Jering Rawat Sisa Kumbahan Tekstil
(Post: Bahasa Melayu)
" Warna-warna menawan fabrik batik Malaysia kini menghiasi tubuh para supermodel di kota-kota fesyen seperti di Milan, Paris dan New York. Malah, ramai yang terpikat dengan keunikan batik keluaran Malaysia. "
Namun, tanpa disedari sisa kumbahan memproses batik mengandungi bahan pewarna dan kimia berbahaya.
Sehubungan itu, seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Habsah Alwi dan ahli kumpulan penyelidikannya mencari kaedah terbaik dan mesra alam bagi mengatasi masalah tersebut.
Lebih menarik, kumpulan penyelidik itu menggunakan jering untuk membersihkan sisa kumbahan yang terhasil daripada proses membatik.
Jering atau nama saintifiknya pithecellobium jirnga cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai salah satu ulam-ulaman pembuka selera. Namun, jering juga kurang digemari kerana baunya yang kurang menyenangkan.
Bagaimanapun, orang ramai mempunyai sebab mengapa mereka harus menyukai jering kerana ia membantu membersihkan sisa kumbahan memproses batik.
"Berdasarkan penyelidikan yang kami jalankan, jering mempunyai keupayaan untuk mengurangkan warna dalam sisa-sisa cecair kumbahan dari kilang batik."
"Tergolong dalam kelompok sayur-sayuran, jering juga mempunyai nilai-nilai perubatan yang tinggi. Bukti saintifik menunjukkan ia mampu mencegah penyakit diabetes dan hipertensi," ujar Habsah ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam.
Menurut Habsah, disebabkan semakin ramai yang kurang menggemari menikmati jering sebagai ulan-ulaman, beliau dan penyelidik lain mengambil inisiatif mengkaji kegunaan lain buah itu.
Buah dan polong jering yang mengandungi bahan aktif dan tinggi bahan biodegradasi dipercayai boleh merawat air kumbahan yang dihasilkan oleh kilang tekstil.
Justeru, ia sesuai digunakan oleh pengusaha tekstil terutama pengeluar batik kerana kilang-kilang ini menghasilkan sisa kimia yang banyak.
Perubahan sampel
"Hasil penyelidikan yang dijalankan, biji dan sabut jering dibersih dan diasingkan. Kemudian ia dilumat dan disaring untuk mendapatkan saiz homogen."
"Biji dan sabut jering dimasukkan di dalam ketuhar pada suhu antara 50 hingga 100 darjah Celcius selama 24 jam untuk proses pengeringan. Selepas itu, beberapa sampel sisa kumbahan batik dimasukkan ke dalam gelas dan ciri-ciri sampel direkodkan."
"Kemudian, biji dan sabut jering yang telah diproses turut dimasukkan ke dalam gelas-gelas tersebut," terang Habsah. Perubahan air di dalam gelas diperhatikan dari semasa ke semasa dan dibandingkan dengan sampel yang tidak dirawat.
Keputusannya mendapati sisa batik yang berwarna biru semakin pudar selepas diletakkan jering yang telah dikeringkan.
"Keadaan ini berlaku kerana bahan aktif yang terdapat dalam jering iaitu asid djenkolik dan alkoloid dipercayai memerangkap pigmen warna biru melalui mekanisma serapan."
"Elemen ferum dan kalsium juga membantu mengumpulan pigmen dan menguraikannya dengan cara pengendapan graviti."
"Pemendapan pigmen yang telah ditapis menjadikan sampel tersebut berwarna biru muda yang kemudian dirawat dengan cara mengalirkannya melalui karbon aktif untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar," jelas rakan penyelidik Habsah, Radziah Wahid.
Penemuan itu bagaimanapun memerlukan kajian lebih lanjut terhadap bahan aktif yang dapat menghilangkan warna. Namun, kajian itu juga memberi manfaat kepada komuniti desa dan Orang Asli yang mencari rezeki dengan menjual jering.
Penemuan itu turut memberi idea-idea baru dalam mencari sumber hijau lain untuk mengubati air sisa kumbahan tekstil.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment