ATTENTION !!!

Showing posts with label kerisik. Show all posts
Showing posts with label kerisik. Show all posts

Monday, December 13, 2010

Produk Signature Sarawak

(Post: Bahasa Melayu)
" Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berharap lebih ramai usahawan wanita khasnya melibatkan diri dalam produk Signature dan makanan. "

Menurut beliau melibatkan diri dalam produk Signature bukan sahaja membantu menambah pendapatan keluarga bahkan meningkatkan kualiti produk itu sendiri.

"Melalui produk Signature juga usahawan wanita dapat menambah pendapatan keluarga bukan setakat ratusan ringgit sahaja tetapi mencapai empat angka."

"Namun pada masa yang sama kita mahu usahawan terus mengekalkan kualiti sesuatu produk itu agar ia terus mendapat kepercayaan daripada orang ramai," katanya berucap bagi menyempurnakan pelancaran rasmi produk Signature bagi bahagian Samarahan, Sarawak.

Beliau berkata produk Signature memberi kelebihan atau faedah kepada mereka yang terlibat termasuk memartabatkan produk dan makanan setempat kepada orang luar atau pelancong selain memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Ia juga katanya, membantu orang luar mengenal sesebuah tempat, meningkatkan pendapatan keluarga selain membangunkan produk dan usahawan itu sendiri.

"Pembangunan dilakukan sehingga boleh diiktiraf untuk mendapat pensijilan 'Sarawak Best' iaitu jenama untuk produk Sarawak yang berkualiti dan berdaya saing," katanya.

Setakat ini kata Fatimah, antara produk yang telah dilancarkan sebagai produk Signature di Sarawak adalah kek lapis Sarawak bagi bahagian Kuching pada 2008, produk berasaskan sagu bagi Mukah (2009), produk belacan bagi Bintulu (2009) diikuti kini Samarahan yang berasaskan kelapa.

Selain itu beliau turut memberitahu bilangan usahawan yang menghasilkan produk Signature setakat ini seramai 128 orang manakala bilangan produk dan makanan yang dikenal pasti sebanyak 107 jenis.

Produk Signature adalah produk yang biasa dikaitkan dengan sesuatu tempat dan produk serta makanan itu dianggap paling popular, paling laris, terkenal di sesuatu tempat.

Terdahulu Penolong Pengarah Pertanian Bahagian Samarahan Anuar John dalam ucapannya berkata bagi bahagian Samarahan, kelapa telah dipilih sebagai asas utama dalam pelancaran rasmi.

"Di Sarawak kira-kira 25,000 hektar tanah merupakan tanaman kelapa dan bahagian Samarahan merupakan penyumbang terbesar penanaman kelapa iaitu 14,921 hektar terutamanya di kawasan Asajaya," katanya.

Menurut beliau antara produk berasaskan kelapa adalah terdiri daripada sagon, sambal kelapa, jeli kelapa, Nata De Coco dan kerisik sementara makanan berasaskan kelapa ialah burasak, masakan umbut kelapa, pulut loi dan sebagainya.

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri Muara Tuang Datuk Seri Mohammad Ali Mahmud, ADUN Asajaya Abdul Karim Rahman Hamzah yang juga Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri dan Residen Bahagian Samarahan Rodziah Morshidi.

Sumber: Borneo Post Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 9, 2010

Kerisik Sujaah Enterprise

(Post: Bahasa Melayu)
" Memegang kata-kata semangat Arab, 'sujaah' yang bermaksud keberanian, anak muda berusia 25 tahun ini tidak pernah gentar mengharungi suka-duka dunia perniagaan. "

Malah, bagi Abdul Latif Othman, pengalaman menceburi bidang tersebut sejak berumur 15 tahun banyak membantunya memahami cabaran sebagai seorang usahawan.

"Saya memang minat berniaga dan menjadikan prinsip hidup berani mengambil risiko sebagai pendorong untuk berjaya dalam bidang ini."

"Peringkat awal pendedahan diterima daripada ayah ketika membantunya mengusahakan perniagaan kerisik," katanya ketika ditemui pada lawatan media anjuran Agrobank di Kampung Laneh, Kuala Kangsar, Perak.

