ATTENTION !!!

Showing posts with label lembu. Show all posts
Showing posts with label lembu. Show all posts

Tuesday, June 8, 2010

Makanan Tambahan Ternakan AIR EMAS

(Post: Bahasa Melayu)
" Bukan hanya manusia, haiwan ternakan seperti lembu dan kambing juga memerlukan makanan tambahan sebagai pilihan bagi mewujudkan nilai tambah kepada nutrisi harian. "

Wan Azwade Ahmad dari Kampung Batu 7, Lunas, Kedah, yang menyedari keperluan ini cuba menceburi bidang yang dianggap 'luar biasa' iaitu memproses makanan tambahan khusus untuk binatang ternakan.

Katanya idea itu timbul selepas mengikuti kursus ternakan dan bioteknologi di Institut Veterinar Malaysia (IVM), Kluang, Johor pada awal tahun 2009.

Wan Azwade, 31, yang turut mengusahakan ladang kambing dan lembu berkata bidang penghasilan makanan tambahan ternakan ini menjanjikan keuntungan lumayan kerana kos pengeluarannya agak rendah.

Ia menggunakan konsep 'Waste to Wealth' (W2W) yang memanfaatkan bahan buangan atau sisa pertanian dengan menggunakan teknologi pemprosesan untuk menghasilkan produk berguna.

Penggunaan sisa buangan untuk menghasilkan bahan yang berguna seperti makanan tambahan ternakan ini kini merupakan suatu fenomena memandangkan banyak penyelidikan mengenainya telah dijalankan.

Bagaimanapun, bidang ini belum diterokai secara meluas. Malah di wilayah utara ini ia belum dikenali umum, katanya kepada pemberita.

Wan Azwade menjelaskan bahawa produk yang dihasilkan ialah mesra alam dan bahan lazim yang digunakan termasuk abu kayu, sekam padi, habuk papan lapis dan sisa pertanian.

"Bahan buangan berkenaan akan dicampurkan dengan sedikit cecair EM (mikroorganisme efektif) yang menggunakan teknologi Jepun dan diperap selama dua minggu."

"Selepas itu, makanan tambahan ternakan akan terhasil dalam bentuk serbuk kering dan sedia untuk dipasarkan," katanya.

Wan Azwade berkata setiap kilogram serbuk makanan tambahan ternakan itu akan dijual dengan harga antara RM15 hingga RM20.

Air Emas

Dengan dibantu oleh tiga pekerja, beliau turut mengusahakan makanan tambahan dalam bentuk cecair, yang dikenali sebagai Air Emas dan dijual dengan harga RM60 setiap liter.

"Tempahan yang diterima ketika ini amat menggalakkan khususnya daripada pengusaha ladang ternakan kambing, lembu dan ikan di lain-lain negeri seperti Pulau Pinang dan Perak," katanya.

Wan Azwade berkata makanan tambahan ternakan yang dihasilkan turut diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar selepas berjaya melepasi ujian analisis nutrisi di IVM baru-baru ini.

"Makanan tambahan ini juga boleh digunakan untuk haiwan peliharaan dan ia berupaya membantu memperbaiki sistem penghadaman, sekaligus mengurangkan bau busuk pada najis ternakan," katanya.

Campuran Mudah

Penggunaan makanan ini juga mudah iaitu dengan hanya mencampurkan kira-kira 10 hingga 50 gram bahan itu bersama makanan rutin ternakan setiap hari.

"Sebagai contoh, para penternak hanya perlu memasukkan kira-kira 30 gram serbuk makanan tambahan itu bersama rumput bagi setiap ekor lembu pedaging dewasa," katanya.

Menurut Wan Azwade, dengan penghasilan makanan tambahan ini, ia bukan sahaja membantu industri ternakan berkembang malah dapat mengurangkan masalah penternak bergantung kepada makanan import.

"Ia mengurangkan kos makanan, sekali gus menjimatkan pengaliran keluar wang negara," katanya.

INFO:
Lokasi: No. 1E, Kampung Batu Tujuh, Jalan Padang Serai, Lunas, Kulim, Kedah

Telefon: 019-5651626 atau 019-5136430

Sumber: Bernama.com
Foto: Nymaz.com

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Monday, April 12, 2010

Pelancongan dan Ladang Lembu Prestige

(Post: Bahasa Melayu)
" Baru berusia 32 tahun, tetapi pencapaian dan kemampuannya boleh diumpamakan satu dalam 1,000. Betapa tidak, pada usia semuda itu beliau memiliki lebih daripada satu syarikat, bangunan sendiri yang nilainya melebihi RM1 juta dan bergelar bos kepada lebih 100 kakitangan. "

Tanyalah hal berkaitan lembu, terutama lembu susu, insya-Allah beliau boleh menjawabnya.

Malah ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini, beliau memberi gambaran betapa 'ilmunya' berkaitan haiwan berkenaan kadangkala tidak terjangkau dek fikiran.

"Kalau awak nak tahu, lembu susu adalah haiwan yang sensitif dan tidak boleh tertekan. Kita perlu tunjukkan kasih sayang kepada haiwan itu kerana ia kaedah berkesan untuk lembu terbabit menghasilkan susu yang lebih banyak."

"Lebih elok jika wanita menjaga haiwan itu. Di ladang saya, setakat ini dua wanita ditugaskan menjaga lembu dan ia ternyata berkesan dalam menghasilkan susu lebih banyak," katanya selamba.

Siapa sangka, di sebalik usia dan penampilan yang tampak lemah lembut, wanita bernama Norazean Abdul Aziz itu agresif dalam dunia perniagaan.

