ATTENTION !!!

Sunday, June 20, 2010

Ladang Tongkat Ali Felda Wilayah Jengka

(Post: Bahasa Melayu)
" Populariti tumbuh-tumbuhan herba seperti tongkat ali atau nama saintifiknya Eurycoma Longifolia Jack di negara ini memang tidak perlu dipertikaikan lagi. Boleh dikatakan semua restoran dan kedai makan akan menyajikan minuman mengandungi tongkat ali kepada para pelanggannya. "

Permintaan yang tinggi itu menyebabkan munculnya banyak syarikat pengeluar minuman tongkat ali bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dengan menawarkan pelbagai kelebihan terutama memberi kekuatan tenaga batin.

Keistimewaan tongkat ali menjadi kegilaan kaum lelaki kerana percaya khasiat akarnya boleh menguatkan tenaga batin yang menjadi lambang 'kehebatan' sebenar kaum Adam.

Namun, tongkat ali bukan sahaja dikhaskan kepada kaum lelaki kerana khasiatnya adalah lebih daripada itu termasuk memberi kesegaran kepada pemandu jarak jauh dan ahli sukan.

Jika dahulu tongkat ali perlu dicari di hutan tebal tetapi kini tumbuh-tumbuhan herba itu banyak ditanam di kawasan kampung, kebun atau ladang secara komersial.

Di Pahang, tanaman herba tongkat ali secara komersial dirintis oleh Felda Wilayah Jengka yang menyedari potensi hebat spesies flora itu kepada kesihatan manusia sejagat.

Pengurusan Felda Wilayah Jengka menambah satu lagi koleksi ladangnya dengan memberi tumpuan kepada tanaman herba tongkat ali selepas berjaya melaksanakan projek ladang kelapa sawit dan getah.

Matlamat Felda Wilayah Jengka adalah untuk mengangkat tanaman herba tongkat ali sebagai salah satu produk kesihatan lelaki yang setanding dengan akar ginseng yang diusahakan di Korea.

Felda yang peka terhadap potensi pokok tongkat ali telah mengambil langkah tepat untuk memulakan projek tanaman herba tersebut di beberapa tanah rancangan di Wilayah Jengka.

Sebanyak tiga tanah rancangan di Felda Wilayah Jengka diberi insentif memulakan projek perintis itu iaitu Felda Sena Jengka 16, Felda Tonkin Jengka 23 dan Felda Sungai Tekam Getah.

Ketiga-tiga tanah rancangan itu dipilih berikutan kesesuaian tanahnya bagi tanaman tersebut.

Penyelia Felda Sena Jengka 16, Azwadi Hassan @ Hussien berkata, herba tongkat ali mula ditanam di tanah rancangan itu sejak lima tahun lalu.

Menurutnya, sebanyak 11,000 batang pokok ditanam di kawasan seluas 2.2 hektar yang kini mula menampakkan kejayaan.

Beliau menambah, kesuburan tanah jenis 'literat' dianggap amat sesuai dengan pokok tongkat ali apabila tiada sebatang pun yang mati walaupun dalam cuaca yang tidak menentu.

"Saya sentiasa memantau kemajuan projek ini dari semasa ke semasa berikutan harapan dan perhatian Ibu Pejabat Felda untuk melihat kejayaan ladang herba ini," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Felda Sena Jengka 16, Kuala Krau.

Azwadi menambah, pihaknya melantik seorang penjaga, Sapot Rantau, 35, untuk menjaga ladang tongkat ali itu terutama dari segi pembajaan dan kesuburan pokok.

Beliau memberitahu, tempoh matang tanaman tongkat ali ialah selama lima tahun sebelum boleh diproses untuk kegunaan pelbagai jenis produk kesihatan.

"Projek ini dimulakan semasa pengurus Felda Sena Jengka 16 dahulu, Mohd. Yusof Salleh menyokong penuh projek khas itu sebelum tugasnya diambil alih oleh Pengurus sekarang, Abdul Rahman Ahmad," jelasnya.

Apa yang menarik tambah Azwadi, ladang tongkat ali Felda Jengka 16 pernah dijadikan lokasi penggambaran filem 'Lembah Bilut' beberapa tahun lalu.

Beliau menjelaskan, projek ladang tongkat ali di Felda Jengka 16 itu secara tidak langsung membuka mata sebahagian peneroka bahawa potensi herba tersebut boleh diusahakan secara komersial.

Sapot pula mengakui bahawa penjagaan pokok tongkat ali amat mudah kerana ia tahan lasak sejajar dengan kehebatan nama dan khasiatnya.

"Saya tidak menghadapi kesukaran untuk menjaganya kerana ia sukar diserang penyakit sebagaimana tanaman lain seperti cili dan sayur-sayuran," jelasnya.

Seorang peneroka Felda Sena Jengka 16, Hamzah Tawang, 50, mengakui bahawa tanggapannya sebelum ini bahawa tongkat ali hanya boleh diperoleh di hutan adalah meleset sama sekali.

Beliau tidak menyangka pokok tongkat ali boleh ditanam di mana-mana sekali pun di halaman rumah.

"Saya akan mengikuti langkah positif Felda untuk menanam tongkat ali di kawasan lapang berhampiran rumah saya kerana ia mampu menjana pendapatan sampingan yang agak lumayan," katanya.

Menurutnya, anak syarikat Felda, Felda Herbal Corporations Bhd. yang mengusaha jualan langsung produk herba pastinya memerlukan bekalan secara berterusan berikutan permintaan tinggi daripada pengguna tempatan dan luar negara.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kepada Felda supaya proaktif menyalur dan mengagihkan benih tongkat ali kepada peneroka yang berminat mengusahakan projek tersebut.

Ketua Kampung Felda Sena Jengka 16, Ismail Abdul Rahman berterima kasih kepada Felda kerana memilih tanah rancangan itu sebagai projek perintis tanaman tongkat ali di Pahang.

Katanya, jika dahulu penduduk hanya mengenali nama tongkat ali, namun kini mereka dapat melihat sendiri bentuk dan perubahan pembesaran pokok itu dari semasa ke semasa sehingga tempoh matang.

Beliau menambah, dalam usaha mempertingkatkan hasil pengeluaran tanaman herba seperti tongkat ali, Felda perlu memperluaskan projek tersebut di tanah-tanah rancangan lain di Jengka.

"Jika tanah di Felda Jengka 16 dianggap sesuai untuk tanaman tongkat ali, saya percaya tanah-tanah rancangan Felda lain di Jengka juga amat sesuai untuk tanaman itu," ujarnya.

Beliau yakin Felda Wilayah Jengka mampu menjadi pengeluar tongkat ali terbesar jika ia dilakukan bersungguh-sungguh dengan kerjasama semua pihak termasuk peneroka.

"Jika selama ini Felda Wilayah Jengka terkenal sebagai pengeluar terbesar hasil sawit dan getah, tidak mustahil suatu hari nanti ia menjadi pengeluar terkemuka tongkat ali pula," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

1 comments:

Pangeran Aryos November 21, 2010 at 2:08 PM  

Good posting, numpang link ya sob..

http://www.indonesiaherbals.com

makasih banyak.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::