ATTENTION !!!

Tuesday, March 8, 2011

Otak-Otak Batu Pahat

(Post: Bahasa Melayu)
" Walaupun hanya berbekal Sijil Rendah Pelajaran (SRP), ia bukan jalan buntu bagi kehidupan Shukor Mansor, 35 yang berasal dari Semerah, Batu Pahat, Johor. "

Ekoran pendidikan yang tidak tinggi, Shukor mula berdikari dengan bekerja sebagai penebar roti canai di warung.

Pada masa sama dua mula mengikut kawan yang bekerja di sebuah syarikat pengeluar otak-otak terkemuka di negeri Johor.

Minat yang mendalam dalam pembuatan otak-otak membawa Shukor menghadiri pelbagai kursus penghasilan produk berkenaan dan keusahawanan anjuran pelbagai agensi kerajaan di Batu Pahat dan Johor Bharu, Johor serta Melaka.

Hanya berbekal minat yang mendalam dan sedikit modal, Shukor memulakan perniagaan otak-otaknya sendiri di Batu Pahat pada tahun 2006.

Ketika itu dengan modal RM3,000, Shukor membeli sebuah peti sejuk beku sebagai tempat menyimpan produk otak-otaknya.

Bagi memudahkan operasi perniagaan, Shukor mendaftarkan perniagaan di bawah nama Sinar Shukor Enterprise dengan jenama Otak-Otak Batu Pahat.

"Pada mulanya memang sukar untuk mendapat kepercayaan pelanggan kerana produk saya masih baru," katanya semasa ditemui di rumahnya di Parit Kuda, Semerah, Batu Pahat, Johor.

Bagaimanapun dengan galakan daripada ahli keluarga, saudara mara dan sahabat semakin menyemarakkan semangatnya.

Tambahan pula dia boleh mendapatkan bahan-bahan mentah daripada masyarakat di sekitar Batu Pahat.

Misalnya Shukor, anak ketiga daripada enam beradik mendapat bekalan daun nipah daripada sepupunya Zamzam Jabir, 42, dari Kampung Muhibbah, Batu Pahat.

Daun nipah yang didapati di tepi sungai Batu Pahat diproses sepanjang enam inci sebelum dibekalkan kepada Shukor bagi industri perniagaan otak-otaknya.

Setiap hari Zamzam membekalkan sekitar 40 bakul dengan satu bakul seberat 10 kilogram (kg).

Manakala bahan mentah lain seperti santan kelapa, herba dan rempah-ratus bermutu tinggi dibeli daripada pembekal di sekitar kejiranannya.

Kini Shukor memerlukan 60 kg santan dan 20 kg lagi bahan campuran lain termasuk rempah ratus dan herba bagi ramuan otak-otaknya.

Bagi mendapatkan rasa yang lain dari yang lain, Shukor mendapatkan ikan tenggiri segar daripada nelayan berhampiran.

Setelah setahun memulakan operasi, perniagaannya semakin meningkat sehingga beliau terpaksa menambah lima buah peti sejuk beku setiap tahun.

Setahun kemudian pada tahun 2008, Shukor mula 'menghampiri' Agrobank berhampiran tempat tinggalnya bagi menambahkan modalnya.

"Ketika itu saya memohon pinjaman MUST Normal sebanyak RM10,000 bagi menambah bilangan peti sejuk beku," katanya.

Kali kedua pada tahun ini, beliau mendapat pinjaman MUS1M-i sebanyak RM20,000 daripada Agrobank.

Permintaan otak-otak yang semakin meningkat setiap hari daripada peniaga pasar malam, bazar ramadan, ekspo, restoran serta orang perseorangan di Batu Pahat, Muar, Melaka serta Kuala Lumpur menyebabkan Shukor perlu menambahkan bilangan peti sejuk bekunya.

"Secara purata saya menambah lima buah peti sejuk setahun dan kini saya mempunyai 35 buah peti sejuk untuk menyimpan 15,000 keping otak-otak sehari," katanya yang mempunyai lebih 10 orang pekerja.

Bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkatkan, Shukor merancang meningkatkan kapasiti pengeluarannya dengan membina kilang di atas tanah milik keluarganya.

"Ini bagi memenuhi permintaan yang semakin bertambah setiap hari," katanya sedang dalam proses mendapatkan khidmat nasihat daripada agensi berkenaan berkaitan dengan modal dan operasi kilangnya.

Biasanya otak-otak akan disimpan di dalam peti sejuk beku secara berdiri sehari semalam sehingga beku sebelum diedarkan kepada pelanggan.

"Ini bagi mengelakkan otak-otak cepat rosak," katanya.

Ditanya mengenai keistimewaan produknya, Shukor berkata maklum balas daripada pelanggan amat penting.

"Ramai pelanggan yang sukakan rasa rempah dan pedas otak-otak keluaran saya," katanya yang berpegang kepada prinsip minat, usaha dan modal untuk berjaya.

Apalah yang lebih membanggakan, kini Sinar Shukor Enterprise banyak membangunkan ekonomi sekitar kawasan Batu Pahat bagi bahan mentah dan tenaga kerja tempatan.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai otak-otak Batu Pahat boleh berkunjung ke Parit Kuda, Batu Pahat atau menghubungi Shukor di talian 019-7650713.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::