ATTENTION !!!

Showing posts with label teknologi pertanian. Show all posts
Showing posts with label teknologi pertanian. Show all posts

Wednesday, June 15, 2011

Ladang Anggur Sendayan

(Post: Bahasa Melayu)
" Anggur, yang suatu ketika dianggap eksklusif kerana harganya mahal, diketahui hidup subur di negara-negara beriklim sejuk. Bagaimanapun, hasil kemajuan teknologi hibrid membolehkan tumbuhan renek itu menyesuaikan diri dengan cuaca panas di Malaysia. "

Di negara ini, anggur ditanam buat pertama kali oleh Jabatan Pertanian Perlis kira-kira 20 tahun lalu.

Sejak itu, anggur telah menjadi sebahagian daripada tanaman buah-buhan di negara ini termasuk dijadikan pokok hiasan di laman rumah. Walaupun rasa dan teksturnya tidak sehebat anggur import, ia masih dianggap memiliki kelas tersendiri.

Di Ladang Anggur Sendayan, Negeri Sembilan, pokok anggur ditanam secara terbuka seratus peratus dalam skala yang besar iaitu di atas sebidang tanah seluas 10 hektar.

Ladang yang diusahakan sejak tahun 2006 ini dimiliki oleh sebuah syarikat bumiputera, A-Winn Global Market Services Sdn. Bhd. dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sembilan.

Menurut penyelia ladang anggur berkenaan, Saidon Sadri, pihaknya menyediakan persekitaran semula jadi untuk dirasai sendiri oleh pengunjung ladang berkenaan.

"Di negara luar, kebanyakan pokok anggur ditanam di dalam rumah hijau yang dibina untuk mengawal suhu dan keadaan persekitaran demi memastikan hasilnya nanti bermutu tinggi."

"Namun, di ladang ini semua pokok anggur ditanam di kawasan terbuka. Ini sekali gus mendedahkan kepada orang ramai bahawa anggur juga boleh hidup di kawasan beriklim Khatulistiwa," katanya.

Celoteh jejaka berusia 35 tahun ini bagaikan satu ensiklopedia pertanian. Ilmu agro yang dihirup Saidon sepanjang berguru bersama wakil pengusaha dari Thailand bukan calang-calang nilainya.

Baka Siam

Katanya, terdapat empat jenis baka utama anggur di ladang itu yakni Shiraz, White Malaga, Black Pearl dan Black Opal.

Jika ada rezeki, pengunjung boleh merasai sejenis lagi baka anggur hibrid iaitu Black Pink.

"Kesemua jenis anggur itu berbeza dari segi rupa dan rasa. Shiraz mempunyai biji, berwarna kehitaman apabila masak dan rasanya agak masam berbanding anggur jenis lain."

"White Malaga adalah satu-satunya spesies anggur di sini yang berwarna hijau, berbentuk lonjong dan mempunyai rasa yang manis. Setangkai anggur jenis itu pernah mencatat rekod seberat satu kilogram."

"Begitu juga Black Pearl dan Black Opal yang sangat manis rasanya dan biasanya tidak berbiji," ujarnya sambil menceritakan rasa manis Black Pink yang warnanya merah kehitaman dan berbentuk lonjong.

Tambah Saidon, anggur di ladang itu berbuah mengikut giliran dalam empat peringkat. Setiap peringkat melibatkan masa selama kira-kira empat bulan.

Menurut beliau, anggur boleh berbuah sebanyak tiga kali setahun tetapi ia boleh direhatkan dengan memangkas dahannya.

Tempoh rehat itu bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan daya rintangan pokok terhadap penyakit.

"Ketika pokok-pokok direhatkan, baja kesuburan akan ditambah manakala ranting dan daun dipangkas untuk menghasilkan tunas baru," jelas Saidon.

Kata beliau lagi, tunas baru pokok yang dipangkas tadi akan berputik dalam tempoh tiga minggu. Selepas 120 hari, buah-buah anggur yang matang boleh dipungut.

Cabaran utama yang dihadapi sepanjang tempoh pokok anggur berbuah tentunya ancaman penyakit, ulat dan mergastua.

"Burung merah mata dan gembala kerbau paling gemar menghabiskan waktu di ladang ini semasa pokok sedang berbuah."

"Adakalanya penyakit yang disebabkan oleh teritip dan ulat pelombong daun turut menjejaskan hasil anggur," getusnya yang menceritakan ladang itu pernah diserang monyet liar.

Leceh

Selain itu, faktor persekitaran juga menjadi penyumbang kepada kerosakan pokok.

"Jika hujan turun terlalu kerap, daun dan batang anggur akan mereput. Buahnya menjadi berbintik-bintik hitam seolah-olah berkarat kerana sifat berasid anggur yang sensitif kepada air," ujar Saidon.

Saidon tidak menolak dakwaan bahawa anggur susah untuk dijaga, namun jika pemiliknya bijak mengendalikan tanaman itu, ia pastinya mudah sahaja.

"Anggur perlukan tanah yang sentiasa lembap tapi pantang tanah yang boleh menakung air kerana akar serabutnya mudah rosak dan tidak sekuat akar tunjang."

"Tanah yang sesuai untuk penanaman anggur adalah tanah berpasir yang neutral dan senang untuk digemburkan," tambahnya yang juga mencampurkan tanah gambut serta penggunaan batas untuk pokok-pokok anggur.

Beliau mengesyorkan tanah berbukit memandangkan sifatnya yang tidak menakung air. Baja yang sesuai juga amat diperlukan oleh pokok yang sedang membesar.

Baja organik, kata Saidon, adalah yang paling baik kerana kandungan nutrien aslinya yang tinggi berbanding baja kimia.

"Ladang ini menggunakan baja khas yang diproses daripada debu gunung berapi yang diimport dari Thailand selain baja kompos serta bahan buangan daripada haiwan seperti lembu dan kelawar," katanya yang menggunakan nisbah 50 kilogram baja kimia NPK (nitrogen, fosforus dan kalium) untuk setiap sembilan kilogram baja debu gunung berapi.

Pokok anggur perlukan pengairan yang sempurna. Sehubungan itu, penyiraman dilakukan pihaknya sebanyak dua kali sehari iaitu pada awal pagi dan lewat petang.

"Teknik percikan air ke bahagian batas pokok berdekatan dengan batang dibuat selama dua hingga tiga jam setiap hari menggunakan sumber air yang dipam dari tasik buatan di sekitar ladang," jelas Saidon.

Kahwin

Tut dan kahwin adalah antara kaedah yang sering digunakan Saidon untuk menambah bilangan anak pokok anggur.

"Paling cepat anak pokok boleh dialihkan ke dalam beg poli ialah sekitar 10 bulan selepas melalui proses tut atau kahwin," katanya yang jarang menggunakan teknik keratan batang dan semaian biji kerana tempoh pertumbuhannya yang lambat.

Anak pokok akan memanjat selepas berusia sebulan dan buah pertama yang dihasilkan pokok baru biasanya akan berasa masam.

Sebagai alternatif, bagi yang individu yang berminat memiliki pokok anggur sendiri, teknik penanaman secara bongsai digalakkan.

"Kaedah ini hanya menggunakan pasu dan para yang boleh dibina sendiri mengikut saiz dan keperluan," katanya yang turut menjual anak pokok anggur kepada pengunjung di ladangnya.

Ladang Anggur Sendayan dibuka untuk kunjungan pelawat seawal pukul 8 pagi hingga 11 pagi dan 4 hingga 7 petang setiap hari. Ia mengenakan bayaran masuk serendah RM3 bagi kanak-kanak dan RM5 bagi dewasa.

Pengurus Operasi Eksekutif, Ladang Anggur Sendayan, Zaiton Disa menyasarkan bilangan pelawat seramai 200 orang setiap hari.

"Selain orang tempatan, kami juga menerima kunjungan pelancong dari Singapura dan Brunei yang sangat tertarik dengan keunikan Anggur Sendayan," katanya yang turut merancang untuk menambah bilangan pokok anggur yang berjumlah 4,500 batang pokok kini.

Selain itu, pihaknya juga bakal bekerjasama dengan Kementerian Asas Tani dan Jabatan Veterinar untuk memulakan penternakan haiwan berskala sederhana.

"Kita harap dengan adanya perkembangan ini dapat menggalakkan lagi orang ramai untuk singgah di ladang ini sekali gus membangunkan industri pelancongan dalam negara," tuturnya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, March 15, 2011

Traktor Penabur Baris Padi

(Post: Bahasa Melayu)
" Setakat ini sebanyak 741 teknologi telah dihasilkan oleh MARDI sejak tahun 1972 sehingga 2010. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 110 teknologi telah berjaya dikomersialkan melalui perlesenan, perundingan, inkubator, TechnoFund dan public goods. "

Jumlah teknologi produk makanan yang telah diguna pakai oleh usahawan IKS adalah sebanyak 240 jenis daripada pelbagai kluster produk makanan. Ia merangkumi lebih kurang 21 peratus daripada teknologi produk yang ada di MARDI.

Jumlah setiap kluster produk adalah berbeza. Contohnya hasilan ikan ialah 12.5 peratus dan makanan ringan atau snek 28 peratus.

Sebanyak 76 teknologi dijana dalam setahun (tahun 2010) dan tidak kurang 14 peratus dikomersialkan.

Selain inovasi-inovasi terbaru MARDI, satu lagi teknologi yang tidak kurang pentingnya ialah Mesin Penabur Baris Padi Jenis Traktor Untuk Bendang.

Kaedah menanam padi terus berkembang daripada menggunakan kuku kambing bagi mengubah anak benih padi kepada kaedah tabur serak dan terkini mesin tabur dalam baris.

Bagaimanapun teknik tanaman dalam baris yang dahulunya menggunakan tenaga manusia yang mana mesin tersebut perlu dipikul.

Perekanya - Pegawai Penyelidik Prinsipal, Sistem Elektronik dan Bangunan Persekitaran, Pusat Penyelidikan Automasi dan Mekanisasi, MARDI, Dr. Chan Chee Wan telah menaiktaraf mesin berkenaan.

Membandingkan tiga kaedah yang digunakan, Dr. Chan Chee Wan berkata, tabur serak walaupun murah tetapi mempunyai banyak masalah.

Dr. Chan berkata, kaedah tanam secara terus dalam baris banyak digunakan tetapi tidak menggunakan mesin.

"Teknik konvensional memerlukan kos yang tinggi kerana penggunaan tenaga buruh yang banyak."

"Misalnya mencerung memerlukan kos yang tinggi sekitar RM1,000 sehektar manakala tabur serak hanya RM350 sehektar, sementara tabur baris pula memakan belanja RM350 hingga RM400 sehektar," katanya.

Teknik tabur baris menggunakan traktor kecil yang diubahsuai dengan berat antara 350 hingga 500 kg dan ia tidak mudah terbenam di sawah.

Teknik tabur baris menggunakan traktor boleh menanam sehingga enam hektar sehari dengan seorang pekerja.

Manakala teknik mencerung hanya boleh menanam 1.2 hingga 1.5 hektar sehari dengan seorang pekerja.

"Teknik tabur baris juga lebih cepat dan menepati jadual penanaman padi sekarang yang lebih cepat," katanya.

Beliau menjangka penggunaan mesin tabur baris menggunakan traktor yang lebih cepat dengan kos yang rendah membolehkan pesawah mendapat keuntungan yang lebih besar.

Anggaran kos bagi teknik mencerung termasuk pusat semaian seluas 10.11 hektar bagi kawasan sawah 1,600 hektar dengan kapasiti semai tikar sebanyak 500,000 setahun dengan 20 unit mesin memerlukan kos RM8.1 juta.

Jika dibandingkan dengan teknik tabur baris menggunakan traktor bagi kawasan sawah padi seluas 1,600 hektar menggunakan tujuh buah mesin dengan 40 hari bekerja semusim. Ia hanya memerlukan kos antara RM 280,000 dan RM 400,000.

"Ini bergantung kepada kos mesin sekitar RM35,000 hingga RM55,000 seunit oleh syarikat Oryza Mechanique Sdn. Bhd. yang dilesenkan untuk mengkomersialkan mesin tabur baris menggunakan traktor," katanya.

Mesin yang telah diguna pakai di sawah padi di Simpang Empat, Alor Setar, Kedah pada musim yang lalu mendapat sambutan menggalakkan di kalangan petani.

Chee Wan berkata, penggunaan mesin tersebut dapat mengurangkan penggunaan biji benih sehingga 40 hingga 50 peratus.

Selain itu, kaedah tersebut dapat mengurangkan masalah pokok rebah sehingga 80 peratus berbanding tabur serak.

"Keistimewaan kaedah ini dapat dilihat dengan dua petak bersebelahan di mana satu petak ditanam secara tabur serak dan sebelah lagi secara tabur baris menggunakan traktor."

"Padi yang ditanam dengan teknik tabur baris menggunakan traktor hanya lima peratus dijangkiti bena perang berbanding 40 peratus pada petak tabur serak," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, March 11, 2011

Ladang Nanas Kepadatan Tinggi

(Post: Bahasa Melayu)
" Tidak terlintas langsung dalam benak fikiran usahawan Teknologi Maklumat (ICT) ini untuk mengubah haluan kepada bidang pertanian melainkan semata-mata mahu mencuba dan gembira melihat kehijauan bumi yang sentiasa dihargai manusia. "

Tiga tahun lalu, Abu Hassan Man, 51, hanya mahu memastikan tanah di sekitar tempat tinggalnya tidak dibiar semak sebaliknya mahu berbuat sesuatu supaya kawasan di Merbok, Kedah bertukar menjadi ladang nanas terbesar.

Percubaannya tidak sia-sia apabila nanas yang diusahakan menghasilkan buah melebihi tiga kilogram sebiji.

Kejayaan itu tidak berakhir di situ sahaja apabila terbaharu bapa kepada enam anak itu sekali lagi mengejutkan industri nanas negara apabila dia berjaya mengusahakan model baru tanaman nanas secara padat.

Sekali pun ada pihak yang secara sinis menganggapnya sebagai satu yang sukar dipercayai kerana konsep tanaman seperti itu tidak pernah diamalkan oleh mana-mana penanam nanas dan kononnya sukar untuk dilakukan.

Projek perintis tanaman nanas secara padat itu telah membuka mata banyak pihak dan memberi petunjuk bahawa teknologi baharu dalam sektor pertanian tidak lagi boleh kaku tanpa pembaharuan.

Di Kampung Bukit Batu Pahat, Merbok sebanyak 12 hektar tanaman nanas secara padat telah dimulakan sekali pun terpaksa berhadapan masalah kawasan tanah hutan dan serangan musuh liar yang sentiasa mengancam tanaman.

Hal yang sama berlaku di Kampung Bendang Dalam, Tempoyak berhampiran Merbok manakala satu kawasan di Tikam Batu dan Bukit Selambau di Sungai Petani serta Sungai Kob dan Lunas di Kulim.

Abu Hassan tidak pernah mengalah untuk mencuba sesuatu yang tidak pernah dilakukan.

"Saya mahu mencuba sesuatu yang baharu kerana mungkin dapat membuat pembaharuan dalam industri nanas di negara ini," katanya.

Sehingga ini, Abu Hassan telah mengembangkan usaha penanaman nanas di tujuh kawasan dengan keluasan keseluruhan melebihi 70 hektar.

Ini tidak termasuk di kawasan Kulim sebanyak 70 ekar yang sedang dibersihkan.

Menariknya, usaha Abu Hassan dilakukan secara berperingkat-peringkat dalam memastikan pengeluaran buah juga tidak terputus bekalan berikutan pengusaha ini sudah dikenali sebagai saudagar nanas.

"Ada di antara kawasan sedang dibersihkan manakala ada juga yang sedang ditanam sementara yang lain sudah mengeluarkan hasil menunggu masa sahaja untuk dipetik," ujarnya.

