ATTENTION !!!

Showing posts with label tekstil. Show all posts
Showing posts with label tekstil. Show all posts

Saturday, June 25, 2011

Jering Rawat Sisa Kumbahan Tekstil

(Post: Bahasa Melayu)
" Warna-warna menawan fabrik batik Malaysia kini menghiasi tubuh para supermodel di kota-kota fesyen seperti di Milan, Paris dan New York. Malah, ramai yang terpikat dengan keunikan batik keluaran Malaysia. "

Namun, tanpa disedari sisa kumbahan memproses batik mengandungi bahan pewarna dan kimia berbahaya.

Sehubungan itu, seorang pensyarah Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Habsah Alwi dan ahli kumpulan penyelidikannya mencari kaedah terbaik dan mesra alam bagi mengatasi masalah tersebut.

Lebih menarik, kumpulan penyelidik itu menggunakan jering untuk membersihkan sisa kumbahan yang terhasil daripada proses membatik.

Jering atau nama saintifiknya pithecellobium jirnga cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu sebagai salah satu ulam-ulaman pembuka selera. Namun, jering juga kurang digemari kerana baunya yang kurang menyenangkan.

Bagaimanapun, orang ramai mempunyai sebab mengapa mereka harus menyukai jering kerana ia membantu membersihkan sisa kumbahan memproses batik.

"Berdasarkan penyelidikan yang kami jalankan, jering mempunyai keupayaan untuk mengurangkan warna dalam sisa-sisa cecair kumbahan dari kilang batik."

"Tergolong dalam kelompok sayur-sayuran, jering juga mempunyai nilai-nilai perubatan yang tinggi. Bukti saintifik menunjukkan ia mampu mencegah penyakit diabetes dan hipertensi," ujar Habsah ketika ditemui Kosmo! di Shah Alam.

Menurut Habsah, disebabkan semakin ramai yang kurang menggemari menikmati jering sebagai ulan-ulaman, beliau dan penyelidik lain mengambil inisiatif mengkaji kegunaan lain buah itu.

Buah dan polong jering yang mengandungi bahan aktif dan tinggi bahan biodegradasi dipercayai boleh merawat air kumbahan yang dihasilkan oleh kilang tekstil.

Justeru, ia sesuai digunakan oleh pengusaha tekstil terutama pengeluar batik kerana kilang-kilang ini menghasilkan sisa kimia yang banyak.

Perubahan sampel

"Hasil penyelidikan yang dijalankan, biji dan sabut jering dibersih dan diasingkan. Kemudian ia dilumat dan disaring untuk mendapatkan saiz homogen."

"Biji dan sabut jering dimasukkan di dalam ketuhar pada suhu antara 50 hingga 100 darjah Celcius selama 24 jam untuk proses pengeringan. Selepas itu, beberapa sampel sisa kumbahan batik dimasukkan ke dalam gelas dan ciri-ciri sampel direkodkan."

"Kemudian, biji dan sabut jering yang telah diproses turut dimasukkan ke dalam gelas-gelas tersebut," terang Habsah. Perubahan air di dalam gelas diperhatikan dari semasa ke semasa dan dibandingkan dengan sampel yang tidak dirawat.

Keputusannya mendapati sisa batik yang berwarna biru semakin pudar selepas diletakkan jering yang telah dikeringkan.

"Keadaan ini berlaku kerana bahan aktif yang terdapat dalam jering iaitu asid djenkolik dan alkoloid dipercayai memerangkap pigmen warna biru melalui mekanisma serapan."

"Elemen ferum dan kalsium juga membantu mengumpulan pigmen dan menguraikannya dengan cara pengendapan graviti."

"Pemendapan pigmen yang telah ditapis menjadikan sampel tersebut berwarna biru muda yang kemudian dirawat dengan cara mengalirkannya melalui karbon aktif untuk mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar," jelas rakan penyelidik Habsah, Radziah Wahid.

Penemuan itu bagaimanapun memerlukan kajian lebih lanjut terhadap bahan aktif yang dapat menghilangkan warna. Namun, kajian itu juga memberi manfaat kepada komuniti desa dan Orang Asli yang mencari rezeki dengan menjual jering.

Penemuan itu turut memberi idea-idea baru dalam mencari sumber hijau lain untuk mengubati air sisa kumbahan tekstil.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Sunday, February 15, 2009

Indah Kasturi Textile

(Post: Bahasa Melayu)
"Saya mahu perniagaan ini terus mekar mengharum sepanjang tahun sejajar dengan nama kedai ini, Indah Kasturi Textile. Indah membawa maksud semua yang ditawarkan di sini adalah yang terbaik dan bermutu tinggi. Kedua-dua ciri ini merupakan aspek utama dalam mengungkap istilah indah. Manakala kasturi pula merujuk buah limau yang harum baunya dan kebiasaannya bau harum kasturi disukai ramai."

Pemiliknya, Samsuri Jaafar, 35, berkata, IKT bukan hanya menawarkan kain potong dan kain kayu yang terbaru, sebaliknya turut memenuhkan kedainya dengan aneka tudung daripada fabrik bawal Nombor 1.

Kedai ini diusahakan bersama isteri tersayang, Roslina Mohd Noor, 29, dengan tingkat atas menempatkan kain kayu, telekung, anak tudung, selendang dan baju kurung siap untuk kanak-kanak manakala tingkat bawah dipenuhi dengan tudung, kain potong, kain pasang dan baju kurung siap wanita serta kerongsang.

"Bekalan kesemua tudung-tudung ini diperoleh dari Kota Baharu, Kelantan. Bukan sahaja fabrik yang digunakan bermutu tinggi iaitu bawal Nombor 1, malah batu yang digunakan juga berkualiti dengan kesemuanya dijahit agar tidak mudah tertanggal," katanya.

Antara jenis tudung yang ditawarkan di IKT ialah Manjalara, Bella, Qaisara, Mata Lalat, Air Mata dan Viva.

"Seperti tudung, kain potong yang ditawarkan di sini juga adalah yang terkini. Ini merupakan sebahagian daripada strategi perniagaan kerana terdapat tujuh kedai kain di Raub," ujarnya.

Persaingan juga menyebabkan Samsuri menggerakkan beberapa strategi termasuk menjual pada harga yang lebih murah.

"Saya lebih rela mendapat sedikit untung, asalkan kedai saya tidak putus-putus dikunjungi pelanggan," katanya.

Memiliki lima orang pekerja tetap, IKT yang dibuka setiap hari kini berusaha meluaskan rangkaian jualannya dengan menawarkan kepada orang ramai yang berminat menjualnya dari rumah ke rumah di sekitar Raub, Bentong dan Lipis.

"Mereka yang berminat boleh mendapatkan bekalan tudung dan kain dari IKT. Soal harga dan komisen boleh dirunding dengan menemui saya di sini."

Beliau juga membuka gerai di pasar malam pada petang Jumaat dan pagi Sabtu di Lipis manakala pada Sabtu malam minggu pula, gerainya boleh ditemui di pasar malam Benta.

Menyentuh tentang harapan dan matlamat yang ingin dicapai, Samsuri berharap IKT akan terus berkembang maju melalui pembukaan cawangan di beberapa bandar sekitar Pahang.

"Setiap usahawan mempunyai impian dan itulah harapan saya dan isteri dalam memajukan perniagaan ini," ujarnya penuh bermakna.

INFO:
Indah Kasturi Textile terletak di selekoh jalan utama di pekan Raub yang menghubungkan Kuala Lumpur dengan Kuala Lipis dan Jerantut di Pahang serta Kota Bharu di Kelantan.

Waktu operasi: Dibuka setiap hari mulai pukul 9.00 pagi hingga 7.00 malam

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, October 30, 2008

Ceburi Bidang Tekstil

(Post: Bahasa Melayu)
"Beruntung memiliki anak ramai bagaikan menyuntik semangat kerja kerasnya. Bagi Noor Kartini Noor Mohamed, 42, tiada kerjaya yang menyeronokkan selain dapat memanfaatkan peluang berniaga dalam bidang tekstil."

"Saya terpanggil untuk membuka perniagaan ini tambahan pula rekaan baju kurung di pasaran terutama baju kurung untuk kanak-kanak kurang menarik."

"Saya tidak mengehadkannya kepada kanak-kanak bahkan untuk orang dewasa kerana saya mahukan mereka cantik bergaya dengan baju tradisi," katanya lagi.

Melihat deretan baju kurung yang menarik dan eksklusif dengan hiasan manik serta labuci indah, tidak mustahil rekaannya menyerlah dalam kelasnya tersendiri dan menepati kehendak ramai.

Beriltizam menjadi pembekal kepada pemborong dan membesarkan lagi perniagannya, beliau menyandarkan harapan tinggi terhadap anak untuk meneruskan perniagaan itu.

"Saya yakin pasaran baju kurung mempunyai potensi masa depan dan sedia menghadapi persaingan."

"Butik saya menyediakan pilihan tersendiri kepada mereka yang sukakan baju kurung eksklusif untuk majlis tertentu," katanya.

Beliau memang cerewet dalam pemilihan fabrik dan pilihannya adalah bahan bermutu seperti sutera shantung dan Thai, kapas Jepun bermutu tinggi serta sifon Korea.

INFO:
Lokasi: 148 Pinggir Zaaba, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur

Telefon: 019-3138958

Sumber: myMetro
Foto:
blog MumtazLittlEgypt

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::