ATTENTION !!!

Showing posts with label tanaman. Show all posts
Showing posts with label tanaman. Show all posts

Sunday, June 20, 2010

Ladang Tongkat Ali Felda Wilayah Jengka

(Post: Bahasa Melayu)
" Populariti tumbuh-tumbuhan herba seperti tongkat ali atau nama saintifiknya Eurycoma Longifolia Jack di negara ini memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Boleh dikatakan semua restoran dan kedai makan akan menyajikan minuman mengandungi tongkat ali kepada para pelanggannya. "

Permintaan yang tinggi itu menyebabkan munculnya banyak syarikat pengeluar minuman tongkat ali bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dengan menawarkan pelbagai kelebihan terutama memberi kekuatan tenaga batin.

Keistimewaan tongkat ali menjadi kegilaan kaum lelaki kerana percaya khasiat akarnya boleh menguatkan tenaga batin yang menjadi lambang 'kehebatan' sebenar kaum Adam.

Namun, tongkat ali bukan sahaja dikhaskan kepada kaum lelaki kerana khasiatnya adalah lebih daripada itu termasuk memberi kesegaran kepada pemandu jarak jauh dan ahli sukan.

Jika dahulu tongkat ali perlu dicari di hutan tebal tetapi kini tumbuh-tumbuhan herba itu banyak ditanam di kawasan kampung, kebun atau ladang secara komersial.

Di Pahang, tanaman herba tongkat ali secara komersial dirintis oleh Felda Wilayah Jengka yang menyedari potensi hebat spesies flora itu kepada kesihatan manusia sejagat.

Pengurusan Felda Wilayah Jengka menambah satu lagi koleksi ladangnya dengan memberi tumpuan kepada tanaman herba tongkat ali selepas berjaya melaksanakan projek ladang kelapa sawit dan getah.

Matlamat Felda Wilayah Jengka adalah untuk mengangkat tanaman herba tongkat ali sebagai salah satu produk kesihatan lelaki yang setanding dengan akar ginseng yang diusahakan di Korea.

Felda yang peka terhadap potensi pokok tongkat ali telah mengambil langkah tepat untuk memulakan projek tanaman herba tersebut di beberapa tanah rancangan di Wilayah Jengka.

Sebanyak tiga tanah rancangan di Felda Wilayah Jengka diberi insentif memulakan projek perintis itu iaitu Felda Sena Jengka 16, Felda Tonkin Jengka 23 dan Felda Sungai Tekam Getah.

Ketiga-tiga tanah rancangan itu dipilih berikutan kesesuaian tanahnya bagi tanaman tersebut.

Penyelia Felda Sena Jengka 16, Azwadi Hassan @ Hussien berkata, herba tongkat ali mula ditanam di tanah rancangan itu sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak 11,000 batang pokok ditanam di kawasan seluas 2.2 hektar yang kini mula menampakkan kejayaan.

Beliau menambah, kesuburan tanah jenis 'literat' dianggap amat sesuai dengan pokok tongkat ali apabila tiada sebatang pun yang mati walaupun dalam cuaca yang tidak menentu.

"Saya sentiasa memantau kemajuan projek ini dari semasa ke semasa berikutan harapan dan perhatian Ibu Pejabat Felda untuk melihat kejayaan ladang herba ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Felda Sena Jengka 16, Kuala Krau.

Azwadi menambah, pihaknya melantik seorang penjaga, Sapot Rantau, 35, untuk menjaga ladang tongkat ali itu terutama dari segi pembajaan dan kesuburan pokok.

Beliau memberitahu, tempoh matang tanaman tongkat ali ialah selama lima tahun sebelum boleh diproses untuk kegunaan pelbagai jenis produk kesihatan.

"Projek ini dimulakan semasa pengurus Felda Sena Jengka 16 dahulu, Mohd. Yusof Salleh menyokong penuh projek khas itu sebelum tugasnya diambil alih oleh Pengurus sekarang, Abdul Rahman Ahmad," jelasnya.

Apa yang menarik tambah Azwadi, ladang tongkat ali Felda Jengka 16 pernah dijadikan lokasi penggambaran filem 'Lembah Bilut' beberapa tahun lalu.

Beliau menjelaskan, projek ladang tongkat ali di Felda Jengka 16 itu secara tidak langsung membuka mata sebahagian peneroka bahawa potensi herba tersebut boleh diusahakan secara komersial.

Sapot pula mengakui bahawa penjagaan pokok tongkat ali amat mudah kerana ia tahan lasak sejajar dengan kehebatan nama dan khasiatnya.

"Saya tidak menghadapi kesukaran untuk menjaganya kerana ia sukar diserang penyakit sebagaimana tanaman lain seperti cili dan sayur-sayuran," jelasnya.

