ATTENTION !!!

Thursday, September 10, 2009

Teknologi ICS Menternak Ketam

(Post: Bahasa Melayu)
"Menurut Pengarah Urusan TMSB, Datuk Norazman Adnan, pihaknya telah melabur sehingga RM1 juta sejak beberapa bulan lepas bagi membangunkan sistem tersebut di Kelibang, Langkawi dengan kerjasama Jabatan Perikanan."

Bukan mudah untuk 'mereka cipta' satu habitat haiwan khususnya ternakan dalam air.

Namun, teknologi boleh memungkinkan segalanya meskipun kejayaan boleh ditentukan kemudian, selepas mengharungi tempoh percubaan yang lama.

Ini yang cuba dilakukan oleh TBV Management Sdn. Bhd. (TMSB) , sebuah syarikat tempatan yang berjinak-jinak dalam teknologi akuakultur untuk ternakan ketam nipah atau nama saintifiknya Scylla serrata.

Biasanya penyelidikan melibatkan organisme hidup menggunakan kaedah in situ atau pada keadaan habitat sebenar tetapi syarikat terbabit, yakin akan mencapai sesuatu yang memberangsangkan, sekali gus mampu melonjakkan pengeluaran hasil akuakultur khususnya ketam.

Bagaimanapun syarikat terbabit cuba memperkenalkan sistem tertutup yang mana air ternakan dikitar semula selepas dibersihkan secara automatik menggunakan teknologi khusus.

Teknologi yang dikenali sebagai Sistem Ketam Bersepadu (ICS) itu dianggap satu revolusi baru dalam bidang akuakultur yang mampu menjana pengeluaran ketam berlipat ganda.

Malah, syarikat terbabit bertuah kerana mendapat sokongan dan bantuan Jabatan Perikanan menerusi kerjasama Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Akuakultur Kebangsaan, Pulau Sayak, Kedah.

Di pusat tersebut, anak ketam dibiakkan dalam kolam tetapi menghadapi masalah untuk membesar atau lambat mencapai saiz pasaran, selain masalah pemangsaan sesama sendiri dan berebut makanan.

Justeru, pihaknya kemudian memperkenalkan ICS yang mana anak-anak ketam yang beratnya 100 gram di tempatkan dalam petak khas diperbuat daripada PVC untuk menjadi habitat kepada ternakan tersebut.

"Di bawah sistem yang ada ini, setiap seekor ketam ditempatkan dalam petak kecil itu yang mana ICS ini mempunyai sama ada 288 unit petak atau 868 unit," katanya.

Norazman berkata, meskipun sistem tersebut masih di peringkat percubaan dan sedang diuji keberkesanannya, beliau melihat ia mempunyai kebaikan daripada pelbagai aspek antaranya mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi penternak ketam.

Masalah tersebut termasuk sukar memperoleh benih, ketiadaan teknologi sesuai, dan modal yang tidak mencukupi.

"Oleh kerana kita masih mengimport benih ketam dari Thailand, Indonesia dan Vietnam, kami (TMSB) berazam menyebarkan teknologi ini kepada mereka yang berminat," katanya sambil memberitahu bahawa sistem yang di pasang di Langkawi itu baru beroperasi selama dua bulan.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja pengawasan kualiti air supaya sentiasa mematuhi kehendak sistem, pengumpulan data dan bacaan lain dicatat untuk tujuan rekod.

Katanya, ketam akan cepat membesar jika bersalin kulit dan ini yang mendorong pihaknya dan Jabatan Perikanan mencari jalan bagaimana proses tersebut dapat dilakukan dengan kerap.

Proses salin kulit bermula pada keadaan biasa apabila mencapai umur 30 hari dan ketika itu, beratnya mencecah 180g dan ia menjadi cabaran utama sebelum cangkerangnya menjadi keras dalam tempoh enam jam.

Beliau menjelaskan, banyak aspek ternakan masih dalam penelitian bersama Jabatan Perikanan memandangkan ada dakwaan bahawa ketam nipah akan mati jika habitatnya tidak sesuai.

Ini kerana, ketam nipah sukakan kawasan gelap dan suka 'menyendiri' bagi mengelak menjadi habuan binatang lain.

Ketam juga dikatakan akan cepat membesar jika mencabut anggota badannya kerana ia akan tumbuh semula.

Ketam boleh dijual pada umur antara antara empat dan enam bulan atau apabila beratnya mencapai antara 350g dan 500g. Harga pasarannya boleh mencecah sehingga RM25 sekilogram.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain didorong oleh minat dan ingin membantu ramai pengusaha ternakan ketam, beliau berharap dapat membantu meningkatkan industri akuakultur itu ke tahap yang membanggakan.

CONTACT INFO:
TBV Management Sdn. Bhd.
Telefon: 04-9499333

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::