ATTENTION !!!

Showing posts with label majalah. Show all posts
Showing posts with label majalah. Show all posts

Friday, October 30, 2009

Otai Kartun - Zainal Buang Hussein

(Post: Bahasa Melayu)
"Karya Zainal - baik kartun, novel atau lukisan cukup diminati ramai. Malah sebahagian besar peminat kartunis ini masih setia mengikuti perkembangan Zainal biarpun beliau sekarang tidak seaktif dulu."

Siri lukisan kartun seperti Kutu, Wak Punk, Tong Kosong serta novel berjudul Debu-Debu Kasih, Gelombang, Kasanova dan Serakah cukup sinonim dengan insan seni bernama Zainal Buang Hussein.

Zainal berkata, aktiviti seninya ketika ini banyak tertumpu kepada lukisan. Kata Zainal, sepanjang perjalanan dalam bidang seni yang diceburinya sejak bangku sekolah, beliau sering bereksperimen dengan bakat seni yang dimilikinya.

Disebabkan itulah, karyanya tidak terbatas kepada seni visual seperti ilustrasi, kartun dan lukisan semata-mata sebaliknya diperluaskan kepada penulisan novel.

Cerita Zainal, sejak di bangku sekolah lagi minatnya cenderung ke bidang seni. Mengimbau kenangan pada 'fasa permulaannya', Zainal berkongsi rahsia, tempat pertama yang dijadikan 'galeri' lukisannya ialah reban ayam di sebelah rumah. Di situlah Zainal menggantung dan mempamerkan semua lukisan yang dihasilkannya.

Zainal yang sudah hampir 40 tahun bergelumang dalam bidang seni, berkongsi faktor membuka matanya untuk menjadikan seni sebagai profesion.

"Ketika belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Jitra, Kedah, saya terbaca sebuah buku yang menghimpunkan koleksi lukisan pelukis tersohor Indonesia yang dimiliki bekas Presiden Indonesia, Soekarno serta buku yang mengisahkan mengenai Picasso dan Rembrandt.

"Saya tidak pernah terfikir, seorang pelukis boleh berjaya, diminati dan disanjung hingga tahap begitu. Dari situlah terdetik hati saya untuk lebih serius dalam bidang ini," katanya.

Selepas tamat sekolah, beliau sempat menimba pengalaman sebagai pengilustrasi di beberapa syarikat sebelum berkhidmat dengan Creative Entreprise Sdn Bhd (CESB).

Di bawah CESB, beliau bersama pelukis seperti Jaafar Taib dan Azman Yusof menjadi pelopor penerbitan majalah lawak Gila-Gila. Pembabitan mereka menyemarakkan lagi industri seni kartun tempatan yang sebelum itu dipelopori kartunis lebih senior seperti Rejabhad dan Datuk Lat.

Zainal masih ingat, kulit muka depan majalah Gila-Gila pertama yang dihasilkannya. Beliau menampilkan karikatur pelakon yang sedang popular ketika itu, iaitu AR Badul yang muncul dengan filem baru.

Selain karikatur pelakon itu, Zainal turut menyelit lukisan kereta dalam lakaran berkenaan. Imej kereta dan motosikal sering menghiasi lukisan kartun yang dihasilkan beliau, bagai sudah menjadi identiti karya kartunnya.

Ketika hendak memulakan Gila-Gila dulu, Jaafar sudah pun ada identiti kartunnya iaitu haiwan dan alam semula jadi.

"Sejak remaja lagi, saya suka membaca novel. Saya sukakannya kerana bagi saya, novel merakam sejarah. Pembaca novel dapat masuk ke dalam latar masa cerita yang dihasilkan novelis dan menyelami kisah dan imaginasi mereka."

"Maklumlah, dulu bukannya ada pilihan sangat dalam bidang pekerjaan. Selepas tamat sekolah, saya ada menerima tawaran untuk menyertai pegawai kadet tentera."

"Tidak pasti sama ada untuk menerimanya atau meneruskan cita-cita mencari pekerjaan dalam bidang seni, saya merujuk kepada rakan saya yang sedang berkhidmat dengan angkatan tentera ketika itu."