Sebelum 'menguruskan' lembu, beliau terlebih dulu meraih kecemerlangan dalam bidang pelancongan.

Hanya dalam tempoh tiga tahun (2002 hingga 2005) menjalankan perniagaan pelancongan menerusi syarikat Prestige Platinum Vacation (PPV) (M) Sdn Bhd, beliau berupaya membeli bangunan sendiri yang dinamakan Wisma PPV di Jalan Bangsar, Kuala Lumpur pada usia 27 tahun.

Daripada hanya menguruskan pakej pelancongan dalam negara, kini nama PPV bukan lagi asing sebagai sebuah syarikat pelancongan yang lengkap serba serbinya.

Ada bas persiaran sendiri dan sebut apa saja khidmat berkaitan pelancongan tidak kira dalam atau luar negara, semuanya ada di PPV.

Selepas enam tahun meletakkan PPV pada kedudukan terbaik dan mempunyai prestij tersendiri, Norazean menubuhkan pula syarikat Prestige Dairy Farm (PDF) (M) Sdn Bhd yang mengkhusus kepada perniagaan memelihara lembu untuk menghasilkan produk tenusu dan daging.

Bagi Norazean atau lebih mesra dengan panggilan Azean, usahanya meneroka bidang berkenaan yang semestinya dianggap janggal bagi wanita, dijadikannya cabaran.

Beliau sanggup mengetepikan rasa kurang selesa terhadap haiwan berkenaan kerana yakin dengan masa depan perniagaan dalam bidang itu.

"Dulu nak dekat dengan lembu susah juga sebab saya tak tahan baunya. Sekarang tiada masalah untuk saya berbuat demikian, malah saya sifatkan lembu juga seperti haiwan peliharaan lain yang perlu diberi kasih sayang dan dijaga dengan sempurna."

"Dalam perniagaan ini suami banyak membantu, malah dialah pencetus kepada penubuhan syarikat ini. Kami bersama-sama merealisasikannya," katanya.

Kesungguhan Azean terhadap perniagaan itu terbukti dengan visi dan misinya. Beliau menyifatkan susu lembu umpama gula yang diperlukan dalam kehidupan setiap hari.

"Susu sama saja macam gula. Daripada bayi hinggalah orang tua, semua minum susu dan terbukti susu mendapat permintaan yang sangat tinggi."

"Bukan setakat susu, macam-macam boleh dibuat dengan susu lembu, antaranya minyak sapi. Justeru, saya ambil peluang ini untuk memberi tumpuan dalam perniagaan berkenaan," katanya.

Bermula dari 2008, PDF kini mempunyai lebih 500 ekor lembu susu jenis Friesian-Jersey diimport dari Australia, selain lembu daging yang ditempatkan di ladang Alifah, Kluang, Johor.

Dengan lebih 30 kakitangan dan peralatan pemprosesan susu canggih, PDF kini tersenarai sebagai pengeluar susu lembu kedua terbesar di negara ini.

PDF turut membuka peluang kepada orang ramai bersama-sama menikmati faedah daripada permintaan tinggi susu lembu menerusi pakej diperkenalkan PDF.

Beli lembu daripada PDF dan terima hasil sehingga RM1,000 sebulan, bergantung kepada jumlah pengeluaran susu lembu yang dibeli.

Tidak perlu bersusah payah menguruskan lembu dimiliki kerana PDF akan menguruskan semua hal berkaitan, daripada menjaga, memberi makan, memerah susu hinggalah hal pemasarannya.

Setiap lembu dibeli akan diberi sijil dan Azean mengalu-alukan pemilik lembu hadir ke ladang PDF di Kulai Johor untuk melihat lembu mereka.

Bagaikan terlalu mudah, dalam tempoh tidak sampai 10 tahun, Azean mampu mengecap kejayaan dan memang lumrah, kejayaan diperoleh mengundang pelbagai persepsi.

Bagi Azean, beliau sedia maklum, barangkali ada yang beranggapan beliau 'orang senang' menyebabkan mudah untuknya meraih kejayaan sesingkat itu.

Namun hakikatnya Azean bukan dilahirkan di dalam 'mangkuk emas' yang memungkinkan beliau lebat dengan wang ringgit sehingga mampu melakukan apa saja. Ibu bapanya juga bukan orang berpengaruh sehingga mampu membantu memudahkan perjalanan perniagaannya.

"Bapa saya bekerja sebagai pemandu limosin dan ibu suri rumah. Mereka tidak mampu memberi kekayaan, tetapi yang masih terngiang-ngiang, ayah selalu kata dia hanya mampu memberi kasih sayang dan pendidikan terbaik untuk anaknya."

"Didikan, kasih sayang dan kesungguhan ibu dan ayah memberi saya pendidikan terbaik dijadikan dorongan serta semangat untuk saya merubah nasib keluarga pada masa depan," katanya.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, perjalanan untuk beliau mengecapi kejayaan seperti hari ini bukan mudah.

"Ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, saya melakukan kerja sampingan untuk mencari wang perbelanjaan dan pada masa sama menimba pengalaman."

"Nak minta wang daripada orang tua, saya tak sanggup kerana tidak mahu menyusahkan mereka."

"Saya bekerja dalam bidang jualan dan pemasaran di sebuah syarikat pada sebelah petang dari jam 5 petang hingga 9 malam, manakala pada Sabtu dan Ahad saya bekerja dari jam 9 pagi hingga 7 malam."

"Bohonglah saya katakan tidak penat dan tertekan... bila nak mengulangkaji, menyiapkan tugasan diberi pensyarah dan memberi tumpuan kepada pekerjaan. Apapun, saya kuatkan semangat dan teruskan sehingga tamat pengajian," katanya.

