Komuniti Jazz Ampang di Dagang Avenue
(Post: Bahasa Melayu)
" Kebiasaannya persembahan live band atau kugiran terutamanya muzik berirama jazz dan blues yang dimainkan oleh pemuzik bebas hanya dapat dilihat di pusat hiburan dan kelab-kelab eksklusif di ibu kota. "
Kerana itu juga kebanyakan kita merasakan genre blues dan jazz merupakan muzik yang sesuai dinikmati oleh golongan atasan atau kelompok tertentu sahaja.
Lantaran muziknya yang dikatakan lebih eksklusif itu maka, tidak ramai yang mudah untuk jatuh cinta dengan blues dan jazz.
Sedangkan kalau mengikut sejarahnya, kedua-dua irama itu bukan milik strata elit. Ia dimulakan oleh komuniti Afrika-Amerika yang mencari tapak dalam hierarki sosial Amerika.
Walau apapun kisahnya, bahasa muzik itu sendiri bersifat universal dan ia sebenarnya harus dinikmati dengan penuh terbuka tanpa rasa prejudis.
Barangkali pendedahan masyarakat terhadap muzik blues dan jazz di negara ini tidak begitu meluas jika hendak dibandingkan dengan muzik pop mahupun rock.
Sudah tiba masanya, pandangan skeptikal itu dibuang dari minda masyarakat dan meletakkan kedudukan blues serta jazz yang sebenarnya sudah lama bertapak di negara ini sama seperti muzik lain.
Mahu memartabatkan muzik tersebut agar lebih dekat dengan hati pencinta muzi sekumpulan pemuda yang menggelarkan diri mereka sebagai Komuniti Jazz (JazzComm) Ampang tidak pernah jemu berusaha.
Mereka percaya bahawa muzik adalah milik semua orang dan bukan milik golongan elit sahaja.
Atas kepercayaan itu, Rohaizad Hassan yang mengetuai komuniti tersebut mengambil pendekatan berbeza yang dilihat menongkah arus dalam cuba mengetengah pemikirannya dalam masyarakat.
Untuk masyarakat
Rohaizad bertindak bergabung tenaga bersama pemilik medan selera Dagang Avenue, Ampang bagi mendekatkan kembali muzik jazz dan blues kepada masyarakat.
Lelaki berusia 36 tahun itu dan kumpulannya yang berpendapat sebelum ini masyarakat terlalu jauh dengan muzik jazz dan blues telah mengadakan persembahan percuma pada setiap bulan di Dagang Avenue.
"Persembahan kugiran muzik jazz ini telah berlangsung sejak bulan November 2010. Ia diadakan di sini untuk mencari kelainan selain membawa muzik jazz yang kebiasaannya dianggap untuk golongan elit kembali kepada masyarakat."
"Selain itu juga, pada masa yang sama persembahan kugiran di sini juga dibuka untuk semua jenis muzik dan pemuzik yang ingin mempraktikkan kemahiran mereka," katanya sambil menegaskan muzik yang dimainkan di medan selera itu lebih lembut untuk didengar dan tidak terlalu keras.
JazzComm Ampang yang dipimpin Rohaizad itu bercita-cita menjadikan Ampang sebagai tempat bermula dan berkembangnya muzik jazz di Selangor sekali gus membuka ruang kepada pengembangan muzik genre tersebut ke seluruh Malaysia.
Menurutnya, komuniti tersebut merupakan sebuah pertubuhan yang tidak berasaskan kepada keuntungan, politik, keagamaan, perkauman dan antikeganasan.
Pendekatan itu merupakan usaha pihak komuniti jazz Ampang dan pemilik medan selera Dagang Avenue untuk mencari kelainan dalam cubaan menarik kembali masyarakat meminati muzik jazz yang satu ketika dahulu menjadi siulan masyarakat kelas bawahan.
"Sejak ia mula diperkenalkan di sini saban hari sambutan semakin yang diterima amat menggalakkan. Masyarakat di sekitar Ampang mula memberi respon yang baik dengan datang sendiri ke premis ini untuk menjamu telinga mereka dengan muzik jazz."
"Walaupun mereka tidak datang makan atau minum mereka berpeluang menyaksikan persembahan hebat pemuzik secara percuma dan tidak perlu ke hotel-hotel lima bintang untuk menyaksikannya," katanya.
Rohaizad menjelaskan mereka yang menggerakkan perkembangan komuniti Jazz Ampang terdiri daripada kalangan mereka yang bersemangat tinggi untuk mengembangkan muzik Jazz tanpa mengharapkan ganjaran kewangan bagi diri mereka.
Kini mereka boleh tersenyum apabila konsert Live Blues dan Jazz yang berlangsung di medan selera Dagang Avenue, Ampang pada setiap bulan semakin mendapat perhatian ramai.
Banyak acara di Dagang Avenue
Selain itu, pemilik medan selera Dagang Avenue, Mohd. Rizal Othman, 28, turut menganjurkan beberapa program lain bagi menarik masyarakat ke medan selera tersebut sekali gus menjadikan premis itu sebagai pusat sehenti (one stop center) masyarakat.
Antara program yang diadakan setakat ini termasuklah program promosi kesihatan seperti senamrobik, tarian poco-poco dan pendaftaran pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia.
Menurut Mohd. Rizal, bermula dengan aktiviti persembahan jazz dan blues pada hari Ahad terakhir setiap bulan, dia turut cuba mengadakan program-program lain di premisnya pada setiap hujung minggu.
"Pada setiap hari Sabtu dan Ahad melalui lembaga promosi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya bekerjasama mengadakan aktiviti senamrobik dan beberapa aktiviti kesihatan lain."
"Selain itu, saya turut membenarkan penduduk di sekitar Dagang Avenue melakukan aktiviti seperti mesyuarat penduduk, mengubah bunga, dan lain-lain lagi," katanya.
Kata Mohd. Rizal, premis perniagaannya mampu memuatkan seramai 500 orang dalam satu masa dan mempunyai 18 lot gerai makanan.
Antara gerai yang ada ialah, kedai masakan Thai, menu Barat, sate, laksa, stimbot dan banyak lagi.
"Di sini pelanggan dapat menjamu selera sambil berhibur malah, selain pemuzik jazz, pemuzik dari genre lain turut di alu-alukan bermain di pentas mini yang disediakan lengkap dengan sistem audio."
"Selain itu, pemuzik profesional dan terkenal sering melakukan persembahan di sini antaranya Fieldplayers, kumpulan Tilu dan Maulana," katanya.
Katanya, semua muzik yang dimainkan di sini lebih kepada irama yang sesuai untuk semua peringkat usia dari kanak-kanak sehingga warga emas.
"Setakat ini setiap kali persembahan diadakan tiada aduan diterima dan pihak Majlis Perbandaran Ampang Jaya menggalakkan setiap program diadakan selagi ia tidak melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya.
CONTACT INFO:
Komuniti Jazz Ampang > Rohaizad Hassan >> 017-2941774
Dagang Avenue > Mohd. Rizal Othman >> 016-2023896
Sumber: Kosmo! Online
1 comments:
Salam...I love jazz..Rasanya ianya cool...Sheila Majid, Shayna Zaid...
Post a Comment