ATTENTION !!!

Showing posts with label minyak kelapa dara. Show all posts
Showing posts with label minyak kelapa dara. Show all posts

Monday, January 17, 2011

Khasiat Urutan Tanduk Seladang

(Post: Bahasa Melayu)
" Rawatan urut tradisional merupakan amalan turun-temurun di kebanyakan negara di Asia malah kemampuan teknik itu kini mulai diterima di negara Barat berikutan keberkesanannya yang diiktiraf sains perubatan moden. "

Urutan juga merupakan satu daripada cabang perubatan cara Islam manakala segelintir masyarakat menganggapnya sebagai perubatan alternatif.

Secara amnya, ia sesuai bagi merawat apa juga penyakit, sama ada penyakit baru atau sudah lama dihidapi, yang ringan mahupun yang kronik.

Selain mengatasi masalah terseliuh, kebas atau membetulkan perjalanan darah, teknik urut turut dikaitkan dengan rawatan mengembalikan kesihatan dan tenaga seksual lelaki terutama bagi wanita selepas bersalin.

Bagaimanapun, urutan yang menggunakan tangan sepatutnya dilakukan oleh mereka yang mahir dan profesional kerana jika tidak mengikut prosedur, urutan boleh memudaratkan.

Namun, urutan menggunakan tangan sahaja tidak mencukupi kerana sentuhan itu kemungkinan kurang berkesan serta pesakit tidak merasa puas walaupun teknik yang digunakan betul.

Justeru, bagi seorang pengamal urutan tradisional dari utara tanah air, Baharom Yunus, berjaya mengenal pasti kaedah lebih berkesan bagi tujuan mengurut.

Yunus yang mesra dikenali sebagai Pak Jang menjelaskan, penggunaan tanduk seladang betina serta beberapa peralatan lain.

Khasiat Tanduk Seladang

Pak Jang menambah, urutan menggunakan jari-jemari sahaja kurang praktikal berbanding penggunaan peralatan khas yang dibuat sendiri atau dibeli.

Katanya tanduk seladang betina yang diperoleh dari Indonesia digunakan dalam teknik urutannya yang dikajinya sejak 20 tahun lalu.

"Sebelum mengurut saya akan menggunakan jari-jemari yang bertindak seperti alat 'pengimbas' untuk mengenalpasti anggota badan yang mengalami masalah urat."

Selalunya bahagian yang mempunyai banyak benjolan merupakan kawasan yang perlu diberi perhatian.

"Peralatan seperti tanduk seladang betina yang dibentuk seperti sudu digunakan bagi memecahkan bahagian saluran tersumbat yang berpunca daripada darah beku, lemak dan angin dengan bantuan minyak khas."

"Selagi terdapat permukaan tidak rata maka selagi itulah urutan dibuat. Apabila saluran bermasalah dirungkai dengan betul, aliran darah akan mengalir secara normal kembali," katanya sambil mengurut seorang pelanggan menggunakan teknik tanduk seladang betina di Pondok Rawatan Nusantara (PRN) di Sungai Petani, Kedah.

Namun, bagi mereka yang tidak mahir dengan teknik berkenaan, dia menyarankan agar tidak sesekali mencubanya kerana khuatir boleh memudaratkan pesakit.

Paling penting katanya, urutan mesti sesuai dengan kaedah, tempat, kemampuan serta sensitif pada bahagian yang tidak boleh diurut.

Jelas lelaki yang kini menjangkau usia 63 tahun itu, teknik urutan yang diamalkannya seakan-akan terapi guasa dari China tetapi ia tidak terlalu ekstrem sehingga boleh meninggalkan garisan merah pada tubuh pesakit.

"Bagaimanapun, bahagian paling sakit dalam teknik ini apabila saluran darah tersumbat ditekan, tetapi kesannya selepas itu memang tidak sakit malah ada pesakit yang dipimpin sebelum rawatan mampu berjalan sendiri selepas diurut," katanya.

Akuinya, setakat hari ini teknik berkenaan hanya boleh didapati di PRN sahaja malah dia menggunakan kira-kira 15 peralatan mengurut lain mengikut kesesuaian pesakit.

Antaranya, batu marmar yang dicanai khas, tanduk kerbau, tanduk seladang jantan, rotan, batu sungai dan tumbang kambing.

"Urut sepatutnya dilihat sebagai satu perubatan pencegahan dan sepatutnya dilakukan secara kerap. Ia sangat baik mencegah penyakit daripada menjadi lebih teruk seperti migrain, strok, lemah jantung, kebas, sengal-sengal selain bertujuan penjagaan kesihatan," katanya.

Urut Auta

Tegas Pak Jang, urutan yang dipraktik sejak sekian lama bukannya 'auta' kerana ia betul-betul teknik mengurut dan sentuhannya memang sampai ke urat malah mendapat pujian daripada pelanggan kerana teknik yang sememangnya berbeza dengan urutan dengan hanya menggunakan tangan.

Lebih menarik, Pak Jang yang sebelum ini pernah menderita penyakit jantung kronik mampu berulang-alik dari kediamannya di Permatang Pauh, Pulau Pinang ke PRN, Sungai Petani setiap hari kecuali Jumaat.

Sementara itu, bagi pengasas PRN, Roslan Mat Isa, 41, memberitahu, penggunaan kira-kira 15 peralatan mengurut itu lebih berkesan dan mampu menyembuh bahagian bermasalah secara terperinci.

"Kalau menggunakan tangan semata-mata, keupayaan mengurut adalah terbatas kerana kekuatan manusia ini bukanlah kuat sangat. Kalau nak tekan dengan jari sahaja memang tidak terasa dan jika terasa sekalipun mungkin sekejap sahaja lepas itu kembali tidak selesa," ujarnya.

Bukan itu sahaja, di PRN mereka menggunakan pelbagai minyak bagi tujuan urutan. Antaranya, minyak kelapa dara, minyak bijan, minyak matahari, minyak zaitun dan minyak yang dimasak dengan ramuan sendiri.

Jelasnya, dengan bantuan Pak Jang serta tujuh orang tukang urut secara sambilan konsep urutan yang diperkenalkan PRN kini semakin berkembang dan diterima orang ramai kerana ia memberikan kepuasan maksimum.

Selain pendedahan ilmu urutan daripada Pak Jang, Roslan terlebih dahulu mengikuti kursus pelbagai jenis rawatan di Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda), pusat perubatan swasta serta beberapa tempat lagi.

"Sebelum khidmat Pak Jang di pondok rawatan ini, saya juga mempunyai alat mengurut sendiri. Bagaimanapun, dengan kemasukan Pak Jang ke sini menjadikan rawatan lebih kemas," katanya yakin.

Seorang pelanggan, Harun Hussain memberitahu, walaupun pertama kali dirinya membuat rawatan urut di PRN, tubuhnya begitu segar malah masalah di bahagian bawah lututnya semakin pulih setelah diurut menggunakan tanduk seladang betina.

"Memang apabila urat ditekan pada ketika itu terasa sedikit sakit, tetapi dalam tempoh beberapa minit kesakitan itu beransur hilang," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, January 12, 2010

Spa Kamphora

(Post: Bahasa Melayu)
"Melayu asli serta iltizam mengekalkan rawatan itu daripada kepupusan, MYRES Enterprise mengambil inisiatif membuka francais spa Kamphora di Taman Dagang, Ampang."

Keunikan bauan kapur barus sememangnya menjadi pilihan masyarakat negara ini dan ia banyak digunakan dalam pelbagai acara sama ada keagamaan, perubatan mahupun untuk tujuan kecantikan.

Dibuka secara rasmi pada akhir Disember 2008, spa Kamphora adalah sebuah pusat penjagaan kesihatan dan rawatan berasaskan aromaterapi tradisional Melayu.

Selain menggunakan teknik rawatan berbeza, spa berkenaan juga hanya menggunakan bahan semula jadi seperti rempah ratus, herba dan bunga-bungaan tempatan yang diproses menjadi serbuk sebelum diadun bersama minyak kelapa dara sebagai ramuan utama dalam rawatan.

Di atas pelan, ruang seluas 1,700 kaki persegi itu tampak sempit, tetapi perunding spa, Shamil Yusoff dan rakan niaga yang bertindak sebagai pengarah, Mahmud Abu Bakar, nyata bijak mencipta tarikan tersendiri untuk dihadiahkan kepada pelanggan mereka.

Mereka bergabung idea untuk menghiasi ruang dalaman spa berkenaan supaya ia bukan saja menyerlahkan imej tersendiri malah pada masa sama, memberi keselesaan sepenuhnya kepada pengunjung.

Sudut rekaan dalaman spa itu mengetengahkan konsep moden kota dengan hiasan sederhana menggunakan warna latar seperti merah, coklat, hijau zaitun dan putih bagi menyerlahkan lagi suasana selesa bagaikan berada di ruang tamu rumah sendiri.

Tidak hairan jika nama sapa itu mula meniti di bibir penggemar rawatan spa di ibu negara kerana ia menjanjikan pengalaman rawatan kecantikan badan tradisional Melayu lengkap dalam suasana yang cukup mendamaikan.

