ATTENTION !!!

Thursday, June 10, 2010

Sirap Nira Kabung

(Post: Bahasa Melayu)
" Pokok kabung, sejenis pokok palma berasal dari Indonesia yang dikenali juga sebagai pokok Enau atau nama botaninya Arenga Pinnata, mungkin agak pelik berbanding dengan pokok daripada spesies palma yang lain. "

Pokok daripada keluarga Arecaceae ini pelik kerana semakin ia meninggi dan matang, tandan bunga dan buahnya pula tumbuh kian merendah di bahagian bawah batangnya hingga hampir mencecah tanah.

Malah dikatakan bahawa apabila tandan yang tumbuh di batang itu sudah hampir ke tanah itu menandakan bahawa pokok kabung berkenaan sudah tua dan akan mati.

Ini berbeza dengan pokok daripada spesies palma yang lain seperti pokok kelapa dan rumbia kerana tandan bunga dan buahnya akan tumbuh meninggi mengikut kematangan dan ketinggian pokok berkenaan.

Pokok kabung, yang mengeluarkan nira yang boleh diminum begitu saja atau di proses menjadi gula merah dikatakan hanya akan mengeluarkan nira daripada tandan sepadan dengan 'pujukan' yang diberikan.

Bunga Jantan

Tidak semua tandan pokok kabung mengeluarkan nira kerana hanya tandan bunga jantan sahaja yang boleh 'dipujuk' untuk mengeluarkan niranya.

Tandan bunga betina pula tidak akan mengeluarkan nira meskipun dipujuk seperti tandan bunga jantan.

Kerja 'memujuk' mengikut istilah yang digunakan pemungut nira di Ladang Sungai Balung, iaitu dengan mengetuk batang tandan bunga jantan itu secara bersopan, memang berlaku berdasarkan pengalaman mereka sejak bertahun-tahun lamanya.

"Sebelum batang tandan bunga jantan dicantas, batang tandan berkenaan perlu dibersihkan daripada sebarang sisa kelopaknya. Selepas itu, ia perlu 'dipujuk' dengan mengetuk-ngetuk batang tandan itu ke arah atas dua kali dan arah ke bawah dua kali."

"Tujuan mengetuk berkenaan ialah bagi melonggarkan rongga-rongga saluran aliran air nira dalam batang tandan berkenaan. Kalau tidak dibuat begini air nira tidak akan keluar", kata Nurdin Baddusa, 49, yang telah menjalankan kerja mengutip air nira sejak tujuh tahun lepas.

Menurut Nurdin, ketukan pula hendaklah dibuat secara berhati-hati supaya tidak mencederakan batang tandan berkenaan. "Jika ketukan terlalu kuat dan batang tandan tercedera, nira tidak akan keluar", kata Nurdin kepada Bernama ketika ditemui di Ladang Sungai Balung, kira-kira 60km dari Tawau.

Beliau adalah seorang daripada kira-kira 20 pekerja pemungut air nira di ladang berkenaan.

Menurut Nurdin amalan berkenaan perlu dilakukan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan berterusan sehingga bunga pada tandan pokok Kabung kembang.

"Apabila bunga pada tandan berkenaan sudah kembang, tandan berkenaan bolehlah dicantas dan jika aliran air niranya sudah agak deras ia boleh ditadah dengan bekas yang direka khas."

"Jika belum deras, bahagian hujung tandan yang dicantas itu perlu dihiris sebaiknya sekali pada waktu pagi dan sekali lagi pada waktu petang sehingga aliran niranya deras", katanya.

Nurdin berkata nira biasanya dikutip dua kali sehari dan ada antara pokok kabung berkenaan boleh mengeluarkan sehingga 10 liter nira sehari.

Katanya nira yang siap dikutip kemudian dihantar ke kilang pemprosesan yang terletak dalam ladang berkenaan untuk diproses menjadi sirap nira kabung (Arenga Pinnata Syrup).

"Kami memproses kira-kira 700 kg nira kabung sehari", kata Masriani Mansor, ahli teknologi makanan di kilang pemerosesen sirap nira kabung berkenaan.

Sementara itu Pengurus Besar Kebun Rimau Sdn Bhd K.Arunagirinathan yakin sirap nira kabung atau gula kabung suatu hari nanti akan menjadi satu daripada sumber gula utama di negara ini.

Menurutnya gula kabung boleh menggantikan gula biasa dan lebih penting daripada itu ia tidak mengandungi glukosa dan baik untuk kesihatan khususnya bagi pengidap kencing manis.

Sirap Gula Kabung

"Kami sudah menanam kira-kira lebih 5,000 pokok kabung daripada jenis benih bermutu tinggi meliputi kawasan seluas kira-kira 809 hektar di Ladang Sungai Balung."

"Dalam tempoh 10 tahun dari sekarang mungkin kami perlu membina kilang memproses sirap nira kabung atau gula merah yang lebih besar."

"Saya juga yakin suatu hari nanti sirap nira kabung ini akan menjadi sumber gula utama di negara ini malah mungkin juga menjadi pilihan utama penduduk dunia kerana kebaikannya dari segi kesihatan", katanya.

Arunagirinathan berkata sirap nira kabung yang dikeluarkan syarikat berkenaan yang kini sudah dalam pasaran tidak mengandungi bahan kimia atau pewarna atau perasa tiruan sebaliknya keasliannya dikekalkan.

Katanya idea penanaman pokok kabung berkenaan secara besar-besaran bermula sembilan tahun lepas apabila pengerusi syarikat berkenaan Datuk Harris Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah membawa benih pokok berkenaan dari Indonesia.

Menurutnya sirap nira kabung boleh dijadikan bahan masakan dalam kuih-muih tradisional, makanan dan minuman. Antara makanan yang popular dengan campuran gula atau nira kabung ialah bubur kacang, kuih koci, kuih kelepong, dodol, wajik, agar-agar, kuih sepang, air batu campur dan cendol.

Sirap nira kabung juga boleh digunakan sebagai pemanis dalam pembuatan kek serta pastri, makanan bijirin dan jus buah-buahan.

Sumber: Bernama.com
Foto: Wikipedia , blog DrBubbles

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::