Al-Quran Digital Fifteen Network Solutions
(Post: Bahasa Melayu)
" Sesetengah orang mungkin malu untuk mempelajari dan melancarkan bacaan al-Quran kerana faktor usia sudah lanjut, atau mungkin juga tidak tahu di mana hendak bermula dan tiada siapa yang mahu mengajar. "
Bagi mereka yang benar-benar ingin mempelajari bacaan al-Quran, penggunaan al-Quran digital mungkin salah satu usaha mengenal ayat-ayat suci dengan mudah dan berkesan melalui teknik mendengar dan mengikut.
Kelebihan al-Quran digital tidak dapat dinafikan melalui aplikasi tambahan yang paling penting iaitu terjemahan mengikut bahasa yang memenuhi kesesuaian masing-masing. Lalu, ia menjadi gajet penting yang harus dimiliki umat Islam hari ini.
Produk-produk al-Quran digital keluaran ENMAC Engineering Technology adalah salah satu pilihan terbaik yang menawarkan kelebihan-kelebihan aplikasi tersebut. Ini kerana ia tampil dalam pelbagai gajet antaranya telefon bimbit, naskhah digital dan terkini pemain MP3.
Pekongsi Utama Fifteen Network Solutions yang mengedarkan produk berkenaan, Ahmad Hazik Mohd. Amin berkata, al-Quran digital mempunyai banyak kelebihan dan mampu memberi minat yang lebih mendalam kepada pemiliknya untuk mempelajari bacaan ayat-ayat suci al-Quran.
"Selain terjemahan, al-Quran digital juga mempunyai pilihan qari dari tanah suci Mekah dan beberapa kelebihan lain mengikut pakej yang diinginkan pelanggan."
"Bagi al-Quran dalam bentuk MP3, ada tiga pilihan iaitu EQ500, EQ300 dan EQ100 yang menawarkan aplikasi-aplikasi berbeza seperti jumlah qari, himpunan hadis-hadis, kamera, kad memori dan pemain video," katanya.
Ujar Ahmad Hazik, qari-qari yang membacakan ayat suci al-Quran dalam MP3 berkenaan antaranya ialah Sheikh Al-Sudais, Sheikh Saad Al Ghamdi, Sheikh Mohammad Ayoub, Sheikh Al-Hudaifi dan Sheikh Misheri Rashid.
"Pemilik MP3 al-Quran bukan sahaja dapat mempelajari bacaan-bacaan al-Quran melalui qari-qari terkenal, tetapi proses pembelajaran dapat dilakukan di mana-mana sahaja menggunakan fon telinga yang disediakan."
"Proses pembelajaran melalui teknik mendengar juga lebih berkesan kerana penggunanya dapat memperbaiki kelancaran bacaan dengan lebih cepat melalui kaedah ini," katanya.
Sementara itu, seorang lagi Pekongsi Fifteen Network Solutions, Mohd. Yusri Kassim berkata, setiap satu gajet al-Quran digital dilengkapi 24 bahasa terjemahan seperti bahasa Inggeris, Melayu, Perancis, Jerman, Cina, Belanda dan Albania.
"Sebelum ini penggunaan al-Quran digital lebih mendapat sambutan di kalangan pelajar maahad tahfiz tetapi kebaikannya seharusnya dikongsi bersama semua umat Islam lain."
"Ia juga adalah gajet penting yang harus dimiliki para mualaf yang mahu mendalami pembacaan al-Quran serta maksud terjemahannya," tambahnya.
Dalam pada itu katanya, banyak perbezaan apabila membaca al-Quran bersendirian berbanding mendengar bacaan al-Quran orang lain dari segi kerohanian.
"Apabila kita sering mendengar orang lain membaca al-Quran, kadangkala suara bacaan itu akan terngiang-ngiang walaupun ketika kita tidak mendengarnya kerana sudah terbiasa," katanya.
Jelas beliau lagi, kelebihan lain yang ditawarkan MP3 al-Quran termasuklah selingan video-video latar yang memaparkan kebesaran Allah seperti sungai dan langit yang terbentang luas.
"Melalui video-video ini, ia akan menimbulkan keinsafan kepada pemiliknya untuk mensyukuri kebesaran Allah dan mencintai al-Quran," katanya.
Untuk maklumat lanjut hubungi Fifteen Network Solutions di talian 03-80237015.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment