ATTENTION !!!

Tuesday, November 16, 2010

Pusat Aerobik dan Gimnasium Easy Fitness

(Post: Bahasa Melayu)
" Jeritan nyaring seorang wanita bertubuh genit bergema memenuhi ruang sebuah studio aerobik. Suara itu bukan berbaur marah, sebaliknya merupakan panggilan kepada pelajar-pelajarnya untuk memulakan sesi latihan. "

Tidak lama kemudian, irama lagu-lagu rancak mula berkumandang. Selepas memanaskan badan dengan beberapa gerak tubuh yang ringkas, satu persatu langkah diatur kemas oleh si guru sambil diperhatikan dan diikuti sekumpulan wanita di belakangnya.

Ternyata gerakan senaman yang diselitkan unsur tarian itu mampu menarik minat sesiapa sahaja untuk turut serta dalam sesi tersebut.

Sambil badan dihayun ke kiri dan ke kanan, wajah masing-masing tetap ceria dengan senyuman di bibir. Keringat yang mengalir di dahi langsung tidak dipedulikan. Fokus mereka cuma satu iaitu mengikut segala gerak tari yang ditunjukkan guru di hadapan mereka.

Selepas menghabiskan beberapa buah lagu bersama pelbagai teknik senaman dan tarian, barulah sesi tersebut direhatkan seketika.

Itulah suasana yang dapat dilihat apabila mengunjungi pusat aerobik dan gimnasium wanita, Easy Fitness yang terletak di Bandar Seri Putra, Bangi.

Mula ditubuhkan pada bulan April 2010, pusat itu kini semakin mendapat tempat dalam kalangan wanita di sekitar kawasan tersebut.

Pemilik Easy Fitness, Azlina Mansor berkata, pusat kecergasan itu diwujudkan kerana minatnya yang mendalam terhadap kelas senaman dan aerobik.

"Saya memang suka mengikuti kelas aerobik. Hampir setiap malam saya akan bersenam di beberapa gimnasium yang terletak di Bandar Baru Bangi dan Nilai di Negeri Sembilan."

"Kadang-kadang sampai pukul 10 malam baru pulang ke rumah. Apabila melihat kegemaran saya yang satu ini, maka suami terus menyarankan agar saya membuka pusat kecergasan sendiri."

Sokongan suami

"Alhamdulillah, dengan sokongan suami dan rakan-rakan, akhirnya impian saya menubuhkan Easy Fitness menjadi kenyataan," ujar Azlina, 38, yang sedang mengandungkan anak kedua.

Berkonsepkan studio aerobik dan gimnasium, pusat itu menyediakan empat jurulatih yang bertindak mengajar pelanggan yang kebanyakannya suri rumah.

Salah seorang daripada mereka, Azlinda Azmi, 30, memberitahu, melalui latihan di kelas aerobik itu, para pelanggan mampu mendisiplinkan diri yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan.

"Paling utama dari segi ketepatan waktu. Contohnya, kalau kelas bermula pukul 8.30 malam, pelanggan biasanya akan datang setengah jam sebelum itu untuk menyalin pakaian dan memanaskan badan."

"Selain itu, mereka juga akan menjaga pemakanan yang diambil disebabkan kesan positif yang diperoleh selepas mengikuti kelas kecergasan iaitu penurunan berat badan," ujar Azlinda yang pernah bekerja sebagai artis kebudayaan di Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Selangor selama enam tahun.

Melihat susuk tubuhnya yang persis anak dara, mungkin ramai yang terperanjat apabila mengetahui bahawa dia sebenarnya seorang ibu kepada tiga orang cahaya mata berusia antara lima hingga sembilan tahun.

Diaju dengan soalan mengenai penjagaan badan, sambil tersenyum Azlinda hanya menjawab ringkas: "Aerobik dan menari."

Turun berat badan

Perkara itu diakui oleh seorang lagi jurulatih, Syazlina Mohd. Noor, 34, yang mengajar kelas seni tari moden. Dia juga tidak malu membuka rahsia bahawa satu ketika dahulu, berat badannya pernah mencecah 98 kilogram (kg) - satu angka yang pastinya amat digeruni kebanyakan wanita.

Keadaan fizikal diri yang sering ditegur suaminya itu membuatkan Syazlina bertekad melakukan sesuatu untuk menurunkan berat badan.

Sejak itu, dia sering mengikuti kelas-kelas senaman dan aerobik. Percaya atau tidak, tanpa sebarang pengambilan makanan tambahan, ibu kepada seorang cahaya mata itu berjaya mencapai matlamatnya.

"Dalam tempoh tiga hingga enam bulan, saya berjaya menurunkan berat badan hampir 30kg. Kini, saya rasa amat cergas dan sihat dengan berat ideal 65kg," jelas Syazlina yang mengambil inisiatif sendiri mengikuti kursus untuk mendapatkan Sijil Asas Senam Aerobik di bawah Kementerian Belia dan Sukan semata-mata kerana mahu mencontohi guru aerobiknya yang bertubuh langsing.

Bagi Syazlina, aktiviti kecergasan perlu dilakukan setiap wanita untuk menjaga kesihatan diri terutama dalam membantu mengurangkan berat badan, melancarkan pengaliran darah, membina otot dan mengawal pernafasan.

"Kita juga dapat menambah kenalan dan bertukar-tukar pendapat antara satu sama lain di samping membina keyakinan diri ," tambahnya.

Sumber: Kosmo! Online

Bookmark and Share

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Archive

Unique Visitors

More Ideas to Make Money

Business Blogs Entrepreneurship Blogs - SatuJutaIdea

::::: Satu Juta Idea | Berkongsi Idea Menjana Pendapatan ::::: Copyright © 2008-2011 SatuJutaIdea :::::

::: Setiap artikel, foto, logo, jenama dan trademark adalah hakmilik pemiliknya. :::
::: Idea yang dikongsi di sini adalah sebagai panduan sahaja. Kejayaan menjana pendapatan adalah bergantung kepada pelbagai faktor dan risiko. :::