ATTENTION !!!

Showing posts with label kopi. Show all posts
Showing posts with label kopi. Show all posts

Monday, January 10, 2011

Kopi Terang Bulan Food Industries

(Post: Bahasa Melayu)
" Sejak 1976, penduduk sekitar Seberang Perai, Pulau Pinang sering dihidangkan dengan kopi keluaran syarikat Perniagaan Terang Bulan (Terang Bulan) yang diusahakan Allahyarham Abd. Rahman Hussain di Kampung Tasek Cempedak, Bukit Mertajam. "

Malah, kopi yang dimasak secara tradisional menggunakan dapur arang di dalam kawah itu melonjakkan nama Terang Bulan sebagai jenama kopi terkenal di sekitar daerah itu.

Menyedari potensi kopi keluaran Terang Bulan sebagai pilihan utama, beberapa agensi kerajaan seperti SME Bank, Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) dan banyak lagi mula membuka ruang kepada syarikat itu menambahkan pengeluaran mereka.

Pada 2003, mereka mula mendiami Kompleks Kilang SME Bank di Bukit Mertajam dan bermulalah pengeluaran satu produk baru yang melonjakkan nama mereka iaitu kopi campuran 5 dalam 1 Guarana Cappuccino.

Menurut Pengarah Urusan Terang Bulan Food Industries (M) Sdn. Bhd., Hazilah Abdul Rahman, 36, semangat ingin meneruskan legasi arwah bapanya dalam industri itu membuatkan beliau memperkenalkan minuman berasaskan guarana.

"Saya banyak mendapatkan maklumat daripada Internet mengenai guarana yang berasal dari Brazil dan memiliki banyak khasiat untuk kesihatan seperti boleh menambah tenaga seksual lelaki dan perempuan, mengembangkan saluran darah, melancarkan pembuangan air besar dan kecil."

"Kopi ini juga boleh mengurangkan rasa mengantuk terutama semasa memandu jauh, mengurangkan sakit kepala, meredakan demam, agen awet muda serta boleh menurunkan berat badan," kata graduan diploma perakaunan dan pengurusan itu ketika ditemui di pejabatnya di Bukit Mertajam.

Selain itu kata Hazilah, ramuannya juga boleh membantu menguat dan menyempurnakan fungsi sistem saraf, menguatkan ketahanan badan, merangsang otak serta daya ingatan.

Lebih istimewa, kopi Guarana Cappuccino yang dihasilkan mereka mengandungi Instant Arabica, Guarana, krimer, koko dan Dextrose dan memperoleh sijil halal serta sijil kesihatan dari Kementerian Kesihatan.

"Saya mula lancarkan Guarana Cappucino pada Pameran Perdagangan Halal Antarabangsa (Mihas) di Pusat Konvensyen Mines pada 2005 yang mendapat sambutan hangat pengunjung."

"Tapi pada masa itu pembungkusan pun masih guna cara lama dengan label fotokopi di plastik pembungkus kopi," ujarnya.

Ditanya mengenai isu kopi 3 dalam 1 yang dikatakan memudaratkan kesihatan, Hazilah berkata, Guarana Cappuccino keluaran mereka tidak akan membawa kesan sampingan kerana melepasi ujian makmal serta disahkan selamat.

Malah, jelasnya, ia juga boleh diminum oleh pesakit kencing manis, darah tinggi, sendi serta buasir tanpa mempunyai kesan sampingan.

"Selain kopi campuran, Terang Bulan juga mengeluarkan produk minuman Guarana Collagen, biskut guarana dan guarana coklat selain masih mengekalkan teh dan kopi campuran di bawah label Terang Bulan."

"Biarpun terdapat lebih 30 jenama kopi campuran di pasaran namun saya yakin Guarana Cappuccino memiliki aroma tersendiri yang berbeza dengan produk-produk lain," ujarnya.

Bagi mengukuhkan lagi jenama, pelakon popular Zed Zaidi telah dilantik sebagai duta produk dan mempunyai rangkaian pemasaran yang kukuh melalui stokis di 13 negeri.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto: Terang Bulan

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, December 7, 2010

Kafe Baghdad di Bandar Seri Putra

(Post: Bahasa Melayu)
" Aroma nespreso yang menyelubungi ruang kafe segera membangkitkan mood santai serta membawa jauh segala kepenatan tubuh. Diiringi muzik gemalai Asia Barat termasuk lagu terkini daripada penyanyi Maher Zain, para tetamu terasa seolah-olah berada di rantau itu. "

Kedudukan Kafe Baghdad yang agak strategik di kawasan perumahan dan institusi pengajian tinggi, nyata memberi kelebihan kepada kafe dua tingkat ini memancing pelanggan terutamanya dari sekitar Bandar Seri Putra, Kajang serta Putrajaya.

