ATTENTION !!!

Showing posts with label pertukangan. Show all posts
Showing posts with label pertukangan. Show all posts

Monday, May 2, 2011

Rumah Buluh

(Post: Bahasa Melayu)
" Berbanding Indonesia, kewujudan rumah bambu atau rumah buluh di negara ini boleh dibilang dengan jari. Selain faktor geografi yang selamat daripada bencana alam khususnya gempa bumi dan letupan gunung berapi, masih ramai sangsi mengenai keperluan serta relevan membina kediaman seumpamanya di tanah air beriklim panas lembap ini. "

Hakikatnya usahawan perabot bambu dan seni taman sunda, Mohd Ramadhan Abdul Hamid menanam kepercayaan tinggi terhadap rumah buluh yang disifatkannya ampuh cuaca, sejuk serta selesa didiami selain menawarkan ciri ekslusif lagi estetika.

Bahkan, katanya, struktur serta ira buluh dinding rumahnya tidak pernah berubah kusam sejak ia didirikan tiga tahun lalu.

"Semuanya bergantung kepada teknik pengawetan buluh berkenaan. Sekiranya kena dengan caranya seperti pilihan buluh dipastikan cukup umur selain pantang larang jangan menebang ketika bulan mengambang penuh dipatuhi, saya jamin buluh berkualiti serta berkekalan hayatnya mampu diperoleh," katanya.

Namun, kata Mohd Ramadhan, pemantauan dan penjagaan teliti perlu dilakukan bagi dua tahun pertama kediaman didirikan dengan menyapu barnis di seluruh permukaan dinding khasnya bahagian yang menghadap matahari.

"Barnis melindungi buluh daripada pancaran terik matahari sekali gus memastikan rupanya kekal terpelihara biarpun bertahun digunakan. Untuk rumah induk seluas 111 meter persegi ini, saya membelanjakan sehingga RM2,000 membeli 10 tin barnis yang setiap satunya empat liter dan selebihnya 40 peratus petrol bagi mengurangkan kelikatan barnis,” katanya.

Selain rumah induk, Mohd Ramadhan turut membina beberapa rumah buluh lagi di sekitarnya berfungsi sebagai stor, penginapan tetamu dan surau.

Bertunjangkan konsep rumah peranginan, rumah bambu mengambil inspirasi arkitektur tradisional Jawa Barat itu dibina merujuk kesesuaian kontur tanah tidak rata serta bertingkat.

Bagi daya tahan, khususnya melindungi daripada dirosakkan hujan dan air tanah, sebahagian dindingnya dibentuk menggunakan batu-bata berpadu tiang beton setinggi 90 meter berlapiskan lempeng batu alam. Kemasan bambu selaku dinding atasnya diyakini kukuh serta utuh sehingga 25 tahun lagi.

"Buluh juga digunakan untuk pembentukan tiang seri serta sisi, kasau dan alang bumbung serta lantai. Untuk itu, beberapa spesis buluh diketengahkan termasuk betung, gombong, tali dan buluh hitam. Ukur lilit terbesar membabitkan buluh bentung selaku tiang penyokong berukuran 22 sentimeter."

"Paling kecil menawarkan ukur lilit enam sentimeter," katanya seraya menunjukkan buluh dimaksudkan bersama 12 jenis ikatan tali ijuk yang nyata lebih menyerlahkan kekuatan serta keindahan karektor bambu berkenaan.

Rekaan atapnya menampilkan seni bina rumah Pasundan yang mengutarakan jalinan ilham gaya Garuda Ngupuk dan Julang Ngapak (Indonesia), sementara bahan atap menggunakan genting tanah ringan berwarna hijau yang selayang padang begitu sebati dengan landskap berbukit, lembah dan hutan kecil kawasan itu.

Mohd Ramadhan berkata, dia sudah lama mengimpikan kediaman damai di samping mengikut gerak nalurinya bahkan rumah itu sering dijadikan persinggahan kala dia sekeluarga ingin bermanja dengan alam.

