ATTENTION !!!

Wednesday, June 22, 2011

Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja

(Post: Bahasa Melayu)
" Peribahasa Bugis ada menyebut "sadda mappabati' ada, ada mappabati' gau, gau' mappabati tau" yang bermaksud bunyi mewujudkan kata, kata menandakan perbuatan, dan perbuatan menunjukkan manusia. "

Kata-kata itu secara ringkasnya menerangkan betapa kata dan perbuatan seseorang itulah yang akan menentukan nilai darjatnya dalam kelompok masyarakat.

Mungkin peribahasa itu paling jelas menceritakan tentang kedatangan Orang Besar Bugis, Tok Tuan Keraing Aji ke Kampung Mengkasar di Pekan, Pahang pada tahun 1722 dahulu.

Bersama sanak saudaranya, Keraing Aji nekad meninggalkan Pulau Makasar dan Riau, Indonesia untuk mengelak gawat penaklukan Belanda dan lara peperangan.

Sebagai perantau yang mahu memulakan hidup baru, beliau hanya membawa satu-satunya warisan ilmu yang penuh di dada iaitu kemahiran menenun kain. Sejak itu, bermulalah jejak menapak adat Bugis yang teradun mesra dalam budaya masyarakat tempatan di Inderapura (Pahang).

"Keraing Aji diceritakan sebagai pedagang yang sangat pandai menenun sutera. Dia juga serba tahu mengenai fabrik dan pakaian hingga namanya diangkat sebagai pengasas pembuatan dan corak baru bagi kain samping dan sarung semasa hayatnya di sini."

"Dia telah menurunkan ilmunya kepada kaum wanita dan penduduk sekitar. Semenjak itu, secara turun-temurun, keluarga penenun ini sudah wujud di serata Pekan seperti Pulau Keladi, Benta dan Mukim Langgar," terang Nortipah Abdul Kadir, 66.

Nortipah sendiri ialah generasi ke-12 Keraing Aji melalui susur galur waris bernama Selema Sulaiman. Lebih istimewa, Tokoh Tenun Pahang yang berpangkat datuk saudara kepada Nortipah itu juga mempunyai kaitan dengan mantan Perdana Menteri Malaysia yang kedua.

"Selema yang merupakan generasi ketujuh Keraing Aji ialah datuk saudara kepada Allahyarham Tun Abdul Razak," ujar Nortipah, merujuk kepada negarawan kelahiran Pekan itu.

Dalam santun bicaranya, ternyata dalam jiwa warga emas yang dihormati ramai itu tersimpan perasaan bangga. Nortipah dalam usia yang sewajarnya berehat, terus gigih mencurah bakti demi sebuah legasi.

Semangat itu tentunya terbit dalam diri Nortipah lantaran fizikal dan jiwa fabrik Tenun Pahang itu yang sudah meresap kukuh dalam adat budaya masyarakat Melayu tempatan, seterusnya menjadi identiti pelancongan negeri serta khazanah tradisi yang kuat pengaruhnya.

Kualiti tenunan

Nortipah kini memanjangkan jurus kemahiran tenun yang diwarisinya kepada ramai penenun muda yang dahagakan ilmu di Kompleks Budaya Pulau Keladi. Pusat tersebut, hari ini, menjadi mercu keunggulan darjat kain Tenun Pahang Diraja.

Tambahan status 'Diraja' pada nama kain itu telah dikurniakan oleh Putera Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada 8 Mei 2006. Pada tahun yang sama, Nortipah telah diberikan penghormatan dengan gelaran Adiguru Kraf Tenun Pahang Diraja.

"Memang kain tenun ini dahulunya 'diketuk' padat di mesin kek (mesin tenun tradisional). Betapa halus dan padatnya kain itu ditenun, hinggakan kalau dijirus air ke atasnya, air itu tidak akan tiris."

"Lain pula dengan hasil tenunan sekarang. Sesetengahnya boleh kita gelarkan sebagai 'ketuk anak menangis'," kata Nortipah tersenyum.

Meminta dijelaskan maksud istilah itu, Nortipah memberitahu, ia merujuk kepada kerja tenunan yang dibuat dengan cepat asalkan siap, seolah-olah kerja 'mengetuk' itu dilakukan ketika si anak penenun sedang menangis meminta perhatian.

Mengulas mengenai fungsi pemakaian kain tenun pula, fabrik yang hari ini kerap diperagakan dalam majlis keraian tradisional atau hari raya itu mempunyai peranan besar pada zaman dahulu.

"Ia umpama kain yang melambangkan kemewahan, darjat dan adat Melayu. Antara lain, ia digunakan sebagai pelapik dulang hantaran dalam majlis perkahwinan ataupun sebagai kain yang membaluti tubuh si bayi yang baru lahir mengikut adat istiadat berkaitan."