Idea kafe santai ini tercetus berikutan kesukaran untuk mendapatkan roti yang berkualiti seperti di negara Arab, jelas pemiliknya yang berasal dari Iraq.

"Di kafe ini, saya bukan sahaja menonjolkan keistimewaan roti buatan negara saya, bahkan aspek dekorasi juga," kata Ekhlas Tawfik, 60, yang pernah menetap di Switzerland.

Mengambil cara hidup masyarakat Swiss yang gemar minum kopi dan teh di kafe, pasangannya, Sharifah Noor Akma Syed Jamaludin terus menongkah arus dalam menjelmakan kafe idamannya.

Lari daripada konsep tipikal restoran atau kafe biasa, garis utama tatariasnya berlandaskan keselesaan, ringkas dan tenang.

Justeru, susun atur yang dijelmakan, ditambah dengan lukisan abstrak bersaiz dinding sambil disesuaikan dengan gabungan dua negara secara harmoni.

"Bagi tempat duduk, kami menyediakan beberapa jenis sofa mengikut keselesaan pengunjung seperti daripada kulit, baldu serta kayu," sampuk Noor Akma sambil menuangkan teh citarasa Arab.

Lebih menarik, tiada meja makan yang diletakkan. Sebaliknya, sofa yang lembut menjadi pengganti meja hidangan.

Ruang di tingkat atas pula begitu menarik perhatian pengunjung terutama bagi individu yang gemar berkumpul dalam kumpulan.

Dengan tilam yang dibalut dengan kain tenunan khas dari Syiria dan beberapa bantal empuk, tetamu pasti ralit berbual kerana diselubungi keselesaan seumpama di rumah.

Bersila sambil menikmati hidangan istimewa Arab seperti nasi mandi biri-biri serta keenakan roti yang berintikan nasi.

Teh Arab

"Sengaja saya gabungkan warna merah, hitam dan putih di ruang ini. Ia bukan saja untuk menaikkan mood pengunjung malah ia merupakan antara warna pilihan masyarakat di Asia Barat," jelas Ekhlas.

Makanan istimewa kafe ini tidak lengkap tanpa teh Arab yang keras rasanya dan baunya tetapi ia cukup menyenangkan.

Dihidangkan dalam cawan yang cukup unik, teknik menyediakan teh tersebut turut disediakan di tingkat atas bagi kemudahan pelanggan.

Bercerita lanjut, Ekhlas memberitahu, ruang berdinding kuning cair tersebut mempunyai beberapa fungsi lain selain menjadi tumpuan sebagai ruang santai berkumpulan.

Menurutnya, agenda lain seperti seminar, majlis khas atau perjumpaan keluarga sering mendapat tempat di ruang tersebut.

Bagi pengunjung yang baru pertama kali mengunjunginya, miniatur unta, pokok inai gergasi dan minuman soda yang menjadi tradisi masyarakat Asia Barat pasti menggoda.

Bukan itu saja, elemen tembaga yang dipantulkan menerusi artifak seni seperti teko teh klasik dan mangkuk hiasan melengkapkan unsur Arab dan Swiss di Kafe Baghdad.

Kafe berkeluasan keluasan kafe 24 x 7 meter itu dilimpahi cahaya daripada lampu bermanik dengan pelbagai kombinasi warna.

"Lampu memang menjadi tarikan utama dalam hiasan berkonsep Asia Barat. Aspek reka bentuk, warna dan saiz memberi impak pada ruang sederhana besar ini," ungkap Ekhlas.

Dalam pada itu, pengunjung juga tidak harus melepaskan peluang merasa teh yang ditanam di Sri Lanka namun ia hanya dijual di Switzerland.

Dengan adunan tradisi menggunakan rempah khas, tetapi aroma yang terbit dari teko khas yang diletakkan di kaunter minuman dapat dihidu dari jauh.

Tidak dinafikan, teko pembuat teh tradisi yang dibawa khas dari negara teluk berkenaan mempunyai peminat tersendiri.

Dalam ketawa, Ekhlas menjelaskan ia menjadi barangan kesayangan dan signatur kafe tersebut. Lantaran itu, ia diletakkan berhadapan dengan pintu masuk, seolah-olah bertugas menjadi penyambut tetamu.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, November 22, 2010

Kafe Blues Kopi

(Post: Bahasa Melayu)
" Apabila terfikir untuk menjamu selera, pasti anda mahu memilih tempat makan yang terbaik khususnya yang menyajikan makanan lazat, layanan memuaskan, persekitaran bersih dan konsep dekorasi yang menyenangkan. "

Memenuhi semua permintaan itu, Blues Kopi di Kajang Sentral menjadi pilihan yang tepat. Uniknya, ia mengangkat konsep latar belakang muzik blues dengan paparan gambar-gambar nostalgia sejarah polis untuk dihayati pelanggan.

"Walaupun ia sekadar kafe tetapi kami tidak mahu mengehadkan ia setakat kafe kopi atau tempat minum yang biasa dilawati. Kami mahu pengunjung yang datang berasa selesa, tenang dan pada masa yang sama boleh mengetahui sejarah pasukan polis negara," kata Syed Kamaruddin Everin Al-Habsee, 31, pemilik Blues Kopi yang mula beroperasi sejak 1 Ogos tahun lalu.

Mungkin ada yang bertanya, apakah kaitan Blues Kopi dengan sejarah pasukan polis?

"Ada sebabnya kafe ini penuh dengan gambar-gambar bersejarah pasukan polis selain papan tanda kedai ini sendiri memaparkan gambar beberapa orang anggota polis tahun 60-an."

"Semua koleksi gambar yang ada di sini adalah koleksi peribadi milik bapa saya, Datuk Syed Mier Wahid. Beliau ialah bekas anggota polis dengan jawatan terakhir sebagai Ketua Polis Johor (1986)," jelas Kamaruddin panjang lebar.

Daripada situlah Syed Kamaruddin bersama isterinya, Saffira Mohammad yang mengendalikan operasi Blues Kopi mendapat idea. Pasangan itu mahukan membawa sejarah didedah ke paparan umum.

Penghargaan

Tambah menarik, kaitan Blues Kopi dan polis tidak terhad kepada hubungan penghargaan anak kepada seorang bapa. Ia turut menjadi manifestasi penghargaan kepada seluruh pasukan polis yang berjasa demi negara ini.

Kamaruddin turut memanjangkan penghargaannya dengan memberikan diskaun 15 hingga 20 peratus kepada anggota polis bagi kesemua menu di Blues Kopi.

"Saya sedar akan peranan pihak polis dalam memastikan keselamatan masyarakat dan negara dan apabila bapa saya sendiri berkhidmat untuk institusi itu, saya rasa bertanggungjawab untuk meraikan mereka," kata Kamaruddin.

Bercakap lebih lanjut mengenai identiti kafenya itu, Kamaruddin mahu minuman Kopi Blues menjadi pilihan hidangan baru dan unik untuk dipopularkan.

Jelasnya, dia mahu memperkenalkan perisa kopi jenis lembut dari ladang milik keluarganya di Sabah.

"Biasanya, kedai kopi berjenama menggunakan kopi keras tetapi di sini kami menggunakan yang lembut. Bezanya kopi keras sangat 'kaw' dan membuatkan kita lebih aktif dengan aroma yang semerbak," katanya membezakan keistimewaan Kopi Blues.

Bukan sekadar menawarkan aneka jenis minuman kopi, Blues Kopi turut menyediakan pelbagai menu makanan unik.

"Isteri saya ialah ketua tukang masak. Biasanya, dia yang akan memasak kerana kami mahu memberikan sentuhan peribadi ke atas makanan yang disediakan," katanya yang menyediakan empat jenis makanan tarikan utama Blues Kopi selain empat jenis minuman utama.

Mi udang

Antara menu pilihan Kamaruddin yang disyorkan kepada pembaca kepada Kosmo! adalah mi udang yang disediakan menggunakan resipi utara dan selatan. Ia amat sesuai bagi mereka yang sukakan makanan pedas khususnya mereka yang menggilai udang.

Bagi pilihan makanan Barat pula, Chicken Chop Blues Kopi pastinya tidak menghampakan. Walaupun persembahanya tidaklah segah di hotel, namun sentuhan peribadi pemilik, membangkitkan rasa enak terutama sekali pada daging ayam yang lembut.

Selain dua menu itu, Kamaruddin turut memperkenalkan Nasi Goreng Blues. Dimasak dengan stail masakan Cina, menu tersebut disertakan dengan udang, tauhu Jepun dan kuah cendawan istimewa.

Tiga lagi jenis minuman yang boleh dicuba selain Kopi Blues adalah Blues Island, Rutbeer Float dan Choc Creamer. Blues Island disediakan dengan campuran pelbagai bijirin permintaan seperti barli, cincau, ais krim, oren dan sebagainya.

Pelanggan juga boleh memilih beberapa lagi jenis minuman kopi panas dan sejuk. Mengusahakan ladang dan memproses kopi sendiri, Blues Kopi mengajak pelanggannya merasai keenakan semua itu pada harga RM2.50 dan ke atas.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, July 31, 2009

Produk Penjagaan Mata PERMATA HIJRAH

(Post: Bahasa Melayu)
"Alhamdulillah, walaupun baru dua tahun beroperasi produk kami diterima dalam kalangan masyarakat dan ia amat menggalakkan."

