ATTENTION !!!

Showing posts with label kartunis. Show all posts
Showing posts with label kartunis. Show all posts

Thursday, February 4, 2010

Kreativiti Kartunis Aloy

(Post: Bahasa Melayu)
" Kisah masyarakat, seniman jalanan dan cerita seram. Tiga tema berbeza ini menjadi rutin tugasan kartunis ini. Mengakui komitmen menyiapkan tiga karya berbeza tema kadang kala menguji diri, namun atas nama minat dan tanggungjawab, semuanya dilakukan tanpa bersungut. "

Azaha Abdul Hamid atau nama penanya, Aloy, bergiat serius dalam industri kartun tempatan pada akhir 1980-an apabila ditawarkan berkarya di majalah Batu Api.

Ketika menanti keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Aloy kerap menghantar karyanya ke beberapa majalah humor tempatan. Karya pertama sentuhan Aloy disiarkan di majalah Gelihati dengan bayaran RM350.

Bayaran agak lumayan ketika itu menambahkan lagi minat Aloy untuk berkarya. Demi mengejar cita-cita menjadi kartunis, Aloy berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencuba nasib. Nasib menyebelahinya apabila Aloy diterima bekerja dengan majalah Batu Api.

Selepas dua tahun bersama majalah Batu Api, Aloy bekerja dengan majalah humor kegemarannya sejak bangku sekolah iaitu Gila-Gila.

Mengenai pembabitannya dalam bidang kartun, Aloy berkata, beliau terhutang budi dengan kartunis Juragan yang banyak memberi tunjuk ajar.

Bercerita lanjut, Aloy berkata, beliau juga cenderung menghasilkan kartun editorial dan pernah menyumbangkan karya untuk sisipan pendidikan terbitan Berita Harian iaitu Didik dan Harian Metro.

Pada suatu ketika, Aloy berhenti sebentar dari majalah Gila-Gila dan menghasilkan kartun berunsur politik untuk sebuah penerbitan selama dua tahun.

"Dalam tempoh itu, ada kalanya saya rindu untuk melukis kartun Tauke, Sidek dan Teater Takut. Selepas dua tahun dengan penerbitan terbabit, saya kembali semula ke Gila-Gila dan berkarya hingga hari ini," katanya.

Sejak beberapa tahun lalu, Aloy mengembangkan bakatnya dengan melukis karikatur. Beliau berkarya di bengkel mininya di pusat akuarium, Aquaria KLCC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Kata Aloy, sebahagian besar pelanggannya adalah pelancong yang tertarik dengan lakaran karikatur spontan yang dilakukannya.

Berikut adalah temuramah wartawan bersama dengan Aloy:

Bagaimana perasaan anda apabila berpeluang bekerja di majalah Gila-Gila yang anda minati sejak zaman persekolahan?

Bagi pelukis kartun ketika dulu, bekerja untuk majalah Gila-Gila menjadi impian kerana Gila-Gila adalah antara majalah humor yang hebat. Jadi, saya sangat gembira apabila diterima bekerja dengan pasukan Gila-Gila.

Apa lagi dapat bersama barisan kartunis senior yang selama ini hanya dikenali melalui karya mereka di majalah seperti Azman Yusof, Jaafar Taib dan Don.

Ceritakan serba sedikit mengenai hasil karya anda untuk majalah Gila-Gila?

Saya bermula dengan karya loose dan ilustrasi. Banyak karya saya sering ditolak pada peringkat awal. Lama-kelamaan, saya mula diberi tugas untuk menghasilkan siri kartun dengan watak ciptaan saya.

Mereka mahu saya tampilkan watak bangsa bukan Melayu. Jadi, saya hasilkan watak peniaga cina yang dipanggil Tauke. Dalam kampung yang didiami peniaga Cina itu, kedai Tauke adalah satu-satunya kedai runcit yang ada. Maka, semua penduduk tidak kira bangsa pergi ke kedai ini untuk membeli barang.

Melalui interaksi antara penduduk dan Tauke, pelbagai kisah, peristiwa dan mesej dapat dipaparkan. Dalam siri Tauke, subjek yang sering dijadikan bahan cerita adalah isu semasa dan kepenggunaan.

Misalnya, kisah yang berlaku dalam masyarakat dan isu kenaikan harga barangan yang disampaikan dengan unsur jenaka. Agak sukar untuk menghasilkan karya ini kerana ruang penceritaannya hanya sekitar perniagaan Tauke saja.

Bagaimana dengan satu lagi siri karya anda, iaitu Sidek?

Sejujurnya, saya lebih suka buat siri Sidek. Dari segi sambutan pun, ramai pembaca, terutamanya remaja lebih sukakan Sidek. Idea untuk mewujudkan watak Sidek ini timbul selepas saya melihat penyanyi jalanan (buskers) yang mencari rezeki dengan menyanyi dan bermain muzik di Pasar Seni.

Kisahnya, ada seorang daripada kumpulan penyanyi jalanan ini bernama Sidek. Walaupun tidak mengenali beliau, Sidek bagai memberi idea kepada saya untuk menamakan watak kartun ciptaan saya itu mengikut namanya.

Apa subjek yang diketengahkan dalam siri Sidek?

Melalui Sidek, banyak sindiran terhadap dunia artis dan hiburan tempatan diselitkan. Contohnya, sikap hipokrit segelintir artis serta pelbagai cerita di sebalik dunia artis.

Bukan itu saja, melalui siri Sidek juga, ada masanya saya paparkan Sidek mengajar 'anak buahnya' teknik bermain gitar dan berkongsi maklumat mengenai alat muzik tradisional seperti rebana ubi, kompang, sape dan sebagainya.

Menghasilkan Sidek dan Tauke memberi kepuasan berbeza. Dengan Sidek, saya dapat meluahkan minat saya terhadap bidang muzik. Manakala dalam Tauke, saya dapat gambarkan semangat muhibah antara pelbagai kaum.

Selain Tauke dan Sidek, difahamkan anda turut menghasilkan karya seram?

Itulah... Ada yang kata saya 'sapu' semua, cerita muhibah (Tauke), cerita muzik dan cerita seram. Kelam kabut jugalah hendak menghasilkan tiga jenis karya berbeza pada waktu sama.

Selain Tauke dan Sidek, ada satu lagi siri iaitu cerita berunsur seram yang saya hasilkan untuk majalah Gila-Gila berjudul Teater Takut. Kalau diikutkan, tidaklah apa sangat Teater Takut ini. Tapi mungkin kerana pembaca kita minat dengan siri seram, sebab itulah ramai yang mengikuti siri ini.

Bagaimana proses kerja anda dan siapa kartunis yang banyak memberi inspirasi?

Saya lebih senang melakukan kerja pada waktu malam, selalunya selepas jam 9 malam kerana tidak banyak gangguan. Saya juga lebih suka menyiapkan kerja di rumah. Selalunya, proses kerja akan lebih lancar apabila sudah hampir dengan deadline.

Saya tidak mendapat inspirasi daripada mana-mana kartunis tertentu saja. Pada saya, setiap rakan kartunis yang sama-sama bekerja dalam bidang ini memberi inspirasi kepada saya. Ini kerana setiap daripada mereka mempunyai gaya, kelebihan dan keistimewaan masing-masing.

Apa perbezaan dan kepuasan antara melukis kartun dengan melukis karikatur?

Dalam melukis kartun, selalunya kita ‘pecah kepala’ memikirkan idea untuk karya yang akan dibaca. Untuk karikatur pula, cabarannya ialah kita perlu melukis wajah pelanggan yang ketika itu duduk berdepan dan melihat proses kerja kita secara live.

Selain itu, apabila melukis karikatur, kita terpaksa berdepan dengan ragam dan kehendak pelanggan yang bermacam-macam. Ada yang tahu menghargai dan sebaliknya. Malah ada yang cerewet dan tidak mengerti konsep karikatur yang sebenar.

Banyak pengalaman baru saya peroleh. Sekarang, saya sudah biasa dengan pelbagai ragam manusia dan mudah menyesuaikan diri.

INFO Aloy:
Nama: Azaha Abdul Hamid
Tarikh lahir: 13 Februari 1967
Umur: 43 tahun
Asal: Batu Kurau, Perak.
Blog: karikaturdanaku.blogspot.com

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 30, 2009

Otai Kartun - Zainal Buang Hussein

(Post: Bahasa Melayu)
"Karya Zainal - baik kartun, novel atau lukisan cukup diminati ramai. Malah sebahagian besar peminat kartunis ini masih setia mengikuti perkembangan Zainal biarpun beliau sekarang tidak seaktif dulu."

