ATTENTION !!!

Thursday, April 29, 2010

Jahitan Kain Kapas Zila Kasim

(Post: Bahasa Melayu)
" Kalau sudah minat, apa pun sanggup dibuat. Mungkin itulah gambaran kesungguhan Ruzila Kasim, 34, apabila tidak pernah lekang dengan mesin jahit, majalah-majalah jahitan kreatif, kain kapas, benang dan komputer riba. "

Semua itu adalah keperluan hobinya iaitu menghasilkan pakaian, beg, selimut atau sebarang perhiasan menggunakan kain kapas. Lebih menarik, ilmu yang diperoleh itu tidak pula disimpan sendiri, kerana Ruzila memuatkan segala pengetahuannya di dalam blog miliknya.

Sekiranya anda melayari blog itu, pasti anda teruja melihat kesungguhan wanita tinggi lampai tersebut mengumpulkan sebanyak mungkin maklumat mengenai jahitan kreatif termasuk menyalin kandungan majalah-majalah berkenaan untuk tatapan pembaca blognya.

Semua itu percuma. Pada Ruzila, tidak rugi berkongsi ilmu terutama dengan blogger lain yang mempunyai minat sama kerana mereka boleh bertukar-tukar pendapat dan idea mengenai jahitan kreatif dan menjual produk masing-masing secara dalam talian.

"Setiap hujung minggu saya akan sibuk menyiapkan hasil jahitan, apatah lagi apabila mendapat idea baru atau kaedah-kaedah baru daripada majalah-majalah yang saya beli."

"Selain itu, saya juga akan mengangkut mesin jahit ke rumah orang yang ingin mempelajari teknik jahitan kreatif. Tetapi kelas jahitan terhad pada hujung minggu sahaja memandangkan saya bekerja," kata pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat pemaju itu.

Menurut Ruzila, hobi menjahit timbul sejak tahun 2006 selepas dia terbaca mengenai jahitan kreatif di Internet sebelum mengambil keputusan memasuki kelas jahitan kreatif di Pusat Latihan Kraftangan Epal di Puchong, Selangor.

"Selepas memperoleh sijil jahitan, saya semakin seronok mengisi masa senggang dengan hobi ini dan mula mewujudkan blog khas untuk mengumpulkan segala pengetahuan yang saya ada mengenainya."

"Tetapi, tutorial di dalam blog saya sahaja tidak cukup sekiranya seseorang itu mahu terlibat secara serius di dalam bidang jahitan kreatif. Mereka mesti mendalaminya secara praktikal untuk mahir," katanya.

Jangan hanya disebabkan menjahit adalah satu pekerjaan tradisional, maka ia dilihat sebagai hobi murah. Menurut Ruzila, jahitan kreatif tidak seperti jahitan biasa kerana material yang digunakan berganda mahalnya walaupun hanya semeter kain kapas.

"Untuk menghasilkan jahitan kreatif yang berkualiti dan tahan lama, kain kapas yang terbaik digunakan. Harga kain kapas yang paling murah mencecah RM40 semeter dan kebanyakannya diimport dari Jepun."

"Saya juga memiliki empat buah mesin jahit. Paling murah berharga kira-kira RM3,000 dan paling mahal ialah mesin jahit jenama Bermina dari Switzerland yang saya beli tahun lalu. Harganya RM25,000 serta mempunyai fungsi jahitan sulaman automatik," katanya.

Menurut Ruzila, sebuah beg kain kapas yang dihasilkan boleh mencecah harga RM300 setiap satu, bergantung kepada jenis material dan corak, manakala harga sehelai selimut untuk saiz kanak-kanak paling murah ialah RM150.

"Kain kapas yang berkualiti tidak mudah luntur warnanya atau terbakar apabila diseterika berbanding kain kapas yang murah. Ia juga tidak mudah didapati di kedai-kedai kain biasa tetapi mempunyai pengedarnya sendiri."

"Bagaimanapun, majalah-majalah jahitan kreatif amat mudah didapati di pasar raya Jusco dan kedai buku MPH. Harganya pula tidak mahal jika dibandingkan dengan produk jahitan yang dihasilkan," katanya yang mencadangkan majalah Female, Cutton Friend dan Cucito untuk teori jahitan kreatif.

Tambah Ruzila, walaupun sudah membelanjakan puluhan ribu ringgit, dia masih belum puas berhabis untuk hobinya itu. Dia bercadang untuk membeli sebuah lagi mesin jahit automatik berharga lebih RM30,000 yang sudah lama diidam-idamkan.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

Amy Amira June 26, 2011 at 1:14 AM  

cantik dia jahit,pandai dia jahit :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::