ATTENTION !!!

Showing posts with label nelayan. Show all posts
Showing posts with label nelayan. Show all posts

Tuesday, September 8, 2009

Pembuat Bubu Kuala Gula

(Post: Bahasa Melayu)
"Beliau mengakui pendapatan sampingan daripada membuat bubu itu membantu menambah pendapatannya kerana nasib nelayan sepenuh masa tidak menentu, banyak bergantung kepada musim dan cuaca."

Di sepanjang jeti kawasan perkampungan nelayan Kuala Gula, Taiping, Perak kelihatan deretan ratusan bubu kayu dipasang jaring. Susunannya kemas, sudah dibersihkan dan bersedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Kelihatan cukup ringkas dan agak ringan tetapi usaha membuat bubu tidak semudah disangkakan kerana ia memerlukan ketelitian serta kemahiran tertentu bagi memastikan perangkap ikan itu berfungsi sebaik saja ia mencecah lautan.

Seorang pembuat bubu, Samad Atan, 41, adalah antara puluhan nelayan di Kampung Tersusun Kuala Gula yang memiliki kemahiran itu.

Berpengalaman lebih 25 tahun sebagai nelayan dan pembuat bubu, Samad menjelaskan kerja itu cuma dilakukan ketika waktu lapang jika tidak turun ke laut menangkap ikan atau ketam kerana ia bergantung kepada musim.

Menariknya, bubu kecil berbentuk segi empat itu hanya dikhaskan untuk menangkap ikan benih atau anak ikan yang dijual kepada penternak sangkar terutama ikan kerapu dan jenahak yang sentiasa mendapat permintaan tinggi di pasaran.

Bagi Samad, walaupun kerja itu kelihatan mudah tetapi ia sebenarnya memerlukan ketepatan memotong saiz jaring, kemahiran menjahit jaring untuk dipasang pada rangka kayu serta skil membina perangkap di dalam bubu.

"Biasanya saya akan menggunakan jaring bersaiz satu inci, memang sesuai untuk dijadikan bubu. Jaring ini dibeli mengikut kilogram (kg) dengan harga RM17 sekilogram. Jaring sebanyak itu boleh dijadikan 10 bubu."

"Jaring yang siap dipotong mengikut saiz standard bubu akan dijahit dan dipasang pada rangka kayu serta diikat tali plastik. Setiap gulung tali berharga RM12 itu boleh digunakan untuk mengikat 30 bubu," katanya.

Sebaik saja proses memasang jaring pada rangka kayu selesai, setiap bubu akan dipasang batu bata yang dibelah dua di dalamnya. Bata itu digunakan sebagai pemberat bertujuan memastikan bubu itu tenggelam jika dicampakkan ke dalam laut.

Uniknya, penggunaan bubu jenis ini tidak menggunakan sebarang umpan dan nelayan cuma perlu meletakkannya ke dalam sungai atau laut. Anak ikan sebesar tiga inci hingga sebesar tangan tangan orang dewasa akan masuk dan terperangkap di dalamnya.

"Bubu itu boleh bertahan hingga dua tahun jika digunakan secara kerap. Tetapi dengan syarat ia mesti dijaga elok, jangan biarkan bubu terdedah kepada panas, mesti ditutup atau diletakkan di tempat berbumbung," katanya.

Samad yang juga nelayan pantai menjelaskan, kebiasaannya nelayan tempatan akan menggunakan bubu itu untuk menangkap ikan ketika musim 'air mati' iaitu tiada pergerakan arus. Ketika ini, ialah musim paling sesuai menahan bubu ikan.

Musim air mati biasanya berlaku dua kali sebulan dan dalam tempoh peralihan itu, nelayan lebih menumpukan kepada kerja menangkap ketam nipah di sepanjang muara dan pantai berhampiran hutan nipah.

"Bubu untuk laut dalam lebih besar dan memerlukan pemberat yang lebih besar kerana arusnya agak kuat. Bubu itu biasanya dipasang dan dibiarkan selama 24 jam sebelum diangkat pada keesokan harinya," katanya.

