ATTENTION !!!

Showing posts with label bahulu. Show all posts
Showing posts with label bahulu. Show all posts

Tuesday, November 30, 2010

Lemak-Lemak Manis Putu Perak

(Post: Bahasa Melayu)
" Rupanya molek bak sebiji cawan. Warnanya yang putih suci dan bertekstur gebu memikat hati untuk dijamah. Kuih yang diberi nama Putu Perak itu rasanya lemak-lemak manis. "

Itulah reaksi deria rasa apabila putu tersebut memasuki rongga mulut. Emosi yang sama dirasai oleh Fauzila Harun, 35, tatkala menikmati kuih tradisional Perak itu pada suatu petang kira-kira lima tahun lalu.

"Putu Perak adalah antara kuih yang ibu dan opah saya gemar sediakan untuk kami sekeluarga semasa saya kecil dulu. Namun, setelah zaman berubah, putu itu jarang dibuat dan semakin sukar ditemui," jelas wanita yang lebih mesra dipanggil Zie itu kepada Kosmo!.

Kenangan pada petang itu ternyata telah memberi ilham bisnes kepadanya. Kini, Zie ialah seorang pengusaha kek dan pastri serta beberapa kuih tradisional Melayu seperti baulu, kuih karas, baulu Kemboja dan rempeyek.

Tidak ketinggalan, Zie nekad menjadikan Putu Perak yang sebelum ini sekadar sajian sarapan pagi dan minum petang di kampung halamannya di Chenderong Balai, Teluk Intan, Perak sebagai antara produk utama perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry.

Mengapakah Putu Perak?

Selain kurang persaingan, wanita itu yakin Putu Perak mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan. Bagi Zie, pembuatan kuih tradisional itu mempunyai falsafah yang tersendiri.

Baginya, kuih warisan itu adalah satu-satunya kuih yang kuat beridentitikan Perak berdasarkan tiga ramuan asasnya iaitu beras, pulut dan kelapa. Ketiga-tiganya pernah menjadi hasil pertanian utama dan makanan ruji penduduk negeri itu pada zaman dahulu.

"Walaupun ada yang memanggilnya putu cawan dan putu mangkuk, nama Putu Perak lebih tepat dan menyerlah serta mempunyai nilai komersial untuk membawanya di pasaran nasional," ujarnya.

Bermula dengan meletakkan Putu Perak yang dibuatnya di gerai-gerai makan dan kedai runcit di sekitar Chendorang Balai, Sungai Manik dan Labu Kubong pada setiap pagi, kuih warisan itu laris dan permintaannya begitu baik.

Kesungguhan Zie menjual kuih tradisional tersebut mula mendatangkan hasil dan berjaya membuka mata sebuah agensi kerajaan setahun kemudian.

Pada tahun 2006, rumah Zie dikunjungi oleh beberapa pegawai Pejabat Pertanian Sungai Manik yang diketuai Penolong Pegawai agensi itu, Mohamad Din Hussin, untuk melihat sendiri kesungguhan wanita itu menghasilkan Putu Perak.

"Kebetulan pada masa itu, kami bercadang membuka pusat sehenti menghasil dan memasar produk kecil dan sederhana (PKS) yang akan ditempatkan di Pejabat Pertanian Sungai Manik."

"Kami memerlukan seorang usahawan yang berpotensi untuk dibantu," jelas Mohamad Din.

Pusat sehenti itu ditawarkan secara percuma tanpa sebarang bayaran sewaan dan pengusaha terpilih sekadar melunaskan bil elektrik dan air bulanan.

Selain itu, bimbingan dan bantuan sokongan daripada agensi kerajaan terlibat termasuk Jabatan Pertanian dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) juga ditawarkan.

Mohd. Din memberitahu, seramai 32 usahawan produk PKS di sekitar Sungai Manik, Chenderong Balai dan Labu Kubong telah disenarai pendek dan akhirnya Zie menerusi perusahaannya, Zie's Taste Cake & Pastry, telah terpilih.

Tertarik dengan kegigihan dan wawasan masa depan perniagaan terutama kesungguhan mengkomersialkan kuih warisan negeri, Putu Perak, adalah antara sebab utama pemilihan Zie.

Peluang yang diberikan Pejabat Pertanian Sungai Manik itu bagaikan batu loncatan kepada Zie. Sejak itu dia tidak menoleh ke belakang lagi.

Peralatan memasak Putu Perak juga diperbaiki. Jika sebelum ini Zie dan pekerja mengukus kuih warisan itu di dalam tin yang telah ditebuk lubang kini peralatan khas diperbuat daripada besi digunakan.

Sambutan Menggalakkan

Zie juga telah ditawarkan buat kali pertama untuk memperkenalkan Putu Perak buatannya di acara Agrofest peringkat negeri di Ladang Infoternak Sungai Siput bermula 2007.