Sebaik tamat sekolah menengah, anak sulung daripada 10 beradik itu menyambung pengajian Diploma Syariah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di Ipoh, Perak.

Dia kemudiannya mendapat tawaran meneruskan pengajian Ijazah Syariah Undang-Undang di Mesir tetapi mengambil keputusan untuk menangguhkannya kerana ingin memberi fokus kepada perniagaan.

Dengan bermodalkan wang hasil simpanannya, Abdul Latif telah membuka kilang memproses kerisik di Kuala Kangsar selepas menamatkan pengajian diplomanya.

Pada tahun 2008 pula, dia telah membuat pinjaman bernilai RM50,000 daripada Agrobank sebagai usaha memperkembangkan operasi kilang.

Kini, dia boleh menghela nafas lega kerana syarikatnya yang dibangunkan menerusi penjenamaan Sujaah Enterprise telah mempunyai beberapa cawangan di Ipoh dan juga di Bagan Datoh, Perak.

Untuk memastikan produk kerisiknya mempunyai kualiti yang baik, sedap dan wangi, dia telah mempelajari teknik memasak makanan itu daripada bapanya.

"Memang ramai orang tahu buat kerisik, tetapi tidak semua mengikut cara yang betul."

"Sebenarnya, kelapa tua sangat sesuai digunakan untuk menghasilkan kerisik selain perlu dicampur dengan kelapa muda bagi mengeluarkan bau wangi," jelas bapa kepada seorang cahaya mata itu.

Abdul Latif memberitahu, penetapan tempoh memasak itu adalah berdasarkan permintaan pelanggan.

"Tempoh ini akan menentukan warna kerisik kerana lebih lama ia dimasak, warnanya akan menjadi lebih gelap mengikut kadar pecahan minyak."

"Ia sesuai digunakan dalam penyediaan hidangan seperti rendang, kari, kerabu dan inti roti," katanya.

Kerisik yang telah siap dimasak akan dipek dalam bungkusan kemas dengan pilihan berat 100 gram, setengah kilogram (kg) dan satu kg.

Bagi mengurangkan bahan buangan kilangnya, dia mengambil langkah membakar tempurung kelapa yang tidak digunakan untuk membentuk kiub arang sebelum dijual kepada syarikat yang memerlukannya.

Dengan kapasiti enam orang pekerja, syarikatnya mampu mengeluarkan enam tan kerisik dalam masa sebulan dengan penggunaan 400 biji kelapa sehari.

Mengenai sumber bahan mentah pula, 10 peratus bekalan kelapa diperoleh daripada Indonesia manakala selebihnya dia bersama ayahnya memajak kebun kelapa seluas 30 ekar di Kuala Kangsar bagi mengurangkan kos pengeluaran.

Kebanyakan kerisik keluaran syarikatnya akan dipasarkan ke seluruh kawasan Semenanjung termasuk jualan secara borong kepada pasar raya besar. Harganya pula adalah sekitar RM6 hingga RM7 sekilogram.

"Pada masa depan, saya memang berhasrat untuk memperluaskan pasaran kerisik ini ke peringkat global pula," jelasnya yang mendapat sokongan penuh daripada isteri serta keluarga untuk terlibat dalam bisnes tersebut.

Selain bantuan input daripada ayahnya, Abdul Latif turut mendapat bimbingan perniagaan daripada beberapa jabatan agensi seperti Jabatan Pertanian, Mara dan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Produk-produk keluarannya turut dipromosikan melalui penyertaan pameran serta ekspo seperti Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA).

Untuk memperluaskan lagi perniagaannya, dia turut menghasilkan pelbagai produk kosmetik dan kesihatan berasaskan buah kelapa dara gred A seperti sabun, minyak rambut, minyak urut, jeli kelapa, nata de coco dan sebagainya.

Tidak terhenti setakat itu, beliau ketika ini merancang untuk membuka kilang menghasilkan santan segar pula.

