Dim Sum Halal ABM CATERER
(Post: Bahasa Melayu)
"Menyedari keenakan makanan itu, pemilik ABM Caterer, Azizi Abidin, 42, mengambil inisiatif untuk mempelajari selok belok membuat Dim Sum daripada seorang jurumasak berbangsa Cina ketika berkhidmat sebagai tukang masak di sebuah hotel terkemuka di bandar raya ini."
Dim Sum, juadah istimewa masyarakat Cina yang wujud sejak tujuh abad lalu lazimnya dijadikan pembuka selera di samping kudapan digemari ramai.
"Sepanjang 20 tahun pengalaman bekerja sebagai tukang masak di hotel sekitar bandar raya ini, secara tidak langsung saya berminat untuk mempelajari cara untuk membuat juadah istimewa kegemaran masyarakat Cina ini."
"Saya terfikir, memandangkan ramai juga orang Melayu yang sukakan hidangan ini mahupun makanan Cina, tetapi sukar mencari yang halal maka saya membuka restoran ini," katanya.
Beliau menjadi pelopor di Perak dalam mengusahakan restoran makanan Cina berstatus halal dengan menyediakan aneka hidangan unik kaum berkenaan.
Azizi berkata, sewaktu bekerja sebagai tukang masak, beliau pernah terfikir bagi mewujudkan perniagaan makanan dengan menyajikan hidangan unik dan berbeza daripada hidangan biasa yang ada di restoran atau premis makanan milik masyarakat Melayu.
Katanya, beliau amat bertuah kerana seorang tukang masak berbangsa Cina bersetuju mengajarnya selok belok bagi memasak makanan dim sum secara betul dan terperinci.
"Selepas berhenti menjadi tukang masak, saya mula membabitkan diri dengan dunia perniagaan dan menjalankan bisnes perniagaan makanan dim sum secara kecil-kecilan dengan menubuhkan kiosk di bangunan Maju Perak."
"Pada September tahun lalu saya memulakan perniagaan di Wisma Pernama sehingga ke hari ini saya memiliki beberapa kiosk di Maju Perak, Restoran Semenanjung, Tambun (Aziz Tomyam) dan di taman tema Lost World Of Tambun," katanya.
Beliau berkata, antara juadah yang popular di restorannya termasuklah dim sum jenis siew mai (campuran ayam dan udang), udang dan campuran bayam, ayam serta udang.
"Kita turut menjual pelbagai hidangan lazat lain seperti chee cheong fun ala Hong Kong dan pelbagai jenis pau bagi menambah variasi makanan di restoran ini. Semua bahan yang digunakan dalam pembuatan Dim Sum dan makanan lain adalah halal dan dibuat sendiri di rumah saya dengan dibantu oleh tiga orang pekerja tetap," katanya.
Bapa kepada tiga anak lelaki itu berkata, ABM Caterer juga menyediakan perkhidmatan katering khususnya dalam penyediaan sajian dim sum dan setakat ini sambutan pelanggan sangat memuaskan.
Ketika Ramadan tahun ini, Azizi berkata, mereka membuka empat gerai di bazar Ramadan sekitar Ipoh dan Pulau Pinang iaitu di Medan Gopeng, Stadium Perak, Taman Jati serta di Bayan Lepas, Pulau Pinang.
"Kita menambah gerai sepanjang Ramadan ini untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin bertambah dari hari ke hari. Di samping itu, pembukaan gerai di Pulau Pinang adalah strategi untuk mengembang dan mempromosikan perniagaan ke negeri lain," katanya.
Pelanggan tetap ABM Caterer, Naim Abd Rashid, 37, dari Simpang Pulai berkata, hidangan dim sum ini ternyata lazat dan beliau mengesyorkan supaya orang ramai mencubanya sendiri bagi mengetahui keenakannya.
"Kami sekeluarga amat berpuas hati dengan sajian yang dijual kerana berbeza dan unik serta paling penting makanan ini mempunyai status halal yang diiktiraf Jabatan Agama Islam Perak," katanya.
INFO:
Restoran ABM Caterer
Lokasi: No. 1, PN680, Kompleks Mutiara Pernama, Jalan Hospital, 30450 Ipoh, Perak
Hidangan: Dim sum, pau dan chee cheong fun
Harga: Bermula dari RM1.30
Waktu operasi: Jam 10 pagi hingga 10 malam (ditutup pada hari Ahad)
Telefon: 012-5088018 (untuk tempahan)
Sumber: Berita Harian Online
1 comments:
nice...nice...
Post a Comment