ATTENTION !!!

Showing posts with label jagung. Show all posts
Showing posts with label jagung. Show all posts

Wednesday, September 2, 2009

My Waffle Shop

(Post: Bahasa Melayu)
"Ada juga sesetengah pelanggan yang mahu menggabungkan lebih daripada dua perisa. Ini terpulang kepada selera masing-masing. Kebanyakan pelanggan gemar dengan gabungan perisa coklat dan mentega kacang yang klasik. Perisa cappucino juga mendapat perhatian sejak ia diperkenalkan beberapa bulan lalu."

Sajian pantas dan mengenyangkan seperti waffle sering kali menjadi pilihan warga kota yang sentiasa sibuk dengan tugas seharian sama ada untuk sarapan mahupun makan malam.

Hidangan seperti waffle iaitu sejenis kuih seakan apam yang dimakan panas bersama mentega atau perisa lain antara yang menjadi pilihan kebanyakan kerana selain cara menyediakannya mudah, rasanya juga enak dan cukup mengenyangkan.

Bagi pemilik kedai My Waffle Shop yang terletak di pintu keluar stesen LRT Wangsa Maju, Yusnida Ramli, sambutan memberangsangkan masyarakat kota terhadap waffle amat meyakinkan beliau.

Oleh kerana itu beliau sanggup meletakkan jawatan sebagai Eksekutif Kanan di syarikat swasta dengan pendapatan RM3,500 sebulan. Malah keputusannya itu pernah dibantah ibunya kerana kurang yakin dengan perniagaan yang bakal diceburinya.

Berbekalkan modal RM50,000 hasil simpanan suaminya, impian membuka kiosk waffle menjadi kenyataan. Berlokasi strategik di pintu keluar LRT Wangsa Maju, My Waffle Shop mendapat tumpuan penumpang setia LRT yang keluar dan masuk setiap pagi, petang dan malam.

"My Waffle Shop dibuka sejak November 2008 selepas mengambil alih lokasi yang sebelum ini turut menjual waffle. Pemiliknya terpaksa menutup perniagaan kerana melanjutkan pengajian."

"Sebelum ini saya sering keluar masuk melalui depan kiosk ini kerana menggunakan LRT untuk ke pejabat. Saya melihat sendiri perniagaan ini mendapat sambutan orang ramai. Apabila pemiliknya menawarkan untuk membeli kiosk ini, ia umpama orang mengantuk disorong bantal," katanya.

Beliau berkata, secara luarannya memang perniagaan waffle ini kurang meyakinkan, tetapi hakikatnya ia tetap menguntungkan. Setiap hari, My Waffle Shop menjual sekurang-kurangnya 150 keping waffle atau 200 keping pada masa tertentu pada harga RM2.50 setiap satu.

"My Waffle Shop menawarkan pelbagai cita rasa seperti kacang, coklat, kaya, cappucino, blueberi, strawberi dan blackcurrant."

"Para pelanggan juga boleh memilih untuk menggabungkan dua perisa pada satu waffle dan menambah bahan lain untuk menjadikan ia lebih enak seperti kacang badam, bijirin coklat, bubble rice atau rambo rice. Ia lebih enak dengan siraman sirap, karamel, madu dan butter scotch."

Bagi memberikan pelanggan lebih banyak pilihan, My Waffle Shop turut menawarkan makanan sampingan lain seperti jejari waffle iaitu sosej ayam yang disalut dengan waffle lembut yang enak. Ia cukup menyelerakan apabila dimakan panas serta dicicah bersama sos cili.

Selain itu, terdapat juga biskut waffle yang rangup berinti kacang dan coklat. Ia juga enak dimakan semakin snek atau dimakan bersama ais krim.

Di samping itu, ada juga jagung kukus bersama mentega yang enak dimakan ketika masih panas. Dua minuman disediakan seperti teh limau, milo dingin dan mineral yang berharga RM1 hingga RM3 setiap satu.

INFO:
Hidangan: Waffle dengan pelbagai perisa, Biskut Waffle, Waffle Stick, Jagung Panas dan minuman

Harga: RM1 hingga RM3

Waktu perniagaan: 9 pagi hingga 9.30 malam (Isnin hingga Ahad)

Sumber: Berita Harian Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Saturday, July 4, 2009

Lembah Bio Felcra

(Post: Bahasa Melayu)
"Idea Lembah Bio yang ingin diwujudkan Felcra bukan sahaja untuk mendukung komitmen hijau, bahkan menambahkan pendapatan di kalangan peserta tanah rancangan."

Penukaran status daripada sebuah agensi berkanun kepada syarikat milik penuh kerajaan memberi peluang kepada Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) meneroka bidang-bidang perniagaan baru.