"Saya mempunyai perancangan ingin menjadikan tempat ini inap desa bagi kumpulan kecil pengunjung. Mana tahu mereka di luar sana khasnya syarikat korporat berminat menganjurkan aktiviti perkhemahan dan bina semangat di sini, saya sedia menyewakan namun dihadkan sehingga 30 peserta saja," ujarnya.

Elemen santai yang menjadi kata kunci pembentukan rumah terbabit turut mengilhamkan pembentukan balkoni. Selain menambah citra dan menyuntik ekslusif rumah bambu berkenaan, ruang itu sering dimanfaatkan penghuninya untuk beristirehat, berborak dan menikmati hidangan petang.

Ditanya masa depan rumah buluh, Mohd Ramadhan yakin ia mempunyai potensi untuk berkembang.

Menerusi suntikan perabot komersial dan bernilai seni seperti gandingan perabot rotan, rumput paya dan daun pisang berbentuk ikan paus rekaan Rahim Ismail dari Design Principles yang digunakannya kini, lenyap sudah status tradisional kediaman itu diganti dengan suasana ranggi lagi kontemporari.

CONTACT INFO:
Email: petarumba@gmail.com
Telefon: 03-42954095

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, March 9, 2011

Batu Nisan Kendong Kraf

(Post: Bahasa Melayu)
" Kubur, nisan dan kematian memang tidak dapat dipisahkan. Apabila ada kematian maka kubur diperlukan. Nisan pula adalah tanda ingatan kepada mereka yang telah pergi meninggalkan kita. "

Nisan yang digunakan pula terdapat dalam pelbagai bentuk dan rupa bergantung kepada kemampuan waris si mati.

Walaupun ia membabitkan budaya dan adat orang Melayu yang beragama Islam, ironinya perniagaan batu nisan di negara ini sebenarnya dikuasai kaum Cina.

Ini sama seperti perniagaan dan perusahaan yang membabitkan budaya Melayu yang lain yang mana kaum Cina lebih menguasainya.

Namun, kini kesedaran semakin timbul di kalangan pengusaha Melayu untuk menceburkan diri dalam perniagaan membekalkan batu nisan.

Lebih membanggakan, kaum Hawa turut sedia menyahut cabaran melibatkan diri dalam perniagaan membabitkan kematian itu.

Army Karmila Zakaria, 28, merupakan antara yang berjaya memecah tradisi dengan membuktikan golongan Hawa berani mengusahakan perniagaan batu nisan.

Berpeluang bertemu dengan pengusaha muda batu nisan itu di Kendong Kraf yang terletak di Lot 29, Jalan Besar Selayang Baru, Batu Caves, Gombak, Selangor, baru-baru ini membuktikan perniagaan tersebut mula mendapat perhatian di kalangan orang Melayu.

Walaupun dilabelkan sebagai peniagaan yang 'mengharapkan kematian bagi membolehkan terus mendapat rezeki', namun pada dasarnya ia merupakan satu cabang perniagaan yang diharuskan dalam Islam.

Siapa sangka, perniagaan yang diusahakan secara bersama dengan adik beradiknya sejak 2007 kini mendapat permintaan dari seluruh semenanjung.

Tidak cukup dengan itu, hasil kerja yang diwarisi daripada arwah bapanya, Zakaria Ali turut dibeli oleh golongan orang-orang kenamaan.

Menurut Army Karmila, pelanggan hari ini bukan sahaja mahukan kepelbagaian dan aneka pilihan malah mereka juga inginkan yang berkualiti dan cantik.

"Di Kendong Kraf, saya menyediakan pelbagai jenis saiz, batu dan corak batu nisan. Pelanggan hanya perlu membuat pilihan mana satu yang mereka suka."

"Kebanyakan batu nisan yang dihasilkan di sini diperbuat daripada beberapa jenis batu seperti marmar dan granit. Malah ada juga batu nisan yang menggunakan batu kapur dengan campuran simen yang dikenali sebagai terazo."

