ATTENTION !!!

Saturday, June 11, 2011

Pusat Latihan Kemahiran Septronic

(Post: Bahasa Melayu)
" Sebaik mendengar taklimat ringkas daripada guru kursus automotif berkaitan ujian yang bakal dijalankan, beberapa pelajar pantas mencapai peralatan masing-masing lalu menuju ke empat buah kereta yang telah disediakan. "

Salah seorang daripadanya bernama Gogulakrishnan Balakrishnan yang berasal dari Ipoh, Perak. Remaja berusia 20 tahun itu kelihatan bersemangat untuk melaksanakan ujian berkaitan memperbaiki sistem penyerap hentakan (absorber) kereta.

Hari itu, Gogulakrishnan diberi peluang membaiki kerosakan absorber bahagian depan kereta Proton Waja 1.6 berwarna perak.

Meskipun tidak mempunyai keputusan akademik yang cemerlang, namun anak bongsu daripada empat adik-beradik itu berjaya menunjukkan kemampuan dalam kerja-kerja berkaitan bidang automotif. Kini, dia merupakan pelajar Sijil Kemahiran Automotif Tahap II di Pusat Latihan Kemahiran Septronic (SSTC).

"Saya seronok mengikuti kursus kemahiran yang ditawarkan di sini. Walaupun saya pernah gagal dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi, peluang belajar di SSTC boleh menjadikan saya individu yang berdikari."

"Tambahan pula, sejak di sekolah saya memang meminati bidang automotif. Justeru, apabila melihat terdapat kursus kemahiran automotif turut ditawarkan di pusat ini, saya tidak teragak-agak untuk mengikutinya," kata Gogulakrishnan kepada Kosmo! ketika ditemui di kampus utama SSTC yang terletak di Bukit Beruntung, Selangor.

Menurut Pengarah Urusan SSTC, Abdul Rashid Nopiah, antara objektif utama pusat tersebut diwujudkan adalah untuk membantu dan mendorong pelajar yang lemah dalam akademik agar dapat menguasai kemahiran tertentu sekali gus mampu bersaing di pasaran kerja.

"Sejak ditubuhkan pada tahun 2003, SSTC telah melahirkan 1,200 pelatih yang berkualiti dan berjaya memperoleh pekerjaan dalam bidang kemahiran masing-masing sama ada dalam sektor awam mahu pun swasta," jelas beliau sambil memberitahu pusat tersebut mendapat akreditasi daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) di bawah Kementerian Sumber Manusia sejak 2 Januari 2003.

Apa yang pasti, SSTC mempunyai visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dan latihan dalam kejuruteraan dan hospitaliti.

Institusi itu juga berazam melahirkan pelatih yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selari dengan falsafah pendidikan kebangsaan.

Terdapat enam kursus kemahiran yang ditawarkan SSTC iaitu automotif, pengetuk panel kenderaan rendah, penyembur cat, elektrikal, pastri dan penyelia makanan atau minuman (pramusaji).

Setiap kursus mempunyai tiga tahap dengan bagi Sijil Kemahiran Tahap I dan II, tempoh pembelajaran mengambil masa selama enam bulan manakala Sijil Kemahiran Tahap III dalam tempoh setahun.

Pengetua SSTC, Sugunadevi Arjunan, 48, berkata, pengambilan pelajar bagi mengikuti kursus yang ada dilakukan sebanyak empat kali setahun.

Uniknya, mereka bukan sekadar menyasarkan pelajar dalam kalangan remaja lepasan sekolah untuk mengikuti kursus tersebut, bahkan golongan ibu tunggal atau individu menganggur yang mahu mempelajari kemahiran yang diminati juga amat dialu-alukan.

"Dalam aspek ini kami bersikap terbuka kerana mahu memberi peluang kepada sesiapa sahaja yang mahu mengembangkan bakat dan potensi diri untuk masa depan yang gemilang."

"Malah, SSTC boleh dianggap sebagai alternatif utama bagi mereka yang lemah atau tidak berminat menyambung pelajaran dalam bidang akademik," ujar Sugunadevi yang memainkan peranan penting dalam mengasaskan penubuhan SSTC sebagai respons terhadap kekurangan profesional teknikal terlatih dalam industri vokasional.

Sejarah Penubuhan

Pada mulanya Septronic hanya menawarkan kursus Mekanik Kenderaan Motor pada tahun 2003 di Selayang, Selangor dengan 13 pelajar perintis.

Dua tahun kemudian, lokasi pusat tersebut berpindah ke Jalan Ipoh di Kuala Lumpur apabila satu lagi kursus tambahan iaitu elektrikal diwujudkan.

Di samping itu, apabila menyedari industri pelancongan Malaysia semakin berkembang dan permintaan terhadap kakitangan dalam penyediaan makanan dan minuman (F&B) dan kursus pastri meningkat, Sugunadevi terus mengambil langkah proaktif memulakan kursus-kursus berkaitan.

Keadaan itu mendorong beliau untuk mencari lokasi yang lebih sesuai di Sentul Raya bagi menyediakan pembelajaran yang kondusif buat pelajar yang mengikuti kursus kemahiran di bawah kelolaan SSTC.

"Tahun lalu, SSTC berpeluang menjalin kerjasama dengan syarikat dari Amerika Syarikat, ICAR International untuk menjalan kursus pengetuk panel dan penyembur cat yang secara tidak langsung meluaskan lagi skop pembelajaran kemahiran di sini," katanya yang berhasrat menjadikan SSTC sebagai pusat sehenti bagi kursus-kursus kemahiran.

Kampus utama SSTC di Bukit Beruntung ini baru sahaja beroperasi sejak dua bulan lalu. Ia mempunyai pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gelanggang badminton, futsal, sepak takraw, perpustakaan, surau dan kafe.

Mereka yang berminat mengikuti kursus-kursus yang ditawarkan di SSTC turut diberi kemudahan penginapan di apartmen yang terdapat di kampus tersebut.

Tenaga pengajar pula terdiri daripada golongan profesional yang berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Antaranya seperti guru dari Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat), Institut Latihan Perindustrian (ILP), Pusat Latihan Pengajar & Kemahiran Lanjutan (CIAST) dan mereka yang terlibat dalam industri berkaitan.

Untuk maklumat lanjut mengenai SSTC layari laman web SSTC atau hubungi talian 03-40452468.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::