"Beliau katakan kepada saya, tidak perlulah masuk tentera kerana saya mempunyai bakat dalam bidang seni dan lebih baik saya teruskan saja cita-cita saya dalam bidang ini. Katanya, takut kalau-kalau saya bosan dengan latihan ketenteraan yang perlu dijalani."

"Bercakap mengenai ketelitian dalam hasil kerja, saya masih ingat lagi, pelanggan saya, seorang individu korporat yang meminta saya melukis potret beliau dan keluarganya sebelum ini."

"Beliau hanya mengambil lukisan berkenaan selepas 25 kali saya tunjukkan kepadanya dan setiap kali ditunjuk, ada saja yang tidak kena pada pandangannya. Ini menunjukkan, soal ketelitian juga banyak menerima pengaruh daripada faktor keadaan dan permintaan terhadap sesuatu karya yang dihasilkan itu."

"Untuk menjadi seorang yang teliti dalam berkarya, ia memerlukan masa dan diasah menerusi latihan dan pengalaman."

Industri kartun di Malaysia sudah berkembang. Ini dapat dilihat daripada pengukuhan pelbagai watak kartun yang masih menjadi perhatian penggemarnya, biarpun dari segi penjualan majalah lawak sudah menurun.

Negara kita mempunyai ramai kartunis berbakat yang memiliki hidden asset masing-masing. Itu yang perlu kita jana dengan cara pemasaran dan medium yang betul serta berkesan.

Selain itu, industri seni tempatan juga amat memerlukan masyarakat untuk memberi sokongan penghargaan yang sewajarnya supaya industri ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi seperti industri luar.

Jika tidak, sampai bila-bila pun bakat seni kartunis atau pelukis atau penggiat seni yang ada dalam negara kita serta industri ini akan berada di tahap sama.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Aku Budak Minang - Kartunis Ujang

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya mengumpul RM1 juta pertama ketika berusia 30 tahun."

Selama lebih 25 tahun mencipta fenomena dalam dunia kartun tempatan, Ujang tidak perlu diperkenalkan lagi. Watak kartun yang dicetuskan personaliti ini membesar seiring kelompok peminatnya sendiri.

Watak kartun lakaran kartunis tersohor ini iaitu Ujang, Atuk, Din Beramboi sehinggalah Usop Sontorian mekar subur hingga peminat ciliknya terus setia menantikan kemunculan setiap watak dalam meniti alam kedewasaan.

Sambil membuka rahsia, watak Ujang itu lahir dalam dirinya waktu membesar sebagai anak Minang dengan pegangan kuat adat pepatih di Negeri Sembilan.

"Watak Ujang Senang sendiri wujud ketika saya di bangku sekolah lagi," akui Ujang yang pada saat kegemilangannya bergelar jutawan pada usia 30 tahun.

Ujang mula berkarya pada usia 17 tahun di majalah Gila-Gila. Berkhidmat bersama majalah Gila-Gila hampir 10 tahun (1984-1993) sebelum berkarya semula sejak kira-kira tiga tahun lalu.

"Saya kembali berkarya di majalah Gila-Gila kira-kira tiga tahun lalu. Pada masa sama, saya menghasilkan drama televisyen Aku Budak Minang, Atuk dan Aca. Saya juga sibuk menjadi salah seorang anggota panel projek Sekolah Seni anjuran Kementerian Pelajaran membabitkan pelajar sekolah menengah."

Antara karya ciptaan Ujang yang popular ialah Aku Budak Minang, Atuk, Jibam, Aca, Intelligent Blues Club (IBC), Usop Sontorian.

Ujang juga menulis novel iaitu Jibam, Cinta Terakhir dan Fiona dan pernah menubuhkan majalah humor, Ujang.

Ujang masih lagi meneruskan legasi dunia kartun sebagai Pengurus Promosi di Creative Enterprise Sdn Bhd. Karya tersohornya, Atuk masih boleh dihayati sehingga kini di majalah Gila-Gila.

"Selain bidang kartun, saya juga mengendalikan perkhidmatan bot bagi kaki pancing di Tasik Kenyir," tambahnya lagi.

