Tambang Bandaraya Alor Setar

(Post: Bahasa Melayu)
" Perahu tambang masih ada di tengah-tengah Bandar Raya Alor Setar? Memang benar, perahu tambang masih wujud di sini iaitu di Sungai Kedah. "

Sekali pandang, jeti serba ringkas itu saling tidak tumpah seperti jeti dalam cerita Pendekar Bujang Lapok lakonan Tan Sri P. Ramlee.

Lebih mengejutkan apabila terpandang seorang pengemudi perahu tambang yang masih gagah membawa penumpang mengharungi sungai itu walaupun dia sudah berusia.

Lelaki Cina itu, Teoh Lian Hock, sudah berumur 67 tahun. Beliau aktif membawa perahu tambang sejak dua tahun lalu.

Setelah bersara sebagai nelayan, beliau mengambil keputusan untuk membawa perahu tambang bagi mengisi masa lapang selain menambah duit poket untuk membeli barang-barang keperluan harian.

"Saya sudah biasa bekerja dan jika duduk di rumah sahaja terasa bosan. Bawa perahu ini sekurang-kurangnya dapat keluarkan peluh dan menyihatkan badan," katanya.

Lian Hock berkata, tugas mengemudi perahu tambang itu tidak dilakukan secara berseorangan sebaliknya terdapat dua rakannya yang lain yang juga berumur dalam lingkungan 60-an, menawarkan khidmat perahu tambang dan mereka bekerja mengikut waktu yang telah ditetapkan.

"Kami mula bekerja seawal pagi, iaitu pukul 7 pagi dan syif kedua bermula pukul 12 tengah hari manakala syif terakhir pukul 5.30 petang sebelum berakhir pada 8 malam."

"Saya ditugaskan untuk mengambil penumpang pada syif tengah hari," kata Lian Hock.

Tambah beliau, kebanyakan penumpang merupakan penduduk tempatan yang tinggal di Seberang Nyonya dan mereka menaiki perahu tambang untuk pergi ke Pekan Cina bagi membeli barang-barang keperluan harian. Ada juga penumpang yang ingin dibawa ke bandar raya Alor Setar.

"Di Seberang Nyonya ada banyak kampung termasuk Kampung Berjaya, Teluk Yan dan Seberang Terus."

"Pada tahun 1960-an, tiada kemudahan jalan masuk ke situ menyebabkan kebanyakan penduduk mengambil jalan pintas untuk ke pekan dengan menaiki perahu tambang."

"Tapi sekarang jalan yang elok sudah ada dan kebanyakan orang lebih selesa menggunakan kenderaan sendiri berbanding perahu tambang," ujar Lian Hock yang tinggal di tepi Sungai Kedah.

Lian Hock mengenakan bayaran tambang sebanyak 30 sen untuk perjalanan sejauh 200 meter dari Seberang Nyonya ke Pekan Cina.

"Bayaran itu sangat murah dan perjalanannya pula tidak sampai lima minit. Walaupun pendapatan tidak menentu, dalam sehari boleh dapat RM15. Cukuplah untuk duit belanja harian," katanya.

Bagaimanapun, Lian Hock yang mempunyai dua anak berumur 25 dan 30 tahun itu merasakan pekerjaan sebagai 'nakhoda kecil' perahu tambang akan lenyap pada masa akan datang kerana tiada pewaris yang mahu meneruskan tugas itu lagi.

"Tengoklah keadaan saya sendiri, sudah lanjut usia dan dua rakan-rakan lain juga lebih kurang sebaya."

"Saya tidak rasa generasi sekarang mahu melakukan kerja ini kerana ia adalah satu pekerjaan yang memerlukan seseorang memerah kudrat di bawah sinaran matahari," katanya.

Sememangnya generasi akan datang tidak dapat merasa menaiki perahu tambang jika tiada usaha pihak berkuasa untuk mengekalkannya.

Alangkah bagus sekiranya kawasan tersebut boleh dinaik taraf menjadi salah satu produk pelancongan seperti yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Melaka menerusi projek Melaka River Cruise.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 14, 2009

Perahu Tambang Sungai Sarawak

(Post: Bahasa Melayu)
"Pelancong terpaksa bayar harga mahal mencecah ratusan ringgit jika naik bot besar untuk melihat pemandangan di sepanjang Sungai Sarawak. Walhal mereka boleh naik perahu tambang dengan harga murah untuk tujuan sama."

Di dada Sungai Sarawak, perahu tambang terus setia mudik ke hulu dan ke hilir sibuk mencari penumpang untuk dibawa menyeberang.

Setiap hari, bulan dan tahun malah sejak berabad lamanya, suasana sedemikian menjadi nadi di Sungai Sarawak. Cuma yang mungkin berubah adalah perahu dan pendayungnya.

"Sungai ini bukan Sungai Sarawak jika tiada perahu tambang kerana kedua-duanya ibarat isi dan kuku," kata Morshidi Sahri, 65, ketika ditemui di Pangkalan Haji Omar di Kuching.

Dia yang bekerja sebagai pengemudi perahu tambang di Sungai Sarawak berkata, lebih 30 tahun usianya dihabiskan untuk membawa penumpang berulang-alik menyerangi sungai itu.

Inilah punca pendapatan tetapnya bagi menyara seisi keluarga yang tinggal di Kampung Niub, Kota Samarahan, kira-kira 200 kilometer dari Kuching.

Dalam tempoh sehari dia mampu memperoleh kira-kira 50 hingga 100 penumpang dengan pendapatan RM15 hingga RM40 jika bekerja dari seawal pukul 3 pagi hingga ke larut malam.

Selain penduduk tempatan, pelancong asing turut menggunakan perkhidmatan tersebut untuk melihat keindahan bandar raya Kuching atau menyeberang sungai.

Perahu tambang bukan dilihat semata-mata sebagai pengangkutan air tetapi mampu dijadikan produk pelancongan dan paling penting, ia satu warisan bersejarah buat Sarawak.

Hakikatnya industri perahu tambang di Sungai Sarawak itu berjaya menonjolkan imej unik kepada bandar raya Kuching sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.

Tidak banyak destinasi di dunia yang mempunyai sistem pengangkutan air di tengah bandar. Di Kuching, perahu itu sudah wujud sejak beratus-ratus tahun dahulu dengan kisah sejarah tersendiri.

Namun, usaha meningkatkan industri perahu tambang perlu dipergiatkan kerana tanpa langkah tersebut dikhuatiri pengangkutan air itu tidak dapat bertahan daripada di pinggir arus pemodenan.

Seman Bujang Sidi, 58, berkata, bandar raya ini memang telah terkenal dengan kegiatan perahu tambang di Sungai Sarawak seperti Melaka yang cukup popular dengan imej becanya.

"Walaupun hanya untuk ke seberang, penumpang pasti berasa teruja apabila berada di tengah-tengah sungai yang memberi satu pemandangan indah di bandar raya ini," katanya.

Malah pelancong yang belum berpuas hati menikmati pemandangan Kuching boleh menyewa perahu untuk membawa mereka menyusuri Sungai Sarawak sambil menyaksikan panorama bandar raya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::