ATTENTION !!!

Thursday, May 21, 2009

Karipap Joji

(Post: Bahasa Melayu)
"Rasa karipap ini memang sedap. Makan sebiji sahaja sudah rasa kenyang. Jadi saya rasa berbaloi membelinya walaupun pada harga RM1.80 sebiji."

Gabungan cita rasa Inggeris dan Melayu, mungkin itu gambaran yang sesuai diberikan kepada sejenis karipap moden yang amat popular di bandar Kuantan sejak 16 tahun lalu.

Karipap berkenaan bukan sahaja terkenal di kalangan masyarakat pelbagai kaum di sini, malah ia turut popular di kalangan pelancong dalam dan luar negara.

Apa menarik, karipap tersebut tidak dijual pada harga 30 sen atau tiga biji seringgit sebagaimana di tempat-tempat lain tetapi ia dijual dengan harga RM1.80 sebiji.

Meskipun dijual dengan harga semahal itu, karipap tersebut mampu mencecah penjualan sekitar 200 hingga 250 biji sehari.

Karipap hasil ciptaan seorang pengusaha makanan tempatan yang kini berusia 51 tahun itu dianggap moden kerana ia berlainan dengan karipap-karipap yang lain terutama dari segi saiz, rasa, ketebalan dan kerangupan.

Saiz karipap tersebut lebih besar yang melebihi saiz satu cawan kopi, manakala rasanya pula lebih pedas dan sedap selain tepungnya yang tebal dan rangup.

Lebih menyelerakan kerana karipap moden berkenaan mengekalkan ciri-ciri tradisional seperti inti kentang, ayam dan daging dan digabungkan dengan ciri-ciri barat terutama dalam aspek tepung.

Karipap moden berkenaan merupakan hasil kreativiti yang dicetuskan oleh seorang pengusaha makanan tempatan berbangsa Cina, Joji Tan, 51, bersama isterinya Sarah Hong, 41, pada tahun 1993.

Joji yang juga pemilik Restoran Sri Gambut di sini berkata, dia mula mendapat idea untuk mencipta karipap berkenaan selepas 12 tahun menimba pengalaman bekerja di sebuah kedai kek.

"Pada mulanya saya bekerja dengan orang sebelum saya serta isteri mendapat idea untuk mencipta sejenis karipap yang dirasa mampu mendapat sambutan."

"Dengan hanya bermodalkan RM4,000, kami memulakan jualan karipap ini dengan hanya 20 hingga 30 biji sehari dengan membuka sebuah kedai kopi di Jalan Gambut di sini untuk orang ramai minum petang."

"Semakin lama karipap ciptaan kami semakin mendapat sambutan, lalu kami perbesarkan operasi dan hingga hari ini kami mampu menjual sebanyak 200 hingga 250 biji sehari," katanya.

Joji berkata, walaupun harga karipap yang dikenakan hampir RM2 sebiji, tetapi ia tetap mendapat sambutan daripada pembeli kerana harga terbabit dianggap berbaloi dari segi saiz dan kualiti.

Menurutnya, harga RM1.80 itu dikenakan selepas mengambil kira segala kos yang terlibat dalam pembikinan karipap terbabit selain saiz, mutu dan kualiti karipap berkenaan yang lebih besar berbanding karipap-karipap lain.

Sebagai contoh katanya, semua bahan yang digunakan untuk membuat karipap berkenaan hanya yang berkualiti tinggi termasuk dari aspek tepung, inti serta minyak masak.

"Minyak masak kami hanya digunakan untuk dua kali masakan dan selepas itu kami akan tukarkan dengan minyak yang baru bagi memastikan karipap kami sentiasa rangup dan berkualiti tinggi," katanya.

Joji berkata, antara keistimewaan karipap ciptaannya itu adalah kerana ia lebih besar, pedas, rangup dan tebal berbanding karipap-karipap lain selain intinya yang tersendiri dan lebih sedap.

Dalam pada itu, katanya, walaupun dia berketurunan Cina tetapi ramai daripada pembeli karipapnya merupakan orang Melayu dan India kerana mereka yakin pada tahap kandungan serta kebersihan yang diamalkan restorannya.

Tambahnya, walaupun dia bukan Melayu, tetapi kaedah masakan yang diamalkan oleh restorannya sentiasa menitik berat aspek halal dan haram kerana perkara itu amat penting dalam usahanya memajukan perniagaan.

"Malah, saya beberapa kali mengikuti kursus penyediaan masakan cara Islam anjuran beberapa organisasi dan menerapnya dalam perniagaan makanan saya," jelasnya.

Isterinya, Sarah pula berkata, sebelum menjalankan perniagaan itu, dia juga pernah bekerja di kedai kek yang sama dengan suaminya.

Dia yang turut bertanggungjawab dalam pembikinan karipap berkenaan berkata, apa yang paling penting dalam penyediaan karipap adalah memilih minyak masak yang tepat.

Selain itu, katanya, dia turut mengekalkan kaedah tradisional dalam membuat karipap mereka iaitu dengan menggunakan tangan dalam membentukkan karipap mengikut bentuk yang mereka rasakan sesuai.

Sementara itu, seorang pembeli dari Kuala Lumpur, Harey Zukhairey Salleh, 26, berkata, dia sering membeli karipap itu setiap kali datang ke Kuantan untuk menjalankan tugasannya.

Menurutnya, dia mengetahui mengenai karipap moden tersebut selepas dimaklumkan oleh seorang rakan sekerjanya di Kuantan dan memintanya supaya mencuba karipap berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia berasa was-was untuk membeli karipap di kedai berkenaan ekoran pemiliknya yang berbangsa Cina tetapi selepas melihat beberapa orang Melayu membelinya, dia berasa yakin.

Melihat kepada populariti karipap Joji, beberapa pengusaha kuih cuba mencipta karipap seumpama itu tetapi gagal menyaingi karipap yang dihasilkan oleh Joji dan Sarah.

INFO:
Lokasi: Restoran Sri Gambut yang terletak di Jalan Gambut, Kuantan

Waktu operasi: dari pukul 11 pagi hingga 10 malam

Sumber: Utusan Malaysia Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::