Siri lukisan kartun seperti Kutu, Wak Punk, Tong Kosong serta novel berjudul Debu-Debu Kasih, Gelombang, Kasanova dan Serakah cukup sinonim dengan insan seni bernama Zainal Buang Hussein.

Zainal berkata, aktiviti seninya ketika ini banyak tertumpu kepada lukisan. Kata Zainal, sepanjang perjalanan dalam bidang seni yang diceburinya sejak bangku sekolah, beliau sering bereksperimen dengan bakat seni yang dimilikinya.

Disebabkan itulah, karyanya tidak terbatas kepada seni visual seperti ilustrasi, kartun dan lukisan semata-mata sebaliknya diperluaskan kepada penulisan novel.

Cerita Zainal, sejak di bangku sekolah lagi minatnya cenderung ke bidang seni. Mengimbau kenangan pada 'fasa permulaannya', Zainal berkongsi rahsia, tempat pertama yang dijadikan 'galeri' lukisannya ialah reban ayam di sebelah rumah. Di situlah Zainal menggantung dan mempamerkan semua lukisan yang dihasilkannya.

Zainal yang sudah hampir 40 tahun bergelumang dalam bidang seni, berkongsi faktor membuka matanya untuk menjadikan seni sebagai profesion.

"Ketika belajar di sebuah sekolah berasrama penuh di Jitra, Kedah, saya terbaca sebuah buku yang menghimpunkan koleksi lukisan pelukis tersohor Indonesia yang dimiliki bekas Presiden Indonesia, Soekarno serta buku yang mengisahkan mengenai Picasso dan Rembrandt.

"Saya tidak pernah terfikir, seorang pelukis boleh berjaya, diminati dan disanjung hingga tahap begitu. Dari situlah terdetik hati saya untuk lebih serius dalam bidang ini," katanya.

Selepas tamat sekolah, beliau sempat menimba pengalaman sebagai pengilustrasi di beberapa syarikat sebelum berkhidmat dengan Creative Entreprise Sdn Bhd (CESB).

Di bawah CESB, beliau bersama pelukis seperti Jaafar Taib dan Azman Yusof menjadi pelopor penerbitan majalah lawak Gila-Gila. Pembabitan mereka menyemarakkan lagi industri seni kartun tempatan yang sebelum itu dipelopori kartunis lebih senior seperti Rejabhad dan Datuk Lat.

Zainal masih ingat, kulit muka depan majalah Gila-Gila pertama yang dihasilkannya. Beliau menampilkan karikatur pelakon yang sedang popular ketika itu, iaitu AR Badul yang muncul dengan filem baru.

Selain karikatur pelakon itu, Zainal turut menyelit lukisan kereta dalam lakaran berkenaan. Imej kereta dan motosikal sering menghiasi lukisan kartun yang dihasilkan beliau, bagai sudah menjadi identiti karya kartunnya.

Ketika hendak memulakan Gila-Gila dulu, Jaafar sudah pun ada identiti kartunnya iaitu haiwan dan alam semula jadi.

"Sejak remaja lagi, saya suka membaca novel. Saya sukakannya kerana bagi saya, novel merakam sejarah. Pembaca novel dapat masuk ke dalam latar masa cerita yang dihasilkan novelis dan menyelami kisah dan imaginasi mereka."

"Maklumlah, dulu bukannya ada pilihan sangat dalam bidang pekerjaan. Selepas tamat sekolah, saya ada menerima tawaran untuk menyertai pegawai kadet tentera."

"Tidak pasti sama ada untuk menerimanya atau meneruskan cita-cita mencari pekerjaan dalam bidang seni, saya merujuk kepada rakan saya yang sedang berkhidmat dengan angkatan tentera ketika itu."

"Beliau katakan kepada saya, tidak perlulah masuk tentera kerana saya mempunyai bakat dalam bidang seni dan lebih baik saya teruskan saja cita-cita saya dalam bidang ini. Katanya, takut kalau-kalau saya bosan dengan latihan ketenteraan yang perlu dijalani."

"Bercakap mengenai ketelitian dalam hasil kerja, saya masih ingat lagi, pelanggan saya, seorang individu korporat yang meminta saya melukis potret beliau dan keluarganya sebelum ini."