Menurut Shamil, privasi pelanggan sememangnya menjadi keutamaan dan untuk itu, pihaknya menyediakan empat bilik rawatan dengan rekaan penuh elegan dalam suasana mendamaikan, bagi memberi ketenangan yang diperlukan pengunjung ketika menjalani rawatan kecantikan.

Spa berkenaan diwujudkan khas untuk memenuhi keperluan wanita kota hari ini dan ia menawarkan pakej lengkap daripada hujung rambut hingga ke kaki menerusi pelbagai program menarik yang disediakan dalam suasana rawatan yang penuh moden.

"Rawatan yang disediakan di spa ini mempunyai banyak perbezaan berbanding spa biasa. Kami mengetengahkan rawatan urutan tradisional Melayu menggunakan rangkaian minyak aromaterapi yang dihasilkan khas untuk memenuhi keperluan pelbagai jenis kulit pelanggan."

"Urutan berkenaan bukan saja membantu untuk menghilangkan lenguh dan meredakan tekanan pada badan tetapi istimewanya, ia membantu membuang angin yang tidak baik untuk kesihatan," katanya.

Shamil berkata, selain urutan badan, spa berkenaan menyediakan pakej mandian bunga serta rawatan wajah yang sememangnya mendapat sambutan hangat di kalangan pengunjungnya.

Masyarakat Melayu mempercayai mandian bunga dapat menaikkan seri wajah seseorang selain dapat membantu menjaga kecantikan kulit badan dan memulih kesegaran minda.

"Kami menyediakan tiga jenis mandian bunga iaitu Siram Bunga yang menggabungkan bunga-bungaan segar serta garam, Siram Ratus iaitu mandian herba yang menyegarkan serta Siram Puteri, mandian susu bersama bunga dan wangian harum."

"Andai berkunjung ke sini, pengunjung jangan ketinggalan mencuba mandian berkenaan kerana harganya memang berpatutan iaitu RM40 hingga RM50 saja bagi mandian selama 20 minit."

"Turut boleh dicuba ialah rawatan pupur wajah lengkap untuk pelanggan yang mempunyai kulit berminyak atau mengalami proses penuaan. Rawatan pupur ini dapat membantu membuang kekotoran dan kulit mati pada badan serta mengembalikan kesegarannya," katanya.

INFO Perkhidmatan:
* urutan badan, rawatan wajah dan mandi susu

* rawatan penjagaan badan tradisional seperti rawatan sakit badan, kulit kering, jerawat badan, ketegangan kulit, pemutihan kulit, pelangsingan badan, rawatan selepas bersalin serta kuku tangan dan kaki.

* pakej rawatan istimewa, Kamphora Puteri dan Kamphora Ratu Sehari untuk bakal pengantin - harga yang dikenakan amat berpatutan iaitu antara RM39 hingga RM260, bergantung pada pakej rawatan pilihan.

Waktu Operasi:
Setiap hari dari jam 10 pagi sehingga 9 malam. Jika ditempah secara berkumpulan, ia ditutup untuk kunjungan umum.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 12, 2009

Produk Minyak Kelapa Dara SANGGUL BIRU

(Post: Bahasa Melayu)
"Menggunakan moto 'Untuk kecantikan dan kesihatan,' Amidah Lazim menghasilkan produk hiliran minyak kelapa dara."

Walaupun baru dua tahun melibatkan diri dengan industri minyak kelapa dara, beliau sudah boleh berbangga dengan usahanya.

Menurut Amidah, langkahnya bermula apabila beliau dan suami Othman Mahmud mula mencari perniagaan yang sesuai selepas persaraan pilihan.

"Kenalan anak yang bertugas di Jabatan Pertanian memberi idea agar saya mendalami kaedah pengeluaran minyak kelapa dara," katanya semasa ditemui di bengkel minyak kelapa dara di premis Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Perak.

Mendapat latihan dan kursus asas di Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Amidah kemudian mengikuti kursus penghasilan kelapa anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Indonesia.

Di sana, Amidah mempelajari kaedah mempelbagaikan minyak kelapa dara kepada pelbagai produk penjagaan badan dan wangian.

Sehingga kini, Amidah menerusi syarikat Sanggul Biru Enterprise telah berjaya menghasilkan lapan produk berasaskan minyak kelapa dara.

Idea menghasilkan minyak kelapa dara berperisa timbul apabila terdapat pengguna yang tidak sukakan rasa dan baunya.

Justeru Amidah meminta nasihat Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai cadangan beliau bagi memberi pilihan kepada pengguna.