Seorang peneroka Felda Sena Jengka 16, Hamzah Tawang, 50, mengakui bahawa tanggapannya sebelum ini bahawa tongkat ali hanya boleh diperoleh di hutan adalah meleset sama sekali.

Beliau tidak menyangka pokok tongkat ali boleh ditanam di mana-mana sekali pun di halaman rumah.

"Saya akan mengikuti langkah positif Felda untuk menanam tongkat ali di kawasan lapang berhampiran rumah saya kerana ia mampu menjana pendapatan sampingan yang agak lumayan," katanya.

Menurutnya, anak syarikat Felda, Felda Herbal Corporations Bhd. yang mengusaha jualan langsung produk herba pastinya memerlukan bekalan secara berterusan berikutan permintaan tinggi daripada pengguna tempatan dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Felda supaya proaktif menyalur dan mengagihkan benih tongkat ali kepada peneroka yang berminat mengusahakan projek tersebut.

Ketua Kampung Felda Sena Jengka 16, Ismail Abdul Rahman berterima kasih kepada Felda kerana memilih tanah rancangan itu sebagai projek perintis tanaman tongkat ali di Pahang.

Katanya, jika dahulu penduduk hanya mengenali nama tongkat ali, namun kini mereka dapat melihat sendiri bentuk dan perubahan pembesaran pokok itu dari semasa ke semasa sehingga tempoh matang.

Beliau menambah, dalam usaha mempertingkatkan hasil pengeluaran tanaman herba seperti tongkat ali, Felda perlu memperluaskan projek tersebut di tanah-tanah rancangan lain di Jengka.

"Jika tanah di Felda Jengka 16 dianggap sesuai untuk tanaman tongkat ali, saya percaya tanah-tanah rancangan Felda lain di Jengka juga amat sesuai untuk tanaman itu," ujarnya.

Beliau yakin Felda Wilayah Jengka mampu menjadi pengeluar tongkat ali terbesar jika ia dilakukan bersungguh-sungguh dengan kerjasama semua pihak termasuk peneroka.

"Jika selama ini Felda Wilayah Jengka terkenal sebagai pengeluar terbesar hasil sawit dan getah, tidak mustahil suatu hari nanti ia menjadi pengeluar terkemuka tongkat ali pula," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 14, 2009

Potensi Besar Industri Tebu

(Post: Bahasa Melayu)
"FAMA sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh agensi itu."

Tanpa disedari sebenarnya tebu lebih mudah untuk ditanam dan boleh mendatangkan hasil lumayan yang berterusan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.

Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura yang meningkat pada setiap tahun.

Bermula tahun 2004 dengan nilai eksport RM3.04 juta, ia berkembang hingga mencecah angka RM5.8 juta pada tahun 2007. Untuk tiga bulan pertama tahun tahun lalu sahaja, nilai eksport tebu ke negara jiran itu telah mencecah RM1.5 juta.

Justeru, bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di Batu Pahat, Johor.

Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di negara ini bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada penanam-penanam tebu dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.

Kompleks ini turut menguruskan pengendalian tebu segar untuk tujuan eksport atau pasaran tempatan, pemprosesan tebu segar, pembungkusan dan penggredan.

Selain itu, kompleks yang terletak di kawasan seluas 0.8 hektar itu juga bertujuan untuk menerapkan teknologi moden dan kendalian lepas tuai tebu segar selaras dengan keperluan semasa.

Pembinaan kompleks tersebut juga mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutama petani, pengeksport, pengusaha industri, untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan yang khusus mengenai tebu.

Pegawai FAMA Batu Pahat, Abd. Rahman Mohd. Nor berkata, FAMA telah memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk tebu ini buat julung kalinya dengan melibatkan kira-kira 60 petani dari Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Setakat ini katanya, beberapa kursus mengenai tebu telah dibuat dan sambutan amat menggalakkan, tetapi kebanyakannya daripada golongan petani yang telah berusia. Untuk itu FAMA kini sedang berusaha untuk menarik golongan belia menyertai pertanian secara aktif.

Tambahnya lagi modal yang diperlukan untuk memulakan penanaman tebu secara komersial ialah RM20,000 untuk satu ekar dan penjagaannya tidak cerewet serta mudah untuk diuruskan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, February 16, 2009

Rumpun Damai Nursery

(Post: Bahasa Melayu)
"Menyingkap rahsia kejayaannya itu, Md Rejab berkata, pada mulanya beliau tidak nampak bagaimana tapak semaian boleh memberikan pendapatan tambahan kepada keluarganya."

Kira-kira 37 tahun lalu beliau tidak pernah terfikir bahawa bidang semaian tanaman yang diceburi boleh mengubah hidupnya sekeluarga sehingga mampu meraih pendapatan mencecah jutaan ringgit.