"Kami menjalankan perniagaan dari A hingga Z. Kami bukan sahaja menawarkan perkhidmatan membuat batu nisan, kami turut memasangnya (pembinaan pusara)," jelasnya.

Ujar anak sulung daripada empat beradik itu lagi, untuk batu nisan, bengkelnya menawarkan pelbagai jenis corak dan bentuk sama ada berbentuk bulat, leper, kecil ataupun besar.

Ia dijual pada harga serendah RM1,000 dan paling tinggi ada yang mencecah sehingga RM10,000.

Katanya, apa yang menjadikan produk keluarannya unik dan istimewa ialah, selain setiap bentuk dibezakan dengan corak tulisan dan warna, Kendong Kraf turut menggunakan teknik tujahan pasir pada setiap ukiran.

Selain itu, Army Karmila turut menjalankan perniagaannya secara dalam talian di Kendong Kraf.

Ia bukan sekadar menjual batu nisan, tetapi turut menawarkan ukiran serta hiasan dinding berasaskan kaca.

Army Karmila yang merupakan pemegang Ijazah Teknologi Maklumat dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, berkata, apa yang dipelajarinya tidak sia-sia apabila dia berjaya mempraktikkannya dalam perniagaannya hari ini.

Tambah anak jati Selayang Baru itu, tempoh untuk menyiapkan sesebuah batu nisan bergantung kepada corak dan saiz yang dipilih.

Bagaimanapun katanya, tumpuan utama diberikan ketika proses mengukir nama dan butiran mengenai 'pemilik' batu nisan tersebut bagi mengelak kesilapan.

Army Karmila memberitahu, walaupun segala kerja dilakukan dengan teliti, tetapi sebagai seorang manusia, dia tidak pernah terlepas daripada melakukan kesilapan.

"Sekiranya kesilapan daripada pihak kami, kami akan menggantikannya semula. Tetapi sekiranya kesilapan itu datangnya daripada pelanggan, mereka yang harus menanggung kos membuatnya semula," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, October 26, 2010

Pembuat Mimbar Masjid

(Post: Bahasa Melayu)
" Mimbar masjid merupakan satu bahagian di dalam masjid yang menjadi tempat imam berdiri untuk membaca khutbah. Mimbar juga berperanan untuk imam melihat jemaah supaya khutbah dapat disampaikan secara terus kepada jemaah."

Kebiasaannya, mimbar mempunyai pelbagai bentuk dan ukiran yang dihias cantik serta berkubah. Selain itu, mimbar juga didirikan lebih tinggi dan mempunyai tangga dengan kedudukannya menghadap ke arah kiblat.

Tata rias dan corak yang dibuat oleh pereka mimbar biasanya mengikut kreativitinya. Malah ada juga antara pelanggan yang mereka khutbah mengikut cita rasa sendiri.

Bagi seorang pembuat mimbar majid bumiputera, Nasarudin Yahaya, 46, beliau akan memastikan setiap mimbar yang dihasilkan mempunyai keistimewaan tersendiri.

Nasarudin juga akan memastikan pelanggan berpuas hati kerana beliau mengakui pembuatan mimbar merupakan satu tugas rumit dan memerlukan masa yang agak lama untuk disiapkan.

"Bagi satu-satu mimbar, tempahan boleh disiapkan dalam masa dua bulan dan ukiran merupakan bahagian paling sukar untuk dihabiskan."

"Ukiran perlu dibuat dengan teliti bagi memastikan ukirannya betul-betul mengikut cita rasa pelanggan."

"Setakat ini, kebanyakan pembeli berpuas hati dengan mutu kerja saya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Kelebihan mimbar di bawah syarikat milik Nasarudin iaitu Mimbareka Enterprise di Lorong Padi Emas, Pantai Johor, Alor Setar, Kedah ialah beliau menggunakan kayu cengal sebagai bahan asas.

Pengalaman kedai perabot

Pada masa yang sama, ukiran-ukiran di mimbar itu juga menggunakan reka bentuk terkini.

"Kayu cengal diperoleh dari negara jiran dan kebanyakan reka bentuk saya buat sendiri."

"Ada juga pelanggan yang membawa reka bentuk mengikut cita rasa mereka," katanya yang dibantu oleh tiga orang pekerja.

Menyentuh tentang pengalaman Nasarudin menceburi bidang itu, beliau pernah mencuba pelbagai kerja termasuk belayar dengan kapal selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas itu beliau menimba pengalaman bekerja di kedai perabot selama tujuh tahun sebelum membuat mimbar.

"Selepas tamat SPM, saya belayar dan kemudian berfikir untuk cuba satu benda baru dengan berkecimpung dalam bidang perabot."

"Saya mula bekerja dengan orang lama seperti membuat perabot rumah dan lama-lama baru terfikir untuk membuat mimbar," katanya.

Dengan pengalaman yang diperoleh termasuk bimbingan daripada kerajaan, kini Nasarudin boleh berpuas hati kerana perniagaannya yang semakin maju kerana sering mendapat tempahan daripada kontraktor binaan masjid dan ahli-ahli masjid.

Bagi mengukuhkan perniagaannya, Nasarudin tidak hanya memfokuskan pada membina mimbar semata-mata. Beliau sebaliknya, mempelbagaikan kepakarannya membuat perabot.

"Berbekalkan pengalaman bekerja di kedai perabot, saya juga ada membuat kabinet dapur," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 8, 2010

Industri Kapal Layar Tradisional Melayu

(Post: Bahasa Melayu)
"GIATMARA, agensi di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLBW), akan memasarkan secara komersial seni pertukangan kapal layar tradisional Melayu menerusi kerjasama dengan penggiat industri yang masih aktif hingga kini iaitu Abdullah Muda dari Pulau Duyong, Terengganu."

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Meriyam Abd Majid, berkata kerjasama itu termasuk usaha GiatMara membangunkan kurikulum pembinaan kapal layar tradisional dengan kerjasama Custom Made Wooden Yacht (CMWY) milik Abdullah.

Katanya, projek itu bertujuan mengekalkan warisan pembuatan kapal layar tradisional Melayu yang sebelum ini dipelajari secara lisan oleh pembuat kapal atau 'pandai kapal' dan kemudian membukukan ia mengikut kemahiran Abdullah yang lebih dikenali di Duyong sebagai Pak Haji Dollah.

"Kapal layar yang akan dikenali dengan nama Warisan Dayang GM1 dibangunkan dengan kos kira-kira RM2 juta, yang mana RM1.5 juta daripadanya ditaja dana khas kerajaan Persekutuan."

"Ketika ini, 85 peratus cara pembuatan kapal layar tradisional siap didokumenkan yang mana ilmunya seperti kaedah pengukuran diterjemahkan terus 'dari dalam kepala' Pak Haji Dollah."

"Keistimewaan kapal layar tradisional projek GiatMara dan CMWY berukuran 60 kaki panjang ialah ia tidak menggunakan sebarang peralatan logam seperti paku atau besi di dalamnya, semua menggunakan kayu."

"Malah, bagi mengekalkan keaslian warisan dan memastikan perlindungan intelektual, kami menggunakan pengiraan cara lama seperti inci, hasta, jengkal dan ruas bertujuan melindungi hak cipta kurikulum itu kelak serta menggalakkan orang luar yang berminat datang sendiri mempelajarinya."

"Ia bukan saja dibangunkan dengan wajah Melayu tradisional berbeza dengan kapal layar moden barat, malah turut dilengkapi kemudahan lain seperti dapur, bilik mandi dan tidur," katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur, semalam.

Meriyam berkata, projek kapal layar tradisional yang dimulakan sejak tiga tahun lalu dapat membantu kerajaan membangunkan industri kapal layar tempatan. Ia membabitkan empat tenaga pengajar dan lima pelatih.

Menurutnya, GiatMara berharap projek berkenaan dapat memangkin pembangunan industri kapal layar tempatan dan pada masa sama membolehkan pelatih GiatMara sendiri menjadi vendor pengusaha kapal tradisional pada masa depan.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, October 9, 2009

Tukang Parang OKU

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun kaki saya lumpuh, tetapi Tuhan masih bagi kekuatan pada kedua-dua tangan dan akal untuk berfikir, cari idea kreatif buat kerja. Saya tak pernah menyesal dan bersyukur dengan keadaan yang ada, mungkin ada lagi orang lain yang lebih susah daripada saya."

Musa Ahmad, 61, adalah antara Orang Kelainan Upaya (OKU) yang membuktikan hakikat 'rezeki tidak akan datang bergolek' jika tidak berusaha.

Menggunakan tulang empat kerat dengan kemampuan dan pergerakan terbatas, semua itu bukan halangan baginya mencari rezeki halal.

Lumpuh separuh badan sejak usianya tujuh tahun akibat terjatuh ketika bermain bersama rakan sebaya membuatkan Musa sedar beliau mesti mempunyai kemahiran tertentu bagi membolehkannya hidup berdikari tanpa bergantung sepenuhnya kepada keluarga.

Bergerak menggunakan tangan dan hanya perlu duduk untuk melakukan sesuatu sebenarnya memberi kelebihan kepada Musa kerana beliau boleh menghabiskan masa yang lama di sesuatu tempat.

Keadaan itulah yang mendorongnya mengusahakan kraftangan membuat hulu dan sarung parang.

Bertempat di sebuah pondok kecil di depan rumah keluarganya di Kampung Sekolah Perempuan, Lenggong Perak, Musa sudah menghabiskan usia hidupnya di situ sejak 10 tahun lalu.

Rezekinya murah dan beliau cukup bertuah kerana Allahyarham ayahnya Ahmad Darta sempat mencurahkan ilmu seni 'besi' kepadanya.

"Syukurlah Tuhan bagi rezeki, ada sikit kemahiran dan saya usahakan. Setakat ini, rezeki sentiasa ada. Jika sesiapa yang berhajat atau nak menempah hulu atau sarung parang, mereka akan datang ke sini."

Menyingkap sejarah ringkas hidupnya sebagai OKU, Musa menjelaskan segala-galanya bermula ketika beliau sedang menikmati hidup dengan berlari bersama rakan sebaya. Tiba-tiba beliau terjatuh dan kemudian disahkan lumpuh.

Peristiwa hitam pada 1962 itu mengakibatkan Musa terpaksa menghabiskan masa selama setahun di Hospital Kuala Kangsar sebelum dibawa ke Hospital Ipoh untuk rawatan susulan selama dua tahun.

Sepanjang tempoh itu hingga dewasa membuatkan Musa sedar Tuhan masih sayangkannya tetapi sebagai manusia, sentiasa kena berusaha dan bersedia untuk hidup sebagai OKU.

Selain menyiapkan sarung dan hulu parang mengikut tempatan, Musa juga membuat sendiri hulu dan sarung parang secara pasang siap dan pelanggan boleh membeli dengan harga yang agak murah atau membayar dengan nilai lebih tinggi jika mahukan barangan ekslusif yang ditempah khas.

Bayaran upah antara RM40 hingga RM180 bagi sebilah parang bersarung membolehkan Musa hidup tanpa terlalu bergantung kepada keluarga. Bahkan ada upah yang lebih mahal daripada itu bergantung kepada jenis tempahan.

Di bengkel kecil itu, Musa menghabiskan masa sepanjang siang untuk bekerja, berehat dan menyambung kerja sambil mencari idea menyiapkan corak sarung parang. Di depan bengkel terletak rumah adiknya, Sofiah dan Rozila. Di situlah Musa tinggal dan menghabiskan masa bermesra bersama anak saudaranya.