"Sambutannya amat menggalakkan. Kejayaan di Agrofest Perak 2007 membuatkan saya terus menyertai banyak ekspo dan karnival usahawan anjuran pelbagai agensi kerajaan di sekitar Perak dan negeri-negeri jiran seperti Kedah untuk mempromosi Putu Perak," ujarnya.

Zie juga pernah membuka gerai jualan Putu Perak di Karnival Sua Rasa anjuran televisyen swasta, TV9 di pekarangan Stadium Perak pada bulan April lalu.

Usaha wanita itu semakin mendapat pengiktirafan apabila Putu Perak buatannya disenaraikan sebagai salah satu Makanan Popular Perak oleh FAMA negeri.

Lebih membanggakan, kuih warisan itu berjaya menembusi Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pertanian Antarabangsa (MAHA) pada 2008 dan 2010.

Kini, Putu Perak buatan Zie boleh didapati hampir setiap hari di sudut Makanan Popular Perak Bazar Agrobest di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Ulu Bernam arah selatan, Lebuh Raya Utara-Selatan mulai Februari lalu.

Pembukaan gerai jualan itu membuka ruang lebih luas untuk memperkenalkan kuih warisan itu. Keunikannya menarik minat ramai pengunjung R&R tersebut untuk membeli dan mencuba keenakan Putu Perak.

Bagi yang pernah merasai Putu Perak sebelum ini, penjualan kuih warisan itu di kawasan milik Plus Expressways Berhad (PLUS) itu mampu mengimbau kenangan silam.

Bagi mereka yang tidak pernah menikmatinya, tentunya ia menjadi satu pengalaman baru apabila berpeluang menikmati makanan tradisional tempatan yang hampir pupus.

Menyentuh Hati

Pengalaman melayan ragam pelanggan meninggalkan pelbagai kenangan buat Zie. Begitu juga dengan kisah seorang pelanggan wanita berusia 40-an dari Seremban, Negeri Sembilan pada bulan Ramadan lalu.

Zie memberitahu, sepanjang bulan Ramadan itu, gerai jualan Putu Perak di R&R Ulu Bernam arah selatan ditutup bagi memberi ruang kepada dia dan pekerjanya menyiapkan tempahan kuih dan kek raya di Chenderong Balai.

Satu hari dalam bulan yang mulia itu, Zie dihubungi oleh seorang wanita yang begitu teringin merasai Putu Perak.

Wanita yang mendapat nombor telefon bimbit Zie daripada pengurusan PLUS dan FAMA Perak itu merayunya agar membuka gerai jualan di R&R tersebut.

Menurutnya, dia berasal dari daerah Hilir Perak tetapi telah menetap lama di Seremban, Negeri Sembilan dan sanggup memandu kereta dari jauh semata-mata mahu menjamah Putu Perak sebagai salah satu sajian berbuka puasanya.

Mendengar rayuan wanita terbabit, Zie tidak sampai hati lantas menyiapkan kuih warisan yang dipesan sebelum menyerahkannya kepada pelanggan tersebut di kawasan R&R terbabit.

"Saya akhirnya dapat menyerahkan Putu Perak yang dipesan wanita itu ketika hampir waktu berbuka puasa. Daripada riak mukanya, jelas dia gembira kerana dapat menikmati putu tersebut."

"Terharu saya sekejap. Momen itu menjadi antara pengalaman indah sepanjang saya berniaga Putu Perak. Semangat saya semakin kuat untuk membawa kuih warisan negeri kelahiran saya ini di peringkat lebih tinggi," ujarnya.

Sumber: Kosmo! Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, August 19, 2009

Bahulu Mahanum Kampung Sungai Masin

(Post: Bahasa Melayu)
"Apa yang uniknya Mahanum tidak perlu mencari pasaran sebaliknya pelanggan yang datang mencarinya, malah bahulunya telah dibawa hingga Jepun dan Jordan oleh anak jiran yang belajar dan bekerja di sana."

Sebuah motosikal berhenti di bengkel menghasilkan bahulu dan mengambil beberapa bungkus bahulu dan wang beralih tangan.

Penulis terpegun seketika melihat kaedah pemasaran tanpa perlu menjaja di gerai atau menghantar produk ke kedai.

"Biasanya lebih ramai yang suka datang sendiri untuk membeli bahulu di sini."

"Cara ini lebih mudah dan saya tidak perlu mengeluarkan belanja menyewa tapak jualan," kata Mahanum Mhd Shah, 48, semasa ditemui di bengkel bahulu di Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor.

Segalanya bermula kerana pendapatan suami yang tidak seberapa menyebabkan beliau tidak hanya leka dengan tujuh orang anaknya yang mula meningkat remaja tetapi mula terfikir untuk membantu bagi meringankan beban suami.

Memikirkan keluarga yang memerlukan perbelanjaan tambahan, Mahanum terfikir untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan.