Setiap hari, Samad mampu menyiapkan 10 bubu benih ikan yang dijual itu dijual pada harga RM10 seunit dan kebanyakan pembelinya nelayan tempatan. Beliau sendiri turut menggunakan bubu itu untuk menangkap benih ikan.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 17, 2009

Jeruk Beremi Persatuan Nelayan Kuala Kedah

(Post: Bahasa Melayu)
"Tumbuhan ini dibeli daripada nelayan yang mengutipnya di persisir pantai sebelum diproses oleh Persatuan Nelayan Kuala Kedah. Dengan cara itu nelayan tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada hasil tangkapan di laut untuk menyara keluarga."

Siapa sangka pokok yang hidup meliar di persisiran pantai dan tidak diendahkan mampu memberi pelbagai khasiat kepada manusia dengan menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.

Lebih menarik pokok yang tumbuh meliar di dalam air dan atas tanah itu dikatakan mampu menghilangkan ketagihan merokok selain dapat menyembuhkan asma.

Portulaca atau lebih dikenali sebagai pokok beremi sebelum ini dijadikan ulam yang diyakini dapat memberi pelbagai khasiat di kalangan nenek moyang kita yang tinggal berhampiran laut.

Namun, peredaran zaman telah melenyap dan melupakan kita kepada khasiat warisan itu.

Menyedari hakikat itu, Pengurus Persatuan Nelayan Kuala Kedah, Mohd. Rosli Ismail, mengambil inisiatif untuk mengkaji khasiat sebenar tumbuhan tersebut sebelum mempopularkan semula pokok beremi.

Melalui kajian yang dilakukan selama tiga tahun, akhirnya sejenis produk yang dinamakan jeruk beremi dihasil dan dipasarkan melalui agensi kerajaan dan swasta.

Penyelidikan itu juga mendapat sokongan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Mohd. Rosli, 56, projek menghasilkan jeruk daripada pokok beremi itu juga merupakan inisiatif Persatuan Nelayan Kuala Kedah untuk menambahkan pendapatan para nelayan.

"Pokok beremi memang kaya dengan khasiat dan tanaman ini pula banyak tumbuh di sekitar kawasan pesisir pantai di sekitar Kuala Kedah."

"Dengan menggunakan kekayaan alam semula jadi yang ada produk itu boleh menjana sumber pendapatan sampingan kepada para nelayan," katanya.

Jelasnya, idea menghasilkan produk berkenaan wujud sejak dia melihat orang tua di kampungnya mengutip pokok beremi atau lebih dikenali dengan nama pucuk sepit atau pokok remilang untuk dijadikan ulam-ulaman.

"Saya ada juga mendengar cerita daripada mulut ke mulut tentang khasiat pokok beremi terutama keberkesanan pokok ini untuk menyembuhkan penyakit," ujarnya.

Setelah dikaji secara mendalam, beliau mendapati pokok beremi mempunyai khasiat yang baik dalam merawat penyakit pada paru-paru, asma dan menghilangkan ketagihan merokok.

Katanya, memandangkan pokok beremi mudah layu dan rosak seperti sayur-sayur yang lain, beliau memutuskan untuk mengawet tanaman itu sebelum dijual.

Dengan menjadikan pokok beremi sebagai jeruk beliau dapat mengekalkan nutrien sebenar pokok itu dalam jangka masa yang lebih panjang.

Beliau memberitahu, pokok beremi diawet dengan menggunakan bahan seperti cuka, garam serta gula dan melalui proses menjeruk. Ia dapat mengekalkan kerangupan, tekstur dan rasa tumbuhan ini seperti asal.

Jelas Mohd. Rosli, sehingga kini seramai 20 nelayan terlibat dengan proses mengutip pokok beremi dan pihaknya yakin bilangan itu akan bertambah jika produk berkenaan mendapat sambutan.

"Bagi orang ramai yang ingin mencuba jeruk beremi ini mereka boleh mendapatkannya di Persatuan Nelayan Kuala Kedah atau membelinya di cawangan HPA Sdn. Bhd. yang turut memasarkan produk ini," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, June 12, 2009

Wanita Kental Nelayan Ketam

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukannya tidak mencuba memohon bantuan menyara anak yatim daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi jawapan sinis mengatakan nelayan sekarang sudah senang membuatkan ibu tunggal ini nekad, jika ditakdirkan rezekinya di laut, di situlah dia akan mencurah keringat selagi berdaya."

Di sebalik celah hutan pokok bakau di muara Kuala Gula, Perak sebuah bot berwarna biru bernombor pendaftaran PKS 3616 menyusur perlahan meredah sungai.

Kelihatan ibu tunggal, Rofeah Atan, 42, gagah mendayung bot meredah mata hati terik mencari rezeki.

Ditemani anak lelakinya, Mohd Rashidi Mahadi, 20, ibu kepada tujuh anak itu tersenyum melihat bot kami menghampiri mereka.

Mereka berdua sedang menangkap ketam nipah menggunakan bubu yang dikenali penduduk tempatan sebagai takui.

Muka dan badannya dibasahi keringat, itulah tanda kesungguhannya mencari rezeki halal sejak kematian suami dua tahun lalu. Bot itu mempunyai enjin tetapi nelayan tempatan lebih suka mendayung ketika mengangkat bubu kerana ia menjimatkan penggunaan petrol.

Mereka adalah sebahagian daripada puluhan wanita gigih Kuala Gula yang bekerja sebagai nelayan pantai. Agak mengejutkan kerana sebelum ini jarang diketahui kerjaya itu turut dipelopori kaum hawa yang lebih dikenali sebagai suri rumah.

Perkampungan nelayan di Kampung Tersusun, Kuala Gula, terletak kira-kira 50 kilometer dari Taiping, Perak itu menyimpan 1,001 cerita suka duka hidup sebagai nelayan.

Bagi Rofeah, jika tidak bekerja, tiada sesiapa akan memberi makan kepada anak-anaknya. Semua tujuh anaknya berusia tujuh hingga 25 tahun masih memerlukan perhatiannya, perlu dijaga dan disediakan makanan.

"Tak susah sangat nak jadi nelayan, kena panas, hujan atau mendayung bot kami sudah biasa. Kalau dah biasa hidup susah, tak jadi masalah. Jadi nelayan ni, semua kena tahu buat sendiri, kena baiki jaring, baiki bot, tangkap ketam, baru boleh hidup. Syukurlah saya ada bot sendiri," katanya.

Di jeti Kuala Gula, dua rakan karib, Norasyikin Hussein, 30, dan Normala Mohd Noor, 30, baru saja mendaratkan bot mereka ke jeti. Mereka juga nelayan pantai yang mendapat lesen daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan persatuan nelayan.

Ketika rakan seusia lebih suka bekerja mendapatkan gaji bulanan secara tetap, mereka memilih cara hidup mencabar tetapi penuh dengan ketenangan dan keseronokan kerana hidup nelayan semuanya bergantung kepada diri sendiri, jika kuat berusaha, Insya-Allah rezeki akan bertambah.

Norasyikin juga ibu tunggal yang sudah tiga tahun menjadi nelayan untuk menyara dua anak kecil berusia tiga dan enam tahun.

"Dulu saya pernah kerja kilang di Pulau Pinang tetapi kerja nelayan lagi bagus, hati senang, dekat dengan keluarga. Anak pun dah masuk tadika, siapa yang nak tanggung," katanya yang tidak tahu berenang dan cuma mengharapkan kepada pelampung jika berlaku kecemasan.

Uniknya, kedua-dua rakan karib itu cuma tahu menangkap ketam, tetapi tidak mahir mengikat ketam untuk dijual kepada peraih. Tugas itu diserahkan kepada ayah Normala yang membantu kerja di jeti dan mereka pula membantu membersih dan menyusun pukat ikan sementara menunggu kerja mengikat ketam selesai.