Kesungguhan Azean berbaloi apabila terus diberi kepercayaan bekerja sepenuh masa selepas tamat pengajian hinggalah dilantik ke jawatan ketua bahagian pemasaran.

Bagaimanapun, kejayaan diperoleh menimbulkan iri hati pihak tertentu, menyebabkan beliau ditukarkan ke bahagian sumber manusia.

"Kepakaran saya adalah bidang pemasaran. Apabila ditukarkan ke bahagian sumber manusia, untuk apa lagi saya bekerja di situ. Saya ambil keputusan berhenti kerja dan ketidakadilan itu membuatkan saya nekad untuk bekerja sendiri," katanya.

Azean memanfaatkan kepakarannya dalam bidang jualan dan pemasaran untuk menceburi bidang saham amanah. Tidak dilayan, terpaksa tebalkan muka dan dimarahi antara pengalaman yang lama kelamaan menjadi kebiasaan buatnya.

Berbekalkan pengalaman berkenaan, Azean mencuba pula bidang pelancongan dengan membuka syarikat pelancongan kecil-kecilan dinamakan PPV. Buat permulaan, tumpuan diberi kepada pakej pelancongan dalam negara terlebih dulu.

"Ketika berhenti kerja dan buat saham amanah, adalah sedikit modal. Saya sewa kedai kecil dan mencari pelanggan sendiri. Memandangkan sudah biasa 'tebal muka', saya telefon hotel sendiri, jumpa pengurus hotel sendiri dan cari pelanggan sendiri."

"Alhamdulillah, berkat pengalaman, dapatlah pelanggan dan tambah dua hingga tiga kakitangan untuk melicinkan urusan perniagaan," katanya.

Setahun kemudian, PPV mendapat lesen untuk menyediakan pakej pelancongan luar negara dan pencapaian PPV terus cemerlang dengan beroperasi di bangunan sendiri dan pertambahan pelanggan dari semasa ke semasa, dari individu hinggalah sektor korporat dan kerajaan.

Bertemu jodoh dengan Mohd Helmi Ali pada usia 27 tahun, PPV terus megah dan perjalanan Azean terus ke puncak dengan penubuhan PDF.

Liku perjalanan Azean dalam menguruskan dua syarikat berkenaan turut dicemari episod duka ditipu kenalan sendiri.

"Saya pernah beberapa kali ditipu sehingga rugi lebih RM200,000. Kenalan sendiri sanggup berbuat demikian selepas melihat kesungguhan saya untuk mencuba cabang perniagaan saya. Tidak perlu saya mengulas lanjut kerana insiden itu mengecewakan saya. Ia pengalaman berharga untuk saya lebih berhati-hati," katanya.

Reda dengan apa yang berlaku, Azean tidak mahu pengalaman pahit itu melemahkan semangatnya.

"Saya dan kakitangan umpama keluarga. Jika saya putus asa dan perniagaan tergugat gara-gara masalah tertentu, bagaimana nasib lebih 100 kakitangan saya."

"Sampai ke tahap ini saya tidak boleh hanya memikirkan diri sendiri. Nasib kakitangan juga perlu diambil berat," katanya yang kini bahagia dengan tiga cahaya mata.

Di akhir pertemuan, Azean memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi di atas kejayaan yang diperolehnya dan berterima kasih kepada semua pihak yang membantunya selama ini.

"Selain keluarga, suami banyak menyumbang kepada kejayaan saya. Dia selalu memberi semangat dan berpesan supaya jangan terlalu berasa selesa dan leka," katanya.

Sumber: myMetro

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, January 15, 2010

Usaha Mengurangkan Import Daging

(Post: Bahasa Melayu)
"Potensi sektor penternakan sememangnya amat luas. Malah, masih banyak lagi ruang yang boleh dimanfaatkan untuk mengembangkan lagi sektor tersebut."

Seorang usahawan, Mahathir Talib, 35, terlibat dalam bidang ternakan kambing secara komersial di Kampung Ulu Melaka, Alor Gajah, Melaka. Dia yakin bahawa sektor pertanian boleh menjadi sumber pendapatan lumayan jika bijak menggunakan peluang yang disediakan kerajaan.

"Melihat kepada potensi ini, saya nekad menubuhkan syarikat MP Livestock di Kampung Ulu Melaka Pindah yang mengusahakan penternakan kambing, biri-biri, lembu dan kerbau," katanya ketika ditemui di ladangnya.

Mahathir memberitahu, pada permulaan operasi dia mempunyai 60 ekor kambing betina dan lima ekor kambing jantan daripada pelbagai baka seperti Jamnapari, Boer, Rubian, kampung (katjang), Sanean selain biri-biri Barbados, Lonte dan Malin.

Syarikatnya kini menjalin usaha sama dengan beberapa syarikat pembekal baka kambing di Malaysia selain membekalkan daging kambing segar. Kambing yang diternak Mahathir sekarang berjumlah 400 ekor dan syarikatnya mampu membekalkan 800 kilogram (kg) daging kambing segar setiap minggu.

"Harga kambing ketika ini memang bagus. Saya mampu menjual pada harga sekitar RM450 hingga RM1,800 seekor bergantung kepada berat dan bakanya," katanya yang kini mempunyai kandang bersaiz kira-kira 93 meter panjang dan 10 meter lebar di Kampung Ulu Melaka Pindah.

Sementara itu, bagi Othman Abu Hassan, 50, dari Kampung Panchor, Durian Tunggal Melaka walaupun bidang penternakan merupakan satu kerja yang mencabar, dia tidak pernah berputus asa kerana yakin ia mampu menjadi sumber rezeki utama jika diusahakan dengan cara yang betul.

Bermula awal tahun 2004 dengan modal RM1,000 Othman membeli empat ekor kambing kampung. Pada pertengahan tahun, dia membeli lagi 15 ekor kambing kampung berharga RM3,000. Setahun kemudian, Othman mula membeli lembu pula.

Jelas Othman, cabaran utama dalam penternakan ialah masalah penyakit. Jika ia berlaku pastinya kerugian besar terpaksa ditanggung apabila ternakan mati dalam jumlah yang banyak.

"Setakat ini saya mempunyai 140 ekor lembu dan 170 ekor kambing," katanya.

Kebanyakan binatang ternakannya diberi makanan dedak yang dicampur dengan daun kelapa sawit, rumput, gula merah dan sagu rumbia.

Yang pastinya, usaha penternakan kambing dan lembu yang dijalankan ini bukan sahaja menjana pendapatan buat penternak serta menjana ekonomi tempatan tetapi juga mampu membantu mengurangkan pengimportan daging.

INFO:
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Rohani Karim, berkata, pada 2008 Malaysia terpaksa mengimport daging lembu sebanyak 103,000 tan bernilai RM883.9 juta dan 18,000 tan daging kambing bernilai RM188 juta.

Menurutnya, Sarawak dan Sabah berpotensi untuk dijadikan pusat ternakan lembu serta kambing secara komersial kerana Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia mengiktiraf Pulau Borneo sebagai pulau bebas penyakit kuku dan mulut haiwan.

"Setakat ini, Malaysia hanya mampu mengeluarkan 25 peratus bekalan daging walaupun kita mempunyai kemampuan untuk mengeluar lebih banyak daging bagi keperluan tempatan," katanya.

Sementara itu, pihak Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mempertimbangkan secara serius pewartaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di kawasan Batang Lupar, Sarawak.

Jelasnya, industri asas tani memang berpotensi besar untuk meningkatkan ekonomi masyarakat desa. Diharapkan penubuhan Majlis Pembangunan Pertanian dapat merangsang sektor tersebut di negara ini.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Tuesday, September 1, 2009

Lembu, Kambing, Itik, Keli - Zamzuree

(Post: Bahasa Melayu)
"Bukan mudah bagi Zamzuree untuk mengumpul aset sebesar itu. Anak kepada seorang guru sekolah kampung yang tidak mempunyai asas perniagaan yang kukuh ini mengambil risiko besar meninggalkan pekerjaan kolar putih untuk menceburi bidang perniagaan."

Memang ramai sebenarnya di dunia ini yang boleh bercerita bagaimana mereka tidak akan berjaya jika tidak menemui kegagalan terlebih dahulu.

Zamzuree Zakaria, 43, ialah seorang daripadanya yang menjadikan pengalaman kecundang sebagai pengajaran amat berguna untuk bangkit semula dan muncul sebagai antara pengimport dan pengeksport lembu secara komersial terbesar di negara ini.

Dengan berbekalkan modal hanya RM40,000 pada tahun 2000, yang sekadar mampu mengimport 28 ekor lembu dari Australia, kini pengusaha lembu yang juga Pengarah Syarikat Mahaderas Sdn. Bhd. ini sudah memiliki aset semasa lebih RM4.9 juta.

"Ini termasuk kandang dan peralatan yang membabitkan kawasan seluas 8.7 hektar di Kampung Jelor, Pasir Puteh," katanya kepada ketika ditemui di ladangnya di Pasir Puteh, Kelantan.

Zamzuree pemegang Ijazah Perakaunan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1993 mengambil alih pengurusan perniagaan daripada bapanya Zakaria Awang pada tahun 2003.

Sebelum itu, beliau pernah bekerja di beberapa buah syarikat termasuk Renong Berhad, Kuala Lumpur dan sebuah bank di Kelantan sebelum mengambil keputusan meletak jawatan untuk menceburkan diri dalam perniagaan penternakan.

Setahun selepas mengambil alih perniagaan bapanya, beliau menghadapi ujian perniagaannya hampir lumpuh berikutan harga import lembu dari Australia meningkat mendadak kerana nilai mata wang negara menurun.

"Ia halangan terbesar dan perniagaan saya hampir lumpuh sama sekali."

"Saya pernah menerima pelbagai kritikan dan cacian daripada masyarakat di atas kegagalan itu dan saya jadikan ia sebagai tiupan semangat untuk bangkit semula."

"Doa dan harapan saya mendapat keredaan Allah apabila diselamatkan oleh Agro Bank yang meluluskan pinjaman segera berjumlah RM1.4 juta sebagai modal pusingan," katanya.

Dengan wang pinjaman itu, Zamzuree mula mengalih tumpuan ke arah mengimport lembu dari Selatan Thailand terutama spesies Brahman Cross India.

Kini beliau mengimport kira-kira 12,000 ekor setahun untuk dipasarkan di Semenanjung terutama Selangor, Melaka, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Pahang, selain Kelantan.

Terbaharu, lebih 1,200 ekor lembu bernilai RM2 juta sudah ditempah bermula akhir bulan ini bagi keperluan bulan Ramadan dan Aidilfitri.

"Sebahagian besar daripada jumlah itu sudah tiba dan ditempatkan di ladang syarikat untuk dikuarantinkan selama 10 hari dan diberi suntikan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh agar ia selamat dan bebas daripada pelbagai jangkitan penyakit sebelum diedarkan kepada pengguna," katanya.

Lembu berkenaan dijual dengan harga yang berpatutan iaitu kira-kira RM2,000 seekor dan sehingga kini ia mendapat permintaan yang tinggi terutama pada musim perayaan dan musim cuti sekolah bagi kenduri kahwin.

Zamzuree berkata, berasaskan kejayaan itu beliau mempelbagaikan kegiatan dengan menyertai projek hiliran seperti ternakan 1,300 ekor itik telur spesies khaki campbell untuk memproses dijadikan telur masin.

Dengan bantuan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Pasir Puteh, beliau berjaya menghasilkan kira-kira 900 biji telur sehari untuk pasaran domestik dan merancang untuk menghasilkan 10,000 biji untuk dieksport ke luar Kelantan.

Zamzuree juga mengimport dan menternak 200 ekor kambing daging spesies luar negara dan sehingga kini dapat memasarkan 100 ekor sebulan untuk keperluan tempatan.

Bagi keperluan harian, beliau turut menternak 300,000 ekor ikan keli dan mengeluarkan hasil antara 800kg dan 1,000 tan sebulan.

Beliau juga ialah pengeluar terbesar baja organik hasil buangan bahan terbiar seperti najis lembu, kambing dan itik selain campuran bahan kimia bagi penyuburan tanaman jangka pendek dan panjang.

Antara 10 hingga 20 tan sehari mampu dikeluarkan bagi memenuhi keperluan domestik termasuk beberapa buah syarikat di Terengganu.

Di samping itu, Zamzuree juga mempunyai sebuah kolam memancing pelbagai spesies ikan yang membabitkan kawasan seluas 1.8 hektar dan sebuah restoran.

Kolam berkenaan disediakan untuk memberi peluang kepada remaja melibatkan diri dalam aktiviti lebih sihat dengan mengenakan bayaran RM7 sejam.

Setiap bulan beliau mengadakan karnival memancing dengan tawaran hadiah menarik termasuk wang tunai.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, July 4, 2009

Lembah Bio Felcra

(Post: Bahasa Melayu)
"Idea Lembah Bio yang ingin diwujudkan Felcra bukan sahaja untuk mendukung komitmen hijau, bahkan menambahkan pendapatan di kalangan peserta tanah rancangan."

Penukaran status daripada sebuah agensi berkanun kepada syarikat milik penuh kerajaan memberi peluang kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) meneroka bidang-bidang perniagaan baru.

Satu demi satu transformasi diketengahkan dan setiap perubahan yang dilaksanakan, memberi nikmat dan manfaat secara langsung kepada lebih 94,000 peserta tanah rancangan Felcra di seluruh negara.

Bagi Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajudin Abdul Rahman, agensi itu tidak seharusnya terus selesa memainkan peranan sedia ada, malah perlu berani menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

Katanya, pelaksanaan projek sifar sisa bersepadu, Lembah Bio di semua ladang Felcra seluruh negara merupakan komitmen terbaru agensi itu.

"Komitmen ini bukan sahaja akan menjana lebih pendapatan kepada para peserta di semua tanah rancangan, bahkan Felcra juga bakal menjadi agensi seumpama pertama yang mengaplikasi disiplin bioteknologi dalam operasi seharian," katanya.

Sebagai agensi yang mendominasi kegiatan pertanian khususnya perladangan kelapa sawit, getah dan padi, Felcra melalui pelaksanaan Lembah Bio akan memaksimumkan penggunaaan semula sisa-sisa buangan dan menjadikannya produk bio baru yang menguntungkan.

"Pelaksanaan program Lembah Bio adalah berkonsepkan sifar sisa melalui kitaran semula dan ia bukan hanya akan menghasilkan persekitaran yang lebih bersih serta mesra alam tetapi juga menjana pendapatan tambahan melalui produk-produk yang dihasilkan," katanya.

Melalui aplikasi bioteknologi ini, semua sisa dari kilang padi, sawit, kawasan perumahan peserta bahkan najis ternakan terutama lembu akan diproses menggunakan kaedah Efektif Mikro (EM).

"EM akan membantu kita mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berlebihan, memelihara ladang bebas daripada penyakit dan serangga selain memulih tanah yang bermasalah," katanya.

Proses ini ujarnya, akan menghasilkan beberapa produk yang akan digunakan semula di tanah-tanah rancangan Felcra termasuk baja dan racun serangga bioorganik serta makanan tambahan ternakan.

Katanya, buat permulaan Felcra menyasarkan mampu menggantikan penggunaan baja kimia di semua ladang di seluruh negara sekurang-kurangnya 20 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Di samping itu katanya, penghasilan baja organik itu kelak akan menjimatkan kos baja sehingga RM200 bagi satu hektar.

"Menjadi matlamat akhir untuk Felcra menggunakan 100 peratus baja organik yang dihasilkan sendiri namun pada masa sama, kita yakin satu hari nanti agensi ini mampu mengeluarkan sendiri jenama baja organik dan dipasarkan di luar," katanya.

Hasrat itu tidak mustahil kerana Felcra mempunyai kemudahan dan bahan mentah yang mencukupi di semua ladangnya di seluruh negara.

Selain bahan buangan sedia ada, Felcra menggalakkan para peserta dan generasi kedua menternak lembu dan kambing serta menanam jagung di kawasan rumah masing-masing.

"Najis lembu dan kambing berkenaan kemudiannya boleh dijual kepada Felcra untuk diproses menjadi baja organik. Pada masa yang sama, kita juga akan membeli batang dan akar pokok jagung yang ditanam untuk dijadikan bahan makanan lembu," katanya.

Bagi membangunkan projek Lembah Bio berkenaan, sebanyak RM18.9 juta telah diperuntukkan melibatkan 11 komponen projek berteraskan bioteknologi sepenuhnya.

Ia melibatkan ternakan lembu dan kambing secara fidlot, baja organik, tanaman kontan organik, ternakan akuakultur organik dan penghasilan beras organik.

Selain itu melalui Lembah Bio, unit fermentasi dan kompos, pusat makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D), bengkel pembungkusan serta pusat perniagaan rehat dan rawat akan diwujudkan.

"Projek ternakan ini juga melibatkan penanaman rumput napier yang akan menjadi makanan utama lembu terbabit. Buat masa ini tanah seluas lapan hektar di sini telah pun ditanam dengan rumput berkenaan dan ia mengambil masa tiga bulan untuk matang," katanya.

Optimis Lembah Bio mampu menaiktaraf kehidupan lebih 94,000 peserta Felcra dan ahli keluarga mereka, Tajudin memberitahu, kepakaran yang dimiliki Pusat Latihan Felcra di seluruh negara akan digunakan bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Pusat latihan berkenaan akan menyediakan modul-modul latihan yang berkaitan langsung dengan aplikasi bio-teknologi ini termasuk bagaimana proses EM, ternakan organik, tanaman kontan organik dan sebagainya," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, June 10, 2009

Ternak Lembu di Jerantut

(Post: Bahasa Melayu)
"Bermula dengan bekerja di bahagian penyelenggaraan di Hospital Jerantut, Pahang, lebih kurang 10 tahun lalu, Muhammad Rohaimi Amiruddin, 29, kini mempelbagaikan usahanya termasuk dalam industri ternakan."

Melihat sendiri bagaimana seorang penternak memanggil ternakan lembunya dengan 'bahasa' tersendiri, memang sesuatu yang mengasyikkan bagi mereka yang belum pernah berpengalaman menyaksikannya.

Tapi itulah yang boleh disaksikan semasa menemubual seorang penternak yang mempunyai hampir 200 ekor lembu di Jerantut, Pahang, baru-baru ini.

Baginya, lembu pertama yang dibelinya dan diberikan nama Atan amat istimewa dan terus dipelihara sehingga ke hari ini.

Bagi penternak terbabit , bekerja keras dan bersemangat untuk memajukan diri adalah kunci baginya mencapai kejayaan.

'Karier' awalnya bermula sebagai kontraktor Kelas F semasa berkhidmat di Hospital Jerantut, yang mula membuka pintu rezekinya meskipun tiga tahun dilalui tanpa sebarang projek.

Tanpa mengenal putus asa, dalam tempoh tiga tahun itu, Muhammad Rohaimi tetap dengan tugasnya di Hospital Jerantut sehinggalah dia memperoleh projeknya yang pertama.

Hasil pendapatan daripada projek berkenaan dilaburkan dengan membeli 10 ekor lembu atas nasihat rakan-rakannya.

"Pada mulanya saya membeli baka lembu dan dilepaskan di kebun ayah saya," katanya semasa ditemui di ladang sawit Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Pahang (LKPP) di Kampung Pisang, Jerantut, Pahang.

Apabila mendapat kontrak demi kontrak dan syarikat tempatnya bekerja menawarkan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS), Rohaimi menerimanya. Setelah itu, bermulanya kehidupannya sebagai seorang penternak lembu dan kontraktor Kelas F.

Hasil daripada pelbagai jenis projek yang diterima, Muhammad Rohaimi laburkan dengan membeli lembu bagi menambah bilangan ternakannya.

Selepas mendapat kontrak membersihkan ladang sawit LKPP seluas 4,000 ekar bersama-sama dengan dua rakan lain, Rohaimi mula membeli lebih banyak lembu untuk diletakkan di ladang berkenaan.

"Sebelum itu, dengan hanya beberapa ekor lembu saya letakkannya di sana, tetapi apabila saya mula menambah bilangan lembu kepada lebih 50 ekor, saya meminta kebenaran untuk menyewa tanah ladang bagi melepaskan semua ternakan tersebut," katanya.

Menternak lembu di kawasan ladang sawit, kata Rohaimi, amat menjimatkan kerana lembu yang dipelihara mudah mendapat makanan dan ladang juga bersih.

Pada masa sama, najis lembu juga boleh digunakan untuk menyuburkan tanah di ladang kelapa sawit berkenaan.

Usahanya diteruskan dengan menambah bilangan lembu dengan membeli pelbagai jenis lembu seperti Brahman, LID, Charolais, Kedah-Kelantan (KK) dan Draughtmaster daripada rakan-rakan dan penduduk sekitar daerah Jerantut.

Menyentuh mengenai kos menternak lembu secara integrasi, Rohaimi berkata, kosnya amat rendah kerana hanya perlu membeli air gula, ubat-ubatan dan garam.

Bagaimanapun, dia perlu membeli tiga set pagar elektrik bagi mengelakkan ternakan tersebut merayau keluar ke kebun penduduk kampung.

"Satu set pagar elektrik bagi kawasan 10 ekar lengkap dengan bateri berharga sekitar RM2,000," katanya.

Sehingga kini ladang berkenaan menjadi tempat tinggal lebih 400 ekor lembu daripada tiga individu yang berlainan.

"Di sini kami sama-sama menjaga ternakan secara gotong-royong kerana kami mengenali lembu masing-masing.

"Setiap hari pekerja akan meninjau keadaan lembu dan mengenalpasti masalah seperti penyakit dan masalah lain," katanya yang mempunyai enam orang pekerja untuk tugas-tugas membersihkan ladang.

Setiap petang beliau yang mempunyai hampir 200 ekor lembu akan pergi meninjau keadaan lembunya sambil membawa bancuhan air gula merah.