Beliau mula dengan menjual nasi lemak dan burger di depan rumah kerana Mahanum masih boleh menjaga ibu yang sakit dan beliau kemudian beralih membuat bahulu semasa musim perayaan.

Bermodalkan RM200 hingga RM300, Mahanum membeli peralatan asas seperti acuan bahulu dan dapur serta bahan mentah seperti tepung, gula dan telur.

"Pada mulanya saya usahakan membuat bahulu menggunakan dapur arang dan secara kecil-kecilan untuk di jual pada jiran-jiran sekitar sini," katanya.

Ibu kepada tujuh orang anak yang gigih mengusahakan bahulu di dapur rumah di kemudiannya beralih ke beranda rumahnya apabila permintaan terhadap bahulunya semakin menggalakkan.

Tidak pernah mengenal erti putus asa, Mahanum meneruskan usahanya tanpa bantuan sesiapa sehinggalah seorang rakannya Zainon Ariffin membawanya ke Jabatan Pertanian bagi mendapatkan khidmat nasihat.

"Di sana saya mengikuti kursus anjuran Jabatan Pertanian di Kalumpang selama empat hari mengenai bahulu dan kek secara moden," katanya.

Semasa kursus di Jabatan Pertanian, beliau mempelajari cara mempelbagai produk bahulunya seperti bahulu ikan emas emas bersaiz besar dan sederhana.

Selain itu, Mahanum juga menghasilkan bahulu dengan menambah perisa seperti kapucino, pandan, coklat rice, oren dan strawberi serta muffin, kek gula hangus dan bahulu kemboja.

Melihatkan usaha dan semangatnya menghasilkan pelbagai produk serta pasaran yang amat menggalakkan semasa musim perayaan Jabatan Pertanian memberikan bantuan dalam bentuk ketuhar dan pembinaan bengkelnya.

Buat masa ini dengan bantuan Jabatan Pertanian, Mahanum dapat menghasilkan 4,000 biji bahulu biasa sehari.

Bahulu yang dihasilkan memang menarik kerana lebih garing daripada biasa dan tahan lebih lama.

Sebagai perniagaan keluarga, Mahanum dibantu oleh anak-anaknya terutama semasa cuti sekolah.

Walaupun sibuk dengan perniagaan, Mahanum tidak mengabaikan pelajaran anak-anak memandangkan tiga orang anaknya berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi manakala empat lagi masih bersekolah.

INFO:
Lot A Bakery Enterprise (Bahulu Mahanum)
Lokasi: Kampung Sungai Masin, Batang Kali, Selangor

Telefon: 013-2263423

Email: anum6212@yahoo.com

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share

Wednesday, November 19, 2008

Bahulu Salwa Pelbagai Perisa

(Post: Bahasa Melayu)
"Bahulu Salwa bukan sahaja digemari kerana keenakan rasanya, namun ia juga boleh diperoleh dalam pelbagai perisa iaitu asli, oren, pandan, cip coklat dan strawberi."

Bahulu, salah satu kuih tradisional yang amat popular di Malaysia, sentiasa mempunyai permintaan tinggi dari para pelanggan terutama apabila menjelang musim perayaan.

Di negeri Kedah, jenama Bahulu Salwa yang diusahakan oleh Ismazuha Enterprise bukan satu nama asing kepada penggemar kuih tradisional tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Ismazuha Enterprise, Noor Zuhhada A. Rahman, 28, sejarah pengeluaran kuih Bahulu Salwa bermula kira-kira 15 tahun lalu apabila ibunya, Hasnah Salleh, 60, berusaha menghasilkan kuih berkenaan secara kecil-kecilan di rumahnya di Kampung Batu 19, Kubur Panjang, Pendang.

Sehingga kini, menurutnya, perusahaan Bahulu Salwa melibatkan tiga cawangan iaitu di tempat asal di Batu 19 Kubur Panjang, Pendang; di Jalan Datuk Kumbar dan di ruang legar Segar Mart Jabatan Pertanian Kedah, Jalan Kuala Kedah di sini.

"Syarikat kami mempunyai 13 pekerja di tiga cawangan berkenaan dengan mengeluarkan kira-kira 1,200 peket atau 12,000 kuih baulu sehari."

"Semasa musim perayaan dan keramaian, permintaan turut bertambah sehingga pekerja sambilan turut diambil, manakala tempoh pengeluaran dilanjutkan."

INFO:
Syarikat Ismazuha Enterprise
Lokasi: ruang legar Segar Mart Jabatan Pertanian Kedah, Jalan Kuala Kedah, Kedah

Waktu operasi: 8.30 pagi hingga 6.30 petang

CONTACT INFO:
Telefon: 019-5464886 (Isma) atau 019- 4934192 (Zuha)

Sumber: Utusan Malaysia Online

Read More ->>>
Read more...
Bookmark and Share
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::