ATTENTION !!!

Friday, September 24, 2010

Tapai Pulut Sarimah

(Post: Bahasa Melayu)
" Pada zaman dahulu banyak pantang larang yang perlu dipatuhi dalam proses pembuatan pencuci mulut, tapai. Antaranya si pembuat tidak boleh makan sirih atau mendekatkan diri dengan benda-benda yang berwarna merah. "

Mengikut kepercayaan, jika pantang larang itu diingkari, tapai yang berwarna putih itu akan berubah warnanya menjadi merah dan rasanya kurang enak.

Kepercayaan itu juga termasuklah si pembuat tapai tidak boleh makan makanan yang masam ketika membungkus kerana ia akan menyebabkan rasa tapai berubah menjadi masam.

Hari ini, tapai yang dianggap sebagai makanan tradisional bukan hanya dihidangkan pada majlis-majlis keraian di kampung-kampung bahkan ia juga dihidangkan di kebanyakan hotel bertaraf lima bintang.

Perniagaan tapai pulut Sarimah misalnya, turut mematuhi beberapa banyak pantang larang ketika proses pembuatan tapai.

Tampil dengan slogan iaitu 'Anda Akan Menjadi Penggemar Sejati', tapai pulut Sarimah menawarkan tiga perisa tapai yang berbeza. Tapai yang terbahagi kepada tiga jenis perisa itu terdiri daripada perisa pandan dengan pembalutnya berwarna hijau, perisa ros berwarna merah dan warna semula jadi untuk perisa asli.

"Idea untuk menghasilkan tapai tiga perisa ini adalah hasil perbincangan bersama isteri, Sarimah Rashid, 38, yang mahukan kelainan berbanding tapai-tapai yang sedia ada di pasaran," kata pemilik perusahaan dan pengawetan tapai pulut Sarimah, Abdul Aziz Jais, 52.

Menurut Abdul Aziz, pembuatan tapai menuntut ketelitian yang tinggi bagi mengekalkan rasa manisnya. Cara membuat tapai pulut ialah pulut perlu dicuci bersih dan direndam semalaman.

Selepas itu pulut tersebut dikukus selama satu jam. Semasa dikukus, pulut perlu direnjis dengan air supaya ia cepat masak.

Selepas hampir satu jam, pulut tersebut diletakkan di atas troli beralaskan plastik pada suhu 35 darjah Celsius.

Pada suhu yang disifatkan sebagai suam-suam itu, taburkan ragi di atas pulut. Pulut tersebut kemudiannya sedia dibungkus dengan kertas dan ditimbang untuk dimasukkan ke dalam kotak.

"Kami lebih selesa menggunakan plastik sebagai alas dan dibalut dengan kertas warna mengikut perisa. Bungkusan-bungkusan pulut itu dimasukkan ke dalam kotak dan sedia untuk dijual," katanya.

Ujar Abdul Aziz, walaupun tiada pantang larang tertentu dalam pembuatan tapai pulutnya, tidak bermakna dia tidak mengamalkan pantang larang orang dulu-dulu.

"Apa yang paling penting dalam proses pembuatan tapai pulut ialah kebersihan dan cara kerja yang teliti kerana tapai pulut ini boleh dikatakan sebagai makanan yang sangat sensitif kepada si pembuatnya," katanya.

Selepas empat tahun mencuba, membuat dan menjalankan perniagaan menjual tapai perisa asli dan pandan, Abdul Aziz dan isteri merasakan mereka perlu mencuba sesuatu yang baru bagi menarik perhatian orang ramai.

Tambahnya, sebelum ini tapai aiskrim dan tapai ubi selalu menjadi sebutan. Orang ramai hanya dapat merasa dua perisa tersebut selain daripada perisa asli dan pandan.

Bagi memberi kelainan kepada penggemar tapai, Abdul Aziz, isteri dan pekerjanya bersetuju untuk mencipta perisa baru iaitu tapai pulut ros.

Selain rasa yang manis, tapai pulut itu juga berbeza daripada tapai-tapai yang lain. Bahkan, tapai perisa tersebut juga mendapat permintaan yang tinggi khususnya untuk majlis-majlis keraian.

Kepada mereka yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi talian 06-3853041 atau terus ke Lot 2635, Kampung Air Hitam Pantai, Tanjung Bidara, Masjid Tanah, Melaka.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

IkaAR September 24, 2010 at 12:45 PM  

tapai pulut is my favorite especially masa2 raya.. pagi2 raya bangun tido je terus mkn tapai dulu... best giler

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::