"Beliau hanya mengambil lukisan berkenaan selepas 25 kali saya tunjukkan kepadanya dan setiap kali ditunjuk, ada saja yang tidak kena pada pandangannya. Ini menunjukkan, soal ketelitian juga banyak menerima pengaruh daripada faktor keadaan dan permintaan terhadap sesuatu karya yang dihasilkan itu."

"Untuk menjadi seorang yang teliti dalam berkarya, ia memerlukan masa dan diasah menerusi latihan dan pengalaman."

Industri kartun di Malaysia sudah berkembang. Ini dapat dilihat daripada pengukuhan pelbagai watak kartun yang masih menjadi perhatian penggemarnya, biarpun dari segi penjualan majalah lawak sudah menurun.

Negara kita mempunyai ramai kartunis berbakat yang memiliki hidden asset masing-masing. Itu yang perlu kita jana dengan cara pemasaran dan medium yang betul serta berkesan.

Selain itu, industri seni tempatan juga amat memerlukan masyarakat untuk memberi sokongan penghargaan yang sewajarnya supaya industri ini dapat dibawa ke tahap yang lebih tinggi seperti industri luar.

Jika tidak, sampai bila-bila pun bakat seni kartunis atau pelukis atau penggiat seni yang ada dalam negara kita serta industri ini akan berada di tahap sama.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Aku Budak Minang - Kartunis Ujang

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya mengumpul RM1 juta pertama ketika berusia 30 tahun."

Selama lebih 25 tahun mencipta fenomena dalam dunia kartun tempatan, Ujang tidak perlu diperkenalkan lagi. Watak kartun yang dicetuskan personaliti ini membesar seiring kelompok peminatnya sendiri.

Watak kartun lakaran kartunis tersohor ini iaitu Ujang, Atuk, Din Beramboi sehinggalah Usop Sontorian mekar subur hingga peminat ciliknya terus setia menantikan kemunculan setiap watak dalam meniti alam kedewasaan.

Sambil membuka rahsia, watak Ujang itu lahir dalam dirinya waktu membesar sebagai anak Minang dengan pegangan kuat adat pepatih di Negeri Sembilan.

"Watak Ujang Senang sendiri wujud ketika saya di bangku sekolah lagi," akui Ujang yang pada saat kegemilangannya bergelar jutawan pada usia 30 tahun.

Ujang mula berkarya pada usia 17 tahun di majalah Gila-Gila. Berkhidmat bersama majalah Gila-Gila hampir 10 tahun (1984-1993) sebelum berkarya semula sejak kira-kira tiga tahun lalu.

"Saya kembali berkarya di majalah Gila-Gila kira-kira tiga tahun lalu. Pada masa sama, saya menghasilkan drama televisyen Aku Budak Minang, Atuk dan Aca. Saya juga sibuk menjadi salah seorang anggota panel projek Sekolah Seni anjuran Kementerian Pelajaran membabitkan pelajar sekolah menengah."

Antara karya ciptaan Ujang yang popular ialah Aku Budak Minang, Atuk, Jibam, Aca, Intelligent Blues Club (IBC), Usop Sontorian.

Ujang juga menulis novel iaitu Jibam, Cinta Terakhir dan Fiona dan pernah menubuhkan majalah humor, Ujang.

Ujang masih lagi meneruskan legasi dunia kartun sebagai Pengurus Promosi di Creative Enterprise Sdn Bhd. Karya tersohornya, Atuk masih boleh dihayati sehingga kini di majalah Gila-Gila.

"Selain bidang kartun, saya juga mengendalikan perkhidmatan bot bagi kaki pancing di Tasik Kenyir," tambahnya lagi.

INFO:
Nama: Ibrahim Anon
Nama komersial: Ujang
Umur: 43 tahun
Tarikh lahir: 18 Oktober 1965
Tempat lahir: Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Sumber: Berita Harian Online
Foto:
blog JiwaTempatan

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, October 14, 2009

Kartunis Ram

(Post: Bahasa Melayu)
"Permulaan bekerja di majalah Humor memberi latihan yang baik untuk saya kerana di situ kami perlu hasilkan kartun tanpa dialog. Apabila kurang dialog, seseorang kartunis perlu lebih menekankan kepada aspek ilustrasi. Sebagai orang baru, mentor seperti Lee Inas, Don dan Fatah banyak memberi tunjuk ajar."

Cuti sakit akibat demam campak rupa-rupanya membuka jalan personaliti ini mencipta nama dalam dunia kartunis.

