ATTENTION !!!

Saturday, December 18, 2010

Projek Ladang Solar Greece

(Post: Bahasa Melayu)
" Anak lelaki dan cucu seorang petani, Spyros Papathanassiou menghabiskan kebanyakan masanya menjaga perniagaan pemprosesan minyak zaitun dan wain milik keluarga di pinggiran Asopia, sebuah perkampungan di utara Athens. "

Bagaimanapun masa depannya dilaburkan untuk sebuah kawasan berpagar yang kelihatan aneh di luar kampung berkenaan iaitu sebuah ladang berkeluasan 5,800 meter persegi yang dibangunkannya dengan modal hampir setengah juta euro (RM2.07 juta) tiga tahun lalu.

"Pendapatan melalui pertanian menjadi begitu terhad sejak beberapa tahun kebelakangan ini."

"Hakikatnya, pekerjaan ini tidak pernah memberikan keuntungan," kata bekas ketua kampung berusia 58 tahun berkenaan merujuk kepada pendapatan hasil pemprosesan zaitun.

Tahun lalu, usahawan dan pegawai kerajaan Greece menyiapkan ladang solar bernilai 450,000 euro (RM1,857,488) di sebuah kebun anggur yang tidak diusahakan kira-kira 96 kilometer (km) dari ibu negara itu.

Walaupun hampir tidak cukup untuk menjana kuasa loji air tempatan, ia cukup membantu keluarganya menambah pendapatan sampingan dengan menjual kuasa elektrik ke kawasan berdekatan. Papathanassiou berharap dapat membayar pinjaman banknya dalam masa empat atau lima tahun.

Dengan keadaan pertanian di Greece yang berdepan masa depan malap akibat kenaikan kos dan kejatuhan harga hasil pertanian, ribuan petani di negara itu mahu mencontohinya.

Modal Kewangan

Kira-kira 6,000 pemohon kini berebut-rebut menyertai sebuah program yang disokong kerajaan. Mereka memerlukan modal kewangan sendiri pada musim panas ini untuk membangunkan ladang solar di kawasan pinggir bandar Greek.

Program berkenaan menawarkan kedua-dua pihak iaitu petani dan pengendali bekalan elektrik negeri iaitu PPC yang mengawal kebanyakan pasaran tenaga sebagai satu penyelesaian sebuah kebuntuan.

Terbiasa bergantung kepada subsidi Kesatuan Eropah untuk hasil tanaman mereka, petani Greek enggan menghasilkan tanaman yang boleh didapati dengan lebih murah di kawasan lain seperti kapas dan tembakau.

Pemandangan petani yang sering marah, melonggokkan hasil tanaman yang tidak dimahukan di bangunan-bangunan kerajaan dan menghalang laluan lebuh raya dengan traktor mereka adalah sesuatu yang ingin dihapuskan kerajaan, terutamanya ketika hubungan dengan golongan berkenaan semakin rapat.

Greece kini bergelut dengan kemelesetan ekonomi yang teruk ekoran krisis hutang yang mengakibatkan negara berkenaan hampir-hampir mengalami muflis awal tahun ini.

Selain itu, PPC juga sudah terlalu lama bergantung kepada bekalan lignitnya iaitu sejenis arang batu berwarna coklat untuk menggerakkan tenaga generatornya.

Lignit adalah penyumbang pencemaran utama dan PPC, hampir separuh penghasilan kuasa elektriknya datang daripada arang batu berkenaan menjadikan Greece sebagai penyumbang kepada pelepasan karbon dioksida terbesar dunia.

Dengan pelaburan sel solar di Greece, sebuah negara yang mengabaikan persekitaran sejak beberapa tahun itu memberi harapan baru kepada petani dan syarikat pembekal tenaga.

Bagi PPC, ia adalah peluang untuk memadam sejarah hitamnya sambil membantu negara mencapai kuota pembaharuan tenaga yang ditetapkan pada kadar 20 peratus bagi pengeluaran elektrik negara sehingga akhir tahun ini.

Para petani bagaimanapun mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan mereka yang semakin berkurang melalui sumber dana yang stabil tanpa memerlukan tenaga kerja yang banyak dan waktu bekerja mengikut giliran.

Pendapatan Merudum

"Ini adalah peluang terakhir untuk melakukan pelaburan yang serius dalam sektor pertanian di Greece," kata aktivis kesatuan petani, Vassilis Kollias.

"Pendapatan pertanian telah merudum antara 40 hingga 50 peratus sejak 15 tahun lalu."

"Kebanyakan petani yang bekerja sepenuh masa berusia lebih 50 tahun dan mereka tidak mempunyai seseorang yang mahu mewarisi pekerjaan itu. Mereka tidak mempunyai apa-apa lagi yang ingin dicari," katanya.

Kementerian Persekitaran Greek berkata, pihaknya akan membenarkan kapasiti sebanyak 2.200 megawatt (MW) tenaga solar sebagai bahan bakar pada tahun 2020. Sehubungan itu, petani diberikan perkongsian sebanyak 750 megawatt.

Bagi mencapai sasaran maksimum 100 kilowatt kuasa dari setiap ladang solar, bermakna kerajaan negeri dapat memberikan mereka sehingga 7,500 lesen pengeluaran.

Selain sambutan pemohon melebihi kapasiti yang dibenarkan, para petani juga berdepan dengan kesulitan yang tidak diduga.

Salah satu tanda kebimbangan mereka ialah harga bekalan elektrik pada ketika ini ialah 40 sen setiap jam kilowatt di Greece, telah jatuh kepada 25 sen di negara jiran Sepanyol. Satu program yang serupa telah dijalankan di sana, kata Kollias.

Ia sekali gus mengurangkan keghairahan ketika ini apabila modal permulaan yang diperlukan sekurang-kurangnya 25,000 Euro (RM103,157) sehingga 80,000 Euro (RM330,101), ditambah pinjaman bank.

Selain itu PPC juga tidak menyalurkan bekalan elektrik ke semua kawasan pedalaman yang mahu menyertai program berkenaan, tambahnya.

"Ia adalah idea yang bagus, tetapi ia telah dilakukan dengan tergesa-gesa," kata Kollias.

Kebanyakan pemohon yang berminat adalah dari rantau barat Greece di Agrinio kerana ramai petani tembakau terpaksa bertungkus-lumus ekoran pemansuhan subsidi EU.

"Kami mempunyai ramai pengeluar tembakau yang hilang punca pendapatan, jadi mereka mempunyai minat yang berganda," kata penyelia projek solar di ladang kerjasama Agrinio yang telah menerima lebih 500 permohonan, Penelope Sidira.

"Selain itu, tidak banyak yang tinggal untuk mereka di sini," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::