Itulah yang berlaku kepada Md Rejab Hasanudin, 66, seorang bekas pengawal keselamatan sekolah di Kampung Melayu, Sungai Buloh yang kini mengusahakan syarikat landskap, Rumpun Damai Nursery.

Md Rejab yang lebih dikenali sebagai Pak Jab adalah antara perintis landskap di kampung berkenaan sehingga menjadikan kawasan sekitar Sungai Buloh dan Kota Damansara dikenali sebagai bandar nurseri, tempat kunjungan peminat seni hias laman.

"Saya hanya 'jaga' atau 'guard' di sekolah rendah ketika mula-mula menceburi bidang semaian. Saya berguru dengan Isa Bulat, orang pertama yang membuka nurseri di Sungai Buloh."

"Pada awalnya, saya hanya bekerja dengan Isa secara sambilan pada siang hari untuk menambah pendapatan manakala pada malam saya bertugas menjadi jaga di sekolah," katanya yang kini mempunyai tiga tapak semaian, dua di Sungai Buloh dan satu di Sungai Petani, Kedah.

"Mula-mula dulu, saya tanya Isa, mengapa dia menanam pokok yang tidak mendatangkan hasil seperti buah-buahan. Saya tidak nampak pokok yang berbunga dan berdaun ini boleh memberi duit."

"Selepas diterangkan Isa bahawa pokok bunga turut membuka rezeki kerana dibeli pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk landskap bandar baru dan kilang perusahaan, baru saya faham. Selepas itu, saya mengambil kursus semaian Jabatan Perhutanan yang dibuka kepada kakitangan kerajaan pada masa itu," katanya.

Berbekalkan ilmu dan pengalaman yang dikutip selama sembilan tahun bekerja sambilan di Nurseri Sungai Buloh milik Mohd Isa, Md Rejab akhirnya mengambil keputusan membuka tapak semaian sendiri pada 1980.

Bermula dari situ, beliau terus mengembangkan perniagaannya dan kini menjadi kontraktor landskap untuk projek besar milik kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), swasta dan orang perseorangan.

Antara projek besar yang diusahakan syarikatnya ialah landskap untuk projek di bawah Arkib Negara dan Institut Perundangan dan Kehakiman Malaysia di Bangi.

Terkini, syarikatnya yang mempunyai 10 pekerja tetap itu melakukan kerja landskap untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Projek Mengindahkan Sungai Gombak dengan kontrak jutaan ringgit bagi tempoh tiga tahun.

Selain menjadi kontraktor landskap, syarikatnya juga menjadi pembekal pokok untuk landskap di Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) menerusi cawangan syarikatnya di Kedah.

Menceritakan pengalamannya, beliau berkata, pada peringkat awal, agak sukar untuk menjual hasil tapak semaian tetapi dengan bantuan Isa, beliau banyak mendapat kontrak kerajaan dan swasta.

"Pernah satu ketika, projek landskap yang dilaksanakan musnah akibat banjir. Saya menanggung rugi kerana selain pokok musnah, saya terpaksa menanam pokok baru yang kosnya ditanggung saya sendiri."

"Dalam projek besar, kita biasanya ada perjanjian dan risiko akibat bencana alam adalah ditanggung pihak syarikat, maka mahu atau tidak, kerja mesti diteruskan. Oleh itu, walaupun pendapatan sedikit, saya lebih berminat melaksanakan projek jangka pendek dan kecil-kecilan."

"Pendapatan yang sikit ini sebenarnya yang membawa kepada keuntungan lebih besar dan segera," katanya.

Selain menjual semaian dan membuat projek landskap untuk orang perseorangan, syarikatnya mula dikenali dan kini menawarkan pelbagai perkhidmatan lain termasuk menjual aksesori taman, membuat kolam, wakaf dan pegola.

Menganggap perniagaan yang diusahakan sebagai ibadah selain tempat mencari rezeki, beliau mengakui tidak pernah menjadikan syarikat lain yang ada di Kampung Melayu itu sebagai saingan tetapi rakan kongsi untuk bekerjasama dan mencari pendapatan bersama.

"Di kampung ini ada 18 kontraktor landskap dan nurseri tetapi kami semua bekerjasama bukannya bersaing. Jika syarikat saya terlalu banyak kontrak dan merasakan tidak mampu melaksanakannya, saya akan minta bantuan rakan lain, begitu juga sebaliknya."

Kini, selain menjadi kontraktor landskap, Pak Jab juga menjadi rujukan mereka yang ingin membuka tapak semaian serta menceburi bidang landskap. Malah, nurseri miliknya juga menjadi tempat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) membuat latihan praktikal industri.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::