ATTENTION !!!

Monday, April 20, 2009

Penternakan Ikan Arowana

(Post: Bahasa Melayu)
"Harga seekor anak ikan arowana bersaiz tiga inci iaitu Malaysia red gold adalah RM1,600 hingga RM2,000, red arowana RM1,200 hingga RM1,500 dan Indonesia gold adalah RM500. Harga seekor induk matang boleh mencapai sehingga puluhan ribu ringgit."

Ternakan ikan arowana merupakan industri ikan hiasan yang semakin berkembang pesat di sekitar kawasan Bukit Merah, Perak.

Antara sebuah syarikat bumiputera yang menjalankan operasi menternak dan membiak ikan arowana adalah M U Arowana Aquaculture berhampiran Bukit Merah, Perak.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Sahibol Anwar Arba'e berkata semuanya bermula dengan minat terhadap ikan hiasan paling mahal di dunia itu.

"Ketika itu saya mula membeli ikan arowana gold dengan harga RM2,000 seekor dan selepas beberapa bulan nilainya meningkat sehingga RM7,000 seekor."

"Pada masa itu saya menyedari ternakan ikan hiasan arowana berpotensi besar untuk dimajukan selain menguntungkan," katanya yang sebelum ini banyak menceburkan diri dalam pelbagai jenis perniagaan.

Mengkaji mengenai habitat arowana pada awal 2006, Sahibol memulakan projek ternakan dengan membina lapan buah kolam dengan keluasan 20 kaki x 50 kaki. Pada pertengahan tahun yang sama, beliau mula mengisi setiap kolam dengan enam ekor ikan jantan dan 10 betina.

M U Arowana Aquaculture memberikan penekanan dalam menternak tiga jenis arowana iaitu Malaysia gold arowana, red arowana dari Kalimantan dan Indonesia gold.

"Ikan arowana sebenarnya tidak sukar dijaga tetapi disebabkan harganya yang mahal, ramai yang menyangka ia memerlukan penjagaan yang rapi," katanya.

"Ikan arowana amat unik dibanding dengan ikan-ikan hiasan lain kerana ia membiak secara semula jadi dan tidak memerlukan bantuan manusia seperti teknik aruhan."

Sehingga kini M U Arowana Aquaculture beroperasi di atas tanah seluas 5.2 hektar (13 ekar) yang menempatkan 99 buah kolam dan mereka mensasarkan untuk membina 100 kolam lagi pada tahun ini.

Apa yang lebih menarik M U Arowana Aquaculture juga menawarkan skim perkongsian keuntungan bagi peminat ikan arowana yang mempunyai modal tetapi kurang pengetahuan.

"Di sini, mereka boleh melabur selama lima tahun dengan membeli ikan induk untuk satu kolam dan kami akan menjalankan segala tugas penyelenggaraan dan pengurusan. Keuntungan yang diperoleh akan dibahagi dua antara pelabur dan pengusaha sehingga tamat tempoh kontrak," katanya.

Bercerita mengenai arowana, kata Sahibol, ikan ini hanya bertelur setahun sekali dan tiada masalah bekalan berlebihan dan harganya tidak pernah jatuh kerana mendapat permintaan yang tinggi dari negara-negara seperti Jepun, China, Taiwan, Kanada, Hong Kong, Eropah dan India.

Sumber: Utusan Malaysia Online
Foto:
Arowanacanada

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::