Menyentuh mengenai pasaran, Rohaimi berkata setakat ini pasaran lembu amat menggalakkan terutama menjelang musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri dan Hari Raya Haji.

Bercerita mengenai perancangan masa depan, anak muda yang penuh wawasan ini merancang untuk menambahkan lagi bilangan lembu-lembunya.

"Apabila saya menjual lembu, saya akan membeli lagi untuk menambah bilangan ternakan saya," katanya dengan penuh semangat.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Thursday, May 21, 2009

Ladang Agro-Tourism SYAMILLE AGRO FARM

(Post: Bahasa Melayu)
"Kami tidak bermula dengan mudah kerana pada awalnya ia menimbulkan prejudis dan pada masa sama, tidak seorang pun daripada kami berpengetahuan dalam ternakan."

"Mulanya di kawasan ini saya berhasrat menjadikannya kompleks Tahfiz al-Quran dan membina pondok," kata Mohd. Zainuri Mohd. Idrus.

Namun , ketika itu insiden-insiden melibatkan Al-Maunah di Bukit Jenalik mungkin menjadi penghalang kepada niatnya dan kerana itu, kawasan seluas 4.8 hektar (12 ekar) serta kawasan tambahan 2.4 hektar bertukar wajah dalam tempoh yang singkat.

Siapa menyangka bekas juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia(TUDM) itu sanggup membangunkan kawasan tersebut yang terletak di Kampung Chuar Hulu, Kati, Kuala Kangsar dengan menjadikannya sebagai kompleks pelancongan tani yang menempatkan calet, kemudahan berkursus, dan juga kandang kambing dan lembu selain projek penghasilan baja daripada tinja ternakan.

Dengan operasinya digerakkan menerusi syarikat Syamille Agro Farm Sdn. Bhd. dan modal berbayar RM250,000, kawasan yang mula beroperasi pada 2005 itu menggabungkan ciri-ciri kawasan pelancongan tani, kemudahan latihan serta aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Menurut Mohd Zainuri, konsep ladang Syamille dibangunkan berasaskan kepada tiga zon iaitu Zon A untuk kawasan rekreasi, asrama, pejabat dan sumber maklumat. Manakala Zon B untuk kawasan penternakan dan Zon C pula adalah kawasan penanaman rumput dan kemudahan bangunan.

Zon A yang seluas 1.2 hektar (tiga ekar) itu diperuntukkan untuk mendirikan kemudahan seperti pintu masuk utama, rumah penginapan, surau, rumah tamu, taman rekreasi, landskap dan pejabat.

Di Zon B pula ialah kawasan penternakan dan pemeliharaan baka kambing serta ternakan lembu. Di sini terdapat kadang kambing sistem fidlot dan semi fidlot, kadang lembu untuk baka Bali, stor makanan, pusat R&D untuk baja kompos dan kolam kumbahan serta kawasan penanaman rumput Napier.

Kawasan ini menempatkan 660 ekor kambing Boer Saanen dan Jamnapari, selain lembu tenusu dan baka lembu Bali, Kedah Kelantan dan Brahman serta biri-biri Dopper.

Untuk tujuan rekreasi, ladang tersebut juga menternak beberapa ekor rusa dan kancil. Projek R&D menghasilkan baja kompos daripada tinja ternakan dan juga makanan ternakan juga dihasilkan di sini.

Beliau berkata, selain usaha gigih, bantuan kerajaan negeri pada 2004 termasuk penganugerahan tanah banyak membantu menjayakan perancangan ladang berkenaan.

Malah, ladang berkenaan akan terus menggiatkan usaha mengimport dan membiak baka Boer, lembu pedaging serta tenusu serta penghasilan baja kompos dan makanan ternakan seperti silaj dan jerami.

Selain menjalankan aktiviti pembiakbakaan dan pengimportan baka, ladang tersebut juga menjadi pengimport dan pengedar probiotik dari Indonesia dan mengeluarkan produk Starbio, Stardec dan multivitamin.

Bahan probiotik tersebut digunakan untuk proses penghasilan makanan ternakan, tanaman dan pembuatan baja.

Menurut Hiruddin, konsep pembangunan R &D ladang Syamille ialah menggunakan semua bahan terbuang termasuk tinja ternakan. Ladang terbabit juga menggunakan jerami.

"Jerami tersebut digunakan sebagai bahan asas untuk makanan ternakan lembu dan kambing menerusi teknologi fermentasi dengan penggunaan probiotik."

"Proses fermentasi memakan masa selama 21 hari yang akan meningkatkan kandungan protein kepada sembilan peratus," katanya.

Silaj pula dihasilkan daripada rumput Napier yang diperam selama empat hari untuk makanan menambah varieti ternakan selain memanfaatkan semula rumput yang berlebihan.

Kata Hairuddin lagi, baja kompos dihasilkan menggunakan tinja kambing dan lembu menggunakan probiotik Stardec.

Bahan-bahan lain yang digunakan ialah sekam bakar, habuk kayu gergaji dan kapur pertanian. Proses tersebut melibatkan tempoh selama 35 hari dan digaul dan diterbalikkan setiap tujuh hari atau lima kali setiap dalam tempoh tersebut.

Mengenai perancangan masa depan, beliau berkata, ladang tersebut akan mewujudkan pusat latihan untuk penternak baru, membina kilang makanan ternakan, memproses baja kompos dan juga pengeluaran daging kambing dan lembu segar.

Menurut beliau lagi, syarikatnya beroperasi bukan sahaja membabitkan usaha beliau dan pekerjanya seramai 13 orang tetapi turut mendapat kerjasama dari pelbagai pihak.

