ATTENTION !!!

Showing posts with label roti canai. Show all posts
Showing posts with label roti canai. Show all posts

Thursday, March 10, 2011

Produk Makanan Nourlie

(Post: Bahasa Melayu)
" Usaha tanpa mengenal jemu dan melakukan sesuatu dengan bersungguh-sungguh sehingga berjaya membawa Norli Ahmad, 43 menjadi usahawan seperti sekarang. "

Biarpun hanya berpendidikan setakat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan mendirikan rumah tangga seawal usia 19 tahun, perkataan putus asa dan gagal tidak pernah ada dalam kamus hidupnya.

Bermula dengan kehidupan sebagai suri rumah tanpa pendapatan, Norli mencari pelbagai pekerjaan bagi menjana pendapatan di rumah dengan menggunakan modal yang kecil.

Malah pengalaman berniaga membantu keluarganya semasa usia remaja banyak membantu Norli dalam usaha membina empayar perniagaannya.

Tidak pernah mengenal erti perkataan putus asa, dia memulakan perniagaan menjual roti canai segera dengan modal sekecil RM10.

Roti canai yang dihasilkan dijual di sekitar kampung menggunakan motosikal sambil menggendong anak dianggap sebagai cabaran bagi mendaki tangga kejayaan.

Selepas bersusah-payah selama lebih tiga bulan dengan mengubah resipi beberapa kali barulah Norli mendapat menambat hati para pelanggan.

Malah sejak itu, dia telah mula mendapatkan bukan saja pelanggan tetap tetapi juga pasaran yang lebih besar.

Menjelang musim perayaan, Norli memang tidak menang tangan menerima tempahan pelbagai jenis kek dan biskut yang hanya dipelajari daripada majalah dan buku masakan yang ada di pasaran.

Ketika itu pada tahun 1990, Norli amat bersyukur apabila mendapat hasil pendapatan pertama hasil jualan biskut lebih RM100.

"Ketika itu saya merasa amat gembira dengan pendapatan pertama dan pada masa itu saya rasakan ini merupakan permulaan bagi membuka jalan bagi saya untuk berkecimpung dalam bidang ini," katanya semasa ditemui di premisnya di Kampung Mampan, Simpang Lima, Batu Pahat, Johor.

Sebagai seorang usahawan yang baru, beliau sentiasa ingin mencuba dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh dan berazam tidak akan berhenti sehingga mendapat apa yang dihajati walaupun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran.

Selepas berjaya dengan jualan roti canai yang mendapat pasaran yang menggalakkan, Norli mula terfikir untuk membuat piza bagi memberi peluang bagi masyarakat di Batu Pahat merasai kelazatan dan perbezaan berbanding dengan makanan tradisional.

Mencari resipi dan cuba menghasilkan yang terbaik, akhirnya Norli berjaya membuat piza yang diterima pelanggan.

Malahan Norli berjaya menjual piza buatannya bukan saja di pasar-pasar malam sekitar Batu Pahat tetapi juga di sekolah-sekolah dengan harga yang amat berpatutan dan boleh dibeli oleh segenap lapisan masyarakat.

"Sebenarnya saya tidak pernah mengikuti sebarang kursus masakan yang banyak dianjurkan seperti sekarang."

"Saya lakukan semuanya sendiri dengan mencuba pelbagai resipi sehingga mendapat apa yang dihajati," ujarnya.

Malah beliau pernah membuang beberapa kilogram tepung dan adunan kerana kuih dan kek yang dibuat tidak seperti yang diingini.

"Saya akan mencuba sehingga berjaya. Saya tidak pernah putus asa dan tidak pernah menganggap adunan yang dibuang hanya membazir."

"Sebaliknya adunan berkenaan boleh dikatakan seperti percubaan saya sebelum mendapat yang terbaik," jelas beliau.

Bersama-sama dengan suami, Afandi Anim, 45 yang banyak memberikan sokongan dan galakan, Norli berjaya menghasilkan produk dengan jenama Nourlie.

Berbekal dengan galakan serta sokongan keluarga walaupun ketika itu tiada skim bantuan kerajaan, perniagaan biskut Norli terus berkembang sehinggalah Jabatan Pertanian menghulurkan bantuan semasa beliau menyewa bangunan pekan Batu Pahat.

Bermula di sana, Norli mula membuat pelbagai jenis biskut termasuk 12 jenis makanan sejuk beku seperti roti canai mampan, donat, karipap, cucur badak, kasturi, popia dan murtabak daging, kek dan roti seperti kek muffin dan coklat moist.

Produk lain termasuk kek marble dan kek aising serta lebih 50 aneka biskut seperti almond slice, black pistachio, malatops crispy, alahai cookies, blackberry tart, chips knox classic dan conflakes crispy.

Norli berkata, kini syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 30 karton biskut sebulan bergantung kepada permintaan dengan satu karton mempunyai 24 bungkusan biskut.

Manakala bagi makanan sejuk beku pula, syarikatnya berupaya mengeluarkan sehingga 50 kilogram sehari.

Bercerita mengenai cabaran dalam perniagaan, Norli menjelaskan beliau tidak menghadapi masalah dari segi produk.

"Cuma banyak kes yang melibatkan pelanggan tidak membayar selain daripada masalah banjir."

"Ketika dilanda banjir pada tahun 2007, saya mula mengenali Agro Bank semasa membacanya di akhbar," katanya.

Semasa itu beliau membuat pinjaman bagi membaik pulih peralatan dan mesin yang rosak akibat ditenggelami air semasa banjir.

Kini Norli boleh berbangga apabila pasaran biskut jenama Nourlie tersebar luas bukan saja di sekitar Batu Pahat di kedai-kedai runcit, kantin sekolah dan pasar raya malah sehingga ke Lembah Kelang.

"Sehingga kini saya sendiri tidak tahu bagaimana pasaran biskut saya boleh sampai sehingga dijual di kiosk-kiosk di pasar raya ke Kuala Lumpur," katanya.

Beliau mempunyai 15 orang pekerja yang bekerja selama lima hari seminggu dan lapan jam sehari.

Sehingga kini produknya telah menerima persijilan HALAL daripada pihak berkuasa manakala sedang dalam proses mendapatkan bagi mendapatkan persijilan Amalan Pengilangan Baik (APB).

Bercerita mengenai perancangan serta harapan di masa akan datang, Norli berharap dapat meningkatkan lagi kualiti produk bagi mendapatkan pasaran yang lebih luas misalnya sehingga ke negara Timur Tengah.

"Sebelum ini Jabatan Pertanian telah membawa produk saya semasa pameran di China manakala Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) juga telah membawa beberapa produk saya ke beberapa pameran di luar negara," katanya.

Norli menasihatkan usahawan muda yang ingin menceburkan diri dalam dunia perniagaan agar jangan menjadikan modal sebagai alasan untuk tidak berjaya.

Apa yang penting adalah kualiti barangan yang digunakan seperti mentega dan tepung bagi menjamin biskut yang dihasilkan lebih tahan lama.

"Saya sentiasa menggunakan bahan yang bermutu tinggi bagi menghasilkan produk yang bukan saja enak tetapi berkhasiat."

"Selain itu saya juga sentiasa mendapatkan maklum balas pelanggan bagi memberikan yang terbaik," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, January 11, 2011

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang

(Post: Bahasa Melayu)
" "Jiwangnya nama restoran ni," usik penulis sambil disambut tawa pengurusnya, Azhar Mohamad Zain. Masakan tidak, tempat menjamu selera itu memilih perkataan cinta dan sayang sebagai nama restoran. "

Restoran dan Katering Nasi Lemak Cinta Sayang (NLCS) mendapat namanya disebabkan gerai pertama diusahakan ibu saudara Azhar, Zaiton Said, berdepan Cinta Sayang Golf & Resort, Sungai Petani.

Dibuka 24 jam, NLCS yang beroperasi hampir dua tahun di Seksyen 7, Shah Alam, berkonsep layan diri dengan nasi lemak sebagai sajian utama.

"Restoran ini beroperasi 24 jam untuk memenuhi keperluan pelanggan yang ingin menjamu selera tidak kira masa. Saya pernah menjadi pelajar dan tidak kira masa terasa mahu makan nasi lemak."

"Nasi lemak juga menu yang ringkas dan mudah disediakan, jadi pelanggan tidak perlu tunggu lama untuk mendapatkan pesanan. Di sini, jam 3 hingga 6 pagi pun orang masih cari nasi lemak," katanya.

Nasi lemak di NLCS sememangnya enak kerana cukup lemak selain sambal tumis yang istimewa begitu membuka selera.


Selain nasi lemak dan roti canai tersedia 24 jam, ia menawarkan menu nasi campur bermula jam 11 pagi hingga 3 petang manakala ala carte dari jam 3 petang hingga 3 pagi.

Pilihan lain sarapan pagi ialah kuetiau, mihun, mi goreng dan nasi goreng.

Berkonsep layan diri, pelanggan boleh memilih sendiri lauk untuk dimakan dengan nasi lemak seperti ayam masak merah, paru-paru, daging masak kicap, sambal ikan bilis, sambal tumis udang, ayam goreng, rendang daging, telur dadar, telur masin atau sambal sotong.

Menu sarapan pagi ditukar kepada lauk nasi campur bermula jam 11 pagi.

Lebih banyak pilihan lauk ditawarkan, terutama masakan kampung seperti masak lemak cili api, asam pedas, kari, sup, ikan keli bakar selain kembung dan pari, ayam bakar, pelbagai sayuran dan ulaman seperti timun, ulam raja, kacang panjang selain terung dan bendi celur.

Pilihan cicah ialah sambal belacan, sambal tempoyak, sambal kicap dan air asam.

"Ada 40 hingga 50 lauk yang sentiasa ditukar menu untuk memenuhi cita rasa pelanggan. Menu sampingan ialah bihun sup dan laksa Pulau Pinang, manakala char kuetiau boleh dipesan bermula jam 3 petang."

"Kami mensasarkan pelanggan di kalangan penuntut dan keluarga. Restoran ini sesuai sebagai tempat bersantai, mengadakan perbincangan atau perjumpaan keluarga," katanya.

Mampu menampung 200 orang pada satu masa, ia cuma ditutup pada Aidilfitri dan Aidiladha. NLCS yang menerima tempahan katering turut mempunyai dua cawangan di Sungai Petani.

"Berdasarkan komen pelanggan, minuman di sini menarik kerana walaupun jenis yang biasa ditawarkan kebanyakan restoran lain, rasanya lebih pekat dan enak."

"Minuman menarik dicuba ialah teh tiga lapis menggunakan gula nipah sebagai bahan pemanis dan sirap bandung cincau," katanya.

Sumber: myMetro
Foto: eats.my

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, August 6, 2009

Kursus Menebar dan Penyediaan Roti Canai

(Post: Bahasa Melayu)
"Untuk berkongsi apa yang diperoleh rahsia keenakan roti canai dan teknik menebarnya, Didie menjelajah hampir ke seluruh Semenanjung Malaysia bagi menyampaikan ilmunya menerusi Kursus Menebar dan Penyediaan Roti Canai."

Dewasa ini makanan dalam bentuk sejuk beku adalah antara alternatif yang sering menjadi pilihan.

Antara makanan yang mendapat sambutan yang baik adalah roti canai yang merupakan salah satu daripada makanan kegemaran rakyat negara ini.

Roti canai kebiasaannya dimakan bersama teh tarik dan disajikan dengan kuah dal atau parpu, kari serta sambal ikan bilis.

Walaupun roti canai boleh dinikmati di banyak kedai, tetapi tanpa kita sedari kebolehan membuatnya lebih dikuasai oleh tukang masak warga asing.

Meskipun ada yang pandai menyediakan tepung roti canai, namun kebolehan untuk menebarnya menjadi masalah. Apatah lagi tidak ramai pihak yang mahu tampil mengajar cara membuatnya, sedangkan teknik tebaran yang betul menjadi rahsia keenakan dan kelembutan roti canai.

Menyedari hakikat itu, seorang usahawan muda yang terkenal dengan perniagaan roti canai di Kepala Batas, Kubang Pasu, Kedah tampil berkongsi ilmu mengenai cara-cara menebar dan menyediakan roti canai.

Mohd. Najmuddin Md Nor, 22, atau lebih dikenali sebagai Didie yang juga pemilik restoran Selera Perantau bersedia untuk mengajar mana-mana pihak yang ingin mempelajari ilmu penyediaan dan menebar makanan kegemaran pelbagai bangsa itu.

