ATTENTION !!!

Sunday, February 15, 2009

Sajian Puyuh Bentara

(Post: Bahasa Melayu)
"Salah satu keistimewaan kita ialah hampir kesemua menu makanan dilengkapi dengan puyuh. Burung puyuh dijadikan masakan utama, malah boleh dikatakan kita tidak mencampur daging lain seperti lembu atau ayam di dalam hidangan. Daging puyuh yang disediakan pula diperoleh secara segar dari ladang sendiri."

Kesegaran aroma nasi puyuh panas mungkin menjadi faktor Restoran Puyuh Bentara terus dapat bertahan lama.

Walaupun telah beroperasi sejak empat tahun lalu, ia terus diburu pelanggan tetap kerana 'trademark' hidangan pelbagai masakan puyuh dan nasi panasnya.

Pengusahanya, Zakaria Haron, 52, memberitahu, restoran mereka agak sinonim di kalangan masyarakat sekitar Kedah selatan dan Pulau Pinang.

Menurut Zakaria, antara menu popular yang disajikannya ialah nasi puyuh, sup herba puyuh, nasi goreng puyuh, kari puyuh dan mi puyuh.

"Namun, sajian yang paling popular di kalangan pelanggan ialah puyuh goreng ala-ala restoran makanan segera," katanya.

Menceritakan penglibatannya dalam bidang tersebut, bekas Sarjan Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu berkata, beliau memulakan ternakan berkenaan secara sambilan di kawasan belakang rumahnya seluas 0.75 hektar di Kampung Batu 8 1/2 sejak tahun 1994.

"Setelah bersara pada 1996, dengan menggunakan sebahagian wang ganjaran berjumlah hampir RM30,000, saya membesarkan lagi reban ternakan dan menambah jumlah ternakan," katanya.

Kata Zakaria, kini ternakan berkenaan diswastakan kepada kenalannya manakala beliau sendiri mengambil alih tugas membekalkan daging puyuh segar dan mengusahakan Restoran Puyuh Bentara.

"Ia kini dibantu oleh isteri Siti Zauyah Darus dan anak-anak serta sanak-saudara saya," jelasnya.

Berkenaan dengan waktu operasi restoran tersebut, katanya, "Saya memilih berniaga pada waktu malam kerana ia merupakan masa sesuai bagi pelanggan yang berumah tangga membawa ahli keluarga mereka makan di sini."

Katanya, para pelanggannya terdiri daripada pelbagai kaum dan setiap hari kira-kira 300 hingga 500 ekor puyuh berjaya dijual.

"Di samping urus restoran, saya membekal antara 1,000 hingga 2,000 ekor puyuh kepada pengusaha restoran nasi kandar sekitar Kedah dan Pulau Pinang setiap hari."

"Selain itu, saya juga menyediakan perkhidmatan katering makanan berasaskan puyuh hampir setiap minggu," katanya.

INFO:
Restoran Puyuh Bentara
Lokasi: Batu 8 1/2, Jalan Padang Serai-Lunas, Kedah

Waktu operasi: 5 petang hingga 11 malam

Telefon: 019-5629340 (Zakaria) atau 017-5588462 (Siti Zauyah)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::