ATTENTION !!!

Showing posts with label nangka. Show all posts
Showing posts with label nangka. Show all posts

Monday, June 13, 2011

Eko Pelancongan D-Paradise Melaka

(Post: Bahasa Melayu)
" Keunikan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia tidak boleh dinafikan lagi seiring dengan status negeri itu sebagai salah sebuah negeri pelancongan popular di Malaysia. Pelbagai jenis produk pelancongan yang terdapat di negeri itu menarik kunjungan pelancong dari dalam dan luar negara. "

Bagaimanapun, bagi mereka yang mahu merasai percutian berbeza sambil dikelilingi suasana kampung yang tenang dan mendamaikan, D-Paradise Fruits World and Aborginal Native Village mungkin adalah jawapannya.

Pemandangan hijau menjamu mata sebaik kereta yang dipandu memasuki pekarangan Kampung Berisu, Alor Gajah. Mata pasti terpesona melihat keunikan rumah-rumah tradisional Melaka yang menghiasi kiri dan kanan jalan.

Berbeza dengan resort-resort lain di negeri itu, D-Paradise yang telah beroperasi sejak enam tahun lalu menawarkan konsep percutian dalam ladang buah-buahan.

Dengan keluasan kira-kira 167 hektar, ia menawarkan 800 jenis buah bermusim seperti durian dan rambutan, tidak ketinggalan buah-buahan lain seperti markisa, nangka dan pelbagai jenis limau.

Pengunjung ke resort itu pasti teruja menikmati percutian yang menyeronokkan dengan menyusuri denai sepanjang sembilan kilometer yang dipayungi dengan pokok markisa sama ada berjalan kaki atau menaiki basikal.

Terdapat dua jenis penginapan yang disediakan di situ, iaitu jenis calet dan kabin. Penginapan calet Kampung House dan CEO Kampung House mempunyai dua bilik yang bercirikan bentuk rumah tradisional Melayu.

Tatkala melangkah kaki ke dalamnya, mata seakan terpaku melihat ukiran yang menghiasi setiap sudut rumah itu.

Setiap calet dilengkapi kemudahan penghawa dingin, televisyen, peti sejuk, air panas serta dua bilik air. Ruang tamunya yang luas dan ringkas nyata memberikan keselesaan maksimum kepada pengunjung khususnya yang mempunyai keluarga yang besar.

Bagi yang mahu suasana yang lebih mewah, calet CEO Kampung House mempunyai kolam renang peribadi membolehkan pengunjung bersantai dan bermandi-manda.

Penginapan kedua-dua ialah jenis kabin dikenali sebagai Camp David Islands. Menariknya, ia dibina di atas sebuah tasik buatan manusia yang dilengkapi dengan empat buah kabin serta mempunyai kemudahan rumah persinggahan.

Di samping itu, ia juga mempunyai kolam renang peribadi dengan jakuzi, bilik karaoke, bilik makan. Untuk menjamu selera terdapat perkhidmatan tukang masak yang menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan antarabangsa bergantung kepada selera pengunjung.

Selain berpeluang merasai keenakan dan kelazatan ratusan buah yang ditanam di sekelilingnya, pengunjung juga boleh melawat beberapa lokasi menarik yang disediakan.

Antaranya ialah Taman Kaktus, Taman Botani, Taman Periuk Kera serta taman haiwan yang menempatkan rusa, burung kasawari dan arnab.

Turut menjadi tarikan ialah Perkampungan Orang Asli di Sarawak yang jarang dapat dilihat di negara ini. Pengunjung pasti teruja melihat keunikan budaya dan masyarakatnya serta persembahan tradisional yang diadakan setiap hari.

Bagi kaki pancing terdapat kolam ikan yang disediakan khusus bagi tujuan itu. Bagi yang menggemari aktiviti mencabar mengapa tidak meneroka hutan pada waktu malam.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, May 16, 2010

Varieti Nangka Mastura

(Post: Bahasa Melayu)
" Nangka Mastura pertama kali diketengahkan kepada umum sekitar tahun 2000. Ia diiktiraf sebagai varieti buah nangka tempatan yang terbaik pernah dihasilkan setakat ini. "

Mampu mencecah berat sekitar 20 hingga 30 kilogram (kg) sebiji selain menghasilkan ulas yang manis dan berwarna keemasan, kualiti nangka Mastura telah mengangkat nama buah tempatan.

Malah, penggemar buah-buahan tempatan yang pernah merasainya pasti bersetuju bahawa nangka Mastura merupakan nangka terbaik pernah dinikmati.

Namun, populariti Mastura menyebabkan umum kurang mengenali individu yang bertanggungjawab menghasilkan varieti nangka tersebut.

Juga digelar nangka madu, ia merupakan gabungan daripada nama Mas yang membawa maksud warna isi yang keemasan manakala tura pula membawa maksud tanaman untuk rakyat.

Ia adalah hasil ciptaan Profesor Dr. Zainal Abidin Abd. Aziz ketika beliau masih bertugas sebagai pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kaji Hayat, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang sekitar tahun 1980-an.

Menurutnya, varieti nangka Mastura hanya diketengahkan setelah menyempurnakan penyelidikan selama dua dekad mengenai buah istimewa itu menerusi geran penyelidikan USM bernilai kira-kira RM1 juta.

Jelasnya, pada peringkat awal kajian, beliau telah bekerjasama dengan sebuah syarikat swasta dari Gopeng, Perak dan mengumpulkan sembilan genetik nangka terbaik dari seluruh Asia Tenggara untuk dikaji.

"Daripada sampel itu, sebanyak 400 titisan genetik berjaya dihasilkan dan selepas lapan tahun kajian, enam daripadanya diperkenalkan sebagai varieti baru dengan nama CJ-1, CJ-2, CJ-3, CJ-4, CJ-5 dan CJ-6."

"Selepas tiga hingga empat tahun ditanam dan mengeluarkan buah, orang ramai menggelarkannya nangka madu," katanya ketika ditemui Kosmo! di ladang penanaman nangka Mastura di Kampung Paya Tok Akil, Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

Di atas tanah seluas 12 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) yang dijadikan tapak kajiannya, Zainal Abidin kini turut menjalankan penyelidikan 20 buah-buahan tropika lain termasuklah durian belanda, jambu air, belimbing, longan, rambutan, pulasan dan roselle.

Walaupun berjaya menghasilkan nangka yang mempunyai ciri-ciri baik, namun kajian terhadap varieti nangka tidak terhenti di situ sahaja.

Menurut Zainal Abidin, sebanyak 400 titisan genetik daripada enam varieti CJ-1 hingga CJ-6 telah dikaji semula dan selepas lapan tahun, satu titisan daripadanya telah dipilih.

Ini kerana ia mempunyai sifat-sifat yang dikehendaki iaitu mempunyai saiz buah yang besar, mengeluarkan ulas yang manis dan isinya yang keemasan.

Varieti itu diperkenalkan kepada umum dengan nama CJ/USM 2000 Mastura yang kemudiannya menerima nama jolokan nangka Mastura seperti yang dikenali pada hari ini.

Malah, nangka Mastura juga mempunyai ciri-ciri yang baik. Antaranya ialah buahnya berbau harum, isi yang tebal, buah tidak mudah rosak, pokok yang lebih tahan serangan penyakit dan berbuah sepanjang masa.

Jelasnya, pokok nangka Mastura dengan ketinggian di antara 4.5 meter hingga 5.4 meter mampu mengeluarkan buah pertama selepas 18 bulan ditanam. Ia boleh mengeluarkan dua putik buah dalam tempoh sebulan selain mampu hidup selama lebih dua dekad.

Sehingga kini, varieti nangka Mastura paling banyak ditanam di Pahang yang melibatkan keluasan ladang kira-kira 1,200 hektar manakala di Terengganu dan Selangor pula melibatkan penanaman masing-masing seluas 160 hektar yang benihnya dipasarkan menerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negeri itu.

Sebagai kesinambungan kepada kejayaan yang telah dihasilkan menerusi penemuan varieti nangka Mastura, Zainal Abidin yang telah bersara sebagai pensyarah di USM masih lagi meneruskan kajiannya.

Kini kajian terbarunya yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu sudah memasuki peringkat penilaian terhadap 200 sampel titisan yang dihasilkan daripada kacukan beberapa jenis nangka terbaik termasuklah nangka Mastura.

"Kajian terbaru saya ini dijangkakan dapat menghasilkan empat lagi baka baru nangka yang mempunyai ciri-ciri baik, mungkin lebih baik daripada nangka Mastura."

"Saya jangkakan dalam masa setahun dua lagi, ia dapat diperkenalkan kepada umum untuk ditanam secara komersil di kawasan pertanian," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::