Berdasarkan hasil kreatif ukir kayu yang dimilikinya, tidak hairanlah hasil tangannya pernah menjadi hadiah kepada Istana Perak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Bagi Musa, kedudukan Lenggong yang dikelilingi hutan dan banjaran memberikan kelebihan kepada pengusaha seni kreatif kayu sepertinya kerana beliau mempunyai banyak pilihan mendapatkan pelbagai jenis kayu yang diingininya.

Kebiasaannya, beliau akan membeli kayu daripada penduduk kampung dan ada juga pelanggan yang membawa terus kayu ke bengkelnya untuk dibuat hulu dan sarung parang. Baginya, kayu paling cantik untuk dibuat sarung ialah jenis serian batu dan serian bawang.

INFO:
Jenis kayu dijadikan hulu dan sarung parang:
Serian, Ciku, Rengas, Kemuning Hitam, Kuping Besi, Limau Bali, Nangka

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, September 7, 2009

Pembuat Keris Diraja

(Post: Bahasa Melayu)
"Istilah tidak kenal maka tidak cinta cukup popular dalam kehidupan masyarakat Melayu tetapi dalam seni tradisi pembuatan keris warisan, ia sebenarnya berlawanan. Tidak cinta maka tidak kenal kerana pekerjaan membuat keris memerlukan individu yang cukup cintakan keris, barulah layak mewarisi tradisi itu."

Jika sudah jatuh cinta barulah timbul minat untuk mengetahui, mendalami apa saja maklumat berkaitan keris, teknik serta segala petua menghasilkan seni warisan berkualiti.

Hakikat itu diakui pewaris generasi keempat pembuat keris di Kuala Kangsar, Perak, Abdul Mazin Abdul Jamil, yang secara tradisinya sering diamanahkan membuat keris untuk pembesar istana dan keluarga diraja.

Bagi Abdul Mazin yang mewarisi kemahiran seni pembuatan besi daripada moyangnya yang dikenali sebagai Tukang Mamat, bukan mudah untuk membentuk, melatih mencari bakat baru bagi menyambung warisan bangsa kerana ia memerlukan individu yang cukup berminat dengan penuh komitmen.

Beliau yang belajar membuat keris daripada ayahnya, Allahyarham Abdul Jamil Pandak Lam Pandak Yunus sejak berusia 12 tahun, berkata proses awal ke arah itu ialah belajar mengenal besi yang mempunyai pelbagai jenis dengan memilih campuran yang paling sesuai.

"Ilmu paling asas ialah mesti bijak dan mengenal jenis besi yang digunakan. Besi membuat keris adalah campuran pelbagai jenis jenis yang terdiri daripada besi tawar, besi baja dan besi melela."

"Contohnya, paku ialah sejenis besi tawar, gergaji dan spring kenderaan ialah besi baja, manakala besi melela ialah gabungan kedua jenis besi berkenaan, misalnya besi tingkap rumah. Besi itu digabung dan dicantumkan sehingga mampat, barulah boleh ditempa untuk membentuk keris," katanya.

Berdasarkan apa yang diwarisi secara turun temurun, petua memilih besi mengikut tiga jenis asas pilihan tadi juga mesti berdasarkan asas tujuh jenis besi bermula dengan huruf ‘P’ iaitu paku, payung, pahat, puting, pagar, pisau dan penyodok.

Besi padat tujuh lapisan yang digabungkan itu akan ditempa dan dibentuk mengikut tempahan serta jenis keris yang dikehendaki.

Secara tradisinya pembuat keris akan menggunakan kaedah tradisional menggunakan pengepam tangan atau kaki bagi membekalkan oksigen ke dalam dapur. Perubahan teknologi itu nyata memudahkan kerja dan menjimatkan tenaga.

Namun, proses mengetuk dan membentuk masih secara tradisional menggunakan pengetuk beralaskan batang besi dan ada yang menggunakan rel landasan kereta api.

"Keris yang sudah siap ditempa sebenarnya akan menghasilkan corak tersendiri, ia asli dan semula jadi hasil gabungan tujuh lapis besi. Itu yang membezakan corak setiap keris. Corak itu akan kekal walaupun dibakar semula."

"Sebab itulah, keris yang sudah siap akan diperam selama seminggu menggunakan belerang kuning bercampur garam halus dan air cuka untuk mengekal dan menimbulkan imej corak," katanya.

Peringkat seterusnya ialah kemahiran mengukir kayu untuk membuat sarung, ulu dan semuanya memerlukan penelitian. Kebiasaannya sepasang sarung keris akan dihasil menggunakan empat jenis kayu berbeza bermula di ulu, sampir, batang dan kasut sarung keris.

Menyingkap kenangan manis sebagai pembuat keris sepenuh masa, Abdul Mazin cukup berbangga kerana hasil tangannya pernah dijadikan keris milik pergerakan Pemuda Umno yang dinamakan Panca Warisan yang melambangkan keutuhan, keberanian dan kekuatan orang Melayu.

Kemahiran seninya juga perlu diiktiraf apabila ramai pelajar luar negara dari England dan Jepun datang belajar di bengkelnya bahkan, beliau pernah menghasilkan keris khas sempena Jubli Emas Sultan Kedah pada 2003.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 21, 2009

Jual-Beli Pondok Terpakai

(Post: Bahasa Melayu)
"Harga untuk pondok berkenaan 20 hingga 50 peratus lebih murah daripada harga produk baru. Namun harga bergantung kepada bahan, saiz dan jenis binaan yang digunakan."

Kini, tidak ada masalah untuk memiliki pondok atau wakaf untuk menghias laman serta menjadi tempat istirahat, apabila Risda Semaian Sdn Bhd (RSSB) menawarkan tempahan pondok yang lebih murah kerana menggunakan bahan binaan terpakai.

Antara bahan yang biasanya daripada bahan terpakai adalah kayu, lantai dan atap genting yang digunakan selain hiasan dan ukiran untuk kepala pondok.

Pengurus RSSB, Putrajaya, Chin Yew Aik berkata, syarikat berkenaan mengambil inisiatif membina pondok dan wakaf terpakai kerana ada permintaan yang banyak daripada pengguna.

"Kita dapati ada pelanggan yang berminat memiliki pondok tetapi sering melupakan hasrat mereka apabila harga pondok yang dijual mencecah ribuan ringgit."

"Dengan pondok terpakai ini harganya jauh lebih murah dan ada juga antara peminat yang sengaja ingin membeli pondok terpakai kerana ia nampak lebih klasik dan warna yang rustic," katanya.

Beliau berkata, selain tempahan, RSSB juga menjual pondok terpakai yang dijual kepada kami oleh pelanggan kerana mereka membeli produk lain.

"Sebelum dijual kepada pelanggan, pondok terpakai yang kami beli ini akan diperbaiki dan dikemaskan supaya nampak baru selain sebagai jaminan keselamatan. Kita tidak akan menjual pondok atau wakaf terpakai yang rosak," katanya.

Bahan-bahan terpakai diperoleh daripada kerja pengubahsuaian yang dijalankan sendiri RSSB atau dibeli daripada kontraktor pembinaan yang mengubahsuai atau membaiki kediaman.

Chin menegaskan bahawa produk terpakai yang dijual kepada pelanggan masih mengekalkan kualiti seperti pondok dan wakaf yang baru dibina.

"Kualiti menjadi keutamaan walaupun produk ini menggunakan bahan terpakai," katanya yang mengakui produk kayu cengal dan meranti terpakai masih mahal berbanding kayu resak, getah dan kelapa sawit.

Harga pondok terpakai adalah antara RM1,500 hingga RM6,000 di mana harga yang dipamerkan di pusat jualan boleh dirunding berdasarkan saiz, bentuk, rekaan, bahan dan jenis kayu digunakan.

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::