Donut Krispy Kreme
(Post: Bahasa Melayu)
" Sebut sahaja donut pasti ramai yang membayangkan kelembutan dan keenakan hidangan pastri bergoreng itu. Populariti donut menyebabkan ia kini boleh dinikmati di mana-mana negara di seluruh dunia. "
Sesuai dengan konsepnya yang ringkas dan mengenyangkan menyebabkan hidangan itu tidak sekadar sebagai pencuci mulut sarapan pagi, bahkan menjadi hidangan pada waktu makan lain khususnya pada waktu santai.
Di Malaysia, permintaan yang tinggi terhadap donut boleh dilihat dengan kemunculan pelbagai kios dan jenama donut yang tumbuh ibarat cendawan selepas hujan di pasaran.
Salah satu daripadanya ialah jenama Krispy Kreme yang terkenal dengan keunggulan resipi turun temurun sejak tujuh dekad lalu.
Sejak menembusi pasaran negara ini kira-kira dua tahun lalu, jenama itu terus kukuh kerana menghidangkan pelbagai variasi donut yang segar dan berkualiti.
Terbaru, jenama itu memperkenalkan donut mini yang mempunyai saiz yang lebih kecil iaitu satu pertiga daripada saiz donut biasa.
Pengurus Besar Berjaya Krispy Kreme Sdn. Bhd., Alex Chong Kok Hwa berkata, biarpun bersaiz mini namun bahan-bahan perisa yang digunakan tetap sama seperti saiz asal.
"Ia mengandungi tiga bahan asas utama iaitu coklat, yogurt dan fruity coklat yang ditawarkan dalam pelbagai perisa berbeza."
"Bentuknya berwarna-warni pasti menarik perhatian sesiapa sahaja terutama golongan kanak-kanak. Apa yang pasti, ia sesuai untuk dijadikan hidangan ketika parti dan sebagainya," katanya semasa majlis pelancarannya di Sunway Pyramid, Selangor baru-baru ini.
Tambah Kok Hwa, sejak dilancarkan pada 15 November lalu donut mini itu mendapat sambutan dan jualan menggalakkan daripada orang ramai.
"Ia dijual di beberapa cawangan Krispy Kreme berdekatan seperti di Berjaya Times Square, Sunway Pyramid Shooping Centre, Mid Valley Megamall dan Plaza Shah Alam."
"Setiap kotak yang mengandungi 11 perisa dan dijual pada harga RM16," jelasnya.
Pelancaran donut mini Krispy Krime turut diserikan dengan pertandingan Mini Talent Show yang julung-julung kali diadakan. Seramai 10 peserta pelbagai peringkat usia berpeluang menunjukkan bakat mereka dalam bidang nyanyian, tarian dan bermain alat muzik.
Menurut Kok Hwa, pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat-bakat baru dalam kalangan para peserta.
"Kami percaya Krispy Kreme adalah jenama yang mempunyai ciri-ciri keriangan sesuai dengan pertandingan ini dan ia juga menerbitkan kegembiraan dan keterujaan."
"Sebab itu, kami memberi mereka peluang bergembira sambil mempersembahkan apa yang mereka suka," katanya.
Pemenang tempat pertama dimenangi oleh pasangan rakan karib, Daniel Wong Yoon Tsern, 19, dan rakannya, David Chua Boon Ghee, 19, yang mempertaruhkan lagu Breathless.
Daniel berkata, lagu tersebut sangat istimewa kerana dihasilkan oleh kumpulan muziknya, Wanted Symphony, yang ditubuhkan sejak setahun lalu. Kejayaan itu membolehkannya menerima hadiah bekalan donut Krispy Kreme selama setahun.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi oleh Mohamed Hazeman Huzir, 22, dari Cheras. Graduan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia itu mempertaruhkan lagu Keabadian Cinta nyanyian Anuar Zain. Dia menerima hadiah bekalan donut selama enam bulan.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Sharifah Alawiyah Shahabudin Syed Ahmad, 22. Gadis dari Rawang itu menunjukkan bakat bermain piano yang mempesonakan para tetamu. Lagu I'll Be There nyanyian legenda pop, Michael Jackson, nyata membawa tuah kepadanya, sekali gus membolehkan dia menerima hadiah bekalan donut selama tiga bulan.
Sumber: Kosmo! Online
1 comments:
aduh lapar pulak petang2 ni bila tgk donut yg mengancam tu..
Post a Comment