Ekspedisi 4WD ke Lata Berembun
(Post: Bahasa Melayu)
" Ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4WD) ke air terjun Lata Berembun yang terletak kira-kira 24 kilometer (km) dari bandar Raub, Pahang baru-baru ini benar-benar menguji ketahanan mental dan fizikal seramai 20 peserta media yang terlibat. "
Peluang yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan itu bagai pucuk dicita ulam mendatang.
Lata Berembun dianggap sebagai kawasan air terjun yang unik dan mengasyikkan. Ia terbina jauh di dalam hutan.
Ketua ekspedisi, Mohd. Razali Maidin, 35, berkata, Lata Berembun merupakan salah satu daripada tujuh buah air terjun yang terdapat di Gunung Benum.
Tambahnya, sungai di gunung itu mempunyai tujuh tingkat air terjun dengan Lata Berembun berada di lokasi paling bawah.
Namun, walaupun paling bawah, kedudukannya pada ketinggian 914 meter dari paras laut itu menyebabkan suhu airnya sangat dingin.
Untuk sampai ke situ, pengunjung perlu menaiki kenderaan 4WD bagi meredah kawasan berbukit dan menyeberangi sungai.
Jarak dari Kampung Sungai Klau ke Lata Berembun ialah 14 kilometer tetapi masa yang diambil peserta untuk sampai ke sana mungkin berbeza.
Keindahan air terjun Lata Berembun yang mempunyai ketinggian 50 meter, kata Razali, pasti menggamit sesiapa saja untuk datang ke lokasi pelancongan itu.
"Asal-usul Lata Berembun mendapat namanya adalah daripada tempias air terjunnya seakan-akan embun pagi yang meliputi kawasan sekitar bukit walaupun pada waktu tengah hari."
"Untuk sampai ke sana perjalanannya tidak mudah sebaliknya cukup mencabar," katanya.
Jelas Razali lagi, untuk ke sana pengunjung tidak boleh menaiki kereta biasa kerana jalannya tidak rata, berlumpur, curam dan terpaksa menyeberang sungai yang dipenuhi batu-batu besar.
Peserta perlu melalui jalan kebun, dusun, kelapa sawit, tanah merah dan hutan.
Sebelum ekspedisi itu bermula, satu taklimat khas disampaikan Razali di dataran Kampung Sungai Klau. Ketika itu juga peserta diminta memakai jaket keselamatan.
Bayaran pakej
Tujuan memakai jaket keselamatan itu adalah bagi melindungi diri daripada tercedera jika terhempas kuat ke palang besi dan dinding kenderaan 4WD yang dinaiki ketika melalui laluan jalan balak.
Seorang pemandu kenderaan 4WD, Law Fook Poh, 47, berkata, perjalanan ke Lata Berembun mengambil masa dari 45 minit hingga dua jam.
"Ada dua trek yang digunakan untuk sampai ke situ. Trek pertama adalah laluan biasa yang mengambil masa kira-kira 45 minit."
"Jika anda inginkan lebih cabaran dan keseronokan, trek kedua akan jadi pilihan."
"Trek ini melalui jalan balak yang pertama kali diterokai kira-kira 30 tahun lalu. Ia dipanggil oleh para peminat sukan 4WD sebagai trek hardcore," katanya.
Katanya lagi, jika trek pertama mengambil masa 45 minit, mereka yang menaiki 4WD melalui trek kedua terpaksa berhempas-pulas selama dua hingga tiga jam sebelum sampai ke kawasan pinggir Lata Berembun.
Laluan itu amat mencemaskan. Adakalanya kenderaan yang dinaiki perlu mendaki bukit yang kecuramannya 45 darjah selain menempuh trek kecil yang terletak betul-betul di tepi jurang.
Jika nasib tidak baik, kenderaan terbabit terpaksa ditarik oleh 4WD yang lain untuk keluar daripada perangkap lumpur yang dalam.
Pada masa ini, kemudahan 4WD untuk membawa pelancong ke Lata Berembun disediakan oleh Countryview Recreation Park (Jeram Besu) Sdn. Bhd. yang beroperasi di Lot 1973 Jeram Besu Mukim Sega, Benta, Pahang.
Countryview Recreation Park memiliki 25 buah kenderaan pacuan empat roda yang menawarkan tambang di antara RM100 hingga RM300 untuk sebuah kenderaan.
Menurut Fook Poh, bayaran pakej itu turut membabitkan kemudahan pelampung dan upah mengawasi keselamatan ketika mandi-manda.
"Pengunjung boleh bertolak ke sana pada pukul 8 pagi dan keluar lewat petang."
"Jika ingin berkhemah dan bermalam di situ, mereka boleh menyewa khemah pada kadar yang berpatutan dengan pihak Countryview Recreation Park," ujarnya.
Selepas menempuh pelbagai laluan yang mencabar, akhirnya peserta rombongan sampai ke destinasi.
Namun, kelibat air terjun masih tidak kelihatan. Hanya kedinginan tempias air terasa menyambut ketibaan peserta.
Untuk ke tapak perkhemahan dan lokasi air terjun, peserta masih perlu berjalan kaki sejauh 200 meter.
Sementara itu, menurut Razali, air terjun paling bawah itu dapat membentuk lingkaran kabus sejauh 500 meter.
Katanya, dengan kedalaman air yang mencecah hingga empat meter, peserta perlu memakai jaket keselamatan ketika mandi walaupun mereka pandai berenang.
"Disebabkan airnya yang dingin, kejadian kaki kejang boleh berlaku dan ini sangat berbahaya."
"Justeru, dengan memakai jaket keselamatan, ia dapat membendung kejadian yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.
Sebagai langkah keselamatan, Razali meminta peserta supaya peka dengan kederasan air terjun yang sukar dijangka.
Ini kerana fenomena kepala air deras boleh berlaku pada bila-bila masa. Kejadian itu menyebabkan air tiba-tiba menjadi deras dan dalam hingga mampu meragut nyawa.
"Jika tiba-tiba kelihatan banyak sampah atau daun kering dibawa arus deras semasa mandi, pengunjung mesti naik ke atas kerana ada kemungkinan fenomena kepala air akan melanda," katanya.
Kedinginan air terjun
Perasaan teruja ketika pertama kali melihat air terjun Lata Berembun sukar untuk diungkap dengan kata-kata. Ia terlalu indah dan menyamankan.
Sejurus tiba, peserta tidak melepaskan peluang untuk merasai sendiri kedinginan airnya. Seorang demi seorang peserta terjun ke dalam air bagi menyegarkan tubuh yang kepenatan selepas mengharungi perjalanan yang jauh.
Bagi yang tidak mahu mandi, mereka bersantai di gigi air sambil merendam kaki dan menyusun batu-batu sungai.
Kedinginan air terjun terasa hingga ke tulang dan mereka yang mandi pasti menggigil kesejukan.
Selepas 30 minit menikmati kesejukan air terjun, seorang demi seorang peserta naik ke tebing bagi menikmati makan tengah hari sebelum menyambung semula sesi kedua mandi di air terjun itu.
Disebabkan kesuntukan waktu, peserta ekspedisi bertolak pulang awal kerana ada program lain di bandar Raub yang perlu dihadiri.
Untuk perjalanan balik, peserta perlu memegang lebih kemas palang besi dan badan kenderaan 4WD yang dinaiki berbanding semasa datang kerana laluan pulang lebih menjunam.
Keseronokan dan ketakutan yang bercampur menyebabkan ada peserta menjerit sekuat hati tatkala kenderaan menjunam atau menyenget.
Sejurus tiba ke dataran Kampung Sungai Klau, riak kegembiraan dan kepuasan tergambar pada wajah mereka. Ada juga peserta yang bercadang mahu kembali lagi pada masa akan datang.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment