ATTENTION !!!

Thursday, February 25, 2010

Singgahsana Spa

(Post: Bahasa Melayu)
" Singgahsana Spa dan segala pakej yang mahu ditawarkan kepada pelanggannya mungkin masih asing dalam pengetahuan warga Johor Bahru. Namun, bagi yang pernah menikmati hidangan kelas atasan di Tera-Thai Fine-Dine di Jalan Abdul Samad, kita sebenarnya sedang bercakap mengenai lokasi yang sama. "

Namun, bukan bahagian hidangan kulinari hebat itu yang hendak diulas kali ini. Kanta pemerhatian Ruang sudah dilaras lebih 'rendah' kerana spa ini mengambil ruang di bahagian bawah lantai banglo kolonial yang telah menjalani transformasi fungsi itu.

"Pada mulanya, bahagian di bawah banglo ini hendak dijadikan ruang tambahan restoran."

"Selepas menyiapkan bahagian utama di dalam banglo dan ruang hidangan berkonsep terbuka di gazebo, ruang ini dirancangkan untuk menerima kunjungan mereka yang mahu menjamu selera secara lebih relaks dan tidak terikat dengan etika fine-dining," ujar Pengurus Korporat Singgahsana Spa, Lynda Eunos.

Menurutnya, setelah mendapati perjalanan niaga restoran dalam keadaan memuaskan dengan kapasiti tempat duduk yang ada, ruang bunker itu difikirkan ideal untuk sebuah perkhidmatan belaian dan kesihatan tubuh.

"Ruangnya mungkin sedikit terhad namun tidak bermakna akan menjadi sia-sia."

"Malah kami telah memilih rangkaian rawatan spa yang sesuai dengan keinginan pelanggan kami di sini," terang Lynda yang merujuk kepada usaha pengenalan spa kepada tetamu restoran yang mahu melanjutkan waktu lawatan.

Seiring aura yang diterjemahkan dalam seni reka di banglo tersebut, sambutan pertama di pintu masuk Singgahsana Spa adalah siri dekorasi pemisah dinding dan pintu kayu yang sarat berukir dengan motif flora.

Motif itu tentunya hasil pertukangan seni kraf Siam yang ditempah khusus dari bumi Raja Mongkut itu.

Dalam mengejar tarikh mula operasi beberapa bulan lalu, bajet dan kerja renovasi yang sederhana berjaya dilaksanakan.

Demi menyesuaikan penampilan material gabungan konkrit usang dan kayu keras bermutu tinggi, jubin perang gelap dipilih bagi menghiasi hamparan lantainya.

"Kami sengaja hendak menimbulkan mood yang nyaman untuk pelanggan. Malah pencahayaan pun sengaja dibiar tidak terlalu terang supaya pelanggan spa terasa lebih relaks," kata Lynda.

Sejurus melewati ruang rawatan kuku dan urutan kaki, pengunjung dibawa ke meja daftar ringkas dengan ruang duduk sofa selesa. Tidak cukup dengan bau-bauan harum, deria pendengaran pula dibisik dengan irama muzik yang menyenangkan.

Sementara menunggu panggilan ke bilik rawatan, bahagian itu sudah pun mencuit perasaan ingin lena dalam belaian.

Kalau berpeluang untuk membuat tempahan awal, seseorang boleh menerima rawatan di dalam bilik VIP yang luas. Tidak ketinggalan, ruang kamar mandi yang 'seksi' tanpa pintu bersambung terus dengan pelan lantai bilik tersebut.

Ruang tersebut hanya dibahagi dengan tabir buluh yang lebih bersifat dekorasi daripada praktikaliti fungsi pemisahnya. Memang tiada yang perlu dimalukan kerana sejurus ahli terapi meninggalkan bilik, anda boleh membersihkan diri dalam jaminan privasi.

Tidak menongkah arus cabaran industri spa sendirian, Lynda yang turut mempunyai skil urutan terapi merealisasikan hala tuju bisnes itu bersama seorang lagi teman bisnesnya, Noreen Abd. Rahim yang berpengalaman luas dalam perniagaan spa.

"Selain mengendalikan Spa Beaubelle di Setia Tropika (10 kilometer dari pusat bandar raya Johor Bahru), saya membawakan ahli terapi terlatih untuk berkhidmat di Singgahsana."

"Apabila konsep spa Lynda digabungkan dengan kepakaran tenaga pekerja ini serta produk khas Beaubelle, maka terciptalah pengalaman rawatan yang tersendiri," ulasnya.

Noreen memberitahu, kelompok pengunjung yang menjamu selera di Tera-Thai Fine Dine adalah sama dengan sasaran pelanggan spa yang dijalankannya bersama Lynda. Maka, lokasi sudah menjadi faktor yang tepat.

Tambahan pula, Noreen yakin ramai yang akan menyukai suasana dan konsep di Singgahsana selain mempertaruhkan faktor tarikan kedua iaitu harga pakej rawatan yang kompetitif dan berbaloi dengan layanan yang diberikan.

Sama ada datang berpasangan untuk menjalani sesi rawatan di bilik yang selesa untuk dua orang, ataupun dibelai secara eksklusif di bilik VIP yang seluas kira-kira 30 meter persegi, krew Ruang mengambil kesempatan ini untuk mencadangkan sesi urutan penuh untuk tubuh serta terapi oksigen bagi mengembalikan maya pada kulit wajah.

INFO:
Perkhidmatan:
Produk spa Beaubelle, terapi oksigen, rawatan muka, urutan badan, lulur, rias kuku, serta urutan kaki untuk lelaki dan wanita

Waktu operasi: 12 tengah hari hingga 11 malam
(tempahan sesi rawatan boleh disesuaikan dengan kehendak pelanggan)

Alamat lokasi:
Singgahsana Spa @ Tera-Thai Fine-Dine, 31, Jalan Abdul Samad, 80100 Johor Bahru, Johor

Telefon: 012-7166753

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

1 comments:

Cheap Office Chairs February 26, 2010 at 11:24 PM  

Very nice an Excellent blog post, its nice

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::