Menurut beliau, hebatnya model baharu tanaman nanas kerana sebanyak 82,000 pokok dapat ditanam dalam keluasan sehektar tanah berbanding dengan cara konvensional hanya sebanyak 30,000 pokok sahaja dapat ditanam.

Mengenai tanaman padat, beliau yakin tentu ada penanam nanas akan terfikir bagaimana kepadatan pokok mampu membolehkan kerja-kerja membaja,meracun, dan memetik buahnya dapat dilakukan.

Abu Hassan yang tidak pernah kedekut ilmu itu menjelaskan kesemua proses tersebut dilakukan menggunakan jentera 100 peratus yang berfungsi dengan cepat dan pantas.

Kejayaan tersebut memberi petunjuk baru kepada Jabatan Pertanian dalam memberi suntikan semangat dan meningkatkan imej dalam sektor pertanian.

Jabatan Pertanian yang melihat perkembangan itu telah mengambil langkah bijak dalam membantu Abu Hassan untuk membeli jentera moden dalam menghasilkan produk yang boleh dibanggakan dalam industri nanas negara.

Mega difahamkan jentera tersebut disediakan oleh Jabatan Pertanian sebagai inisiatif kepada petani moden itu menggunakan teknologi terbaru.

Katanya, penggunaan jentera meliputi kerja-kerja membaja, meracun, memberi hormon (ethrel) menguatkan tangkai (planofit) dan menyegarkan buah (fruiton) antara teknologi moden yang digunakan menjadikan ladang nanas ini termoden setakat ini.

Menurutnya, kelebihan jentera moden itu berfungsi dengan hanya 500 liter air atau racun memerlukan masa hanya tujuh minit.

Manakala bagi satu hektar mengambil masa kira-kira satu jam.

Tanaman secara padat itu tidak memerlukan batas sebaliknya setelah tanah siap di gembur benih boleh terus ditanam sekali gus menjimatkan masa dan kos membajak.

Katanya, tanaman cara itu juga dapat mengurangkan hakisan tanah dan mengelak rumput tumbuh dan mengurangkan beban pengawasan dan kawalan rumput akibat tanaman dilakukan secara padat.

Jelasnya, tanaman konsep itu juga mampu mengelak ancaman binatang buas seperti babi dan kera dari memasuki dan merosakkan tanaman.

Projek yang diusahakan penanam moden itu telah membawa kepada perubahan landskap tanah terbiar.

Ini kerana Abu Hassan sendiri telah mempelawa pemilik tanah untuk memajak kepadanya bagi dijalankan projek tanaman nanas ini.

Anak jati Merbok itu turut menyasarkan untuk membuka kilang sendiri bagi memproses nanas secara komersial sekiranya dia mampu membuka sebanyak 200 hektar ladang nanas di Kedah.

"Buat masa ini saya belum berani untuk membuka kilang kerana pengeluaran buah yang ada hanya mampu dijual kepada peraih dan pemborong tempatan sahaja," ujarnya.

Abu Hassan bagaimanapun tidak menolak kemungkinan dalam tempoh setahun dia boleh mengorak langkah dalam memperkemaskan lagi industri itu secara serius kerana potensi yang ada tidak wajar dilepaskan.

Projek di Kampung Bukit Batu Pahat kini mempunyai hampir satu juta pokok nanas pada keluasan yang sedia ada.

Sudah tentu jumlah pokok tersebut mampu meningkatkan pendapatan tiga kali ganda dari tanaman secara konvensional dengan harga sebiji nanas pada harga minimum sebiji untuk RM1 jika ini berlaku tentunya penanam ini mampu meraih hampir sejuta semusim secara kasarnya.

Bagi Abu Hassan kesempatan itu turut digunakan untuk menambah lagi pendapatan melalui jualan benih.