Ketika itu, tempoh bercuti yang agak panjang dimanfaatkan Ramzahurin Noutwil atau Ram dengan menghantar karya kepada majalah Gila-Gila.

Tidak disangka-sangka, walaupun kali pertama mencuba nasib, karya Ram disiarkan dalam majalah humor popular itu.

Minat dalam bidang kartun tercetus dalam diri ketika majalah Gila-Gila berada di puncak populariti. Seperti kebanyakan remaja lain pada era itu, Ram adalah antara peminat setia majalah Gila-Gila.

"Bakat melukis saya boleh dikatakan ada, tapi tidaklah hebat sangat. Tapi kerana kesukaan terhadap kartun dalam majalah itulah yang membuatkan saya mengasah bakat melukis kartun sedikit demi sedikit," kata Ram yang popular dengan siri Cerita-Cerita Pak Johar, Mat Kuyup dan Don Parasit.

Menceritakan soal karya sulung yang tersiar di Gila-Gila, Ram berkata, karyanya itu terpilih untuk disiarkan dalam ruangan bakat baru. Kolum ini kata Ram, menjadi kolum impian semua orang yang mahu kartunis. Sebaik karyanya tersiar, Ram terus menyumbang kartunnya kepada majalah Gila-Gila.

Terus bercerita, Ram berkata, mungkin sudah rezekinya, pada suatu hari, beliau dipanggil pengurusan Creative Enterprise untuk menghadiri sesi temu duga sebagai kartunis untuk majalah Humor. Tawaran ini nyata tidak dipersiakan Ram.

"Saya masih ingat membawa semua karya kartun termasuk yang dihasilkan ketika saya demam campak sewaktu ditemu duga menjadi kartunis."

"Saya tidak pernah terfikir cita-cita menjadi kartunis akan menjadi realiti. Tetapi, apabila saya menghasilkan karya awal-awal dulu, saya tahu saya mampu melakukannya malah meletakkan harapan supaya karya saya diterima," katanya mengimbau kenangan silam menjadi kartunis.

Antara kartunis yang disukainya dulu termasuklah Lat, Kerengge dan Lee Inas kerana dalam karya mereka banyak peristiwa yang ditampilkan seolah berkaitan dengan diri sendiri selain timbul rasa gembira setiap kali membaca karya mereka.

Katanya lagi, "Saya bukannya jenis orang yang mudah memperoleh idea. Oleh itu, saya terpaksa buat banyak benda untuk menjana idea. Biasanya, saya akan cuba mendapatkannya menerusi pembacaan, selalunya melalui akhbar."

"Saya akan gunakan isu semasa yang ada dalam akhbar, olah sedikit dan paparkan dalam karya. Kadangkala apa yang kita nak suarakan kepada orang ramai kita boleh selitkan dalam karya."

"Apabila diperhatikan sekarang, kebanyakan generasi kartunis baru cenderung mengikut gaya kartun luar negara. Bukannya tidak boleh, saya pun baca juga kartun dan komik dari Jepun."

"Tapi, mengapa perlu mengikut cara mereka sedangkan kita mempunyai ciri, gaya dan identiti kita sendiri. Kita boleh contohi teknik, teknologi dan kemajuan mereka dalam industri ini tapi keaslian karya masih perlu dijaga."

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, June 2, 2009

Blog Ilustrasi EMILAYUSOF

(Post: Bahasa Melayu)
"Buktinya, bilangan pengunjung dalam talian telah pun mencecah lebih daripada 236,000 setakat ini. Ia satu angka yang cukup menterjemahkan populariti tuan empunya badan."

Kanak-kanak perempuan itu comel dan bertocang dua. Berwajah bujur dan berseluar dalam di luar.

Pada wajahnya terpampang satu perasaan puas. Dia puas mungkin kerana dapat meniru gaya idola hati iaitu Superman.

Di atas bajunya tercatat Kapten Emot.

Ya, inilah Adik Emot cetusan idea kecil pelukis sambilan, Nor Emila Yusof, 41.

"Emot dan seorang lagi watak, Nora, yang berambut panjang mengurai ialah dua karakter ciptaan dan kegemaran saya."

"Apabila saya membandingkan gaya lukisan dahulu dan sekarang, memang ada banyak perubahan. Jika dahulu kebanyakan karakter bermata besar dan kepala kecil, sekarang mereka lebih cenderung ke arah mata kecil," katanya sambil tertawa besar.

