ATTENTION !!!

Friday, June 11, 2010

Produk Berasaskan Herba Forest'Secret

(Post: Bahasa Melayu)
" Bumi Malaysia dianugerahi rimba yang kaya dengan khazanah khasiat tumbuh-tumbuhan. Dengan kemajuan sains dan teknologi, kekayaan alam semula jadi tidak perlu lagi dicari dengan bersusah-payah meneroka hutan dan persekitaran, malah kebaikan dan khasiat tumbuh-tumbuhan kini diproses dan dikomersialkan. "

Forest'Secret adalah satu jenama produk kecantikan dan penjagaan diri yang kini berkembang dalam industri halal herba di pasaran tempatan mahupun antarabangsa.

Berusia genap setahun April lepas, Forest'Secret sudah mampu berbangga dengan produk keluarannya setelah diiktiraf oleh BrandLaureate sebagai Jenama Terbaik untuk Produk Pengguna 2007 bagi Penjagaan Badan dan Kulit.

Berkesempatan menemui Pengurus Komunikasi Jenama Forest'Secret, Intan Hyriatee Mohd Zawai pada Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS 2008), penulis sempat membongkar rahsia kejayaan produk berkenaan yang kian mendapat tempat di kalangan pengguna.

Khasiat Herba

Forest'Secret beroperasi di bawah program francais Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MeCD), melalui agensi kementerian itu iaitu Permodalan Nasional Berhad (PNS).

PNS adalah agensi peneraju dalam menyediakan penyelesaian secara menyeluruh dalam memajukan industri francais di Malaysia.

Forest'Secret bernaung di bawah anak syarikat PNS iaitu Malaysia International Franchise Sdn Bhd (MyFranchise), yang turut membantu memajukan syarikat-syarikat berkaitan makanan seperti Gloria Jeans Coffee, 1901, Marrybrown dan MalaysiaKitchen.

Menurut Intan Hyriatee, Forest'Secret Sdn Bhd yakin dengan produknya yang kelebihannya terletak pada esktrak tumbuh-tumbuhan yang boleh didapati dengan meluas di hutan hujan tropika dalam negara.

"Menyedari akan khasiat herba yang boleh diperoleh dengan mudahnya di sini, Forest'Secret mengambil inisiatif untuk mewujudkan satu jenama halal di mana produknya bersih dan diyakini semua golongan masyarakat. Ini antara sebab kewujudan Forest'Secret hari ini," katanya.

Selain itu, Forest'Secret juga menjalankan usaha penjenamaan semula produk yang diterima daripada pembekal dan usahawan lain.

Misalnya, syarikat Nutra Herbs Sdn Bhd, yang menghasilkan produk daripada buah pinang, merupakan pembekal kepada Forest'Secret.

"Lazimnya, usahawan kita kurang kepakaran dalam penjenamaan dan mempunyai masalah kewangan untuk memasarkannya. Di sinilah Forest'Secret berperanan membantu mereka mempakej semula produk tersebut supaya ia lebih menarik dan memenuhi citarasa pelanggan," tambah Intan Hyriatee.

Kini terdapat 13 usahawan, yang membekalkan pelbagai produk herba kepada Forest'Secret dan sebanyak 114 produk kini berada di pasaran.

Keunikan dan Keistimewaan

Sekali imbas, pasti ramai yang beranggapan produk Forest'Secret saling tak tumpah seperti produk keluaran The Body Shop dan Skin & Beauty Care Products.

Namun begitu, kenyataan ini disangkal oleh Intan Hyriatee dengan menyatakan Forest'Secret mempunyai keunikan dan keistimewaannya tersendiri.

"Walaupun ramai yang beranggapan demikian, produk kami ternyata berbeza. Khususnya, penghasilan produk Forest'Secret adalah 100 peratus daripada herba, berbanding produk lain yang diperbuat daripada campuran elemen," katanya.

Tambahan pula, aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu menjadikan Malaysia sebagai hab halal memberi keyakinan kepada Forest'Secret untuk bergelar pusat hentian setempat bagi semua produk berasaskan herba.

"Di Forest'Secret, pelanggan boleh mendapatkan produk penjagaan dan kesihatan diri merangkumi keseluruhan tubuh badan."

