ATTENTION !!!

Saturday, June 25, 2011

Panorama 360 Darjah

(Post: Bahasa Melayu)
" Hanya dengan satu klik, pelbagai maklumat dan informasi dari seluruh dunia boleh diperoleh melalui paparan skrin apabila melayari Internet. "

Dengan melayari sistem akses rangkaian maya global itu, pengguna tidak perlu lagi membuang masa dan tenaga untuk mendapatkan maklumat ataupun informasi dari sumber yang pelbagai.

Perkara itu dipermudahkan apabila kerana mereka dapat membuat carian maklumat di mana-mana sahaja lokasi yang mempunyai akses siber pantas.

Melalui dunia maya juga, pengguna boleh mencari variasi produk dan perkhidmatan yang diingini meliputi konteks luas seperti hospitaliti, kulinari, pelancongan dan peruncitan komersial.

Maka, tercetuslah cabang tumpuan yang lebih khusus iaitu pengenalan kepada bisnes perhotelan, restoran, pusat beli-belah, pemotoran dan bermacam-macam lagi mengikut keinginan pengguna.

Pengguna pasti akan lebih menghargai sesuatu maklumat itu sekiranya dapat merasai lebih daripada sekadar melihat gambar dan teks di paparan skrin.

Perincian sebenar sesuatu produk atau perkhidmatan yang ditawarkan kepada mereka melalui alam maya dapat difahami dengan lebih menyeluruh sekiranya lebih banyak suntikan elemen pemasaran digunakan iaitu seperti audio, gambar, teks, visual bergerak.

360 darjah

Semua itu kini menjadi realiti apabila menggunakan kaedah fotografi realiti maya 360 darjah ditawarkan VR Panorama Studio yang ditubuhkan pada tahun 2009.

Kaedah terbaru itu dapat memberi gambaran sebenar sesuatu produk atau perkhidmatan sekali gus meninggalkan impak kepada pengguna.

Pengarah Pengimejan VR Panorama Studio, Jimin Lai, berkata, fotografi realiti maya 360 darjah boleh dianggap baru di negara ini tetapi ia sudah lama dipraktikkan di luar negara.

"Pada awal pembabitan dalam bidang ini, kami memahirkan diri dengan banyak menggunakan kaedah pembelajaran cuba-ralat untuk mendapat satu cara yang betul dan tepat."

"Selain daripada itu, kami juga banyak melakukan penyelidikan dan kajian mendalam terhadap fotografi realiti maya 360 darjah termasuk membuat rujukan melalui Internet," katanya ketika ditemui Kosmo!.

Jimin menambah, penyelidikan dan kajian dilakukan untuk menambah pengetahuan mengenai peralatan, selok-belok teknik dan aplikasi sesuai diadaptasi dalam menghasilkan karya terbaik kepada pelanggan-pelanggan.

Katanya yang mempunyai pengalaman selama hampir 15 tahun dalam industri media tempatan dan antarabangsa, kesempurnaan serta kualiti tinggi dalam penghasilan karya ini amat penting demi memberi kepuasan kepada pelanggan-pelanggan.

"Kepakaran kami adalah dalam penghasilan panorama sfera (spherical panorama). Kaedah ini dapat memberi peluang kepada pengguna untuk melihat sesuatu produk ataupun perkhidmatan dari sudut 360 darjah."

"Ini bermakna pengguna dapat merasai pengalaman suasana sebenar malah boleh berinteraktif meskipun hanya melayari alam maya," ujarnya.

Dia merasakan kaedah tersebut mempunyai prospek yang tinggi sebagai medium pemasaran alam maya terutamanya dalam industri pelancongan, hartanah, hospital dan banyak lagi.

Rakaman sekeliling

Jimin berkata, terdapat beberapa proses yang perlu dilalui untuk menghasilkan sesuatu karya panorama sfera realiti maya 360 darjah tersebut.

“Antara proses utama yang perlu dalam penghasilannya termasuklah merakam imej dengan menggunakan peralatan sesuai seperti kamera, tripod dan lensa.

"Dalam hal ini, saya menggunakan lensa dan tripod yang diimport khas dari Amerika Syarikat (AS) bagi memudahkan lagi proses penghasilan sesuatu projek," katanya.

Sebelum menggunakan peralatan import tersebut, Jimin menambah, proses rakaman imej karya panorama sfera realiti maya 360 darjah amat rumit dan mengambil masa yang agak lama.

"Apabila masih baru dalam bidang ini, saya perlu merakam 24 keping imej dari sudut atas, tengah dan bawah malah perlu memastikan setiap imej tersebut selaras antara satu sama lain."

"Bagaimanapun, penggunaan lensa dan tripod yang diimport tersebut membolehkan saya merakam empat keping gambar sahaja sekali gus memudahkan lagi prosesnya," terang Jimin.

Selepas proses merakam imej selesai, imej-imej tersebut perlu dikemas kini sebelum menjalani proses cantuman.

Menerangkan lebih lanjut, Jimin memberitahu, proses cantuman memerlukan penggunaan perisian khas yang dibangunkan dari AS. Ia memerlukan pengguna mengetahui mengenai algoritma, pengiraan dan beberapa langkah lain untuk memastikan produk akhir kelihatan semula jadi.

Kemas kini

Selepas semua proses berkenaan selesai, Pengarah Teknologi VR Panorama Studio, Saseetharan V., akan mengemaskini karya panorama sfera realiti maya 360 darjah menggunakan perisian produksi.

"Kita akan memasukkan butang arah, logo, grafik dan sebagainya ke dalam antara muka karya tersebut semasa proses produksi."

"Ia dilakukan untuk memastikan pengguna bukan sahaja dapat menyelami sesuatu produk atau perkhidmatan dengan lebih mendalam tetapi merasai melalui paparan interaktif," ulasnya.

Saseetharan menambah, keistimewaan panorama sfera realiti maya 360 darjah yang dihasilkan mereka adalah ia boleh digunakan melalui pelbagai platform termasuk Apple Inc.

Katanya, kelebihan tersebut dapat digunakan pelanggan-pelanggan untuk mempromosikan produk ataupun perkhidmatan mereka dengan lebih meluas.

Cabaran

Dalam pada itu, Saseetharan memberitahu, kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 yang berlangsung di Kompleks Futsal 1Malaysia, Presint 18, Putrajaya baru-baru ini merupakan salah satu cabaran hebat yang perlu mereka lalui.

"Kami perlu menghasilkan panorama sfera realiti maya 360 darjah dalam masa yang singkat. Hasil karya lebih sukar apabila membabitkan pergerakan kerana memerlukan penelitian yang tinggi."

"Bagaimanapun, kejohanan tersebut boleh dikatakan melakar sejarah tersendiri kerana ia merupakan siaran langsung realiti maya 360 darjah yang pertama pernah kami buat," katanya.

Sementara itu, Jimin menambah, mereka akan mengembangkan lagi sayap untuk memperkenalkan perkhidmatan mereka.

Katanya, eksperimentasi melakukan panorama sfera realiti maya 360 darjah video juga giat dilaksanakan untuk memberi kelainan kepada pelanggan-pelanggan.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai produk VR Panorama Studio boleh melayari laman web 360vrshots.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::