ATTENTION !!!

Thursday, June 9, 2011

Kafe Kasih Bonde

(Post: Bahasa Melayu)
" Melangkah masuk ke kedai makan di Bandar Mahkota Cheras, Kajang, Selangor ini, irama lagu-lagu klasik 1950-an pantas menangkap gegendang telinga. Ia turut mengingatkan kepada zaman kegemilangan seniman agung Allahyarham Tan Sri P. Ramlee. "

Di dinding restoran, terpampang gambar P. Ramlee dan Saloma. Terdapat juga alatan muzik seperti gramofon yang menjadi kemegahan pada zaman itu.

"Sememangnya restoran ini mampu mengimbau kenangan kepada zaman P. Ramlee. Lihatlah gramofon dan gambar-gambar seniman itu di sini," Aziera Hazman, 18, memulakan cerita.

Aziera ialah anak kepada pemilik Kafe Kasih Bonde, Rozita Mohd. Darus, 43, yang dipanggilnya bonda. Menurut Aziera, gaya klasik restoran itu adalah ilham ibunya yang mendapat inspirasi selepas mengumpul barangan antik seperti seterika, gong dan mangkuk tingkat.

Klasik

"Bahkan jam dinding klasik serta bingkai gambar ketika bonda berkahwin juga sengaja digantung."

"Warna gambar hitam putih dengan bingkai kayu jati dengan ukiran bunga itu menyuntik keterujaan setiap kali teringat zaman dulu-dulu," katanya sambil membelek telefon lama yang masih lagi berfungsi.

Kata Azeira, ibunya bukan seorang peminat tegar filem atau lagu P. Ramlee tetapi kecintaannya terhadap seni zaman dahulu memang tinggi.

Semestinya restoran ini banyak menggunakan elemen klasik. Selain warna coklat, elemen kayu jati boleh dilihat di kaunter bayaran, bingkai gambar serta pondok khas permainan congkak.

"Walaupun kipas dan lampu lebih moden, ukiran bunga timbul dan warna coklatnya mirip ke arah gaya klasik. Malah, lantai kafe ini juga menggunakan material batu marmar campuran warna coklat dan krim," terang Aziera.

Karaoke

Menjengah ke setiap ceruk Kasih Bonde, pasti ada hiasan lama yang menyerikan ruang. Di sesetengah sudut, pelanggan akan berasa seolah-olah berada di muzium mini.

Jelas Aziera, kebanyakan barangan antik itu diperoleh ibunya yang tidak lokek berbelanja demi minatnya itu.

"Semua barangan antik ini dibeli dari kedai barangan antik di Perak dan Melaka. Gambar-gambar lama, bingkai dan salinan kad pengenalan P. Ramlee pula bonda beli daripada kenalan rapatnya."

"Kesemua barangan itu dijaga rapi. Dalam seminggu sebanyak dua kali pekerja diarahkan mengelap habuk dan memastikan ia tersusun cantik," terang Aziera.

Duduk di ruang berhawa dingin di kafe ini, pelanggan seakan-akan berada di sebuah muzium. Mata sudah tentu terleka memerhatikan pelbagai koleksi seperti bekas rokok, majalah lama dan tepak sireh.

Terdapat juga beberapa buah almari lama yang mempunyai pintu kaca yang dibeli khas untuk menyimpan dulang dan mangkuk tingkat.

Selain menghidangkan pengunjung dengan dekorasi yang unik, mereka juga disajikan dengan pilihan menu makanan yang menggunakan ramuan tradisional.

"Kami menyediakan beberapa menu istimewa seperti asam pedas dan gulai tempoyak menggunakan bahan-bahan asli."

"Kami juga menumbuk cili dengan cara tradisional untuk mengekalkan rasanya," terang Aziera sambil menambah, kafe ini menerima ramai pelanggan berketurunan Cina.

Restoran ini turut menyediakan perkhidmatan karaoke pada hujung minggu. "Antara lagu yang kami sediakan sudah semestinya lagu-lagu zaman P. Ramlee."

"Pengunjung Cina juga tidak ketinggalan berhibur dengan irama nostalgia ini," katanya yang memberitahu, pelanggan dikenakan bayaran RM2 sahaja untuk sebuah lagu.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::