"Belum ada jenama seumpama Forest'Secret yang dapat menyediakan kesemua produk di bawah satu bumbung. Inilah antara keistimewaan kami yang menjadi daya tarikan kepada pelanggan," tambahnya.

Selain itu, Forest'Secret ingin mengubah tanggapan masyarakat umum terhadap herba dan penggunaannya di dalam kehidupan masa kini.

Herba lazimnya dikaitkan dengan golongan warga tua yang tinggal di pedalaman. Ia juga dikatakan susah diperoleh dan sudah tidak praktikal lagi digunakan untuk kegunaan seharian.

"Justeru, Forest'Secret mahu herba dijadikan sebahagian gaya hidup moden. Melihat sahaja kepada konsep ruang kedai Forest'Secret yang moden, pasti semua peringkat lapisan masyarakat tidak berasa malu ataupun segan untuk berkunjung, apatah lagi menggunakan produk yang diperbuat daripada herba," tambahnya.

MeCD Banyak Membantu

Kejayaan Forest'Secret hari ini sebenarnya banyak dibantu oleh MeCD, yang komited dalam membangunkan usahawan baru dan sedia ada.

Bahagian Francais dan Vendor MeCD, khususnya bertanggungjawab terhadap pembangunan dan kemajuan Forest'Secret sebagai sebuah perniagaan francais yang berjaya.

Intan Hyriatee berkata, untuk menjalankan perniagaan francais, sesebuah syarikat itu harus cukup bersedia dari segi latihan dan kemahiran, kewangan serta infrastrukturnya.

"MeCD sememangnya memainkan peranan dengan sangat baik. Misalnya Program Satu Daerah Satu Industri (SDSI) dan Gerak Usahawan anjuran MeCD, banyak membantu usahawan Bumiputera, termasuklah Forest'Secret, dalam membina jaringan perniagaan," katanya.

Melalui program-program yang dilaksanakan MeCD, Forest'Secret bukan sahaja dibantu memasarkan produk dengan lebih cekap, malah turut dibimbing dalam konsep bisnes ruang niaga.

Ruang kedai, kiosk dan gerai berkonsep kereta tolak adalah antara jenis-jenis ruang niaga yang disediakan.

"Dengan adanya ruang niaga seperti ini, usahawan tidak perlu gusar akan modal yang tinggi untuk memulakan sesuatu perniagaan," jelasnya, yang mengakui MeCD telah banyak membawa produk tempatan ke peringkat global.

Ingin Lebih Maju

Walaupun baru berusia setahun jagung, Forest'Secret tidak menjadikan itu sebagai alasan untuk sekadar duduk diam. Malah Forest'Secret, yang merupakan sebahagian daripada program Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), sedar ia harus berusaha keras agar objektif yang disasarkan dapat dicapai menjelang 2010.

"Antara objektif yang kami sasarkan adalah menambah lagi bilangan usahawan kepada 25 orang di bawah francais Forest'Secret. Selain itu, kami akan menghasilkan sehingga 500 produk baru berbanding 114 produk buat masa ini," jelas Intan penuh yakin.

Selain itu, Forest'Secret yang kini menawarkan produk dan perkhidmatan untuk penjagaan badan dan kulit, aromaterapi dan spa serta makanan dan minuman kesihatan, akan memperkenalkan produk baru iaitu produk kosmetik.

Tambahnya, Forest'Secret juga akan melancarkan jualan langsung bagi produknya.

"Dengan cara ini, kami dapat menambah bilangan pengguna dan membantu golongan tertentu khususnya pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) untuk terlibat dalam perniagaan francais mahupun menjadi ejen jualan langsung yang membolehkan mereka memperoleh komisen," katanya.

"Pendek kata, Forest'Secret tidak akan senyap begitu sahaja memandangkan pelbagai langkah harus dilaksanakan dan strategi pemasaran perlu giat dijalankan," seloroh Intan Hyriatee mengakhiri perbualan.

Jelaslah bahawa produk tempatan seumpama Forest'Secret juga mampu menandingi kelebihan produk antarabangsa lain.

Forest'Secret boleh dikunjungi di beberapa cawangan antaranya di The Curve Mutiara Damansara, Sunway Pyramid, One Utama, Central Market Kuala Lumpur, TESCO Ampang, Jalan Hang Jebat, Melaka dan Plaza Angsana Johor Baharu.

Sumber: Bernama.com
Foto: Forest'Secret

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::