King Of Kebaya
(Post: Bahasa Melayu)
"Dari dulu hinggalah kini dan baik yang tua mahu pun muda, walau ke mana pergi kebaya tidak segan dipakai kerana apabila disarungkan pada tubuh, baju kebaya ia seolah-olah memberikan nyawa dan menyingkap kecantikan yang tersembunyi, sekali gus memperlihatkan keindahan bagi pemakainya."
Namun, untuk memiliki sepasang baju kebaya yang cantik dan menarik, penggemarnya perlulah teliti dan bijak memilih fabrik sesuai untuk dijadikan busana diidamkan.
Membeli baju kebaya siap mungkin ada banyak pilihan, tetapi alangkah baik, jika membeli fabrik dan menempahnya sendiri supaya selesa serta terletak pada tubuh apabila dipakai dan digayakan.
Bagi yang inginkan fabrik khusus untuk membuat kebaya, Fieyka Collection 'King Of Kebaya' menawarkan koleksi fabrik menambat hati dari Indonesia.
Pemiliknya, Siti Zulaikhah Ahmad Azmi, berkata fabrik itu didatangkan dari beberapa kota di Indonesia termasuk Jogjakarta, Jakarta dan Bandung. Semua fabrik itu didatangkan lengkap iaitu untuk membuat baju kebaya dan sarung serta selendang.
Siti Zulaikhah berkata, pilihan fabrik yang ditawarkan adalah pelbagai termasuk, semi sutera, baldu, sutera, sutera Korea dan kain kapas.
Pelanggan boleh menghasilkan pelbagai potongan atau jenis kebaya daripada fabrik berkenaan mengikut cita rasa sendiri seperti kebaya labuh, kebaya singkat dan sebagainya. Warnanya juga ada pelbagai daripada rona lembut hinggalah terang.
"Fabrik yang diketengahkan itu lengkap dihiasi sulaman yang indah dan menawan. Justeru, pelanggan tidak perlu lagi menempah untuk membuat sulaman pada kebaya yang sudah siap dijahit itu nanti."
"Sulaman itu juga ada beberapa pilihan termasuk sulaman kerawang, sulaman manik dan juga labuci daripada sederhana hinggalah rumit serta boleh digayakan ke majlis glamor ataupun bertunang dan pernikahan."
"Istimewanya, hasil kerja sulaman itu dibuat dengan terperinci dan menampilkan kehalusan seni kerja sulaman, sekali gus mutu kualitinya adalah tinggi," katanya.
Siti Zulaikha berkata, antara jenis fabrik yang digemari pelanggan ialah semi sutera kerana lembut dan menyerap peluh serta memberikan keselesaan kepada pemakai walaupun dalam keadaan cuaca panas.
Fabrik kain kapas meskipun menyerap peluh, memperlihatkan kesan dan ini menyebabkan ia kurang menjadi pilihan. Warna yang mendapat permintaan tinggi pula antaranya ialah merah, putih, hitam dan merah jambu.
Katanya, apa yang menarik pelanggannya bukan saja Melayu, tetapi juga berbilang bangsa dan kebanyakan membelinya untuk diri sendiri dan memang suka bergaya dengan kebaya tetapi ada juga yang membelinya untuk dijadikan hadiah.
"Kebaya bukan saja diminati orang Melayu tetapi bangsa lain. Malah, pernah seorang pelanggan Sikh membeli sehingga lima pasang sekali. Katanya, selain untuk diri sendiri, ahli keluarga yang lain juga menggemari baju kebaya sebab itulah dia membeli dalam kuantiti banyak," katanya.
Siti Zulaikha yang juga peminat kebaya berkata, buat masa ini koleksi itu dijual melalui perniagaan laman web yang sudah dibangunkan sejak lebih setahun lalu.
Buat masa ini lebih 100 pasang berjaya dijual. Koleksi itu terbahagi kepada tiga mengikut sulaman dan jenis fabrik serta dijual pada harga RM85, RM100 dan RM120 sepasang.
Sebagai insentif dan meraih hati pelanggan, diskaun sebanyak RM5 turut diberikan iaitu bagi yang membuat belian yang keenam untuk mana-mana jenis fabrik.
Pelanggan juga boleh membuat tempahan untuk koleksi diminati tanpa perlu membayar deposit dan diberi jaminan, stok yang ditempah itu tidak akan dijual sehingga tiga hari. Tetapi jika pelanggan membayar deposit RM30, jaminan diberi ialah sehingga sebulan.
Bagi berkongsi perniagaan yang sudah dibangunkan itu, Siti Zulaikha berkata, pihaknya mengalu-alukan kepada sesiapa yang berminat menjadi wakil pengedar dan stokis untuk memasarkan fabrik berkenaan.
Sumber: Berita Harian Online
Foto: blog Fieyka Collection
0 comments:
Post a Comment