Seingat Emila, satu-satunya pendidikan formal subjek seni yang pernah diperoleh setakat ini hanya di sekolah rendah dan menengah.

Selama lebih sedekad bekerja dalam unit grafik dunia korporat, hati kecil Emila terdetik, sampai bilakah dia ingin terus duduk menghadap komputer, mereka letak bahan yang sama?

Persoalan itu akhirnya menemui jawapan apabila dia membuat keputusan meninggalkan segala-galanya dan menjadi 'bos' sendiri.

"Pada Ogos 2007, saya berhenti kerja dan melakukan kerja sambilan. Keputusan itu juga diambil supaya saya mempunyai masa untuk menjaga anak," katanya yang pernah melakukan pelbagai kerja sebelum menceburi bidang seni.

Jelas Emila, biarpun bekerja sambilan, memiliki kemahiran membina hubungan sangat penting. Pengalaman bekerjasama dengan agensi tertentu termasuk dengan pihak percetakan telah melancarkan kerja-kerja ilustrator sambilan sepertinya.

Justeru, sebelum berhenti daripada kerjaya korporatnya, dia sudah mula memanfaatkan kelebihan blog sebagai platform membina rangkaian kenalan.

Blog berjudul Emila's Illustrated Blog ini biarpun baru berusia lebih dua tahun, tetapi sudah ada himpunan peminatnya sendiri.

Gemar menggunakan cat air berwarna lembut untuk kebanyakan karakternya, dia biasanya akan memberikan sentuhan akhir dengan penggunaan pensel warna.

"Itulah gaya seni saya. Contohnya, lepas sapu cat air untuk warna latar dan dibiarkan kering, saya akan guna pensel warna bagi memberi tekstur pada rambut, baju dan sebagainya," katanya yang meminati warna oren dan biru.

"Kawan-kawan terpesona dengan Dolly dan syorkan agar saya buat bisnes daripadanya. Jadi, awalnya saya cuma kenakan bayaran AS$2 (RM7) setiap satu dan responsnya cukup memberangsangkan. Setakat ini, lebih daripada 150 kartun Dolly telah dilukis," katanya sambil memberitahu harga setiap Dolly telah dinaikkan sehingga AS$5 (RM17.70) sejak awal tahun ini.

Pelanggannya datang dari serata dunia dengan sebilangan besarnya dari Malaysia, Amerika Syarikat dan Britain.

Jelas Emila, untuk mendapatkan satu Dolly yang dibuat khas (custom-made), pelanggan hanya perlu mengirimkan gambar mereka secara email. Ini bagi membolehkannya menentukan karakter dan wajah Dolly yang mereka inginkan.

Biarpun kecanggihan teknologi membolehkan dia menerima tempahan merentasi benua, katanya, pelanggan luar negara lazimnya boleh dipercayai. Tidak timbul soal ditipu.

Sebaliknya, pengajaran terbesar pernah diterima Emila sepanjang bergelar seorang freelancer adalah apabila dia ditipu oleh kawan baik sendiri.

Berusaha melupakan insiden hitam itu, pelukis serba boleh ini juga seorang jurugambar berbakat. Anak kelahiran Raub, Pahang ini sering merakamkan gambar bagi keperluan rekaan kulit buku yang dikomisenkan kepadanya.

Antara yang memberinya 'mandat' mereka kulit buku termasuklah syarikat Wira Bukit Sdn. Bhd., agensi milik sasterawan negara, Datuk A. Samad Said.

Sebelum memutuskan gaya persembahan kulit buku yang ingin disampaikan, Emila lazimnya akan membaca manuskrip terlebih dahulu.

"Saya perlu dapatkan perasaan itu dahulu. Lepas itu, baru rancang rekaan kulit buku dan pergi ambil gambar. Misalnya, buku Keledang dan Dari Salina ke Langit Petang, semua ini bertemakan alam sekitar. Memandangkan Pak Samad pun harapkan tema alam, saya beri motif yang diperlukan," jelasnya yang mengagumi karya pelukis seperti Beatrix Potter, Helen Oxenbury dan Cicely Mary Barker.

Pada tahun depan, Emila akan menjengah ke Bologna, Itali untuk menghadiri Pameran Buku Kanak-kanak.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::