Harta Intelek Menjana Keuntungan
(Post: Bahasa Melayu)
" Berdasarkan potensinya yang mampu menjana keuntungan tanpa had, pembangunan harta intelek dilihat boleh menjadi pemangkin kepada proses transformasi Malaysia untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020. "
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir (gambar) berkata, untuk memaksimumkan potensi tersebut, tanggapan masyarakat bahawa pembangunan harta intelek hanya berkisar kepada penciptaan dan perlindungan hak cipta perlu diubah.
"Harta intelek bukan sekadar melindungi hak pencipta sesuatu produk sebaliknya ia adalah senjata perniagaan yang boleh dikomersialkan untuk menjana keuntungan yang berganda."
"Meskipun ia adalah aset tidak nyata, hak harta intelek boleh dilesen, difrancais dan didagangkan serta menjadi cagaran perniagaan sama ada dalam bentuk kekal atau dalam tempoh waktu yang tertentu," katanya.
Mukhriz berkata demikian ketika berucap merasmikan forum bertajuk Intellectual Properties Monetisation sempena Persidangan MSC Malaysia 2010 (MMS 2010) di Kuala Lumpur.
Antara ahli panel forum itu ialah Naib Presiden Telefon Mudah Alih, Perundangan dan Harta Intelek Nokia Corporation, Andrew Ong SC; Naib Presiden dan Pengarah Urusan Walt Disney Television International, Laura E. Wendt dan Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn. Bhd., Burhanuddin Md. Radzi.
Persidangan anjuran Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) yang bermula sejak Isnin lalu berjaya mengumpulkan lebih 2,500 delegasi yang terdiri daripada pemain industri ICT, agensi-agensi kerajaan dan perwakilan dari luar negara.
Mengulas lanjut Mukhriz menjelaskan, di Amerika Syarikat keuntungan aset tidak nyata seperti hak harta intelek menjadi penyumbang utama pembangunan ekonomi kebanyakan syarikat terkemuka sekali gus mengatasi keuntungan aset nyata.
INFO:
Harta intelek (intellectual property atau IP) dalam bidang undang-undang merujuk kepada hasil kreativiti manusia yang merangkumi pelbagai perkara seperti karya muzik, sastera dan seni; rekacipta; dan simbol, nama, imej dan reka bentuk yang digunakan dalam perniagaan termasuk hak cipta, cap dagangan, paten dan hak-hak lain yang berkaitan.
Di bawah undang-undang harta intelek, pemegang salah satu dari harta-harta yang bersifat abstrak ini mempunyai hak-hak eksklusif tertentu untuk harta intelek yang mereka cipta.
Pembangunan harta intelek di dalam sesebuah negara akan meningkatkan tahap inovasi, ekonomi dan menganjaknya ke sebuah negara berasaskan ekonomi pengetahuan.
Kekuatan undang-undang harta intelek dalam sesebuah negara juga dikenal pasti sebagai faktor penting yang mempengaruhi pelaburan dari luar terutamanya untuk bidang perniagaan yang berasaskan pengetahuan.
Hari Harta Intelek Sedunia disambut pada 26 April setiap tahun untuk meningkatkan kesedaran masyarakat awam tentang apa itu harta intelek dan bagaimana ia menggalak bukan saja perkembangan muzik, kesenian dan hiburan tetapi juga inovasi produk dan teknologi.
Sumber: Utusan Malaysia Online , Wikipedia
Foto: Zunia.org
0 comments:
Post a Comment