Akademi Tahfiz Al-Hidayah
(Post: Bahasa Melayu)
" Kitab suci Al-Quran diturunkan sebagai pedoman kepada seluruh umat Islam hingga ke akhir zaman. Di dalamnya terkandung pelbagai mutiara ilmu dan untaian kata yang tidak dapat ditandingi oleh mana-mana kitab sekali pun. "
Selagi manusia berpegang teguh dengan segala perintah dan larangan Allah SWT yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka tidak akan sesat dalam perjalanan meniti kehidupan di dunia ini. "
Berpegang kepada hakikat itu, wanita bernama Roslailawati Mohamad atau lebih mesra disapa Ibu Laila percaya bahawa ia merupakan anugerah Allah yang harus dimanfaatkan sebaik mungkin.
Lantaran itu, dia sentiasa menjadikan kitab tersebut sebagai kaedah utama dalam mendidik dan membentuk anak-anak menjadi manusia berguna pada masa akan datang.
Ibu Laila yang merupakan pengasas Akademi Tahfiz Al-Hidayah (ATAH) berkata, anak-anak yang baru dilahirkan ibarat kain yang suci daripada sebarang noda.
Oleh itu, menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk mewarnai kain putih itu dengan cara yang betul dan kaedah terbaik sudah tentu dengan mengikuti pedoman yang digariskan di dalam Al-Quran.
"Sebenarnya, dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia terdapat dua jenis kekuatan disiplin yang boleh dipelajari iaitu secara tidak sedar (informal) dan harian (formal)."
"Apa yang dimaksudkan dengan didikan secara tidak sedar adalah dengan merangsang minda dan nurani seseorang anak melalui ayat-ayat suci Al-Quran yang diperdengarkan sama ada melalui bacaan sendiri ataupun pemasangan kaset, cakera padat (CD) dan cakera video digital (VCD)," katanya.
Jelas Ibu Laila, didikan sedemikian harus dimulakan sewaktu bayi masih di dalam kandungan, diteruskan apabila mereka lahir sehingga menginjak ke alam kanak-kanak dan dewasa.
"Apabila anak-anak ini sentiasa dekat dengan bacaan ayat-ayat suci ini, secara tidak langsung ia mampu memberi ketenangan yang sukar ditafsirkan dan mereka akan membesar sebagai seorang anak yang cemerlang bukan sahaja di dalam pelajaran tetapi juga akhlak dan peribadi mereka," tegas ibu kepada tujuh cahaya mata ini.
Berbicara lebih lanjut, wanita berusia 49 tahun itu tidak lokek berkongsi pengalaman dalam mendidik anak kandungnya dan juga anak jagaannya di ATAH dengan menerapkan konsep pembelajaran holistik secara menyeluruh.
Kaedah itu katanya, berupaya memberi impak yang positif terhadap perkembangan minda kanak-kanak terutama jika ia dilakukan ketika mereka masih bayi.
Menurut Ibu Laila lagi, pendidikan awal kanak-kanak harus bermula daripada saat dia dilahirkan hingga berusia tiga tahun.
"Tempoh itu merupakan waktu terbaik untuk kita lakukan stimulasi pada bayi seperti rangsangan fizikal iaitu daripada terlentang, meniarap, merangkak, bertatih, berjalan dan boleh berlari secara cross patern (pembelajaran bersifat sinergetik)."
"Semua ini amat berkesan untuk memberi rangsangan semaksimum yang boleh untuk perkembangan minda si kecil. Apa yang ibu lihat, anak-anak ibu mempunyai pencapaian yang sangat membanggakan."
"Kami mengajar anak-anak di ATAH dalam tiga bahasa iaitu Bahasa Melayu, Inggeris dan Arab di samping menekankan subjek Matematik," ujar Ibu Laila yang telah menerapkan kaedah pembelajaran bersifat integrasi atau bersepadu itu sejak tahun 1985.
Sebelum mengasaskan ATAH yang ditubuhkan pada 1 April 2000, Ibu Laila bermula dengan membuka pusat jagaan kanak-kanak daripada bayi hingga berusia empat tahun pada Januari 1985.
Kemudian, apabila mereka mencecah usia lima tahun, wanita berdedikasi ini menubuhkan pula tahfiz prasekolah yang dihadiri hampir 30 kanak-kanak di sebuah rumah di Jalan Raja Alang, Kampung Baru.
Melihat sambutan yang diterima semakin menggalakkan dengan kehadiran lebih 80 kanak-kanak di tahfiz prasekolah itu, Ibu Laila membuat keputusan berpindah ke sebuah rumah yang lebih besar di Lorong Daud, Kampung Baru.
Dari situlah dia memulakan sistem baru dengan menggunakan medium Bahasa Inggeris dalam subjek Matematik, Sains dan Pengajian Islam seperti Sirah Nabawiyyah dan Fikah.
Ternyata kaedah yang digunapakai mampu meningkatkan intelektual, spiritual, perkembangan fizikal dan menjadikan anak-anak di sana lebih kreatif dan inovatif.
"Kita nampak keseimbangan membentuk seorang manusia amat penting dengan menekankan kepada empat aspek tersebut kerana dengannya kanak-kanak akan menjadi cemerlang dan menjadi individu yang luar biasa dalam aspek pencapaian akademik dan sosial," ungkapnya sambil memberitahu semua anaknya kecuali yang sulung berjaya menamatkan pengajian di sekolah tersebut.
Salah seorang anak Ibu Laila yang berpeluang belajar di tahfiz pra-sekolah dan ATAH, Ahmad Abdul Hadi Samat, 21, melahirkan rasa syukur dan terharu di atas kerja keras yang dilakukan bonda tersayang.
"Alhamdulillah, ibu telah memberikan saya satu pendidikan yang sempurna untuk kehidupan dunia dan akhirat. Sebagai anak, memang saya berbangga dengan pencapaian ibu sehingga ke hari ini."
"Ibu memang menyerahkan seluruh jiwa dan raganya untuk melihat anak-anak beragama Islam memperoleh kejayaan sama ada bersifat duniawi mahupun ukhrawi."
"Moga Allah terus mengurniakan kekuatan dan ketabahan untuk ibu mengendalikan akademi tahfiz ini," tutur Ahmad yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk Al-Quran dan mencatat keputusan 11A di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2007) dan kini menyambung pengajian di Akademi Laut Malaysia (ALAM) dalam bidang kejuruteraan.
Selain Ahmad, anak-anak Ibu Laila yang lain ialah Siti Nurul Fatihah (25), Asma (24), Nur Sakinah (23), Ahmad Abdul Hakim (18), Nur Atiqah (15) dan Muhammad Hanis (13).
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment