Hiasan Kraf Pasu Comel
(Post: Bahasa Melayu)
" Perkembangan memberangsangkan hiasan dalaman memungkinkan kemunculan pelbagai produk menarik namun pada akhirnya, pembelian berbaloi ditentukan keupayaan menentukan pilihan barangan bertepatan cita rasa dan karektor kediaman. "
Begitupun, bagi mereka yang kreatif serta ingin mengetengahkan sentuhan peribadi, membuat sendiri aksesori rumah dianggap penyelesaian terbaik.
Selain berpeluang menunjukkan bakat dan kemahiran, menyediakan sendiri perhiasan rumah juga menjimatkan belanja, menyerlahkan identiti hias selain ia satu-satunya dihasilkan menerusi imaginasi serta kreativiti peribadi.
Bagi yang baru ingin mencuba kaedah ini, apa kata ikuti langkah membuat pasu comel seperti ditunjuk ajar pemilik JCVK-inspire, Joanna Chang.
Hanya berumpankan bahan terbuang dan mudah didapati, kata Joanna, gubahan disediakannya amat ringkas kerana mengambil masa singkat untuk disiapkan.
"Bergantung kepada minat dan kesungguhan, saya percaya masa paling lama untuk sebuah gubahan siap adalah kira-kira 15 minit. Itupun kerana membabitkan proses membentuk serta menggunting selain terpaksa menunggu gam kering sebelum meneruskan langkah selanjutnya," katanya.
Katanya lagi, bahan yang mungkin perlu dibeli adalah tanah liat khusus untuk kraf, kain felt (kain diperbuat daripada gentian) serta klip kertas manakala selebihnya berupa bahan kitar semula termasuk pasu hiasan aluminium, kapas, dawai dan riben.
"Seperti seni kraf lain, proses menyediakan aksesori rumah turut menuntut kreativiti. Satu bonus bagi yang memiliki naluri serta sentuhan seni, kerana bentuknya berupaya dipelbagaikan."
"Bahan kitar semula yang sama pula boleh digunakan berulang kali bagi menghasilkan produk yang lain," katanya yang menjual produk iClay, iaitu produk kraf berasaskan tanah liat diimport dari Korea di pasar raya besar Giant Bandar Kinrara.
Produk berkenaan banyak memberi inspirasi buat Joanna mencipta pelbagai ilham barangan rumah dan ole-ole majlis istimewa seperti sambutan hari jadi, perayaan dan majlis perkahwinan.
Pasu kecil berhias bunga dan klip kertas ilham Joanna sesuai dijadikan penyeri meja kerja dan sudut strategik kediaman.
Bagi membuatnya, anda perlu menyediakan kain felt (warna bergantung cita rasa), gunting, gam, riben, dawai keras serta mudah lentur, klip kertas, tanah liat kertas (paper clay) dan kapas, manakala hiasan pom-pom berfungsi menyemarakkan gubahan.
Cara Membuat:
1. Kertas felt digunting bentuk bunga dan gam dawai di belakangnya berfungsi sebagai tangkai bunga.
2. Lilit penuh tangkai itu menggunakan dawai lembut, tinggalkan sebahagian untuk proses membentuk daun. Lekat kertas bergunting bentuk daun di situ.
3. Langkah membuat tanahnya - masukkan tanah liat kertas ke dalam pasu dan tekan sampai mampat. Cucuk bunga kertas felt tadi (maksimum tiga tangkai) sebelum meletak kapas khusus menutupi bahagian mengandungi tanah liat.
4. Riben dan klip kertas ditampal pada bahagian belakang bunga dan hiasan pom-pom yang dilekat secara rawak di kapas berupaya mencantikkan lagi hiasan pasu comel anda.
5. Gubahan siap.
INFO:
Seni kreatif ini mampu membantu menjana pendapatan tambahan buat sesiapa yang mahu mencuba. Keterangan lanjut mengenai kraf tanah liat, email kepada jcvk-inspire@hotmail.com
Sumber: Berita Harian Online
0 comments:
Post a Comment