Antara rakan niaga tersebut termasuk LHM Research Station dari Indonesia, MardiTech Sdn. Bhd. bagi pemprosesan baja kompos, makanan ternakan dan semen.

Selain itu, syarikat terbabit juga mendapat sokongan dari Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan akan bertindak sebagai mentor untuk bakal penternak.

Mengakhiri pertemuan itu, Mohd. Zainuri akhirnya mengakui minat menjadi pendorong kepadanya dan rakan lain untuk menggerakkan projek murni tersebut meskipun hasrat awalnya belum dapat ditunaikan.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Friday, May 8, 2009

Ladang Fidlot Lembu Dan Kambing

(Post: Bahasa Melayu)
"Walaupun baru setahun jagung beroperasi, Abd. Ghafar telah mula menerima pulangan balik modal yang dikeluarkan hasil daripada jualan lembu, kambing, baja tahi kambing serta edaran makanan ternakan."

Siapa kata, warga emas tidak boleh menjana pendapatan sendiri menerusi industri pertanian yang sememangnya menjanjikan pulangan yang lumayan.

Bagi Abd. Ghafar Endol, 70, dan isterinya Khairiah Abd. Majid, 60, masih belum terlambat bagi mereka melibatkan diri dalam ternakan kambing Boer dan Jamnapari, biri-biri serta lembu di ladang ternakannya di Kampung Tebing Tinggi, Jerantut, Pahang.

Walaupun dulunya Abd. Ghafar bertugas dengan Felda dan kemudian menjalankan perniagaan sajian makanan hampir 10 tahun, tetapi ia tidak mematahkan semangatnya memulakan sesuatu yang baru.

Berjinak-jinak dengan industri ternakan sejak setahun lalu, semuanya bermula apabila seorang sahabat mengajaknya melawat ladang ternakan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

"Ketika itu timbul minat untuk memelihara kambing dan saya mula membeli kambing Boer terus dari Australia bersama-sama dengan dua rakan lagi dari Melaka dan Perak," katanya semasa ditemui di ladang ternakannya, baru-baru ini.

Kebiasaannya, dia mengimport sehingga 30 hingga 40 ekor kambing Boer dengan kekerapan dua kali setahun terus dari Australia dan ini dilakukan secara berkelompok bersama-sama rakan lain.

Abd. Ghafar menerusi syarikatnya D NA Maju Ternak Sdn. Bhd. kemudian membeli kambing Jamnapari dan Ferrell bagi mempelbagaikan serta memelihara biri-biri yang dibeli terus dari Australia.

Selain menternak bagi tujuan akikah, korban, kenduri dan pemborong, Abd. Ghafar juga memelihara untuk tujuan pembiakbakaan.

Buat masa ini, dia memiliki 68 ekor kambing Boer dewasa dengan 28 ekor anak, 22 ekor Jamnapari dan enam ekor Ferrell.

Menyifatkan industri ternakan lebih mudah berbanding sajian makanan, bapa kepada tujuh orang anak ini banyak dibantu oleh anak-anak, menantu serta cucu.

"Perniagaan sajian makanan memerlukan saya berada sepenuh masa di sana tetapi dalam ternakan saya hanya memantau segala yang dilakukan oleh anak, menantu dan cucu," katanya.

Ladang ternakan yang mempunyai dua buah kandang kambing bersaiz 60x40 kaki yang dibina di atas tanah seluas dua ekar menerima suntikan modal daripada anak-anak dan simpanan Abd. Ghafar sendiri tanpa bantuan atau pinjaman mana-mana pihak.

"Bagaimanapun industri ternakan terutama kambing amat terdedah dengan risiko penyakit seperti kurap, kembung, selesema, bisul, batu karang serta sakit mata."

"Bagi mengawal penyakit, kami mengeluarkan kos sehingga RM1,000 sebulan bagi dua buah kandang untuk memastikan ternakan kami sentiasa sihat," katanya.

Dibantu menantunya Aslaishaharudin Mohd Daud, 30, yang banyak menjalankan kerja di dalam kandang.

Lebih kurang 500 meter dari ladang ternakan kambing, Abdul Ghafar mempunyai ladang ternakan lembu fidlot di atas tanah seluas dua ekar.

Memulakan ladang ternakan fidlot, Abd. Ghafar mula membeli 215 ekor lembu pada tahun lalu untuk tujuan digemukkan dan pasaran untuk daging.

"Pasaran daging lembu amat besar semasa musim perayaan terutama menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu," katanya yang memelihara lembu jenis Brahman, Charolais dan LID yang dibeli dari Australia.

Beliau membeli lembu pada usia dua tahun untuk digemukkan di dalam kandang fidlot selama lapan bulan sebelum dijual kepada pembekal.

Lembu yang dipelihara dalam ladang fidlot diberi makan palet, daun sawit, rumput napier, batang pisang dan kacang soya bagi membekalkan protein.

Menyentuh mengenai kos pemakanan, Aslaishaharudin berkata, seekor lembu memerlukan kos purata antara RM2 hingga RM3 sehari.

Biasanya dalam masa dua bulan, berat badan seekor lembu akan meningkat antara 20 hingga 30 kilogram (kg) berbanding semasa mula sampai.

"Bagaimanapun masalah paling utama dalam industri ternakan adalah harga makanan yang semakin meningkat," katanya yang menjual seekor lembu pada harga RM2,000 hingga RM3,000 seekor mengikut berat.

Selain menjual daging dan haiwan hidup, beliau juga menjual kulit lembu kepada peraih dari Thailand yang mengambilnya mengikut timbangan berat.

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::