Apa yang diperolehinya sekarang mahu dikongsi bersama pemilik tanah terbiar untuk sama-sama berusaha memajukan tanah dan meraih pendapatan bukan sahaja sampingan malah satu kerjaya berterusan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, December 1, 2010

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (MAHA) 2010

(Post: Bahasa Melayu)
" Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian (MAHA) 2010 yang berlangsung hingga 5 Disember ini mesti dilihat sebagai medan ilmu, maklumat serta peluang perniagaan yang harus direbut orang ramai. "

Tidak semua negara berkemampuan menganjurkan acara yang begitu banyak mempamerkan pelbagai produk serta teknologi pertanian yang dihasilkan menerusi inovasi terbaru.

Adalah merugikan sekiranya orang ramai sekadar datang menyaksikan apa yang dipamerkan tanpa memanfaatkan maklumat serta mengambil tahu mengenai teknologi dan inovasi pertanian yang ada di sebahagian daripada 2,500 gerai pada pameran itu.

MAHA mempamerkan hasil kejayaan teknologi dan inovasi pertanian yang boleh dimanfaatkan individu atau syarikat yang sudah terbabit, dalam proses menceburi atau mahu mengembangkan bidang masing-masing.

Setiap kaunter menampilkan produk atau peluang berbeza. Banyak produk, benih, baka dan pelbagai maklumat lain boleh dimanfaatkan untuk memajukan kegiatan ekonomi dalam bidang berasaskan pertanian.

Memang tepat apabila kerajaan menggunakan slogan 'Pertanian Adalah Perniagaan' kerana majoriti penduduk perlu membeli keperluan dan bekalan makanan mereka.

Industri kecil berasaskan hasil pertanian adalah bidang yang kian berkembang dan perlu diterokai petani. Jika mereka selama ini menjual terus hasil tanaman atau ternakan, kini sudah tiba masanya mereka memberi nilai tambah atau memproses hasil menjadi produk baru.

Hasil tanaman mentah lazimnya dijual dengan harga jauh lebih murah. Tetapi jika petani membuat sedikit inovasi dan pelaburan untuk memproses, membungkus dan memasarkan sendiri, mereka akan memperoleh pulangan lebih lumayan.

Petani mesti kreatif dan berani meneroka satu lagi bidang, iaitu memproses hasil menjadi pelbagai produk hiliran kerana langkah itu menjamin mereka menikmati pendapatan berganda.

Oleh itu, apabila matlamat sebenar MAHA difahami dan dipraktikkan, kita yakin petani hari ini mampu keluar daripada kepompong kemiskinan, tetapi mampu hidup senang seperti petani di beberapa negara maju.

Dengan penyertaan 22 negara dalam pameran MAHA kali ini, petani dan pemain sektor dalam bidang ini di Malaysia boleh mendapat pelbagai faedah untuk memperkukuhkan industri pertanian negara.

Selain itu, inilah peluang kita menjalin hubungan dengan syarikat asing yang mungkin boleh mengembangkan ruang untuk produk kita memasuki pasaran di luar negara. Mereka juga berpotensi menjadi rakan kongsi untuk kegiatan berskala besar dalam negara.

MAHA mungkin boleh dikembangkan sebagai wadah untuk mengumpulkan kalangan ahli ilmiah dan strategik, pemain industri serta penyelidik bagi mencerna kepakaran untuk memajukan sektor pertanian negara.

Memandangkan hasil pertanian adalah keperluan dalam kehidupan manusia, menceburi sektor itu tetap memberi pulangan lumayan. Tamadun manusia di serata dunia bermula dengan pertanian dan ia kekal relevan sehingga kini, walaupun dunia semakin maju sehingga manusia mampu meneroka angkasa lepas.

Sebagai komponen strategi dalam membina kekuatan dan survival negara, sektor pertanian kita perlu dimajukan seiring dengan kepesatan industri dan tidak boleh diabaikan sama sekali.

Justeru, penting bagi petani menggerakkan sektor itu menggunakan inovasi serta teknologi terkini bagi menghasilkan produk secara optimum dan berkualiti.

Institusi berkaitan pertanian juga harus memperhebatkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar bidang ini menjadi lebih berdaya saing.

Sumber: Berita Harian Online
Foto: MAHA Expo 2010

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::