ATTENTION !!!

Tuesday, June 21, 2011

Beg Tangan Maika

(Post: Bahasa Melayu)
" Beg tangan dan wanita sememangnya 'sahabat' sejak dulu lagi kerana ada yang mengatakan wanita tidak boleh keluar rumah atau ke mana-mana tanpa membawa beg tangan. "

Memang ramai wanita di dunia ini yang meminati beg tangan dan suka mengumpulnya. Beg tangan yang pelbagai gaya mudah menarik minat wanita. Ada yang setelah melihatnya, berkenan dan terus membeli. Harga bukanlah persoalan bagi mereka.

Ada juga yang membeli kerana katanya beg itu sesuai dengan baju yang ada di dalam almari. Itu salah satu alasan klise hampir semua wanita yang 'hantu' beg tangan.

Antara peminat beg, bukan saja membeli tetapi memang gemar memakainya ialah Zattul Iffah Zaidi, 29. Dia rajin menukar begnya, setiap hari pun tidak mengapa walaupun untuk ke pejabat.

"Kawan pun tahu perangai saya jadi suatu hari mereka memberitahu mengenai sejenis beg, tak tahu sama ada saya berminat atau tidak dan mengajak saya melihatnya. Mereka beritahu ia berwarni-warni dan unik, juga buatan tangan," katanya.

Atas sikap ingin tahu, Zattul Iffah pun mengikut. Sebaik melihat beg berjenama Maika yang dimaksudkan, anak jati Kuala Lumpur ini terus terpikat dengan reka bentuknya yang pelbagai, pilihan warna ceria dan ukurannya. Kecil, besar, sederhana semuanya ada.

Rambang mata tetapi ia sesuai untuk semua acara. Santai, relaks malah sesuai juga untuk majlis rasmi. Cinta pandang pertama itu membuatkan Zattul Iffah terus membuat keputusan untuk menjadi ejen jualannya bermula awal tahun ini.

"Beg Maika adalah produk buatan Indonesia dan baru saja menjengah pasaran Malaysia. Dulu saya juga meminati beg tangan berjenama, tetapi beg berjenama sangat mahal harganya dan tentu saja tidak boleh membelinya selalu."

"Selain itu, zaman ini sukar memastikan beg berjenama yang asli atau tiruan. Jadi saya cari pilihan lain yang senang disesuaikan dengan penampilan dan harga mesti berpatutan," katanya.

Bercerita mengenai gaya, Zattul Iffah tidak suka memakai baju yang berwarna-warni atau bercampur-baur.

"Saya selalu memakai pakaian dan tudung serba hitam ataupun serba putih saja. Pendek kata pakaian saya daripada satu warna saja dan sebab itu saya suka beg Maika. Beg ini memberi kesegaran pada pemakainya kerana senang disuai padan dengan sebarang pakaian," katanya.

Maika memang memberi impak ceria

"Ada lebih 200 rekaan dan menariknya ia boleh dibasuh, tidak perlu risau warnanya luntur atau kecantikan beg asal terganggu ketika dibasuh. Ini kerana semua itu tidak mungkin terjadi sekiranya kita mengikut cara membasuhnya seperti yang tercatat pada setiap beg," katanya.

Sebenarnya sekarang ramai peminat beg yang risau membeli beg kulit kerana khuatir dengan asal usul kulit itu. Justeru, beg alternatif selain kulit menjadi pilihan. Bagi beg yang boleh dibasuh, tentulah lebih ramai yang menyukainya.

"Cara membasuh setiap beg memang berbeza kerana corak pada setiap beg juga berlainan. Bagi yang mempunyai tampalan batu dan perhiasan, cara membasuhnya perlu lebih lembut berbanding beg yang tiada tampalan."

"Semua beg Maika diperbuat daripada kain yang sama, jenis kanvas dan dilapik kain lembut yang berkualiti tinggi," katanya.

Tambah gadis lulusan Ijazah Sarjana Muda Universiti Tenaga Nasional dan Sarjana Penganjuran Acara Universiti Leeds Metropolitan ini, beg Maika juga boleh dipakai kanak-kanak.

"Apa yang menyeronokkan, Maika ada pilihan untuk kanak-kanak, remaja dan dewasa yang sesuai digunakan sebagai beg tangan, membeli-belah, mengisi telekung dan komputer riba. Ia juga sesuai sebagai hadiah dan mereka yang menerima pasti teruja."

"Saya sendiri secara peribadi suka beg yang bersaiz besar kerana mudah mengisi pelbagai barang termasuk kamera, kamera video dan iPad," kata anak kedua daripada dua beradik ini.

Zattul Iffah kini menjual beg Maika secara dalam talian dan selain promosi alam siber, ia juga mendapat promosi dari mulut ke mulut daripada pelanggan yang berpuas hati dengan beg jenama berkenaan.

"Sambutan sangat menggalakkan. Ia mudah memikat hati sesiapa yang memandang kerana warna dan rekaannya yang unik."

"Tambahan lagi ia hasil buatan tangan dan boleh dibasuh. Sekarang, fesyen yang paling laris ialah Pergola Orange dan Africa," katanya yang menyediakan laman sesawang Cunz Boutique.

Selain itu, antara nama rekaan beg Maika termasuk Flat Shoes, Color Box, Miss Traveller, White Neclaces dan Sandals. Harganya bermula daripada RM35 sehingga RM90.

Sumber: myMetro

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::