Ketika kami hampir menamatkan perbualan, penduduk mencadangkan kami menunggu satu lagi bot yang belum pulang. Bot dinaiki wanita besi digelar 'Mak Long'. Usianya sudah menjangkau 62 tahun, tetapi masih gagah mencari rezeki.

Sebaik Mak Long tiba di jeti, warga emas yang mempunyai tiga cicit dan 20 cucu ini tersenyum lebar dan tegasnya, sudah 50 tahun beliau bekerja sebagai nelayan.

Bagi wanita di perkampungan nelayan di Kampung Tersusun, Kuala Gula, Perak, tanggungjawab membantu suami mencari rezeki dengan bekerja sebagai nelayan adalah perkara biasa yang menjadi rutin harian penduduk tempatan.

Jika ada yang tidak begitu yakin untuk turun ke laut, mereka lebih banyak membantu di darat melakukan kerja sampingan, asalkan mampu menambah pendapatan.

Seorang nelayan wanita yang lebih dikenali sebagai 'Mami Jarum' Rahmah Awang, 46, berkata beliau sudah berkecimpung dalam kerjaya itu sejak 30 tahun lalu dan selepas mendirikan rumah tangga dengan Mohd Zahir Zainon, 44, mereka berganding bahu mencari rezeki.

"Sudah menjadi adat hidup sebagai nelayan, kadangkala pulang tangan kosong. Sehari suntuk di laut, langsung tiada hasil. Kita kena terimalah, sebab ada hari kita dapat banyak rezeki, itu yang Tuhan beri."

"Setakat ini, kami bersyukur dengan rezeki yang ada. Jika turun ke laut, sekurang-kurangnya ringan beban suami, sebab saya pun dah biasa menangkap ketam dan ikan. Itu tak menjadi masalah," katanya yang turut melakukan kerja sampingan menanam benih pokok bakau dan mengupas isi kerang.

Satu lagi pasangan nelayan, Affina Dzul, 20, dan suaminya, Helmi Sam, 26, menyifatkan kerjaya itu umpama sesi bulan madu berpanjangan kerana menghabiskan masa sepanjang masa bersama pasangan tercinta, cuma bezanya mereka bukan mendayung bot menikmati angin petang, tetapi menangkap ketam.

Bagi Affina yang baru beberapa bulan membantu suaminya, kehadirannya cuma sebagai pembantu meringankan beban suami kerana cahaya mata mereka berusia setahun lebih dijaga keluarga sepanjang masa mereka turun ke laut.

"Saya masih baru, banyak kena belajar. Seronok dapat bersama suami mencari rezeki, walaupun penat bekerja, kami tahu susah payah mencari rezeki," katanya.

Tinjauan di sekitar perkampungan itu menemui beberapa wanita yang mengambil upah mengupas kulit kerang di bawah rumah.

Kelihatan tiga wanita, Esah Mat Arab, 65, Rashidah Johan, 33 dan Arbaiah Awang, 40, rancak berbual sambil tangannya lincah mengopek kulit kerang.

Purata upah sehari RM14 sudah memadai bagi mereka sementara menunggu suami dan anak pulang dari laut, sekurang-kurangnya pendapatan itu membolehkan mereka gunakan untuk perbelanjaan harian anak ke sekolah.

Rashidah berkata, setiap kilogram isi kerang yang dikupas, mereka dibayar upah 70 sen dan setiap hari, mereka mampu mengupas kira-kira lapan kilogram isi kerang. Kerang rebus setengah masak itu biasanya dihantar oleh pembekal yang membelinya daripada nelayan berdekatan.

INFO nelayan wanita Kuala Gula:
Pendapatan purata harian: RM80 hingga RM100

Jumlah bubu yang dimiliki: 120 hingga 200 setiap nelayan

Kerja sampingan:
1) Mencari upah menanam anak benih pokok bakau
2) Mengupas isi kerang
3) Memancing ketika musim 'air mati'

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::