Ipoh Station Antique Cafe
(Post: Bahasa Melayu)
" Sambil diiringi alunan lagu-lagu biduanita Saloma dan seniwati Normadiah, memori zaman 50-an dan 60-an dijelmakan semula tatkala pelanggan melangkah masuk ke Ipoh Station Antique Cafe. "
Perasaan itu bertambah nyata apabila melihat susunan koleksi barangan antik tempatan seperti poster filem, iklan dan majalah melatari dinding premis tersebut.
Menurut pemilik bersama dan juga pasangan suami isteri, Azlan Huzairi Mustafa'I Adnan, 46, dan Nor Azlina Osman, 35, restoran itu adalah cetusan daripada hobi mereka yang gemar mengumpul barang-barang antik.
Kata Azlina, hobi mengumpul barangan antik telah membawa pasangan tersebut menjelajah sehingga ke Pulau Pinang dan Melaka bagi mendapatkan item yang mereka ingini.
"Keseluruhan restoran ini dirias menggunakan barangan antik termasuk meja dan kerusi. Walaupun terdapat beberapa bahagian yang baru, ia masih lagi mengekalkan cita rasa zaman 60-an," kata Azlina.
Filem-filem lama arahan Tan Sri P. Ramlee seperti Bujang Lapuk dan restoran-restoran lama yang masih mengekalkan rekaan zaman kolonial menjadi inspirasi kepada konsep Ipoh Station.
Lebih signifikan, pembukaan rasmi restoran itu telah disempurnakan oleh pelakon veteran, Datuk Aziz Sattar tahun lalu.
Menggunakan tema hiasan kafe antik, susunan barang-barang untuk dekorasi Ipoh Station diatur supaya kelihatan mirip kafe di zaman sebelum zaman merdeka.
Suasana di kaunter bayaran dihidupkan secara nortalgik apabila majalah-majalah hiburan lama digantung secara berderet manakala kehadiran sebuah mesin daftar tunai melengkapkan gaya.
Di bahagian berhawa dingin pula, bar olok-olok turut direka termasuk meletakkan sebuah peti sejuk besar, almari dengan susunan botol minuman ringan dan deretan gelas berkaca tebal.
Bukan itu sahaja, kipas siling, lampu dinding, pembesar suara turut didatangkan dalam model lama dan masih berfungsi dengan baik. Malah, sistem pendawaian turut mengikut gaya dahulu iaitu wayar tidak ditanam dalam dinding.
Warna-warna yang digunakan pula lebih kepada rona coklat, krim dan merah pusam bagi membangkitkan suasana lampau.
Koleksi paling lama yang terdapat di dalam restoran yang terletak di kawasan perniagaan Bandar Puchong Utama itu adalah sebuah kipas berjenama General Electronic Company (GEC) yang berusia kira-kira 80 tahun.
Sesungguhnya, restoran tersebut adalah salah satu cara pasangan suami isteri tersebut berkongsi dengan orang ramai hasil koleksi barang-barang antik yang dikumpul mereka selama 10 tahun.
Sesuai dengan konsep antik kafe, Ipoh Station menghidangkan masakan Melayu Perak yang kebanyakan resipi dan cara memasak diajar oleh ibu mertua Azlina.
Menu Melayu Perak
Harga yang ditawarkan oleh restoran bergaya klasik ini juga amat berpatutan iaitu pada harga di antara RM5 hingga RM6 sehidang bagi pilihan makanan bergoreng sama ada mi atau nasi.
Minuman yang memenuhi selera rakyat Malaysia seperti kopi, Nescafe, Milo, limau ais dan lain-lain pula dijual pada harga di antara harga RM1.70 hingga RM3.80.
"Hidangan yang wajib dicuba setiap pelanggan adalah gulai tempoyak, ikan patin, asam pedas dan sotong petai yang terdapat dalam set tengah hari kami.
"Set tengah hari bermula pada pukul 11.30 pagi hingga 2.30 petang dengan harga RM8 bagi setiap set," tambah Azlina.
Ipoh Station juga mempunyai hidangan istimewa iaitu nasi goreng ikan rebus dari Ipoh yang berharga RM6 sehidang selain laksa dan mi rebus yang berharga RM6.50 setiap satu.
Menurut Azlina, setiap rempah dan pes cili sentiasa segar dan dibuat sendiri malah seramai lima orang tukang masak telah dilatih olehnya selama sebulan sebelum memulakan kerja bagi memastikan kualiti dan rasa makanan berada dalam standard yang dikehendaki.
"Menariknya, kebanyakan pelanggan kami terdiri daripada kaum Cina dan selebihnya Melayu. Mereka memenuhi kafe ini khususnya ketika waktu makan tengah hari.
"Rata-rata mereka adalah pelanggan tetap yang akan datang semula untuk makan dan menikmati dekorasi kafe kami," kata Azlina.
Pihak Ipoh Station menyasarkan untuk membuka cawangan baru sekurang-kurangnya tiga buah lagi dengan menggunakan konsep yang sama. Dalam perancangan, mereka mahu menjadikan Ipos Station sebagai bisnes francais.
Sumber: Kosmo! Online
0 comments:
Post a Comment