FnD Mindspot
(Post: Bahasa Melayu)
" Selepas seharian bekerja, rasa penat pasti menyelinap di dalam diri. Kesesakan lalu lintas ketika memandu untuk pulang ke rumah, menambahkan lagi bebanan di fikiran. "
Namun, pernahkah anda membayangkan untuk merehatkan minda sambil bermain pelbagai jenis permainan yang menyeronokkan di bawah satu bumbung?
Jika anda berkunjung ke FnD mindspot, kepenatan yang dialami akan hilang.
Pada masa yang sama anda akan tenggelam dengan keasyikan bermain puluhan jenis permainan yang menguji minda.
Menurut pengasasnya, Effendy Norzaman, 39, penubuhan FnD mindspot bermula dengan ilham sendiri apabila selalu melakukan perkara yang sama iaitu melepak kedai mamak.
"Saya memang selalu lepak di sana bersama rakan-rakan. Sambil minum teh tarik kami akan menonton perlawanan bola sepak yang ditayangkan melalui skrin besar."
"Paling tidak pun, saya akan bermain karom atau catur. Lama-kelamaan saya terfikir, takkanlah tiada benda lain yang boleh dibuat sewaktu melepak bersama rakan."
"Memandangkan saya mengenali beberapa kumpulan yang gemar bermain dart, catur dan sebagainya, maka dari situlah lahirnya idea untuk mewujudkan FnD mindspot ini," jelas Effendy ketika ditemui Kosmo! di Taman Tun Dr. Ismail.
Beroperasi sejak lima bulan lalu, FnD mindspot menawarkan lebih 100 permainan menarik yang menguji minda sekali gus melepaskan tekanan selepas seharian bekerja.
Malah, lokasi itu juga sesuai untuk pelanggan bersantai bersama keluarga dan teman-teman kerana ambiennya selesa.
Terdapat beberapa kategori permainan yang disediakan iaitu permainan papan seperti monopoli, risk, cluedo, acquire dan carcassonne; indoor seperti catur, catur cina, karom, dart, ludo dan jega; permainan gergasi (jenga, pick up stick, catur, snake & ladder, dominoes dan connect 4); klasik (congkak, batu seremban, bola tekan dan tutup botol) manakala puzzle atau brain teaser merangkumi kiub rubik, logic puzzles dan sudoku.
Tempahan majlis
Tambah Effendy, pihaknya juga menerima tempahan untuk sebarang majlis seperti sambutan hari lahir, mesyuarat, sesi bina diri atau hari keluarga korporat.
"Selain itu, pelanggan yang datang ke sini boleh memesan minuman dan snek ringan yang disediakan di samping melayari Internet kerana kami turut menawarkan kemudahan WiFi," jelas bapa kepada dua cahaya mata itu.
Sementara itu, pekerja Fffendy, Dzul Hajain, 23, memberitahu, sewaktu kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 yang berlangsung sepanjang Jun dan Julai lalu, premis tersebut dibuka hingga lewat pagi.
Jika pada hari biasa, FnD mindspot beroperasi dari pukul 12 tengah hari hingga 12 malam, namun sepanjang kejohanan empat tahun sekali itu, tempoh operasi dilanjutkan atas permintaan pelanggan.
"Ramai yang datang bersantai sambil menonton perlawanan bola sepak yang disiarkan secara langsung di saluran Astro."
"Kadang-kadang sambil menunggu rancangan bermula, pelanggan akan bermain beberapa jenis permainan bersama rakan-rakan," kata Dzul yang turut membantu menunjukkan cara-cara bermain sesetengah permainan yang kurang diketahui oleh pelanggan.
Tambah Dzul, pelanggan yang datang kali pertama sering meminta pendapatnya untuk memilih permainan. Tetapi, kepada pelanggan yang selalu berkunjung ke FnD mindspot, mereka tahu permainan yang ingin dicuba.
"Berdasarkan pengalaman saya, pelanggan yang baru mengenali FnD mindspot akan datang semula untuk meneroka keseronokan pelbagai jenis permainan yang ditawarkan," ujarnya sambil menunjukkan salah satu koleksi permainan Risk iaitu strategi perang yang memakan masa selama sehari untuk menghabiskannya.
Bagi mereka yang berminat merasai suasana bermain di premis dua tingkat itu, terdapat beberapa pakej yang disediakan oleh pihak pengurusan FnD mindspot.
Antaranya ialah pakej 1 Hour Fun, 2 Hour Fun dan 3 Hour Fun. Untuk pakej satu jam, bayaran yang hanya dikenakan RM30 setiap meja dengan empat minuman percuma.
Bermain tanpa had
Ini diikuti pakej dua jam dengan bayaran RM50 setiap meja yang dihidangkan empat minuman percuma. Bagi pakej tiga jam iaitu bayarannya RM70 setiap meja, empat minuman percuma disediakan dan tiada bayaran tambahan jika mahu menyambung permainan ke jam berikutnya.
Kesemua pakej itu memberikan pengalaman bermain yang tanpa had untuk setiap pelanggan. Jadi, kepada anda yang meminati dunia permainan tanpa had itu, jangan ketinggalan untuk merasai pengalaman mengujakan di FnD mindspot.
Kepada pelanggan yang tidak mahu bermain, anda boleh meluangkan masa membaca variasi majalah dan bahan bacaan yang disediakan di premis berkenaan.
Daripada majalah sukan, hiburan dan akhbar arus perdana, semuanya ada di sana. Malah, jika penat bermain, tak salah rasanya jika anda beralih untuk membaca pula sebelum menyambung permainan yang lain.
Sekali anda berkunjung ke premis itu, pasti hati akan tertawan sekali gus menjadikan ia sebagai lokasi lepak dan santai bersama teman-teman.
Sumber: Kosmo! Online
1 comments:
Salam friend, kunjungan balik.. tulisannya sangat bagus friend.. senang berkunjung ke sini :)
Post a Comment