Jika tidak dijaga dengan baik, pelbagai masalah mata akan dihadapi termasuklah rabun, katarak, glaukoma dan sebagainya.

Menyedari pentingnya penjagaan mata, dua sahabat baik, Zulkifli Dollah, 30 dan Mohd. Ali Yatim, 29, mengambil keputusan menubuhkan syarikat yang diberi nama Permata Hijrah.

Beroperasi di Pengkalan Kubur, Tumpat, Kelantan, Permata Hijrah merupakan sebuah syarikat pengeluar produk penjagaan mata iaitu penyegar mata sebagai produk utama dan penawar resdung.

Menurut Zulkifli merangkap Pengarah Urusan Permata Hijrah Enterprise, mereka menghasilkan produk tersebut berbekalkan pengalaman dan ilmu yang ada.

"Kita semua sedia maklum bahawa mata adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Tuhan. Oleh itu, amat penting bagi setiap individu mengekalkan kesihatan mata yang dimiliki.

"Sehubungan itu, Permata Hijrah menawarkan alternatif terapi alkaline melalui produk-produk yang kami hasilkan," ujar beliau yang juga dikenali sebagai Ustaz Zulkifli.

Antara produk tersebut ialah penyegar mata yang dihasilkan daripada sumber alam semula jadi dan kandungan bahan yang halal. Ini termasuklah formula air zam-zam, air suling bermutu tinggi, ekstrak mutiara serta ekstrak herba dan karangan laut.

Ia tidak memedihkan mata. Malah, produk ini menyejukkan dan menyegarkan mata.

"Paling penting, semua produk keluaran Permata Hijrah diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan ia dikilangkan oleh kilang yang bertaraf GMP (Good Manufacturing Practice)," jelas Ustaz Zulkifli.

Sehingga kini, Permata Hijrah berjaya menghasilkan 50 produk kesihatan lain seperti losyen badan, kapsul tongkat Ali, kapsul kacip Fatimah plus, minyak kelapa dara, teh misai kucing, teh mas cotek, teh herba mutiara, pemakanan kesihatan, kopi untuk lelaki, minyak rambut dan set lengkap resdung.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, May 12, 2009

Bisnes Kopi Sawda'

(Post: Bahasa Melayu)
"Idea untuk menggunakan ramuan itu apabila mereka kajian menunjukkan habbatus sawda' mengandungi fostat, ion, karbohidrat dan antibiotik."

Sebuah syarikat pemasaran tempatan, Corpora Corporation Sdn. Bhd. tidak mahu ketinggalan menyertai kerancakan bisnes minuman berasaskan kopi dengan memperkenalkan produk kopi habbatus sawda'. Ia merupakan sejenis minuman yang dicampur dengan tumbuhan herba.

Kopi itu juga ditambah dengan beberapa jenis herba dan bahan lain seperti ubi jaga, tongkat Ali, gingko biloba, krimer dan gula halus.

Meskipun baru beroperasi selama dua tahun, syarikat Corpora Corporation Sdn. Bhd. cukup menerima sambutan menggalakkan daripada orang ramai.
Ini kerana pada tahun pertama bisnes itu, kopi sawda' mampu meraih jualan antara 30,000 hingga 40,000 unit kopi setiap bulan.

"Angka itu cukup membanggakan walaupun pengguna mempunyai pelbagai pilihan jenis kopi yang lain, namun kemasukan produk kami turut mendapat perhatian."

"Selain menjual dalam bentuk kotak yang mengandungi 15 paket, kami juga menjualnya secara papan khusus untuk edaran di kedai-kedai makanan," jelas pengarah urusannya, Mohd. Hasyim Ngadiman.

Menurutnya lagi, kopi sawda' bukan saja mengandungi khasiat herba habbatus sawda', malah ia juga dikisar bersama tongkat Ali yang terkenal sebagai raja herba.

Sementara itu, penggemar minuman kopi juga tidak perlu risau dengan status halal produk kopi sawda'. Ia dikilangkan di bawah Mais Food Industries Sdn. Bhd. (Mais Food) yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Terbaru, syarikat tersebut mengeluarkan produk lain yang berunsurkan produk kesihatan iaitu colostrum bioactive plus dan kapsul sawda.

INFO:
Bagi memperluaskan lagi pasaran produk-produk tersebut, Corpora Corporation Sdn. Bhd. mempelawa mereka yang berminat untuk menjadi stokis atau wakil pengedar.

CONTACT INFO:
Telefon: 03-40246563

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::