Potensi Besar Industri Tebu
(Post: Bahasa Melayu)
"FAMA sentiasa memberi ruang dan peluang kepada petani untuk mendapatkan khidmat nasihat mengenai penanaman tebu melalui kursus-kursus yang dijalankan oleh agensi itu."
Tanpa disedari sebenarnya tebu lebih mudah untuk ditanam dan boleh mendatangkan hasil lumayan yang berterusan jika diusahakan secara bersungguh-sungguh.
Ini terbukti dengan peningkatan jumlah eksport tebu ke Singapura yang meningkat pada setiap tahun.
Bermula tahun 2004 dengan nilai eksport RM3.04 juta, ia berkembang hingga mencecah angka RM5.8 juta pada tahun 2007. Untuk tiga bulan pertama tahun tahun lalu sahaja, nilai eksport tebu ke negara jiran itu telah mencecah RM1.5 juta.
Justeru, bagi memastikan pembangunan industri tebu terus berkembang, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) telah membina Kompleks Pengumpulan Ladang bagi komoditi tebu di Batu Pahat, Johor.
Ia merupakan kompleks pertama seumpamanya di negara ini bertujuan menyediakan kemudahan, peluang dan tempat rujukan kepada penanam-penanam tebu dari Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Kompleks ini turut menguruskan pengendalian tebu segar untuk tujuan eksport atau pasaran tempatan, pemprosesan tebu segar, pembungkusan dan penggredan.
Selain itu, kompleks yang terletak di kawasan seluas 0.8 hektar itu juga bertujuan untuk menerapkan teknologi moden dan kendalian lepas tuai tebu segar selaras dengan keperluan semasa.
Pembinaan kompleks tersebut juga mampu meningkatkan pengetahuan di kalangan orang ramai terutama petani, pengeksport, pengusaha industri, untuk menjadikan pusat ini sebagai rujukan yang khusus mengenai tebu.
Pegawai FAMA Batu Pahat, Abd. Rahman Mohd. Nor berkata, FAMA telah memperkenalkan konsep ladang kontrak untuk tebu ini buat julung kalinya dengan melibatkan kira-kira 60 petani dari Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Melaka.
Setakat ini katanya, beberapa kursus mengenai tebu telah dibuat dan sambutan amat menggalakkan, tetapi kebanyakannya daripada golongan petani yang telah berusia. Untuk itu FAMA kini sedang berusaha untuk menarik golongan belia menyertai pertanian secara aktif.
Tambahnya lagi modal yang diperlukan untuk memulakan penanaman tebu secara komersial ialah RM20,000 untuk satu ekar dan penjagaannya tidak cerewet serta mudah untuk diuruskan.
Sumber: Utusan Malaysia Online
0 comments:
Post a Comment