Satu demi satu transformasi diketengahkan dan setiap perubahan yang dilaksanakan, memberi nikmat dan manfaat secara langsung kepada lebih 94,000 peserta tanah rancangan Felcra di seluruh negara.

Bagi Pengerusi Felcra Berhad, Datuk Tajudin Abdul Rahman, agensi itu tidak seharusnya terus selesa memainkan peranan sedia ada, malah perlu berani menggalas tanggungjawab yang lebih besar.

Katanya, pelaksanaan projek sifar sisa bersepadu, Lembah Bio di semua ladang Felcra seluruh negara merupakan komitmen terbaru agensi itu.

"Komitmen ini bukan sahaja akan menjana lebih pendapatan kepada para peserta di semua tanah rancangan, bahkan Felcra juga bakal menjadi agensi seumpama pertama yang mengaplikasi disiplin bioteknologi dalam operasi seharian," katanya.

Sebagai agensi yang mendominasi kegiatan pertanian khususnya perladangan kelapa sawit, getah dan padi, Felcra melalui pelaksanaan Lembah Bio akan memaksimumkan penggunaaan semula sisa-sisa buangan dan menjadikannya produk bio baru yang menguntungkan.

"Pelaksanaan program Lembah Bio adalah berkonsepkan sifar sisa melalui kitaran semula dan ia bukan hanya akan menghasilkan persekitaran yang lebih bersih serta mesra alam tetapi juga menjana pendapatan tambahan melalui produk-produk yang dihasilkan," katanya.

Melalui aplikasi bioteknologi ini, semua sisa dari kilang padi, sawit, kawasan perumahan peserta bahkan najis ternakan terutama lembu akan diproses menggunakan kaedah Efektif Mikro (EM).

"EM akan membantu kita mengurangkan penggunaan bahan kimia yang berlebihan, memelihara ladang bebas daripada penyakit dan serangga selain memulih tanah yang bermasalah," katanya.

Proses ini ujarnya, akan menghasilkan beberapa produk yang akan digunakan semula di tanah-tanah rancangan Felcra termasuk baja dan racun serangga bioorganik serta makanan tambahan ternakan.

Katanya, buat permulaan Felcra menyasarkan mampu menggantikan penggunaan baja kimia di semua ladang di seluruh negara sekurang-kurangnya 20 peratus dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Di samping itu katanya, penghasilan baja organik itu kelak akan menjimatkan kos baja sehingga RM200 bagi satu hektar.

"Menjadi matlamat akhir untuk Felcra menggunakan 100 peratus baja organik yang dihasilkan sendiri namun pada masa sama, kita yakin satu hari nanti agensi ini mampu mengeluarkan sendiri jenama baja organik dan dipasarkan di luar," katanya.

Hasrat itu tidak mustahil kerana Felcra mempunyai kemudahan dan bahan mentah yang mencukupi di semua ladangnya di seluruh negara.

Selain bahan buangan sedia ada, Felcra menggalakkan para peserta dan generasi kedua menternak lembu dan kambing serta menanam jagung di kawasan rumah masing-masing.

"Najis lembu dan kambing berkenaan kemudiannya boleh dijual kepada Felcra untuk diproses menjadi baja organik. Pada masa yang sama, kita juga akan membeli batang dan akar pokok jagung yang ditanam untuk dijadikan bahan makanan lembu," katanya.

Bagi membangunkan projek Lembah Bio berkenaan, sebanyak RM18.9 juta telah diperuntukkan melibatkan 11 komponen projek berteraskan bioteknologi sepenuhnya.

Ia melibatkan ternakan lembu dan kambing secara fidlot, baja organik, tanaman kontan organik, ternakan akuakultur organik dan penghasilan beras organik.

Selain itu melalui Lembah Bio, unit fermentasi dan kompos, pusat makmal pembangunan dan penyelidikan (R&D), bengkel pembungkusan serta pusat perniagaan rehat dan rawat akan diwujudkan.

"Projek ternakan ini juga melibatkan penanaman rumput napier yang akan menjadi makanan utama lembu terbabit. Buat masa ini tanah seluas lapan hektar di sini telah pun ditanam dengan rumput berkenaan dan ia mengambil masa tiga bulan untuk matang," katanya.

Optimis Lembah Bio mampu menaiktaraf kehidupan lebih 94,000 peserta Felcra dan ahli keluarga mereka, Tajudin memberitahu, kepakaran yang dimiliki Pusat Latihan Felcra di seluruh negara akan digunakan bagi melaksanakan projek berkenaan.

"Pusat latihan berkenaan akan menyediakan modul-modul latihan yang berkaitan langsung dengan aplikasi bio-teknologi ini termasuk bagaimana proses EM, ternakan organik, tanaman kontan organik dan sebagainya," katanya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::