"Minyak kelapa dara biasanya boleh diminum antara tiga hingga lima sudu kecil setiap hari dan boleh tambah kepada minuman atau makanan kegemaran dan sangat sesuai untuk semua peringkat usia kerana kaya dengan bahan semula jadi dan diakui terbaik di dunia," katanya.

Minyak urut kelapa dara serai wangi dan kayu putih bagi kegunaan dewasa dan kanak-kanak boleh digunakan untuk mengurut, meredakan kembung pada bayi selain bisa gigitan serangga.

Losyen badan minyak kelapa dara pula dapat mencantik, melembut dan melembapkan kulit.

Krim malam minyak kelapa dara sesuai digunakan pada sebelah malam sebelum tidur dan merawat kulit muka.

Sabun pencucinya sesuai digunakan pada bila-bila masa untuk merawat kulit muka.

Manakala tonik rambut boleh digunakan sebagai minyak rambut, merawat kulit kepala bagi menjadikannya lembut, bersinar, tidak berkelemumur dan tidak mudah gugur.

Pewangi minyak kelapa dara tidak menggunakan alkohol, sesuai digunakan untuk beribadah dan balm minyak pala sesuai bagi mereka yang mengalami sakit sendi.

Selain mendapatkan bahan mentah daripada kawasan sekitar, Amidah mempunyai ladang kelapanya sendiri seluar empat ekar.

"Suatu masa dulu saya mempunyai ladang kelapa tetapi telah ditebang kerana ketika itu kami tidak tahu kegunaan kelapa dan kini kami sedang menanam semula kelapa matag," katanya.

Buat masa sekarang, Amida memerlukan 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan minyak kelapa dara, jeli kelapa dan kerisik.

Produknya mendapat sambutan menggalakkan memandangkan beliau merupakan salah seorang ahli program inap desa di Bagan Datoh.

"Setiap kali terdapat pelancong berkunjung ke inap desa, mereka akan dibawa ke bengkel saya."

"Ramai pelancong yang datang dan mencuba minyak kelapa dara di sini dan mereka biasanya datang semula untuk membelinya," katanya yang mempromosikan produknya menerusi majalah dan akhbar.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-4507252 (Amida) atau 013-4391792 (Othman)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, July 31, 2009

Produk Penjagaan Mata PERMATA HIJRAH

(Post: Bahasa Melayu)
"Alhamdulillah, walaupun baru dua tahun beroperasi produk kami diterima dalam kalangan masyarakat dan ia amat menggalakkan."

Jika tidak dijaga dengan baik, pelbagai masalah mata akan dihadapi termasuklah rabun, katarak, glaukoma dan sebagainya.

Menyedari pentingnya penjagaan mata, dua sahabat baik, Zulkifli Dollah, 30 dan Mohd. Ali Yatim, 29, mengambil keputusan menubuhkan syarikat yang diberi nama Permata Hijrah.

Beroperasi di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, Permata Hijrah merupakan sebuah syarikat pengeluar produk penjagaan mata iaitu penyegar mata sebagai produk utama dan penawar resdung.

Menurut Zulkifli merangkap Pengarah Urusan Permata Hijrah Enterprise, mereka menghasilkan produk tersebut berbekalkan pengalaman dan ilmu yang ada.

"Kita semua sedia maklum bahawa mata adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Tuhan. Oleh itu, amat penting bagi setiap individu mengekalkan kesihatan mata yang dimiliki.

"Sehubungan itu, Permata Hijrah menawarkan alternatif terapi alkaline melalui produk-produk yang kami hasilkan," ujar beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Zulkifli.

Antara produk tersebut ialah penyegar mata yang dihasilkan daripada sumber alam semula jadi dan kandungan bahan yang halal. Ini termasuklah formula air zam-zam, air suling bermutu tinggi, ekstrak mutiara serta ekstrak herba dan karangan laut.

Ia tidak memedihkan mata. Malah, produk ini menyejukkan dan menyegarkan mata.

"Paling penting, semua produk keluaran Permata Hijrah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ia dikilangkan oleh kilang yang bertaraf GMP (Good Manufacturing Practice)," jelas Ustaz Zulkifli.

Sehingga kini, Permata Hijrah berjaya menghasilkan 50 produk kesihatan lain seperti losyen badan, kapsul tongkat Ali, kapsul kacip Fatimah plus, minyak kelapa dara, teh misai kucing, teh mas cotek, teh herba mutiara, pemakanan kesihatan, kopi untuk lelaki, minyak rambut dan set lengkap resdung.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::