"Menerusi perluasan operasi ini, saya ingin buktikan bahawa belia juga mampu bersaing dalam dunia perniagaan kerana peluang ada di mana-mana," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 12, 2009

Produk Minyak Kelapa Dara SANGGUL BIRU

(Post: Bahasa Melayu)
"Menggunakan moto 'Untuk kecantikan dan kesihatan,' Amidah Lazim menghasilkan produk hiliran minyak kelapa dara."

Walaupun baru dua tahun melibatkan diri dengan industri minyak kelapa dara, beliau sudah boleh berbangga dengan usahanya.

Menurut Amidah, langkahnya bermula apabila beliau dan suami Othman Mahmud mula mencari perniagaan yang sesuai selepas persaraan pilihan.

"Kenalan anak yang bertugas di Jabatan Pertanian memberi idea agar saya mendalami kaedah pengeluaran minyak kelapa dara," katanya semasa ditemui di bengkel minyak kelapa dara di premis Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Perak.

Mendapat latihan dan kursus asas di Jabatan Pertanian Bagan Datoh, Amidah kemudian mengikuti kursus penghasilan kelapa anjuran Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di Indonesia.

Di sana, Amidah mempelajari kaedah mempelbagaikan minyak kelapa dara kepada pelbagai produk penjagaan badan dan wangian.

Sehingga kini, Amidah menerusi syarikat Sanggul Biru Enterprise telah berjaya menghasilkan lapan produk berasaskan minyak kelapa dara.

Idea menghasilkan minyak kelapa dara berperisa timbul apabila terdapat pengguna yang tidak sukakan rasa dan baunya.

Justeru Amidah meminta nasihat Jabatan Pertanian dan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) mengenai cadangan beliau bagi memberi pilihan kepada pengguna.

"Minyak kelapa dara biasanya boleh diminum antara tiga hingga lima sudu kecil setiap hari dan boleh tambah kepada minuman atau makanan kegemaran dan sangat sesuai untuk semua peringkat usia kerana kaya dengan bahan semula jadi dan diakui terbaik di dunia," katanya.

Minyak urut kelapa dara serai wangi dan kayu putih bagi kegunaan dewasa dan kanak-kanak boleh digunakan untuk mengurut, meredakan kembung pada bayi selain bisa gigitan serangga.

Losyen badan minyak kelapa dara pula dapat mencantik, melembut dan melembapkan kulit.

Krim malam minyak kelapa dara sesuai digunakan pada sebelah malam sebelum tidur dan merawat kulit muka.

Sabun pencucinya sesuai digunakan pada bila-bila masa untuk merawat kulit muka.

Manakala tonik rambut boleh digunakan sebagai minyak rambut, merawat kulit kepala bagi menjadikannya lembut, bersinar, tidak berkelemumur dan tidak mudah gugur.

Pewangi minyak kelapa dara tidak menggunakan alkohol, sesuai digunakan untuk beribadah dan balm minyak pala sesuai bagi mereka yang mengalami sakit sendi.

Selain mendapatkan bahan mentah daripada kawasan sekitar, Amidah mempunyai ladang kelapanya sendiri seluar empat ekar.

"Suatu masa dulu saya mempunyai ladang kelapa tetapi telah ditebang kerana ketika itu kami tidak tahu kegunaan kelapa dan kini kami sedang menanam semula kelapa matag," katanya.

Buat masa sekarang, Amida memerlukan 200 biji kelapa sehari bagi menghasilkan minyak kelapa dara, jeli kelapa dan kerisik.

Produknya mendapat sambutan menggalakkan memandangkan beliau merupakan salah seorang ahli program inap desa di Bagan Datoh.

"Setiap kali terdapat pelancong berkunjung ke inap desa, mereka akan dibawa ke bengkel saya."

"Ramai pelancong yang datang dan mencuba minyak kelapa dara di sini dan mereka biasanya datang semula untuk membelinya," katanya yang mempromosikan produknya menerusi majalah dan akhbar.

CONTACT INFO:
Telefon: 013-4507252 (Amida) atau 013-4391792 (Othman)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::