ATTENTION !!!

Wednesday, June 2, 2010

Seni Pembuatan Angklung

(Post: Bahasa Melayu)
" Angklung adalah antara alat muzik yang mudah untuk dimainkan kerana si pemain hanya perlu menggoyangkan alat tersebut bagi menghasilkan bunyi. "

Bunyi terhasil daripada hantukan atau perlanggaran buluh-buluh yang bergetar dalam susunan nada dua, tiga hingga empat nada dalam setiap ukuran sama ada besar atau kecil.

Mungkin ramai yang biasa menyaksikan pemuzik bermain angklung secara solo atau berkumpulan tanpa mengetahui bagaimana rangka-rangka buluh itu dibuat.

Pembuat angklung, Tumian Muridan, 55, yang mesra dengan panggilan Abang Joe di kalangan penduduk Kampung Jaya Sepakat Baru, Batu 13, Skudai, Johor mengakui membuat angklung tidak semudah memainkan alat muzik itu.

Justeru, bagi orang luar seperti penulis dan jurugambar, soalan pertama yang ditanya kepada Abang Joe adalah apa relevannya buluh mini keyboard yang terdapat di sampingnya itu.

Soalan itu diutarakan kerana timbul perasaan hairan apabila menyaksikan Abang Joe meraut lubang buluh dan kemudian mengetuk buluh tersebut di atas setongkol kayu sambil tangan kirinya bermain mini keyboard.

"Sudah kerap kali saya mendengar soalan yang sama. Semua hairan apabila melihat saya mengetuk-ngetuk buluh kemudian mainkan mini keyboard ini."

"Saya perlu berbuat begitu kerana itulah caranya saya menala (menentukan bunyi) angklung. Ketika itu, telinga perlu tajam untuk mendengar ketukan buluh itu sama ada ia senada atau tidak dengan petikan mini keyboard," ceritanya.

Abang Joe berkata, semasa membuat penalaan, dia perlu berada dalam keadaan tenang kerana kemuncak menghasilkan angklung adalah ketika mencari penalaan yang tepat.

Menurutnya, jika angklung disiapkan tanpa mempedulikan penalaan, maka ia tidak boleh diguna dan perlu dibuat semula.

"Sebab itulah sukar untuk saya mendapat bantuan daripada orang lain. Kalau mereka nak bantu pun setakat meraut bilah buluh, apabila tiba bahagian bunyi, saya yang buat sendiri sebelum memasangnya," katanya.

Selain menitikberatkan soal penalaan, angklung tidak seperti alat muzik lain yang boleh dihasil dalam pelbagai warna untuk mendapatkan kelainan.

Menurutnya, sekiranya buluh-buluh tersebut disapu cat, bunyi asalnya akan hilang dan ia akan mencacatkan nada angklung.

"Memang cantik kalau dicat tapi bagi alat muzik angklung perlu mengekalkan warna asal buluh. Kalau nak cantik pun cat disapu pada tiang sahaja."

"Cukuplah sekadar sapu pengilat bagi mengelaknya daripada bubuk," katanya yang bertugas di Kompleks Belia dan Sukan di sini.

Menurut Abang Joe yang mendapat bekalan buluh dari Batu Pahat, hanya buluh semantan dan buluh hitam sahaja yang sesuai untuk dibuat angklung.

Sebelum dibuat angklung, Abang Joe perlu mengambil masa selama enam bulan untuk mengeringkan buluh yang telah ditebang.

Katanya, selepas ditebang, buluh-buluh tersebut perlu diletak untuk jemuran di tempat redup dan kemudian direndam dengan soda selama seminggu.

"Sejak awal saya memang dapat bekalan dari Batu Pahat kerana di sana sudah sedia ada pokok buluh yang tumbuh meliar. Saya juga ada menanam buluh di belakang rumah."

"Apabila tanam sendiri barulah tahu, buluh mengambil masa lebih kurang lima tahun untuk matang sebelum sesuai ditebang untuk dibuat angklung," ceritanya yang bermula sebagai pemain angklung ketika usia 15 tahun.

Hingga kini Abang Joe tidak pernah putus bekalan buluh kerana dalam sebulan dia hanya menghasilkan dua set angklung.

Abang Joe pernah menyertai kumpulan angklung Maya Puspita pada tahun 70-an sebagai konduktor muzik dan kini sering diundang untuk menjadi tenaga pengajar di sekolah dan Pusat Rakan Muda Johor.

Menurutnya, satu set angklung yang dihasilkannya dijual dengan harga RM2,800.

Set tersebut mahal kerana di bahagian atas terdapat 15 set angklung dan di bahagian bawah pula 22 set yang semuanya dihasilkan secara manual.

Abang Joe mengakui salah seorang pemimpin negara pernah membeli set angklung buatannya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::