"Dulu, orang sanggup menolak pelawaan majlis kenduri jika tidak memiliki kain tenun untuk disarungkan. Mereka rasa malu kalau tiada kain tenun. Begitulah hebatnya penangan kain tenun ini," ujarnya.

Corak khas

Tidak lengkap kisah keluarga penenun kalau tidak bertemu kakak kepada Nortipah iaitu Noraziah Abdul Kadir, 68. Ditemui Kosmo! di kediamannya di Peramu Jaya, Noraziah sudi menunjukkan serba sedikit cara menenun kain itu di sebuah bengkel kecil di sebelah rumahnya.

"Mesin kek seperti ini boleh ditemui di kebanyakan rumah keluarga penenun di sekitar Pekan."

"Sama ada untuk menenun kain yang ditempah ataupun mengendalikan kelas bimbingan, golongan wanita tanpa mengira usia menjadikan aktiviti ini suatu pengisian waktu senggang mereka," kata Noraziah sambil menunjukkan 'jentera' tenunan yang dipinjamkan oleh pihak Kraftangan Malaysia di bengkelnya.

Wanita yang mula menenun seawal usia 12 tahun dan mula menerima tempahan pada usia 15 tahun itu ramah bercerita sambil menunjukkan cara menggunakan rahat iaitu alat untuk menggulung benang dari daun ruwing kepada peleting.

"Bahan mentah kain tenunan sekarang ini kebanyakannya diimport dari negara luar. Benang kapas atau sutera serta bahan pewarna juga kami dapatkan dari Terengganu," jelas Noraziah.

Jika pewarnaan benang tenunan pada era kemasyhuran Keraing Aji banyak menggunakan unsur semula jadi seperti daun senduduk, tarum, putik kelapa dan kulit durian, benang kain tenun pada hari ini banyak menggunakan bahan kimia sintetik.

"Mengikut corak asalnya, kain samping lelaki hanyalah berjalur melintang yang menggunakan dua warna. Kini perubahan ragam hias makin ketara mengikut kreativiti penenun dan permintaan pemakainya yang berani mencetus trend sendiri."

Rata-rata tempahan kain samping hari ini mempamerkan corak pelbagai warna yang terang dan kontra. Jalur corak juga ditenun secara kreatif untuk mendapatkan motif kekotak, berbenang emas atau berbunga colek. Tambah Noraziah, setiap keluarga penenun mempunyai identiti tersendiri dalam penghasilan corak kain tenunan.

"Secara purata, tiga hari diperlukan untuk menghabiskan proses tenunan sehelai samping. Namun, tempoh itu bergantung juga pada kerumitan corak yang hendak dihasilkan," terang Noraziah yang memberitahu harga standard untuk sehelai samping tenun biasa adalah sekitar RM150.

Generasi ke-13

Salah seorang anak Noraziah, Fazirahani Ibrahim, 27, kini mewarisi minat dan skil menenun daripada ibu dan mak ciknya.

Mendapat pendedahan awal dalam bidang tenunan melalui tunjuk ajar ibu dan mak ciknya sebelum mengikuti kursus lanjutan di bawah inisiatif Kraftangan Malaysia, Fazirahani seterusnya berkongsi ilmunya dengan ramai penenun pelatih di Pusat Latihan Jangka Pendek Asas Tenunan, Pulau Keladi dan Institut Kemahiran Tenun Pahang Diraja, Pulau Keladi.

"Ramai peneneun baru yang pernah mengikuti kelas bimbingan saya termasuklah seorang warga kelainan upaya (OKU) yang benar-benar menunjukkan kesungguhan mempelajari ilmu menenun."

"Kursus itu kerap disertai golongan muda yang bercita-cita menjadikan kemahiran ini sebagai saluran untuk menambah pendapatan," katanya.

Menurut Fazirahani, golongan muda tempatan perlu menyahut prospek ekonomi sara diri daripada kemahiran menenun. Proses dan peluang pembelajaran sentiasa terbuka untuk mereka yang bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan kelangsungan hayat fabrik istimewa Pekan itu.

"Banyak kursus berkaitan kini ditawarkan. Untuk menjadi seorang pakar tenun, seseorang itu perlu menanam minat mendalam, lebih daya tumpuan dan memiliki kesabaran yang tinggi untuk menyerap sebanyak mungkin skil tersebut," ulasnya.

Dalam pada masyarakat hari ini terus memasyhurkan fabrik itu dalam acara keraian tradisi, nama dan jasa Keraing Aji tetap disanjung dan disebut-sebut.

Secara tidak langsung, itulah pengertian peribahasa Bugis tentang penghormatan darjat seorang manusia dalam masyarakat seperti yang dinyatakan pada perenggan mukadimah kisah keluarga penenun ini.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::