INFO:
Nama: Ibrahim Anon
Nama komersial: Ujang
Umur: 43 tahun
Tarikh lahir: 18 Oktober 1965
Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
blog JiwaTempatan

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, October 14, 2009

Kartunis Ram

(Post: Bahasa Melayu)
"Permulaan bekerja di majalah Humor memberi latihan yang baik untuk saya kerana di situ kami perlu hasilkan kartun tanpa dialog. Apabila kurang dialog, seseorang kartunis perlu lebih menekankan kepada aspek ilustrasi. Sebagai orang baru, mentor seperti Lee Inas, Don dan Fatah banyak memberi tunjuk ajar."

Cuti sakit akibat demam campak rupa-rupanya membuka jalan personaliti ini mencipta nama dalam dunia kartunis.

Ketika itu, tempoh bercuti yang agak panjang dimanfaatkan Ramzahurin Noutwil atau Ram dengan menghantar karya kepada majalah Gila-Gila.

Tidak disangka-sangka, walaupun kali pertama mencuba nasib, karya Ram disiarkan dalam majalah humor popular itu.

Minat dalam bidang kartun tercetus dalam diri ketika majalah Gila-Gila berada di puncak populariti. Seperti kebanyakan remaja lain pada era itu, Ram adalah antara peminat setia majalah Gila-Gila.

"Bakat melukis saya boleh dikatakan ada, tapi tidaklah hebat sangat. Tapi kerana kesukaan terhadap kartun dalam majalah itulah yang membuatkan saya mengasah bakat melukis kartun sedikit demi sedikit," kata Ram yang popular dengan siri Cerita-Cerita Pak Johar, Mat Kuyup dan Don Parasit.

Menceritakan soal karya sulung yang tersiar di Gila-Gila, Ram berkata, karyanya itu terpilih untuk disiarkan dalam ruangan bakat baru. Kolum ini kata Ram, menjadi kolum impian semua orang yang mahu kartunis. Sebaik karyanya tersiar, Ram terus menyumbang kartunnya kepada majalah Gila-Gila.

Terus bercerita, Ram berkata, mungkin sudah rezekinya, pada suatu hari, beliau dipanggil pengurusan Creative Enterprise untuk menghadiri sesi temu duga sebagai kartunis untuk majalah Humor. Tawaran ini nyata tidak dipersiakan Ram.

"Saya masih ingat membawa semua karya kartun termasuk yang dihasilkan ketika saya demam campak sewaktu ditemu duga menjadi kartunis."

"Saya tidak pernah terfikir cita-cita menjadi kartunis akan menjadi realiti. Tetapi, apabila saya menghasilkan karya awal-awal dulu, saya tahu saya mampu melakukannya malah meletakkan harapan supaya karya saya diterima," katanya mengimbau kenangan silam menjadi kartunis.

Antara kartunis yang disukainya dulu termasuklah Lat, Kerengge dan Lee Inas kerana dalam karya mereka banyak peristiwa yang ditampilkan seolah berkaitan dengan diri sendiri selain timbul rasa gembira setiap kali membaca karya mereka.

Katanya lagi, "Saya bukannya jenis orang yang mudah memperoleh idea. Oleh itu, saya terpaksa buat banyak benda untuk menjana idea. Biasanya, saya akan cuba mendapatkannya menerusi pembacaan, selalunya melalui akhbar."

"Saya akan gunakan isu semasa yang ada dalam akhbar, olah sedikit dan paparkan dalam karya. Kadangkala apa yang kita nak suarakan kepada orang ramai kita boleh selitkan dalam karya."

"Apabila diperhatikan sekarang, kebanyakan generasi kartunis baru cenderung mengikut gaya kartun luar negara. Bukannya tidak boleh, saya pun baca juga kartun dan komik dari Jepun."

"Tapi, mengapa perlu mengikut cara mereka sedangkan kita mempunyai ciri, gaya dan identiti kita sendiri. Kita boleh contohi teknik, teknologi dan kemajuan mereka dalam industri ini tapi keaslian karya masih perlu dijaga."

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::