ATTENTION !!!

Friday, May 1, 2009

Ayah Su Pakar Pengukir Logam

(Post: Bahasa Melayu)
"Keistimewaan dimiliki tukang mahir yang berpengalaman mengukir logam sejak 20 tahun lalu itu adalah ketekunan di dalam pembuatan sehingga mampu membentuk motif ukiran yang sama terutama pada sarung keris."

Menurut pengukir logam, Nasar Che Musa atau lebih mesra digelar Ayah Su, seni ukir logam terbahagi kepada dua jenis iaitu ukir tembus dan ukir timbus.

"Kehalusan seni ukir logam kebiasaannya diukur melalui kesempurnaan bentuk atau motif yang diukir misalnya untuk motif daun, ia harus sempurna sebagai daun yang lengkap."

"Nilai ukiran pula dinilai berdasarkan kerumitan dan tempoh pembuatan. Kebiasaannya jenis ukiran tembus lebih rumit kerana tukang perlu memahat berulang kali sehingga ukiran pada logam tembus."

"Manakala ukiran timbus lebih mudah kerana hanya membabitkan proses melukis motif pada logam kemudian dipahat menggunakan mata pahat khusus," kata pengukir logam yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu.

Bagi penggemar keris dan cincin, Ayah Su adalah antara pengukir logam tersohor yang sering menerima tempahan mengukir cincin, sarung dan pendokoh keris dari kerabat diraja serta peminat seni warisan Melayu di dalam dan luar Kelantan.

Kata Ayah Su, kemahiran mengukir logam yang menjadi minatnya sejak sekian lama boleh dipelajari jika seseorang itu tekun dan sabar. Selain minat, kreativiti juga penting kerana menurut Ayah Su, setiap lorekan bunga dan daun tidak akan nampak 'hidup' jika dihasilkan tukang yang tidak berseni.

"Seni ukiran Melayu banyak menggunakan motif flora seperti daun dan pucuk yang menjalar seperti daun budi, daun pucuk paku atau Bakawali. Kerana itu, setiap tukang baru diwajibkan mengenal jenis daun dan belajar bertukang secara berterusan sekurang-kurangnya untuk tempoh tiga bulan."

"Batu yang sering menghiasi cincin kebiasaannya dipilih pelanggan. Antara yang popular adalah batu akik, batu jarum, zamrud, delima dan ada juga menggunakan mata cincin dari kayu teras, kemuning, koka atau kenang," katanya.

Menurut Ayah Su, untuk setiap tempahan ukiran cincin bermula pada harga RM50 hingga RM500 manakala tempahan ukiran sarung keris boleh mencecah RM12,000.

INFO:
Lokasi perniagaan: Arked Perbandaran Jalan Tengku, Semerak, Kota Bharu, Kelantan

Telefon: 019-9443739

Sumber: Berita Harian Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::