Dalam usaha awal anak muda ini, dia bukan sahaja mengembangkan perniagaannya tetapi telah mengajar hampir 100 orang dari Kedah, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pahang, Johor, Melaka dan Pulau Pinang mengenai cara-cara membuat dan menebar roti canai.

Peserta kursus yang dijalankan Didie terdiri daripada pelbagai status, pangkat, agama, bangsa dan umur. Matlamatnya hanya satu iaitu dia ingin memastikan makanan tersebut lebih mudah didapati di merata tempat dan tidak dilupakan cara pembuatannya suatu hari nanti.

Menamatkan persekolahan setakat peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), itu tidak bermakna Didie tidak mempunyai masa depan. Menurutnya, apa sahaja pekerjaan halal boleh dilakukan untuk menyara hidup termasuk membuat roti canai.

"Sikap orang ramai yang melihat kerja membuat dan menebar roti canai sebagai satu perniagaan yang tidak menguntungkan perlu dihakis," katanya.

Didie mengakui, selepas berhenti sekolah, beliau tidak dapat memikirkan apakah hala tuju masa depannya. Namun, selepas mula menjalankan perniagaan roti canai, dia mula menjana pendapatan yang sangat baik.

"Kemewahan tidak dapat dijanjikan melalui perniagaan ini tetapi kita akan mendapat pulangan yang tinggi jika benar-benar berusaha dan menjayakan bidang ini dengan sebaiknya," katanya.

Mengikut resipi roti canai istimewa Didie, setiap sekilogram (kg) tepung yang disedia dengan bermodalkan RM6 dapat menghasilkan sebanyak 25 keping roti canai. Kebiasaannya, sekeping roti canai yang siap dimasak dijual pada harga RM0.80 sekeping.

Menerusi perusahaan yang dijalankan Didie di restoran Selera Perantau, dia dapat menjual hampir 1,000 keping sehari termasuk roti sardin dan roti telur yang popular dan enak dimakan. Ini bermakna dia mampu meraih pendapatan sebanyak kira-kira RM800 sehari.

Didie Perantau Enterprise merupakan syarikat yang ditubuhkannya bagi meneruskan kursus berkenaan di seluruh negara dan sehingga kini, dia telah menganjurkan lebih daripada 20 kursus.

Daripada penyertaan individu hinggalah jemputan jabatan atau agensi kerajaan, kursus berkenaan dikendalikan sendiri oleh Didie.

Setiap kursus dijalankan selama sehari bagi orang awam manakala untuk jabatan atau agensi kerajaan serta swasta, ia diadakan selama dua hari. Ini kerana dia turut menyelitkan slot Asas Usahawan bagi menerangkan kepada peserta bagaimana untuk memulakan perniagaan.

"Dalam setiap kursus yang dijalankan, saya akan memastikan semua peserta dapat menyediakan tepung secukup rasa dan dapat menebar roti canai dengan betul."

"Menariknya, ada dalam kalangan peserta saya dahulu kini sudah memulakan bisnes sendiri," katanya.

Kursus terbaru yang dijalankan Didie adalah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang melibatkan seramai 30 peserta. Ia dianjurkan oleh Institut Kemahiran dan Latihan AADK, Sepang, Selangor.

Didie berkata, dia pada awalnya ditawarkan untuk memberi kursus kepada lebih 50 peserta, namun bagi memastikan setiap mereka dapat mempelajari cara menyedia dan menebar roti canai dengan betul, maka jumlah itu dikurangkan kepada 30 orang sahaja.

Tambahnya, dia berharap kursus tersebut dapat dijalankan secara bersiri bagi membolehkan lebih ramai penghuni pusat serenti dapat menjalankan kehidupan baru sebaik keluar dari situ.

"Apabila mereka keluar dari situ kelak, mereka sudahpun dibekalkan dengan ilmu membuat dan menebar roti canai. Dengan itu, mereka boleh membuka gerai roti canai untuk menyara hidup," ujarnya.

INFO:
Didie Perantau Enterprise
Lokasi: 1152, Pekan Kepala Batas, 06200 Kepala Batas, Jitra, Kedah

Telefon: 012-5378412

Email: didie_perantau@yahoo.com

Yuran kursus: RM250 seorang

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::